Posted in peguam, peguamsyarie, Uncategorized, undang-undang

Berbaloi lantik Peguam?

Saya sedang menyiapkan saman dan penyata tuntutan untuk beberapa tuntutan kes di Mahkamah Syariah dan Sivil yang telah tertangguh agak lama sejak dari anakguam membuat bayaran dan menyediakan dokumen lengkap kepada saya. (Ya, diakui ada sedikit kegagalan dalam pengurusan masa saya).

Namun, saya terpanggil untuk membuat suatu entri berkenaan dengan lantikan seseorang yang ahli berkenaan dengan undang-undang (Peguam) dalam membantu orang awam untuk membuat tuntutan di mahkamah selepas membaca beberapa entri di blog berkenaan dengan keberbaloian lantikan seseorang peguam.

Nak ketawa, tapi apakan daya, proses pembelajaran 4 tahun degree dan 2 tahun asasi di Universiti Malaya mungkin adalah satu proses singkat yang orang awam rasa dan menjadikan mereka merasakan bahawa melantik peguam adalah merugikan dengan caj yang tinggi sedangkan orang awam tersebut sendiri boleh melakukan urusan di mahkamah secara sendiri.

Pada saya terdapat 3 keadaan yang memungkinkan lantikan peguam tidak perlu dilakukan iaitu:-

  1. Anda tahu segala bentuk prosedur undang-undang termasuk seksyen berkaitan yang akan digunakan dalam tuntutan anda;
  2. Anda tahu dengan jelas tuntutan yang perlu anda buat beserta dengan fakta kes dan bahan bukti serta keterangan pada perbicaraan kelak; dan
  3. Anda tahu bagaimana untuk mempastikan perintah Mahkamah yang diperolehi akan berjaya untuk dilaksanakan oleh pihak satu lagi.

Secara umum ia adalah soal, pra bicara, bicara dan selepas bicara.

Jadi jika anda tahu semua ini, berlapang dadalah untuk tidak perlu melantik mana-mana peguam dalam tuntutan anda di mahkamah.

Suka untuk saya kongsi satu analogi:-

Kita mempunyai pelbagai keinginan dalam membeli sebuah kereta. Berdasarkan kehendak, kita ingin memiliki sebuah kereta import berbanding kereta tempatan.

Namun kita memutuskan untuk mahukan kereta import dengan harga tempatan. Kita masih dapat kereta import, namun dengan harga tempatan, ia bukanlah sebuah kereta yang mampu digunakan tanpa sebarang kerosakan dalam tempoh 1 ke 2 tahun.

Lantas akhirnya, setelah baikpulih demi baikpulih yang dilakukan menyamai malah lebih murah harga kereta tempatan yang juga berstatus tempatan, kita menyesali keputusan kita terdahulu.

Lantikan peguam bukan soal caj fee yang dikenakan (sekiranya berkemampuan), ia soal pengetahun tentang undang-undang seseorang peguam tersebut serta peratusan permohonan seseorang akan diluluskan oleh Mahkamah atau sebaliknya.

Jadi, berbaloi ke lantik peguam?
TEPUK DADA,TANYA SELERA.

Advertisements
Posted in master, OUM, pentadbiran undang-undang islam di malaysia, syariah, undang-undang

Sistem Pentadbiran Undang-Undang Islam di Malaysia : Sejarah dan ruang lingkup bidang kuasa yang ditetapkan mengikut Perlembagaan Malaysia

  1. PENGENALAN

Kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan telah diperuntukkan di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan bahawa Islam adalah agama rasmi persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan. Perkara 11 pula memperuntukkan bahawa tiap-tiap orang berhak menganut dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada syarat Perkara 11, untuk mengembangkan agamanya. Syaratnya ialah undang-undang boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganut agama Islam. (Joned, 2007). Bidangkuasa berkenaan undang-undang Islam dan pentadbirannya juga boleh dilihat melalui peruntukkan undang-undang di dalam bidangkuasa negeri, Senarai 2 (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan Perlembagan Persekutuan dan juga Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan. Secara keseluruhan peruntukan-peruntukan ini adalah berkenaan dengan agama Islam serta bidangkuasa yang diberikan untuk menggunapakai undang-undang Islam tersebut di Malaysia.

Pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia merupakan salah satu perkara asas yang perlu dititikberatkan dalam memahami sistem perundangan Islam di Malaysia secara kolektif. Pentadbiran kepada perundangan Islam di Malaysia telah melalui beberapa fasa modifikasi sehingga menjadikan undang-undang Islam pada hari ini telah digunapakai di Malaysia walaupun masih perlu kepada beberapa pindaan bagi mengukuhkan serta memantapkan pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia dan seterusnya meletakkan undang-undang Islam setanding atau lebih tinggi daripada undang-undang sivil. Objektif yang perlu diketengahkan dalam tugasan kali ini adalah bagi memberikan kefahaman berkenaan dengan sistem Pentadbiran Undang-Undang Islam di Malaysia sama ada sebelum penjajahan, semasa penjajahan dan selepas penjajahan barat ke atas sistem perundangan tersebut. Ia juga adalah bertujuan bagi mamahami berkenaan dengan bidangkuasa yang diberikan di dalam perkara berkaitan pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia serta fasa perubahan ke arah islamisasi dan modenisasi undang-undang tersebut.

Tugasan ini dibahagikan kepada empat bahagian iaitu bahagian pertama akan melihat kepada sejarah dan ruang lingkup pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia pra penjajahan, semasa penjajahan, pasca penjajahan dan terkini. Bahagian kedua pula akan menerangkan berkenaan dengan bidangkuasa dalam pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia yang mana akan diterangkan seccara terperinci melalui model salah satu undang-undang pentadbiran negeri-negeri yang akan diketengahkan. Bahagian ketiga pula akan melihat kepada analisis dan usaha-usaha yang telah dan sedang dilakukan oleh pihak kerajaan dalam memantapkan sistem pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia dan seterusnya meletakkan undang-undang Islam setanding atau lebih tinggi dari undang-undang sivil. Bahagian terakhir di dalam tugasan ini adalah cadangan atau penambahbaikkan yang diberikan bagi memastikan pentadbiran di dalam sistem undang-undang Malaysia lebih mantap dari yang sedia ada.

  1. SEJARAH PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM DI MALAYSIA

2.1       Pra Penjajahan

Walaupun mengikut penyelidikan ahi sejarah agama, Islam telah berkembang di Asia Tenggara sejak kurun ke-13 dan telah sampai ke Tanah Melayu kira-kira satu kurung selepas itu, Islam hanya bertapak kuat di Melaka dalam kurun ke-15. Sebelum kedatangan Islam, orang Melayu mengikut undang-undang adat yang dipengaruhi sedikit sebanyak unsur-unsur Hindu. Setelah raja-raja dan orang Melayu memeluk Islam, perubahan-perubahan telah dibuat untuk mengubahsuai adat Melayu supaya selaras dengan Islam dan seterusnya menggunakan undang-undang Islam. Proses ini boleh dilihat dalam pelbagai versi undang-undang Melaka – Risalat Hukum atau Undang-undang Melaka. Versi yang terawal mengandungi hanya undang-undang adat, tetapi versi-versi yang kemudian memperuntukkan kedua-duanya sekali iaitu undang-undang adat dan undang-undang Islam. Misalnya dalam peruntukan Fasal 12.2

Versi-versi kemudian Risalah Hukum Kanun mengandungi bahagian mengenai perkahwinan dan penceraian dan ini dikatakan diterjemahkan daripada al-Taqrib karya Abu Syuja’. Fasal 25 hingga 28 risalah ini menyebut hal-hal berhubung dengan wali, saksi-saksi perkahwinan, peraturan-peraturan mengenai khiyar dan talak. Ada juga fasal yang menyebut berkenaan dengan undang-undang dan acara mengenai urusniaga dalam Islam., timbangtara dan ukuran, larangan riba, kaedah menjual tanah dan sebagainya. Bahagian dikatakan diambil dari teks karangan Abu Syuja’ (al-taqrib), Ibn al-Qassim al-Ghazzi (Fath al-Qarib) dan Ibrahim al-Bajuri (Hashiya ‘ala Fath al-Qarib). Versi-versi yang kemudian ini juga mengandungi fasal-fasal mengenai keterangan, acara dan hukuman bagi membunuh, persetubuhan haram, sodomy dan bestiality, fitnah dan meminum minuman yang memabukkan.

Dalam undang-undang Pahang yang diusahakan semasa pemerintahan Sultan Abdul Ghaffar (1592-1614M) dan mengikut Risalah Hukum Kanun didapati pengaruh adat Melayu semakin berkurangan dan undang-undang Islam pada umumnya diikuti. Dengan itu terdapat peruntukan berkenaan dengan undang-undang Islam mengenai qisas (s.46-47), denda (s.48), persetubuhan haram (s.49), sodomy (s.50), fitnah (s.51), meminum minuman yang memabukkan (s.52), mencuri (s.53), merompak (s.55), murtad (s.54), tidak sembahyang (s.60), jihad (s.61), acara (s.62), saksi (s.63), dan sumpah (s.64). Terdapat juga peruntukan mengenai perdagangan, jual beli, jaminan, gerenti, pelaburan, amanah, pembayaran bagi buruh, tanah, pemberian dan wakaf.

Undang-undang Johor juga mengikut Risalah Hukum Kanun dan sebagai tambahan pada awal abad ke dua puluh, pengkanunan undang-undang Islam yang telah dibuat di Turki dan Mesir diterjemahkan kedalam bahasa melayu dan digunakan. Majallat al-Ahkam diterjemahkan sebagai Majalah Ahkam Johor dan Kanun Qadri Pasha (mazhab Hanafi) diambil dan diterjemahkan sebagai Ahkam Shariyyah Johor. (Joned, 2007). Majallat Al-Ahkam satu kumpulan undang-undang Mal Islam yang diperundangkan di Turki telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu dan diiktiraf sebagai undang-undang yang harus diikuti di mahkamah-mahkamah di Johor pada tahun 1914. (Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 1997).

Di Terengganu, perlembagaan tahun 1911 menunjukkan ada pengaruh undang-undang Islam. Sebagai tambahan terdapat undang-undang mengenai penubuhan mahkamah dikeluarkan pada tahun 1885 yang nampaknya membuat peruntukan bagi pentadbiran undang-undang Islam di negeri itu.

Contoh-contoh di atas menunjukkan bahawa terdapat percubaan pada zaman sebelum kedatangan British untuk mengubahsuai undang-undang Adat Melayu dan mengambil undang-undang Islam. Namun proses ini terhenti apabila British datang ke Tanah Melayu dan menggunakan pengaruhnya. R.J Wilkinson berkata ‘tidak boleh diragukan lagi bahawa undang-undang Islam akan menjadi undang-undang Tanah Melayu sekiranya undang-undang British tidak masuk dan menahannya’. (Joned, 2007)

Di negeri-negeri Melayu sebelum masuknya pengaruh kerajaan British undang-undang asas atau undang-undang negeri ialah undang-undang Islam dan Adat Melayu dan mazhab yang diikuti ialah mazhab Syafie. Di dalam kes Ramah lwn Laton (1927)6 F.M.S.L.R 128; 2 J.H. 213, Mahkamah Rayuan di Selangor telah memutuskan bahawa undang-undang Islam ialah undang-undang Negeri dan Mahkamah hendaklah mengiktiraf dan menggunakan undang-undang tersebut. (Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 1997). Mahkamah hendaklah mengambil perhatian dari segi kehakiman dan mesti mengisytiharkan undang-undang tersebut. (Joned, 2007). Pengiktirafan terhadap undang-undang Islam sebagai undang-undang negeri juga dapat dilihat di dalam kes Shaik Abdul Latif dll. Lwn. Shaik Elias Bux (1915) 1 F.M.S.L.R. 204, Edmons J.C di dalam penghakimannya berkata ‘Sebelum triti-triti pertama, penduduk negeri-negeri ini hampir semuanya terdiri daripada orang Melayu (Islam) bersama pelombong dan pengusaha Cina. Satu-satunya undang-undang yang terpakai kepada orang Melayu ialah undang-undang Islam yang diubahsuai oleh adat-adat tempatan’. Undang-undang Islam yang diikuti itu meliputi semua bidang termasuk Undang-Undang Keluarga, Undang-Undang Jenayah, Undang-undang Tanah, Undang-undang Mal, dan Undang-undang Acara dan Keterangan. Kumpulan undang-undang melayu lama seperti undang-undang Melaka atau undang-undang yang dikumpulkan untuk sultan Pahang mempunyai peruntukan bagi undang-undang Mal, Undang-undang Keterangan dan Undang-undang Acara. (Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 1997).

2.2       Semasa penjajahan

 Walaubagaimanapun, keadaan itu telah berubah selepas masuknya pengaruh British ke negeri-negeri Melayu. Raja-raja Melayu telah membuat triti dengan pihak berkuasa British dan bersetuju menerima nasihat British dalam semua bidang kecuali agama Islam dan adat Melayu. (Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 1997). Walaupun ada fasal sedemikian itu, bagaimanapun, di negeri-negeri Melayu, British sama ada secara langsung atau tidak langsung telah campur tangan dalam hal ehwal agama dan pentadbiran. Dengan secara tidak langsung perkembangan pengaruh British telah menyebabkan kemasukan undang-undang Inggeris. (Joned, 2007). Perkataan “Agama Islam” telah diberi tafsiran yang sempit dan “Agama” itu dianggapkan sama seperti di dalam agama Kristian. Dengan tafsiran ini pihak British telah dapat mempengaruhi undang-undang di Malaysia, yang dianggap olehnya tidak berkaitan dengan agama. (Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 1997). Dengan nasihat Residen, Sultan-sultan di Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah menggubal beberapa undang-undang yang diambil dari India yang telah mengambil prinsip undang-undang Inggeris. Dengan itu, dalam perkara-perkara seperti undang-undang jenayah, keterangan, acara jenayah, kontrak dan tanah, perundangan berdasarkan prinsip undang-undang Inggeris menggantikan undang-undang Islam dan adat Melayu. Akhirnya undang-undang Islam yang telah mengubahsuai adat-adat Melayu hanya terpakai dalam undang-undang keluarga, warisan dan beberapa aspek undang-undang jenayah. (Yaacob, 2009)(Joned, 2007). Beberapa undang-undang yang dipakai di India telah diterima pakai. Bahkan apabila Inggeris menduduki Pulau Pinang mereka telah memberi gambaran salah tentang fakta. Sir Benson Maxwell menjelaskan kedudukan Pulau Pinang sehingga pengistiharan Piagam Keadilan 1807 dalam kes Regina lwn Willans menyatakan :

“It is clear beyond all doubt not for the first twenty years and upwards of its history, no body of known law was in fact recognized as the law of the place”

Begitu juga dengan pentadbiran hukum syarak pada permulaannya jawatan naib kadi dan kadi telah diiktiraf dengan menubuhkan Mahkamah Kadi dan Mahkamah Naib Kadi di negeri- negeri Melayu dalam struktur Mahkamah Awam. Kedudukannya lebih rendah dari Mahkamah Majistret, walaupun berada dalam struktur mahkamah yang sama. Akhirnya apabila diadakan Ordinan Mahkamah 1948 bagi menubuhkan sistem kehakiman bagi Persekutuan, Mahkamah Naib Kadi dan Mahkamah Kadi telah diabaikan dengan mengeluarkannya daripada hierarki Mahkamah Persekutuan dan hari ini dikenali dengan Mahkamah Syariah dan mempunyai status mahkamah negeri dengan bidang kuasa amat rendah dan terbatas.

Beberapa tahun sebelum Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 ada dua peristiwa penting yang berlaku iaitu penubuhan Suruhanjaya Reid untuk menderaf Perlembagaan Persekutuan dan kedua pengkanunan Undang-undang Pentadbiran Hukum Syarak 1952 bagi negeri Selangor. Enakmen ini telah menjadi model bagi pentadbiran perundangan Islam di negara ini. Akhirnya setiap negeri telah mengadakan enakmen Pentadbiran Hukum Syarak masing- masing. Enakmen ini mempunyai 180 seksyen dan kandungannya menyentuh penubuhan Majlis Agama Islam, perlantikan Mufti dan Jawatankuasa Fatwa, undang-undang Islam berkaitan dengan perkahwinan dan perceraian, nafkah, penjagaan anak, keterangan, prosedur jenayah dan sivil, perwarisan, pembahagian harta sepencarian, wakaf dan nazar, zakat dan trah dan Baitulmal, pengurusan masjid, pemelukan agama Islam, wasiat dan beberapa kesalahan matrimoni dan kesalahan yang boleh dihukum ta’zir. Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1952 ini ada membuat peruntukan bagi penubuhan Mahkamah Kadi dan Kadi Besar dan bidang kuasanya. Rayuan dibuat ke Jawatankuasa Ulangbicara. Pelantikan Kadi dan Kadi Besar dan anggota panel Rayuan. Enakmen ini telah dipinda beberapa kali dan yang terakhir pada tahun 2003 dengan nama Enakmen Pentadbiran Agama Islam, negeri Selangor 2003. Beberapa pindaan penting telah dibuat kepada Undang-undang Pentadbiran Agama Islam seperti penyusunan semula Mahkamah Syariah dan pengwujudan jawatan- jawatan Hakim-hakim Mahkamah Syariah termasuk Ketua Hakim Syarie. Perubahan ini juga berlaku di negeri-negeri lain, termasuk Wilayah Persekutuan. Pada hari ini struktur Mahkamah Syariah di negara ini adalah seragam.

2.3       Pasca Penjajahan

Selepas kemerdekaan dan penjajahan Inggeris, adalah dapat diringkaskan bahawa terdapat tiga institusi yang terlibat dalam perlaksanaan perundangan Islam iaitu Majlis Agama Islam, Mufti, dan Mahkamah Kadi (Mahkamah Syariah). Bagaimanapun, dalam tugasan ini akan menyentuh aspek perundangan Islam yang ditadbir oleh Mahkamah Syariah dan yang telah dikanunkan oleh badan perundangan iaitu Parlimen dan Dewan Perundangan Negeri. Undang-undang pentadbiran perundangan Islam yang dipakai oleh negeri-negeri termasuk Wilayah-wilayah Persekutuan telah mengalami beberapa pindaan dan tujuannya adalah untuk menjadikannya lebih lengkap dan relevan. Perlembagaan Persekutuan dalam Jadual Kesembilan Senarai 2, Senarai Negeri menyatakan perkara-perkara berhubung dengan hukum syarak yang terletak pada Badan Perundangan Negeri untuk menggubalnya termasuk kuasa menubuhkan Mahkamah Syariah yang mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang Islam. Mahkamah tersebut tidak boleh mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang Persekutuan. Terdapat banyak undang-undang Persekutaun yang menghadkan bidang kuasa dan pemakaian undang-undang negeri, seperti Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 (Disemak) 1984. Pindaan 1984 memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah, selain denda tidak lebih lima ribu ringgit dan penjara tidak lebih tiga tahun, termasuk sebatan tidak lebih enam sebatan, begitu juga dalam pentadbiran pusaka dihalang oleh Akta Probet dan Pentadbiran 1959 (Disemak) (1972) dan Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Disemak) (1972).

Bidang kuasa Jenayah dan Mal yang diberikan kepada Mahkamah Syariah ada diperuntukan dalam Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam negeri-negeri. Ada perkara di mana Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa akan tetapi tidak semua negeri mempunyai undang-undang yang khusus dan terperinci seperti mengenai wakaf, wasiat dan zakat. Bahagian hukum syarak yang diperbuat peruntukan yang agak jelas dan menyeluruh adalah mengenai kekeluargaan, bagaimanapun masih belum lengkap. Bahkan ada pihak yang tidak berpuashati tentang beberapa peruntukan seperti seksyen 23 mengenai poligami dan seksyen 58 pembahagian harta sepencarian apabila berlaku poligami. Dengan perkembangan masa adalah difikirkan perlu untuk membuat kajian bagi mengemaskini undang-undang yang sedia ada dan untuk mewujudkan undang-undang yang relevan bagi seluruh negeri- negeri. Oleh kerana pegangan mazhab di kalangan penduduk Islam pada umumnya sama iaitu Mazhab Sunni yang lebih tertumpu kepada aliran Mazhab Syafie sudah sepastinya tidak ada masalah untuk mengadakan keseragaman tersebut.

Langkah pertama telah diambil oleh kerajaan Persekutuan untuk mengadakan satu model undang-undang bagi pentadbiran Undang-undang Keluarga Islam. Justeru sebuah jawatankuasa telah dibentuk bagi menggubal undang-undang tersebut. Apabila draf undang-undang itu siap ia telah dihantar kepada Majlis Raja-raja. Setelah dipersetujui draf ini dihantar kepada tiap-tiap negeri untuk diterima dan dilaksanakan. Pihak berkuasa negeri telah menubuhkan jawatankuasa bagi meneliti draf tersebut, seperti di negeri Kedah, Kelantan dan Wilayah Persekutuan. Sungguhpun niat dan tujuan asal adalah untuk menyelaraskan atau untuk mengadakan satu undang-undang Keluarga Islam yang seragam di antara negeri-negeri, akan tetapi hasrat ini akhirnya tidak tercapai dan perbezaan-perbezaan masih berlaku.

Dengan usaha tersebut akhirnya lahirlah Enakmen Undang- Undang Keluarga Islam 1983, Kelantan, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 1984, Kedah. Negeri- negeri lain telah mengadakan Enakmen Keluarga Islam yang serupa dengan mengambil contoh dari negeri-negeri tersebut.

Seperti yang telah dijelaskan, setiap negeri mempunyai Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam (dengan nama yang berbeza) dikanunkan pada tahun yang berbeza. Selangor 1952, Sarawak 1954, Pahang 1956, Melaka 1959, Pulau Pinang 1959, Negeri Sembilan 1960, Kedah 1962, Perlis, 1964, Perak 1965, Kelantan 1966, Wilayah Persekutuan1974, Sabah 1977 dan Johor 1978. Enakmen-enakmen tersebut bertujuan menyatukan dan meminda undang-undang pentadbiran agama Islam berkaitan dengan penubuhan, penyusunan, dan pentadbiran agama Islam dan Mahkamah Syariah di negeri-negeri. Walaupun tidak lengkap akan tetapi lebih jelas dan mudah untuk dibuat rujukan berbanding sebelumnya. Sebelum diadakan Enakmen pentadbiran tersebut, undang-undang mengenai agama Islam telah dibuat oleh “State Council” dalam bentuk “Order in Council” oleh negeri-negeri berkenaan. Sebagai contoh Enakmen Perkahwinan dan Perceraian Orang-orang Islam, Perak 1900 dan ia terpakai bagi orang-orang Islam sahaja. Enakmen ini telah mewujudkan jawatan Kadi Besar di Perak. Bagaimanapun Enakmen itu dipinda dari masa ke semasa. Pengalaman yang berlaku di negeri Perak, berlaku juga kepada negeri-negeri Melayu yang lain terutama bagi negeri- negeri Melayu Bersekutu (FMS).

Enakmen lain yang perlu disebut di sini iaitu Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Melayu. Setiap negeri terdapat enakmen seumpama ini seperti Council of Religion and Malay Custom Enactment 1949, Selangor, Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, 1951. Enakmen ini antara lain membuat peruntukan tentang penyusunan Majlis Agama Islam dan kuasa yang diberikan kepadanya. Enakmen tersebut kemudiannya telah dimansuhkan oleh Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri- negeri yang terbaharu.

Setelah negara mencapai kemerdekaan, usaha telah dibuat bagi meningkat dan mengemaskinikan lagi pentadbiran agama Islam. Ada negeri yang telah mengambil langkah dengan menubuhkan jawatankuasa bagi mencapai tujuan tersebut. Bahkan ada pihak yang menghantar rombongan keluar negara untuk mengambil pengalaman tentang pentadbiran undang-undang Islam di beberapa negara Islam. (Yaacob, 2009) No. 6 (2009) 1-20) 

  1. BIDANGKUASA DALAM PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM DI MALAYSIA

Bidang kuasa pentadbiran undang-undang Islam telah ditetapkan dalam Jadual Kesembilan, Senarai II, rujukan perlu dibuat kepada Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 74(2) dengan jelas memperuntukkan bahawa:

“Dengan tidak menyentuh apa-apa kuasa yang diberi kepada Badan Perundangan Negeri untuk membuat undang-undang oleh mana-mana Perkara lain, Badan Perundangan Negeri boleh membuat undang-undang mengenai mana-mana perkara yang disebutkan dalam Senarai Negeri (iaitu Senarai Kedua yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan) atau Senarai Bersama.”

Melalui peruntukan ini, setiap negeri diberi kuasa untuk membuat undang- undang bagi mengatur hal ehwal orang Islam termasuk undang-undang Islam atau hukum syarak. Perlembagaan Persekutuan memperuntukan bahawa, kerajaan-kerajaan negeri melalui badan perundangan masing-masing berkuasa menggubal undang-undang Islam dan menubuhkan organisasi pentadbiran dan pelaksanaan undang-undang berkenaan, seperti penubuhan Majlis-majlis Agama Islam dan Mahkamah-mahkamah Syariah. Perkara ini selaras dengan kes Mamat Bin Daud & 2 Lagi lawan Government of Malaysia [1998] 1 MLJ 119 Mahkamah Agung Malaysia telah memutuskan bahawa Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang berkait dengan agama Islam dan peraturan-peraturan di bawahnya melainkan bagi Wilayah Persekutuan.

Perlu ditegaskan, walaupun bidang kuasa diberikan kepada Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang yang berkaitan dengan pentadbiran undang-undang Islam, ianya masih lagi tertakluk kepada Perkara 4(1). Jelasnya, bahawa undang-undang yang digubal oleh Badan Perundangan Negeri mestilah tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan juga mana-mana undang-undang Persekutuan yang lain. Kebenaran menggubal undang-undang Islam ini bukanlah suatu yang mutlak. Kuasa yang diberikan ini juga tertakluk kepada Perkara 75 yang menjelaskan seandainya berlaku pertentangan antara undang-undang Negeri dan undang-undang Persekutuan, maka undang-undang Negeri itu adalah terbatal setakat yang bertentangan.

Namun begitu, bidang kuasa pentadbiran undang-undang kewangan Islam adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan. Ini berdasarkan kepada Perenggan 4, Senarai I, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, perkara yang berkaitan dengan undang-undang perdagangan adalah tertakluk kepada perkara Persekutuan. Oleh kerana perbankan Islam dan kewangan adalah dikategorikan sebagai undang-undang perdagangan, maka ia adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan. (Alias Azhar, 2012)

Justeru, secara ringkasnya, dapat disimpulkan bahawa skop pentadbiran undang-undang Islam yang berkuatkuasa di Malaysia terbahagi kepada dua bahagian:

(a)        Skop undang-undang Islam yang disenaraikan dalam Jadual Kesembilan, Senarai II adalah ditadbir oleh Badan Perundangan Negeri (Kerajaan- kerajaan Negeri); dan

(b)       Skop undang-undang kewangan Islam adalah ditadbir oleh Persekutuan.

Pindaan berkenaan dengan bidangkuasa Mahkamah Syariah juga telah dibuat di dalam Akta Perlembagaan Pindaan 1988 (Akta A 704) yang memperuntukkan berkenaan dengan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang merupakan bidangkuasa yang diberikan kepada Mahkamah Syariah dalam memutuskan kes-kes yang berkaitan dengan orang Islam tanpa campurtangan Mahkamah Sivil. Ia memperuntukkan bahawa Mahkamah Tinggi dan mahkamah bawahan di bawahnya tidak boleh mempunyai bidangkuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah. Percanggahan di antara Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Syariah tidak akan timbul lagi kerana perkara-perkara berkenaan hal ehwal berkaitan orang Islam hanya boleh dibawa ke Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi tidak lagi mempunyai bidangkuasa di dalam perkara-perkara itu. Akta Mahkamah Syariah (bidangkuasa Jenayah) 1965 telah dipinda pada tahun 1984 untuk membolehkan Mahkamah Syariah membicarakan kes-kes jenayah yang boleh dihukum dengan penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga RM 5,000.00 dan sebat enam kali rotan atau gabungan semua hukuman itu. (Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 1997)

Antara undang-undang Islam yang digunapakai sehingga ke hari ini yang mana ia adalah melalui bidangkuasa yang diberikan kepada kerajaan negeri dalam menggubal berkenaan dengan undang-undang Islam di bawah bidangkuasa negeri antaranya adalah sebagaimana berikut:-

  • Undang-Undang Keluarga Islam;
  • Undang-Undang Harta Pusaka;
  • Undang-Undang Jenayah Islam; dan
  • Undang-Undang Zakat

3.1       UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM

             Hampir kesemua model undang-undang keluarga Islam yang terdapat di dalam negara kita pada hari ini adalah secara ringkasnya berkaitan dengan perkahwinan, perhubungan suami isteri, pembubaran perkahwinan, kesan pembubaran itu dan kedudukan kanak-kanak. Pada masa kini, kesemua negeri-negeri di Malaysia mempunyai undang-undang keluarga Islam yang hampir sama. Undang-undang tersebut ialah:-

  • Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) 2008;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002;
  • Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003;
  • Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984;
  • Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003;
  • Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004;
  • Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Pulau Pinang) 1985;
  • Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 1985;
  • Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003;
  • Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kelantan) 2002;
  • Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Pahang) 2005;
  • Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Perlis) 2006;
  • Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Sabah) 2004; dan
  • Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam (Sarawak) 2001

3.2       UNDANG-UNDANG HARTA PUSAKA

Pentadbiran pusaka dikendalikan pada peringkat Persekutuan dan di Mahkamah Tinggi Sivil, kerana urusan pembahagian pusaka atau pewarisan berwasiat dan tak berwasiat serta urusan mengeluarkan surat kuasa tadbir diletakkan di bawah Senarai 1 Jadual ke-9, Senarai Persekutuan. Pentadbiran pusaka orang-orang Islam dan bukan Islam dikendalikan sepenuhnya oleh Pegawai Penyelesai Pusaka, Perbadanan Amanah Raya Berhad (Pemegang Amanah Raya) atau Mahkamah Tinggi Awam. Walau bagaimanapun, kadar pembahagian pusaka orang-orang Islam dan penentuan waris-waris sama ada berhak atau tidak, akan diputuskan oleh Mahkamah Syariah menurut undang-undang pusaka Islam (faraid). Mahkamah Syariah mempunyai kuasa mengeluar atau mengesahkan waris-waris yang berhak dan kadar bahagian masing-masing dalam bentuk Sijil Faraid atau Perakuan Ahli Waris. Demikian juga perkara-perkara hukum syarak yang lain seperti menentukan kesahtarafan anak, sah atau tidak akad perkahwinan, harta sepencarian, mengesahkan wasiat, wakaf, hibah, dan sebagainya, adalah di bawah tanggungjawab dan kuasa Mahkamah Syariah. Antara undang-undang yang berkaitan dengan pusaka dan pentadbirannya adalah seperti berikut:-

  • Undang-undang Pusaka Islam (Faraid)

Setakat ini, di Malaysia tidak ada satu bentuk undang-undang faraid yang telah dikanunkan dalam bentuk undang-undang bertulis oleh negeri-negeri seperti yang terdapat di Mesir iaitu Qanun al-Mawarith 1943. Walaubagaimanapun, kaedah pembahagian pusaka secara Islam telah diikuti sepenuhnya oleh Mahkamah Syariah negeri-negeri.

  • Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta 98)

Akta ini diperkenalkan untuk menyelaras dan menyeragamkan cara-cara pembahagian dan pentadbiran pusaka si mati sama ada beragama Islam atau bukan beragama Islam. Akta ini diguna pakai kepada semua tuntutan harta pusaka seseorang si mati sama ada semuanya mengandungi tanah sahaja atau sebahagiannya mengandungi tanah bersama dengan harta-harta alih yang lain seperti wang tunai, saham, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Johor (ASJ), dan sebagainya, tetapi jumlah nilaian harta itu hendaklah tidak melebihi RM 2 juta pada tarikh permohonan dibuat.

(c) Akta Probet dan Pentadbiran 1959 (Akta 97)

Akta ini dilaksanakan terhadap harta pusaka besar (biasa) dan harta pusaka ringkas. Harta pusaka besar ialah harta pusaka yang jumlah nilaiannya lebih daripada RM 2 juta, sama ada terdiri daripada harta alih semuanya atau semuanya harta tak alih atau terdiri daripada campuran harta alih dengan harta tak alih atau harta pusaka yang jumlah nilaiannya kurang daripada RM 2 juta tetapi si mati ada meninggalkan wasiat. Harta pusaka ringkas pula ialah harta pusaka yang jumlah nilaiannya tidak melebihi RM 600,000.00 yang terdiri daripada harta alih sahaja, dan sebagainya. Permohonan pentadbiran harta pusaka besar hendaklah dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil, manakala tuntutan harta pusaka ringkas pula boleh dibuat melalui Pegawai Pentadbir Pusaka atau melalui Perbadanan Amanah Raya Berhad.

(d) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri

Enakmen ini mempunyai kuasa untuk memutuskan beberapa perkara yang berkaitan dengan harta seorang Islam terutamanya mengenai harta sepencarian, pusaka, hibah dan wakaf dan kadangkala dalam kes-kes tertentu fatwa Mufti diperlukan bagi menentukan harta pusaka dan orang yang berhak terhadap harta itu.

(e) Akta Tanah (Kawasan-kawasan Penempatan Berkelompok) 1960

(f) Enakmen Rizab Melayu Negeri-negeri

(g) Undang-undang Penama

(h) Customary Tenure Enactment

(i)Peraturan-peraturan Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dan Pekeliling-pekeliling Berkaitan

3.3       UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM

Peruntukan mengenai kesalahan jenayah syariah di Malaysia secara umumnya diletakkan di bawah satu enakmen khusus di setiap negeri iaitu enakmen kesalahan jenayah syariah. Sungguhpun demikian, terdapat juga beberapa enakmen lain yang memperuntukkan kesalahan yang boleh dihukum atau mengenakan penalti terhadap pelanggaran peraturan-peraturan yang diletakkan di bawah kuasa undang-undang negeri yang berkaitan dengan agama Islam.(Buang, 2007). Enakmen-enakmen tersebut adalah seperti berikut:-

  • Enakmen Jenayah Syariah;

Kesalahan berkaitan Akidah, kesalahan berhubung dengan kesucian agama dan institusinya, kesalahan berhubung tatasusila (moral /seksual)

  • Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam

Kesalahan matrimonial, kesalahan pelbagai

  • Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-agama Bukan Islam

Kesalahan bagi maksud menyebarkan dan mengembangkan agama bukan Islam kepada orang Islam.

3.4       UNDANG-UNDANG ZAKAT

Rang Undang-undang Zakat dan Fitrah Wilayah Persekutuan 1987 (Draf Akta Zakat Wilayah 1987) mengandungi 10 Bahagian dan 3 Jadual. Bahagian 2 Draf Akta menggariskan secara dasar rajah pentadbiran yang diwujudkan bagi tujuan meningkatkan pelaksanaan undang- undang zakat di Wilayah Persekutuan. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan boleh melantik satu Jawatankuasa Zakat dan Fitrah. Jawatankuasa diberi tugas penting untuk membuat garispanduan tentang dasar untuk menyelia dan mengawal segala urusan, pentadbiran zakat dalam Wilayah Persekutuan. Selain daripada itu, Jawatankuasa juga dikehendaki memberi arahan-arahan am kepada Pengarah Bahagian Zakat dan Fitrah. Tugas utama Bahagian Zakat dan Fitrah adalah untuk melaksanakan:-

  • Pungutan zakat dan fitrah;
  • Pengeluaran penyata zakat;

(c) Pengagihan pendapatan dari zakat dan fitrah mengikut kehendak hukum  syara’;

(d) Membuat cadangan kepada jawatankuasa mengenai pelantikan ‘amil dan perkhidmatan mereka;

(e)   Penyediaan kira-kira pungutan zakat dan belanjawan tahunan; dan

(f)   Bancian tahunan bagi menentukan jumlah umat Islam dalam wilayah.

Dalam menjalankan tugas di bawah akta ini, semua pegawai dikehendaki membawa bersama waran (kad kuasa atau pengenalan) yang dikeluarkan oleh Pengarah Bahagian Zakat dan Fitrah.

  1. USAHA YANG DILAKUKAN DALAM MEMANTAPKAN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM DI MALAYSIA

Terdapat pelbagai usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam meletakkan pentadbiran undang-undang Islam di tingkatan yang lebih tinggi berbanding undang-undang sivil. Namun usaha tersebut haruslah selari dengan perubahan masa dalam memahami serta menggunapakai undang-undang yang sedia ada. Dari segi fizikal, kebanyakkan Mahkamah Syariah pada peringkat awalnya tidak mempunyai bagunan yang sesuai dan tidak mempunyai pegawai yang mencukupi. Hakim-hakim di Mahkamah Syariah telah tidak diberi taraf sewajarnya sebagaimana yang diberikan kepada hakim-hakim di Mahkamah Sivil. Kedudukan pentadbiran Mahkamah Syariah yang daif ini telah disedari oleh kerajaan dan masyarakat Islam.

Oleh yang demikian, satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menimbang kedudukan kuasa dan status Mahkamah Syariah dan hakim-hakimnya. Beberapa cadangan telah dikemukakan bagi memperbaiki kedudukan tersebut. Akhirnya pentadbiran Mahkamah Syariah telah dipisahkan dari pentadbiran Majlis Agama Islam negeri-negeri dan telah disusun semula dengan mempunyai tiga peringkat iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah. Status hakim Mahkamah Syariah pula telah dinaikkan dan bidangkuasa Mahkamah Syariah diperjelaskan semula dalam enakmen yang baru.

Pada amnya kesemua negeri-negeri telahpun menerima cadangan memisahkan Mahkamah Syariah dari Majlis Agama Islam dan menjadikan Mahkamah Syariah di dalam tiga hireraki Mahkamah. Bagi mempertingkatkan pentadbiran Mahkamah Syariah undang-undang bertulis yang lebih lengkap telah meliputi Acara Mal, Acara Jenayah dan Undang-Undang Keterangan. Undang-undang tersebut walaupun berpandukan undang-undang yang digunapakai di Mahkamah Sivil, tetapi ia telah disesuaikan dengan Undang-Undang Islam. Untuk meyakinkan kebolehan Mahkamah Syariah, peranan yang penting dipikul oleh Mahkamah Rayuan Syariah.

Keputusan Mahkamah Rayuan Syariah perlu dilaporkan dalam Jurnal Hukum, Kanun, dan Malayan Law Journal dan ini bukan sahaja dapat memberi panduan dan teguran yang sihat kepada Mahkamah bawahan akan tetapi boleh menunjukkan bahawa keputusan-keputusan Mahkamah Rayuan Syariah boleh mencapai mutu yang tinggi seperti keputusan dan penghakiman Mahkamah Sivil.

Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1988 dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) 1988 (Akta A 704), juga telah dipinda dengan memperuntukkan bahawa Mahkamah Tinggi Sivil dan mahkamah dibawahnya tidak ada bidangkuasa di dalam mana-mana perkara yang termasuk di dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah. Pindaan tersebut adalah sebagai satu permulaan dan bukan sebagai kesudahan dalam usaha menaikkan taraf dan kedudukan Mahkamah Syariah. Jawatankuasa Penyelarasan Undang-Undang Syara’ dan Sivil telah ditubuhkan dengan mempunyai dua tugasan utama. Pertama, memperbaiki dan meninggikan pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia dan kedua, melihat mana-mana undang-undang bertulis diperingkat Persekutuan dan Negeri yang bertentangan dengan undang-undang Islam.

Usaha seterusnya yang telah kerajaan lihat dan sedari ialah kearah penyusunan semula Mahkamah-Mahkamah Syariah seluruh Malaysia. Sebuah Jawatankuasa Kerja bagi Meneliti Penyelarasan Perkhidmatan Kehakiman dan Mahkamah Syariah seluruh Malaysia serta menwujudan Mahkamah Rayuan Syariah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara telah membuat kajian dengan meneliti struktur organisasi Mahkamah Syariah yang sedia ada, kuasa-kuasa setiap mahkamah dan peraturan-peraturan yang terpakai, kuasa Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan berkaitan dengan hal ehwal kehakiman dan perundangan Islam. Meneliti kedudukan perjawatan Mahkamah Syariah yang sedia mengikut klasifikasijawatan serta tahap pencapaian semenjak beberapa tahun kebelakangan. Meneliti bidang tugas Pegawai-Pegawai Syariah, beban tugas, tanggungan Kerajaan Persekutuan dan Negeri dan kemudahan-kemudahan yang dinikmati oleh Pegawai Syariah pada masa ini. Merangka bentuk yang sesuai bagi menjalankan proses mempersekutukan Perkhidmatan Kehakiman di Mahkamah Syariah seluruh negara. Usaha-usaha dan langkah untuk memperbaiki dan mempertingkatkan kedudukan Mahkamah Syariah telah dibuat. Satu skim Perkhidmatan Pegawai Syariah telah diwujudkan pada Februari 1985. Skim ini tela diubah dengan Perlaksanaan Sistem Saraan baru (SSB) berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 1991. Menurut pekeliling ini, Pegawai Syariah diletakkan di bawah klasifikasi Perkhidmatan Perundangan/ Kehakiman, Kumpulan perkhidmatan, Pengurusan dan Profesional. Pegawai Syariah Gred L1 yang menunjukkan kebolehan yang terkemuka mutunya adalah layak dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat ke Gred yang lebih tinggi yang kosong. (Insitut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 2001)

Perlembagaan Persekutuan telah memberikan kuasa kepada Parlimen untuk mennetukan had hukuman yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah. Undang-undang ini tidak digubal hingga pada tahun 1965 yang memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau denda tidak melebihi RM 1,000.00 atau kedua-duanya adalah melalui Akta Mahkamah Orang Islam (Bidangkuasa Kenayah) 1965. Sembilan belas tahun kemudian, undang-undang tersebut dipinda pada tahun 1984, pindaan telah dibuat terhadap akta ini dan kuasa baru yang diperuntukkan kepada Mahkamah Syariah ialah penjara dua tahun, sebatan enam kali dan denda RM 5,000.00 yang diperuntukkan melalui Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) (Pindaan) 1984 (Akta A 612). (Arifin, 2007). Rang Undang-Undang Persendirian berkenaan dengan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) (Pindaan) 1984 yang dibentang oleh Ahli Parlimen Marang pada 2016 juga merupakan satu titik tolak kearah memartabatkan pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia. 

  1. CADANGAN

 Masih terdapat banyak lacuna dan perlu dipinda berkenaan dengan petadbiran undang-undang Islam di Malaysia sekiranya kita mahu meletakkan undang-undang Islam setaraf dengan undang-undang dan secara tidak langsung mampu untuk menjadikan undang-undang Islam adalah undang-undang utama di Malaysia sebagaimana yang telah berlaku pada zaman sebelum Tanah Melayu dijajah. Oleh yang demikian cadangan kepada penambahbaikkan adalah perlu dalam setiap lacuna yang terdapat di dalam mana-mana undang-undang.

Antara cadangan adalah berkenaan dengan untuk meningkatkan bidangkuasa Mahkamah Syariah umpanya di dalam perkara probet dan pentadbiran harta pusaka orang-orang Islam yang mana pada ketika ini Mahkamah Syariah hanya berbidangkuasa dalam menentukan pembahagian di dalam faraid sahaja dan bukan berbidangkuasa sepenuhnya dalam memutuskan kes berkaitan probet dan harta pusaka orang Islam. Ini adalah memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan akan tetapi langkah telah pun diambil untuk mengadakan draf undang-undang wasiat, dan pentadbiran harta pusaka orang Islam. Ia perlu diadakan secara bersama peruntukan atau undang-undang berkenaan dengan zakat dan fitrah, baitulmal dan wakaf.

Di dalam bidangkuasa jenayah syariah pula, adalah perlu bidangkuasa jenayah Mahkamah Syariah ditambah berkenaan dengan hukuman yang dikenakan kepada pesalah jenayah syariah. Setakat hari ini bidangkuasa jenayah syariah yang diberikan melalui Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) (Pindaan) 1984 hanya memperuntukkan bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut. Secara logiknya hukuman yang dikenakan ke atas pesalah jenayah syariah amat rendah berbanding Mahkamah Majisteret di peringkat Mahkamah Sivil.

Adalah diharapkan supaya bidangkuasa itu diperluaskan supaya Mahkamah Syariah dibolehkan membicarakan dan menghukum bukan sahaja kes-kes takzir akan tetapi juga kes-kes qisas, diyat dan hudud dan seterusnya mempertingkatkan lagi hukuman tersebut agar setimpal dengan kesalahan-kesalahan yang dilakukan. Jika mahkamah Syariah diberi kuasa menjatuhkan hukuman atau perintah hudud, qisas, dan diyat, pindaan perlu dibuat kepada Kanun Keseksaan, Kanun Acara Jenayah dan juga Akta Undang-undang Sivil mengenai undang-undang tort berhubung dengan pembayaran ganti rugi.

Pindaan juga perlu dibuat kepada undang-undang bertulis yang lain yang digunapakai oleh orang Islam kerana kebanyakkan daripada peruntukkan tersebut adalah bertentangan dengan hukum syara’ seperti Seksyen 112 Akta Keterangan 1950 yang memperuntukkan berkenaan dengan kesahtarafan anak yang mana ialah jelas bertentangan dengan hukum syara’ yang memperuntukkan bahawa jika seorang anak dilahirkan pada masa ibunya berkahwin dengan seorang lelaki, ia hendaklah dianggap anak sah kepada lelaki itu. Pindaan perlu dibuat supaya Seksyen 112 Akta itu tidak dipakai bagi orang-orang Islam. (Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 1997)

Selain dari isu undang-undang, masalah yang berat juga timbul dalam pentadbiran Mahkamah Syariah. Pada masa kini, mahkamah-mahkamah sivil telah diberi perhatian yang sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan oleh kerana mahkamah-mahkamah itu adalah Mahkamah Persekutuan. Jika mahkamah-mahkamah syariah juga dijadikan Mahkamah Persekutuan, mahkamah-mahkamah itu juga dapat diberikan perhatian yang sepenuhnya. Sungguhpun perkara Mahkamah Syariah dan pegawai-pegawainya ada terlibat dengan undang-undang Islam, akan tetapi perkana ini lebih melibatkan pentadbiran dan penguruusan, yang akan dapat diuruskan dengan lebih baik di peringkat Persekutuan. Adalah dicadangkan langkah pertama diambil untuk menubuhkan Mahkamah Syariah Persekutuan dan Pekhidmatan Kehakiman dan Perundangan Syariah di Wilayah-wilayah dan negeri-negeri di mana Yang di-Pertuan Agong menjadi Ketua Agama Islam.

Pada masa kini, rayuan dari Mahkamah Syariah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Syariah di tiap-tiap negeri. Ada baiknya jika diadakan Mahkamah Rayuan Persekutuan atau Mahkamah Syariah Persekutuan yang boleh mendengar rayuan dari tiap-tiap negeri. Supaya tidak menyentuh kedudukan Yang di-Pertuan Agong atau Raja sebagai Ketua Agama Islam, peruntukan boleh diadakan supaya rayuan itu dibuat kepada Yang di-Pertuan Aging atau Raja dan kemudiannya rayuan itu dirujukkan kepada Mahkamah Syariah Persekutuan untuk memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong atau Raja yang berkenaan. Mungkin juga anggota Mahkamah Syariah itu boleh dilantik dari tiap-tiap negeri dan diperuntukkan rayuan dari satu negeri hendaklah didengar oleh panel termasuk wakil negeri itu. Dengan cara ini bolehlah diadakan persamaan keputusan diseluruh Malaysia dan mewujudkan duluan kes yang sama. (Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 1997) 

KESIMPULAN

Usaha telah dilakukan pada peringkat persekutuan untuk menyelaras dan menyeragamkan Undang-Undang Islam yang diamalkan di negeri-negeri di Malaysia. Beberapa negeri telah bersetuju pada dasarnya untuk menggubal undang-undang yang seragam. Bagaimanapun masih ada negeri-negeri yang mempunyai sebab-sebab tersendiri untuk menunggu dan melihat sebelum membuat keputusan untuk bersetuju dengan cadangan tersebut. Walau apapun, mewujudkan Undang-Undang Islam yang seragam adalah amat perlu supaya masyarakat Islam di negara ini tidak lagi merasa tidak selesa apabila berhadapan dengan kes-kes yang terpaksa dikemukakan kepada pengadilan di Mahkamah Syariah. Apa yang ingin dilihat ialah penguatkuasaan keputusan oleh Mahkamah Syariah boleh dilakukan bukan sahaja di negeri di mana keputusan itu dibuat tetapi juga di negeri-negeri lain, yang menjadi tempat tinggal pihak-pihak yang terlibat. (Arifin, 2007)

Beban yang dipikul oleh Mahkamah Syariah, hakim dan pegawainya adalah sangat berat. Merekalah yang akan menunjukkan bahawa hukum syara’ bukan sahaja undang-undang yang terbaik dari segi teorinya akan tetapi ia adalah terbaik dari segi perlaksanaan praktiknya. Jika hakim-hakim dan pegawai-pegawai Mahkamah Syariah gagal dalam tugas beliau, bukan sahaja mereka dikecam akan tetapi hukum syara’ itu akan dikatakan tidak baik dan tidak adil. Perhatian perlu diberikan kepada pendidikan dan latihan pegawai kehakiman dan perundangan yang akan terlibat dengan pentadbiran hukum syara’ di Mahkamah Syariah. Mereka perlu diberi latihan dan pengawala ikhtisas sekurang-kurangnya seperti hakim dan pegawai di mahkamah sivil atau lebih baik. Segala usaha hendaklah dibuat untuk meningkatkan pentadbiran hukum syara’ di Mahkamah Syariah supaya hukum syara’ dapat diterima sebagai undang-undang yang adil dan saksama oleh bukan sahaja orang Islam akan tetapi oleh semua orang di Malaysia. (Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 1997)

BIBLIOGRAFI

Monir Yaacob,. (2001). Sistem kehakiman Islam(pp. 51-67). Kuala Lumpur, Malaysia: Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Ahmad Hidayat Buang.,. (2007). Undang-undang Islam di Malaysia (p. 202). Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Ahmad Ibrahim,. (1997). Pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia (pp. 3-317). Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Ahmad Ibrahim, & Ahilemah Joned.,. (2007). Sistem undang-undang di Malaysia (pp. 48-67). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohamed Suffian,. (1990). Pengenalan sistem undang-undang Malaysia (p. 104). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Noor Aziah Mohd Awal.,. (2007). Pengenalan kepada sistem perundangan di Malaysia (pp. 75-81). Kuala Lumpur: International Law Book Services.

Mahamad Arifin.,. (2007). Pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia (pp. 1-75). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Perlaksanaan Perundangan Islam di Malaysia: Satu Penilaian. (2009). Jurnal Fiqh, (6), 1-20.

Perluasan Skop Undang-Undang Islam di Malaysia: Aplikasi dan Implikasinya. (2012). Jurnal Syariah20(2), 163-184.