Posted in master, OUM, peguam, peguamsyarie, pentadbiran undang-undang islam di malaysia, syariah, Uncategorized

Polemik Isu Anak Tak Sah Taraf

  1. PENGENALAN

Penggubalan undang-undang keluarga Islam oleh setiap negeri di Malaysia adalah antara lain bertujuan bagi memelihara kesucian institusi perkahwinan dan umat Islam di negara ini. Sebagai contoh prosedur kebenaran berkahwin, prosedur berpoligami, pembubaran perkahwinan dan penalti bagi yang melanggar peruntukan-peruntukan di dalam undang-undang tersebut.

Baru-baru ini negara kita digemparkan dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada Julai 2017 yang membenarkan permohonan anak tidak sah taraf untuk dibinkan atau dibintikan kepada bapa biologinya yang mana kanak-kanak tersebut dilahirkan selepas 5 bulan 24 hari (atau 5 bulan 27 hari menurut kalendar Qamariah) selepas ibu bapanya bernikah. Ini secara jelas menjadikan keputusan tersebut adalah tidak selari dengan keputusan majlis Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia berkaitan dengan anak tak sah taraf dengan menyatakan fatwa tersebut adalah tidak mempunyai kuasa undang-undang. Keputusan ini telah menjadi polemik dalam kalangan masyarakat termasuklah golongan akademik dan pengamal undang-undang. Namun setakat status terkini, keputusan kes ini telah dirayu oleh kerajaan persekutuan melalui peguam negara ke Mahkamah Persekutuan dan masih dalam prosiding.

Polemik dalam isu anak tak sah taraf ini bukanlah satu isu baru dalam negara kita. Malah perkara ini juga telah wujud sejak zaman jahiliah yang mana berkaitan dengan anak-anak hasil zina. Islam telah mendepani isu ini secara duniawi dan ukhrawi melalui wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah S.A.W. Sebelum ini disebut sebagai ‘Anak Zina’, kemudian dilunakkan panggilan dengan ‘Anak Luar Nikah’ dan seterusnya dilunakkan sebagai ‘Anak Tak Sah Taraf’. Apa juga gelaran yang diberikan, ia adalah golongan yang sama namun dilihat dari perspektif atau persekitaran yang berbeza.

Tugasan ini adalah bertujuan bagi menganalisis polemik yang berlaku dalam masyarakat berkenaan dengan isu ini dari sudut undang-undang khususnya undang-undang Islam yang berkuatkuasa di Malaysia selain daripada turut mengenalpasti bidangkuasa mahkamah syariah dalam isu anak tak sah taraf.

Perbincangan ini dibahagikan kepada lima bahagian iaitu pengenalan yang menjelaskan secara ringkas namun padat berkenaan dengan anak tak sah rataf dan statistik kepada keberadaan anak tak sah taraf tersebut saban tahun selain daripada menyatakan objektif kepada tugasan ini. Bahagian kedua pula berkenaan dengan kedudukan anak tak sah taraf menurut hukum syara’ antaranya melalui pandangan mazhab dan fuqaha’ serta melalui pandangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Bahagian ketiga adalah berkaitan dengan peranan dan bidangkuasa mahkamah syariah bersangkutan dengan isu anak tak sah taraf antara lain dari sudut perwalian, pewarisan dan nasab keturunan. Bahagian keempat akan membincangkan berkenaan dengan cadangan dalam mengharmonikan isu anak tak sah taraf dengan masyarakat Malaysia yang terdiri dari pelbagai bidang dan disiplin ilmu malah sehingga ke masyarakat awam. Bahagian terakhir dalam perbincangan ini adalah rumusan dan kesimpulan secara keseluruhan berkenaan dengan anak tak sah taraf serta perkaitan menurut undang-undang Islam yang terpakai di Malaysia dan kesan kepada undang-undang tersebut.

  1. KONSEP ANAK TAK SAH TARAF

2.1       HUKUM SYARA’

Mengikut syariat Islam, konsep sah taraf merujuk kepada perakuan yang diperolehi oleh anak berkenaan sebagai anak yang sah kepada bapa berkenaan.  (Ismail, 2013) Anak tak sah taraf disebut sebagai walad al-zina yang bermaksud anak zina atau anak luar nikah. Zina dari sudut istilah ialah antaranya bererti seseorang lelaki menyetubuhi seorang perempuan pada qubul (qubul bukan dimaksudkan persetubuhan di dalam dubur pada lelaki atau perempuan. Perbuatan ini tidak dinamakan zina di sisi Imam Abu Hanifah tetapi zina di sisi Muhammad dan Abu Yusuf, ulama Syafi’i, Hanbali dan Maliki), bukan yang dimiliki dan syubhah. Seseorang anak dihukumkan sebagai anak zina jika kelahirannya melalui persetubuhan tanpa pernikahan yang sah dan dinasabkan kepada ibunya bukan kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya. (Ahmad & Md. Dahlan, 2016)

Para fuqaha bersepakat bahawa seseorang anak hanya boleh dinasabkan kepada lelaki dan perempuan yang melakukan persetubuhan, jika perkahwinan mereka sah di sisi hukum syarak, pemilikan atau syubhah. Sekiranya anak tersebut dilahirkan melalui perzinaan, maka anak itu tidak boleh dinasabkan kepada penzina lelaki dan tidak boleh mewarisi hartanya. Oleh itu, kesahtarafan seseorang anak merujuk perkahwinan yang sah antara kedua-dua ibu bapanya. Rasulullah S.A.W bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Muslim  di dalam Sahih Muslim bab al-Waladu lil firash kitab al-Radha’ yang bermaksud:

‘Anak adalah hak pemilik hamparan (al-firash) sedangkan orang orang yang berzina (al-‘ahir) haknya adalah batu’

Menurut al-Nawawi, lilwalid lilfirash bermaksud seseorang lelaki yang mempunyai isteri atau hamba perempuan yang dimilik akan menjadi firash  baginya jika lahir anak dalam jangka masa enam bulan dari waktu persetubuhan, maka lelaki tersebut akan menjadi bapa kepada anak tersebut dan kedua-duanya berhak mewarisi mengikut hukum perwarisan.

Imam Maliki dan Syafi’i serta ulama lain mensyaratkan bahawa anak akan dinasabkan kepada lelaki yang menyetubuhi seseorang isteri atau hamba perempuan yang dimiliki dan menjadi firash dari waktu persetubuhan.

Manakala Abu Hanifah pula tidak mensyaratkan dari waktu persetubuhan melainkan

memadai dengan adanya akad. Kalimah al-‘Aahir bermaksud “penzina”, manakala al-hijr bermaksud “menyekat seseorang anak daripada memanggilnya”. Menurut al-Qurtubi, kedua-dua perkataan tersebut bermaksud merejam dengan batu kepada penzina yang muhsan.

Menurut hukum syarak, kelahiran seseorang anak sama ada secara sah taraf atau tidak sah taraf dinasabkan kepada ibunya. Pensabitan nasab seseorang anak kepada bapanya hendaklah dilihat sama ada sesuatu perkahwinan itu sah, fasid atau syubhah. Oleh itu, seseorang anak boleh dinasabkan kepada bapanya berdasarkan tiga kaedah, iaitu:-

  1. firash (hamparan);
  2. bayyinah (keterangan); dan
  3. iqrar (pengakuan).

Kaedah Hamparan (firash)

Firash ialah perempuan yang dijadikan hamparan lelaki dan bersedap-sedapan dengannya. Firash juga merujuk seorang wanita yang ditentukan untuk melahirkan anak bagi individu tertentu. Firash terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu:-

  1. firash isteri;
  2. firash hamba perempuan; dan
  3. shibhu al-firash.

Firash Isteri

Menurut fuqaha, seseorang isteri yang melahirkan anak melalui perkahwinan yang sah atau fasid hendaklah dinasabkan kepada suaminya. Pandangan fuqaha adalah berdasarkan hadis yang bermaksud “Seorang anak adalah milik tuan firash”. Sekiranya berlaku perceraian bagi perkahwinan fasid sebelum tamat tempoh hamil maksimum dari tarikh perceraian dan genap enam bulan atau lebih dari waktu persetubuhan hendaklah dinasabkan kepada lelaki tersebut. Pensabitan nasab secara firash ini hendaklah memenuhi tiga syarat, iaitu:-

  1. Suami mampu menghamilkan isterinya setelah baligh menurut mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi’i atau hampir baligh (murahiq) menurut mazhab Hanbali. Suami juga mempunyai alat kelamin yang sempurna, tidak cacat dan berupaya menyetubuhi isterinya.
  2. Suami dan isteri mempunyai keadaan tertentu yang membolehkan mereka bersetubuh selepas diakadkan.
  3. Anak tersebut dilahirkan selepas enam bulan dari tarikh akad menurut mazhab Hanafi dan jumhur ulama mensyaratkan anak tersebut lahir setelah mencapai usia enam bulan dari waktu bersetubuh.

Firash Hamba Perempuan

Menurut mazhab Hanafi, firash hamba tidak boleh dinasabkan, kecuali ada pengakuan tuannya bahawa anak tersebut ialah anaknya. Jika tuannya menafikan, maka anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepadanya. Menurut jumhur ulama, selain Hanafi, seorang hamba perempuan akan menjadi firash kepada tuannya apabila tuannya mengaku telah menyetubuhi hambanya itu. Hadis Rasulullah SAW di dalam Fath al-Bari Syarah Sahih al-Bukhari kitab al-Buyu’ dalam bab Syira’ al-Mamluk min al-Harabiyy wa Hibatihi wa ‘Itaqihi yang bermaksud:

“Saad bin Abi Waqqas telah bertelingkah dengan Abd. bin Zamaah tentang seorang budak. Saad berkata, “Wahai Rasulullah, budak ini ialah anak kepada saudaraku, Utbah bin Abi Waqqas yang mengaku kepadaku bahawa budak itu ialah anaknya. Cuba kamu lihat persamaannya.” Kata Abd. bin Zamaah pula, “Budak ini ialah saudaraku wahai Rasulullah, dia dilahirkan oleh hamba perempuan bapaku.” Rasulullah melihat wajahnya dan mendapati sangat mirip dengan Utbah. Baginda bersabda, “Dia ialah hak kamu wahai Abd., seorang anak adalah bagi tuan firash. Wahai Sawdah binti Zamaah hendaklah kamu berhijab daripadanya.” Kata Aishah, “Dia (budak itu) tidak pernah melihat Sawdah langsung.”

Oleh itu, anak yang dilahirkan selepas enam bulan atau lebih, anak tersebut dinasabkan kepada tuannya walaupun dinafikannya. Sekiranya hamba perempuan telah suci rahimnya daripada benih tuannya, anak yang lahir selepas enam bulan atau lebih dari waktu istibra (pembersihan rahim) tidak boleh dinasabkan kepada tuannya.

 Shibhu al-Firash

 Shibhu al-firash ialah sabitan nasab melalui persetubuhan syubhah yang terbahagi kepada tiga jenis, iaitu:-

  1. Syubhah milik seperti bapa menyetubuhi hamba perempuan anaknya kerana beranggapan hamba itu halal baginya;
  2. Syubhah pada akad seperti suami telah menyetubuhi isterinya, namun mendapati isterinya ialah saudara perempuan sesusuannya yang haram dikahwini; dan
  3. Syubah dalam perbuatan seperti seorang lelaki telah menyetubuhi seorang perempuan yang disangka isterinya tetapi perempuan itu bukan isterinya. (Muhammad & Ibnu, 1386H)

Oleh itu, seseorang anak lahir setelah genap usia enam bulan atau lebih daripada persetubuhan syubhah, maka anak itu dinasabkan kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya. Sekiranya seseorang anak lahir sebelum genap usia enam bulan dari tarikh persetubuhan syubhah, maka anak itu tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya, kecuali lelaki tersebut mendakwa anak itu daripada benihnya.

Kaedah Keterangan (Bayyinah)

 Bayyinah ialah keterangan yang melibatkan orang yang didakwa bersama-sama pihak lain. Ulama berbeza pendapat tentang bilangan saksi untuk memberikan keterangan. Menurut Imam Maliki, hanya dua orang saksi lelaki sahaja. Menurut Abu Hanifah dan Muhammad, dua orang saksi lelaki atau seorang saksi lelaki bersama-sama dua orang saksi perempuan. Menurut Imam Shafi’i, Imam Hanbali dan Abu Yusuf, kesaksian semua ahli waris sama ada lelaki atau perempuan dibuat berdasarkan khabar yang didengar (tasamu’), iaitu berita yang tersebar luas dan masyhur dalam kalangan orang ramai. Para ulama empat mazhab sepakat mengatakan nasab boleh disabitkan dengan kesaksian berdasarkan berita yang didengar. Abu Hanifah berpendapat tasamu’ ialah berita yang didengar dengan bilangan mutawatir agar dapat diyakini. Menurut Abu Yusuf dan Muhammad, saksi hendaklah mendengar berita yang disaksikan oleh dua orang lelaki atau seorang lelaki bersama-sama dua orang perempuan yang adil. Menurut Maliki, berita itu hendaklah didengar daripada bilangan yang dapat ditentukan kadarnya dan tersebar luas dalam kalangan orang ramai yang adil atau tidak dengan disyaratkan supaya saksi berkata, “kami mendengar sedemikian”. Menurut Imam Shafi’i yang paling rajih, saksi tersebut hendaklah mendengar daripada bilangan yang ramai dan diyakini bahawa mereka tidak berpakat melakukan pendustaan. Pendengaran itu hendaklah memberikan keyakinan atau hampir yakin (al-Zann al-Qawiy) dan saksi berkata “Aku menyaksikan bahawa dia ialah kepunyaannya atau anaknya”.

Kesaksian juga boleh berdasarkan kesan persamaan atau perbezaan (qiyafah). Qiyafah ialah kemahiran suatu golongan bangsa Arab yang dikenali sebagai al-Qafah untuk mengecam keturunan seseorang berdasarkan ciri fizikal seperti kesan tapak kaki, wajah, perwatakan, dan sebagainya. Jumhur ulama (Imam Malik, Imam Shafi’i, Imam Ahmad, Abu Thawr dan Al-Auza’ie) berpendapat qiyafah boleh digunakan untuk menentukan nasab seseorang anak. Pandangan mereka bersandarkan hadis Rasulullah SAW di dalam Sahih Bukhari Bab al-Waladu lil Firash kitab al-Faraid bermaksud:

“Rasulullah SAW telah masuk menemuiku dalam keadaan gembira, wajahnya berseri-seri, baginda terus bersabda, “Tidakkah kamu ketahui bahawa sebentar tadi Mujazziz telah melihat Zaid bin Harithah dan Usamah bin Zaid lalu dia berkata, ‘Sesungguhnya sebahagian tapak kaki ini adalah kepunyaan orang yang sama (keturunan)’”.

Imam Shafi’i mensyaratkan qiyafah boleh diterima sekurang-kurangnya oleh dua orang qaif. Menurut Imam Malik pula, terdapat dua riwayat yang berkait dengan pandangannya, iaitu pertama, menyamai pendapat Imam Shafii dan kedua, memadai seorang qaif sahaja. Selaras dengan perkembangan sains dan teknologi, satu kaedah baru ditemui iaitu Asid Deoksiribonukleik (DNA) sebagai ujian klinikal yang digunakan untuk mengenal pasti keturunan. Tamadun Islam mengiktiraf penggunaan sains dan teknologi kerana mampu menyelesaikan masalah manusia. Pihak yang mempunyai kerjaya dalam bidang ini dianggap pakar kerana pandangan mereka diterima dan diiktiraf oleh mahkamah sebagai al-bayyinah.

Kaedah Pengakuan (Iqrar)

Jika pengakuan nasab dilakukan oleh pengaku sendiri seperti seseorang bapa mengaku bahawa seseorang anak itu ialah anaknya atau seseorang anak mengaku bahawa seseorang itu ialah bapanya. Seseorang bapa yang mengaku bahawa seseorang anak itu ialah anaknya hendaklah memenuhi syarat berikut:-

  1. Seseorang yang diakui sebagai anak itu tidak diketahui nasabnya. Hal ini bererti anak itu tidak mempunyai bapa selain orang yang membuat pengakuan.
  2. Pengakuan itu munasabah dari segi fakta. Misalnya, terdapat jurang perbezaan umur yang munasabah yang menunjukkan antara mereka ada pertalian keluarga.
  3. Pengakuan itu hendaklah diterima oleh orang yang diakui sebagai anak, jika dia telah baligh. Jika belum baligh atau gila, maka pengakuannya tidak diperlukan.
  4. Pengakuan itu tidak melibatkan orang lain. Misalnya pengakuan isteri atau bekas isteri (dalam iddah) bahawa seseorang itu sebagai anaknya, maka pengakuannya hendaklah ditolak kecuali diakui oleh suaminya atau disokong oleh keterangan lain. Keterangan seseorang wanita tidak cukup untuk menasabkan anak kepada suaminya.

Jika pengakuan nasab dibuat oleh orang lain seperti seseorang telah mengaku bahawa individu lain ialah saudara kandungnya yang membuktikan bahawa seorang itu ialah anak bapanya. Pengakuan seperti ini sah jika memenuhi tiga syarat, iaitu syarat (1), (2) dan (3), serta ditambah satu syarat lagi, iaitu pengakuan tersebut mestilah disokong oleh keterangan lain atau diperakukan oleh orang yang terlibat dengan pengakuan ini. Sekiranya tidak ada keterangan lain yang dapat dibuktikan atau orang yang terlibat tidak mengesahkannya, maka pengakuan tersebut akan hanya melibatkan diri pengaku sahaja. Imam Shafi’i, Imam Hanbali dan Abu Yusuf mensyaratkan pengakuan itu hendaklah diperakukan oleh ahli waris sama ada lelaki atau perempuan. (Al-Syarbini, 1371H)

2.2       PANDANGAN JAWATANKUASA FATWA KEBANGSAAN

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam berhubung dengan kedudukan anak tak sah taraf ini yang diadakan pada 1981 membuat keputusan seperti berikut:-

“ Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke 1 yang bersidang pada 28-29 Januari 1981 telah membincangkan penamaan Anak Tak Sah Taraf (Anak Luar Nikah). Muzakarah telah memutuskan bahawa anak zina atau anak luar nikah (anak tak sah taraf) samada diikuti dengan perkahwinan kedua pasangan ibu bapanya atau tidak hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah.”

Berdasarkan kepada muzakarah tersebut, 8 negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Melaka, Sarawak, Negeri Sembilan, Terengganu, Selangor dan Pulau Pinang telah mengadaptasikan dan telah memperjelaskan lagi intipati keputusan itu dalam fatwa di negeri masing-masing walaupun dengan menggunakan pelbagai perkataan (sighah) yang berbeza. Malah lima daripada negeri-negeri tersebut, iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu dan Selangor telah mewartakan fatwa berkenaan.

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bermuzakarah pada 10 Jun 2003 bersetuju mendefinisikan anak tak sah taraf seperti berikut:-

  1. Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah.
  2. Anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut taqwim qamariah daripada tarikh akad nikah.

Walau bagaimanapun, Jawatankuasa Fatwa berkenaan dalam mesyuaratnya pada 27 Julai 2004 telah mengubah ayat “daripada tarikh akad nikah” dihujung parenggan dua menjadi “daripada tarikh tamkin” (setubuh) dengan tujuan untuk memperjelaskan lagi bahawa tempoh 6 bulan 2 saat (lahzah) yang dimaksudkan dalam fatwa sebelumnya tidak bermula pada waktu akad nikah dilakukan tetapi sebaliknya bermula pada ketika terbuka kemungkinan berlaku persetubuhan antara suami isteri berkenaan. Sebagai contoh, perkahwinan berlaku antara wanita tempatan dan lelaki negara lain melalui wakil atau persidangan video, maka masa 6 bulan 2 lahzah itu tidak akan dikira bermula dari tarikh itu tetapi sebaliknya bermula dari tarikh mula-mula lelaki berkenaan sampai di Malaysia. Kerana pada waktu itu barulah persetubuhan mungkin berlaku. (Ismail, 2013)

Terdapat garis panduan penamaann dan kedudkan anak tak sah taraf dari segi hukum syara’ yang dikeluarkan oleh  Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali ke-44 pada 25 Jun 1998 yang dijadikan asas rujukan berkaitan dengan penamaan anak tak sah taraf. Antara lain pada para bahagian penamaan di dalam fatwa tersebut menyatakan bahawa jika seorang perempuan melayu Islam bersekedudukan tanpa nikah samada dengan lelaki Islam atau lelaki bukan Islam dan melahirkan anak, maka anak itu hendaklah dibin atau dibintikan Abdulah atau lain-lain nama ‘Asma al-Husna’ berpangkalkan Abdul.

Pandangan ini kemudiannya telah diterima oleh negeri untuk diwartakan dan seterusnya menjadi fatwa rasmi di negeri masing-masing walaupun terdapat beberapa perbezaan dari segi perkataan namun secara umum, tempoh tersebut adalah sama. Terkini pada 1 Ogos 2017 Mufti Wilayah Persekutuan telah menyatakan bahawa haram menasbakan dengan bin/ binti anak tak sah taraf kepada bapa biologinya.

  1. PERANAN DAN BIDANGKUASA MAHKAMAH SYARIAH BERKAITAN ANAK TAK SAH TARAF

Bagi melihat kedudukan anak tak sah taraf dalam kerangka peranan dan bidangkuasa di mahkamah syariah, undang-undang di peringkat negeri perlulah diteliti memandangkan bidangkuasa mahkamah syariah adalah tertakluk di bawah kerajaan negeri masing-masing. Model undang-undang peringkat Negeri Selangor digunakan dalam tugasan ini memandangkan Selangor adalah negeri yang dihadapan dalam pindaan dan pemerkasaan undang-undang syariah. Antara dua enakmen yang penting yang dirujuk ialah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 dan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor. Walaubagaimanpun penelitian dalam tugasan ini diberikan secara lebih terperinci di dalam enakmen undang-undang keluarga memandangkan peruntukan ini adalah antara lain menjelaskan berkenaan dengan penasaban anak tak sah taraf, nafkah anak tak sah taraf dan hak hadhanah bagi anak tak sah taraf. Manakala peruntukan di dalam enakmen jenayah adalah berkenaan dengan hukuman kepada ke arah kewujudan anak tak sah taraf antara lain melalui sumbang mahram, zina dan persetubuhan luar nikah. (Mat Rashid & Abdul Hamid, 2014)

Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003

Tafsiran Anak Tak Sah Taraf

Seksyen 2 memberikan tafsiran bahawa anak tak sah taraf merujuk kepada anak yang dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah. Peruntukan ini tidak mencakupi anak tak sahtaraf yang dilahirkan melalui teknologi yang tidak mematuhi syarak sepeti penghasilan bayi tabung uji yang tidak menggunakan benih yang sah.

Penasaban Anak Tak Sah Taraf

Seksyen 111 sehingga Seksyen 120 menerangkan berkenaan dengan kesahtarafan anak. Tugasan ini merujuk kepada peruntukan yang sering digunakan dalam mahkamah syariah bagi mengesahtarafkan anak tersebut.

Seksyen 111 memperuntukan bahawa jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh, dengan cara lia’n atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan mahkamah. Menurut peruntukan ini, seorang lelaki yang dikahwini seorang perempuan hendaklah disifatkan sebagai bapa sekiranya perempuan itu melahirkan seorang anak dalam tempoh yang telah dinyatakan.

Seksyen 115 memperuntukan bahawa jika seseorang lelaki mengaku seorang lain, sama ada dengan nyata atau dengan tersirat, sebagai anaknya yang sah, lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu jika, syarat-syarat yang berikut dipenuhi, iaitu:-

(a) tiada seseorang lain disifatkan sebagai bapa anak itu;

(b) perbezaan antara umur lelaki itu dengan umur anak itu memunasabahkan   pertalian antara mereka sebagai bapa dan anak;

(c) jika anak itu telah akil baligh, di mana dia boleh membuat keputusan, anak itu telah mempersetujui tentang dia diakui sebagai anak;

(d) lelaki dan ibu anak itu mungkin boleh disatukan dengan sah dalam perkahwinan pada masa pembenihan;

(e) pengakuan itu bukannya cuma mengakui anak itu sebagai anaknya, bahkan mengakui anak itu sebagai anak sahtarafnya;

(f) lelaki itu adalah berkeupayaan membuat kontrak;

(g) pengakuan itu dibuat dengan tujuan semata-mata untuk memberi taraf kesahtarafan; atau

(h) pengakuan itu adalah jelas maksudnya dan anak itu adalah diakui sebagai anak kandungnya.

Seksyen 116 adalah berkaitan anggapan yang berbangkit dari pengakuan yang dibuat oleh seseorang bahawa dia adalah bapa kepada seseorang yang diakuinya sebagai anak boleh dipatahkan hanya dengan –

(a) penolakan di pihak orang yang telah diakui sebagai anak itu;

(b) bukti bahawa perbezaan umur antara pihak yang mengaku dan pihak yang diakui adalah sebegitu kecil, atau bahawa umur pihak yang diakui adalah sebegitu tinggi, hingga menyebabkan pertalian yang dikatakan itu mustahil dari segi fizikal;

(c) bukti bahawa pihak yang diakui itu adalah sebenarnya anak seorang lain; atau

(d) bukti bahawa ibu anak itu tidak mungkin menjadi isteri yang sah kepada pihak yang mengaku pada masa percantuman benih anak itu.

Seksyen 120 berhubung pengakuan yang tidak boleh dibatalkan yang mana sesudah sahaja pengakuan atau pengesahan dibuat tentang pertalian sebagai bapa dan anak atau tentang perkeluargaan atau persaudaraan, maka pengakuan atau pengesahan tersebut tidak boleh dibatalkan.

 Nafkah Anak

Secara jelas nafkah anak tak sah taraf ialah oleh ibu yang melahirkan atau waris ibu. Seksyen 81 memperuntukkan bahawa kewajipan menanggung nafkah anak-anak tak sahtaraf adalah tertakluk sebagaimana berikut:-

(1) Jika seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah seseorang anaknya yang tak sahtaraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat rogol, Mahkamah boleh, apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya, memerintahkan perempuan itu memberi apa-apa elaun bulanan yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.

(2) Elaun bulanan di bawah seksyen ini hendaklah kena dibayar dari tarikh bermulanya kecuaian atau keengganan menanggung nafkah itu atau dari sesuatu tarikh yang kemudian mengikut sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu.

Hadhanah

Seksyen 86, Penjagaan kanak-kanak tak sah taraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu. Ini bermaksud pengjagaan anak tak sah taraf adalah bukan kepada bapa biologinya.

Selain daripada enakmen-enakmen negeri, fatwa negeri-negeri yang digazetkan juga adalah merupakan bentuk undang-undang yang digunakan dalam penentuan isu anak tak sah taraf. Fatwa negeri adalah berasaskan kepada hukum syara’ dan pandangan fuqaha’ yang mana hukum syara’ juga adalah merupakan rujukan yang perlu dibuat sekiranya terdapat lakuna dalam enakmen negeri-negeri. Ini jelas diperuntukan di dalam Seksyen 245 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2003 serta turut juga diperuntukan di dalam enakmen yang sama di negeri-negeri lain.

Berdasarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali Ke-44 juga menyatakan bahawa anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.  Fatwa ini juga menjelaskan berkenaan dengan anak tak sah taraf  antara lain ialah:-

  1. Pusaka

Anak tak sah taraf tidak terputus hubungan keturunan dengan ibunya. Oleh itu kedua-duanya boleh mewarisi pusaka antara satu sama lain.  Jika ibu meninggal dunia, maka dia berhak mewarisi pusaka ibunya bersama-sama ahli waris yang lain. Begitu juga sekiranya anak tak sah taraf itu meninggal dunia terlebih dahulu, ibunya berhak mewarisi pusakanya. Seseorang anak tak sah taraf adalah terputus hubungan daripada sei pusaka dengan bapanya tak sah taraf dan dia tidak menjadi ahli waris dan tidak berhak mewarisi pusaka bapanya dan sebaliknya.

  1. Perwalian

Hak perwalian diri anak tak sah taraf sebenarnya terletak kepada ibunya. Walaubagimanapun, perwalian perkahwinan seseorang anak tak sah taraf dipegang oleh wali hakim. Ini adalah kerana seseorang perempuan itu tidak sah menjadi wali di dalam apa juga perkahwinan. Lelaki yang menyetubuhi ibunya tanpa akan nikah sah, sama dia berkahwin atau tidak dengan ibunya selepas itu, tidak sah menjadi walinya. 

  1. CADANGAN BAGI PENGHARMONIAN ISU ANAK TAK SAH TARAF DALAM KONTEKS MASYARAKAT MALAYSIA

Dari sudut sosiologi dan kemasyarakatan, menurut kajian Abd. Ghani Ahmad dan Nuarrul Hilal Md. Dahlan dalam ‘Kewajipan Menanggung Nafkah Anak Tak Sah taraf: Satu Kajian Kes di Negeri Kedah’, gejala kelahiran anak luar nikah atau anak tak sah taraf kini sudah menjadi isu besar kepada negara dan sangat membimbangkan masyarakat pada hari ini. Kisah pembunuhan dan pembuangan bayi sentiasa didedahkan oleh media, manakala jumlah wanita hamil luar nikah yang ditempatkan di pusat pemulihan semakin meningkat dari semasa ke semasa. Kebanyakan mereka terdiri daripada orang Melayu yang beragama Islam. Pelbagai pendekatan dan kaedah pelaksanaan, serta penguatkuasaan telah diperkenalkan oleh pihak berkuasa untuk mengurangkan kelahiran anak tak sah taraf tetapi masih tidak membuahkan hasil yang memberangsangkan. Menurut YB Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Timbalan Menteri Dalam Negeri dalam Persidangan Parlimen Malaysia yang bertarikh 18 Mac 2014 dan 19 Mac 2014 tentang kelahiran anak luar nikah oleh gadis bawah umur (16 tahun ke bawah), perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada tahun 2012–2013 mendapati jumlah anak luar nikah bagi gadis bawah umur yang melibatkan bangsa Melayu ialah seramai 1490 orang, manakala gadis bukan Melayu adalah seramai 1836 orang. Kes rogol gadis bawah umur yang dilaporkan kepada polis yang melibatkan bangsa Melayu pula ialah seramai 2390 orang, manakala yang melibatkan gadis bukan Melayu ialah seramai 584 orang. Sementara itu, kes rogol gadis bawah umur yang melibatkan gadis bukan Melayu yang tidak dilaporkan kepada polis berjumlah 1252 orang. (Ahmad & Md. Dahlan, 2016)

Merujuk kepada kenyataan Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri pada 1 Ogos 2017 melalui slot Bayan Linnas Siri Ke-106 : Isu Penamaan “Bin/Binti Abdullah” Kepada Anak Tidak Sah Taraf Oleh Mahkamah Rayuan, anak yang tidak sah taraf bukanlah hina dan tiadalah ia berdosa kerana kesilapan yang dilakukan oleh kedua orang tuanya. Ini kerana prinsip Islam, seseorang tidak menanggung dosa orang lain. Justeru, hendaklah kita menghormati hak dan privasinya kerana dia tetap manusia yang kemuliaan di sisi Allah berasaskan siapa yang paling bertakwa antara kita.

Perhatikan bagaimana Allah SWT menyuruh kita berkelaku dengan orang yang tidak diketahui bapanya dalam Surah al-Ahzab aayat 5 yang bermaksud:

“Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seugama.”

Bagi mengharmonikan isu ini dalam kalangan masyarakat Malaysia selari dengan ayat al-Qur’an, hadis, pandangan jumhur, hukum syara’ dan peruntukan undang-undang dan menolak stigma negetif masyarakat berkenaan kedudukan anak tak sah taraf, adalah antaranya melalui beberapa cadangan berikut:-

  1. Menisbahkan anak tak dah taraf kepada Abdullah atau mana-mana nama yang dimulakan dengan Abdul seperti ‘bin Abdul Ghani’, ‘bin Abdul Rahman’, ‘bin Abdul Latif’ atau mana-mana Asma ul-Husna.
  2. Mensabitkan nasab anak kepada ibunya dalam semua kelahiran samada kelahiran syar’ie atau tidak seperti ‘Isa bin Maryam,
  3. Menisbahkan nasab anak tak sah taraf kepada ayahnya seperti ‘Ziyad bin Abihi’

Jadikanlah anak-anak tidak taraf ini sebagai warga istimewa dalam masyarakat dengan memberikan pendidikan yang cukup, nafkah dan memberdayakan mereka supaya mereka tidak terkesan dengan tragedi menimpa diri mereka kerana mereka dianggap sebagai keluarga oleh masyarakat Islam.

  1. KESIMPULAN

 Perlu ditegaskan bahawa kedudukan anak tak sah taraf sama sekali tidak menjejaskan hak-hak kemanusiaan seperti manusia yang lain dalam politik, sosial dan ekomoni seperti keagamaan, kewarganegaraan, pendidikan, perjawatan awam kerajaan, biasiswa dan lain-lain. Anak tak sah taraf tetap mulia dan disanjung jika berilmu, profesional dan bertaqwa.

Anak tak sah taraf diberikan kepercayaan dan kedudukan yang tinggi tanpa pilih kasih menurut kemampuannya. Mereka berhak diberikan peluang yang sama dan adil dengan anak sah taraf untuk memberi sumbangan dalam negara. Ini dapat dilihat tindakan Umar R.A yang memilih Ziyad sebagai pemimpin menenangkan kekacauan di Yaman dan sahabat-sahabat memberikan pengiktirafan kepada beliau tanpa mempersoalkan keturunannya.

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang bersidang pada 31 Julai 2017 telah memutuskan bahawa anak yang tidak sah taraf tidak boleh dibinkan atau dibintikan kepada ayah biologinya, seperti mana yang diputuskan oleh Jumhur ulama. Sehubungan dengan itu, hendaklah dinasabkan kepada Abdullah atau kepada nama-nama Allah yang mulia atau seperti cadangan yang dinyatakan di atas. Mesyuarat juga bersetuju bahawa asas yang digunapakai ialah maslahah umum (iaituß implikasi zina yang merosakkan masyarakat dan sistem keluarga secara keseluruhan) lebih utama dijaga berbanding maslahah khusus (yakni aib yang mungkin dialami oleh anak zina). Ini bertepatan dengan maqasid al-syariah yang meletakkan pemeliharaan nasab sebagai dharuriyyah (kepentingan yang sangat penting) di dalam Islam.

Pengecualian juga wajar diberikan kepada keluarga yang memeluk Islam dengan perkahwinan yang diiktiraf oleh undang-undang sivil atau undang-undang adat kerana dikiaskan dengan zaman jahiliyyah, maka anak yang dianggap sah taraf dalam perkahwinan sivil atau adat itu dianggap sah taraf juga di dalam Islam.

BIBLIOGRAFI

 Al-Quran al-Karim

Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003

Al-Syarbini, & Al-Khatib, S. A.-D. M. (1371M). Mughni Al-Muhtaj (3rd ed.). Kaherah: Sharikat Wa Katbat Wa Matba’at Mustafa Al-Babiyy Al-Halabiyy Wa Awladuh.

Ibnu, A., & Muhammad, A. (1386H). Mughni Al-Muhtaj (3rd ed.). Kaherah: Maktabah Al-Jumhuriyyah Al-Arabiyah.

Mat Rashid, A., & Abdul Hamid, N. ’Adha. (2014). Kajian Awal Kerangka Undang-Undang Sedia Ada Bagi Anak Tak Sah Taraf. E-Jurnal Penyelidikan Dan Inovasi, 1(2), 84–99.

Hj. Ismail, P. (2013). Anak Tak Sah Taraf Dari Perspektif Syariah Dan Perundangan Islam Di Malaysia. Jurnal Fiqh, 10, 77–90.

Ahmad, A. G., & Md. Dahlan, N. H. (2016). Kewajipan Menanggung Nafkah Anak Tak Sah Taraf: Satu Kajian Kes Di Negeri Kedah. Jurnal Kanun, 2(28), 214 –241.

Portal Rasmi Fatwa Malaysia. (1988). GARIS PANDUAN PENAMAAN DAN KEDUDUKAN ANAK TAK SAH TARAF DARI SEGI SYARAK. Retrieved November 1, 2017 from http://www.e-fatwa.gov.my/sites/default/files/garis_panduan_penamaan_dan_kedudukan_anak_tak_sah_taraf_dari_segi_syarak.pdf

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. (2017). BAYAN LINNAS SIRI KE-106: ISU PENAMAAN “BIN/BINTI ABDULLAH” KEPADA ANAK TIDAK SAH TARAF OLEH MAHKAMAH RAYUAN. Retrieved November 1, 2017, from http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/bayan-linnas/1714-bayan-linnas-siri-ke-106-isu-penamaan-bin-binti-abdullah-kepada-anak-tidak-sah-taraf-oleh-mahkamah-rayuan

Advertisements
Posted in master, OUM, pentadbiran undang-undang islam di malaysia, syariah, undang-undang

Sistem Pentadbiran Undang-Undang Islam di Malaysia : Sejarah dan ruang lingkup bidang kuasa yang ditetapkan mengikut Perlembagaan Malaysia

  1. PENGENALAN

Kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan telah diperuntukkan di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan bahawa Islam adalah agama rasmi persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan. Perkara 11 pula memperuntukkan bahawa tiap-tiap orang berhak menganut dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada syarat Perkara 11, untuk mengembangkan agamanya. Syaratnya ialah undang-undang boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganut agama Islam. (Joned, 2007). Bidangkuasa berkenaan undang-undang Islam dan pentadbirannya juga boleh dilihat melalui peruntukkan undang-undang di dalam bidangkuasa negeri, Senarai 2 (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan Perlembagan Persekutuan dan juga Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan. Secara keseluruhan peruntukan-peruntukan ini adalah berkenaan dengan agama Islam serta bidangkuasa yang diberikan untuk menggunapakai undang-undang Islam tersebut di Malaysia.

Pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia merupakan salah satu perkara asas yang perlu dititikberatkan dalam memahami sistem perundangan Islam di Malaysia secara kolektif. Pentadbiran kepada perundangan Islam di Malaysia telah melalui beberapa fasa modifikasi sehingga menjadikan undang-undang Islam pada hari ini telah digunapakai di Malaysia walaupun masih perlu kepada beberapa pindaan bagi mengukuhkan serta memantapkan pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia dan seterusnya meletakkan undang-undang Islam setanding atau lebih tinggi daripada undang-undang sivil. Objektif yang perlu diketengahkan dalam tugasan kali ini adalah bagi memberikan kefahaman berkenaan dengan sistem Pentadbiran Undang-Undang Islam di Malaysia sama ada sebelum penjajahan, semasa penjajahan dan selepas penjajahan barat ke atas sistem perundangan tersebut. Ia juga adalah bertujuan bagi mamahami berkenaan dengan bidangkuasa yang diberikan di dalam perkara berkaitan pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia serta fasa perubahan ke arah islamisasi dan modenisasi undang-undang tersebut.

Tugasan ini dibahagikan kepada empat bahagian iaitu bahagian pertama akan melihat kepada sejarah dan ruang lingkup pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia pra penjajahan, semasa penjajahan, pasca penjajahan dan terkini. Bahagian kedua pula akan menerangkan berkenaan dengan bidangkuasa dalam pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia yang mana akan diterangkan seccara terperinci melalui model salah satu undang-undang pentadbiran negeri-negeri yang akan diketengahkan. Bahagian ketiga pula akan melihat kepada analisis dan usaha-usaha yang telah dan sedang dilakukan oleh pihak kerajaan dalam memantapkan sistem pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia dan seterusnya meletakkan undang-undang Islam setanding atau lebih tinggi dari undang-undang sivil. Bahagian terakhir di dalam tugasan ini adalah cadangan atau penambahbaikkan yang diberikan bagi memastikan pentadbiran di dalam sistem undang-undang Malaysia lebih mantap dari yang sedia ada.

  1. SEJARAH PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM DI MALAYSIA

2.1       Pra Penjajahan

Walaupun mengikut penyelidikan ahi sejarah agama, Islam telah berkembang di Asia Tenggara sejak kurun ke-13 dan telah sampai ke Tanah Melayu kira-kira satu kurung selepas itu, Islam hanya bertapak kuat di Melaka dalam kurun ke-15. Sebelum kedatangan Islam, orang Melayu mengikut undang-undang adat yang dipengaruhi sedikit sebanyak unsur-unsur Hindu. Setelah raja-raja dan orang Melayu memeluk Islam, perubahan-perubahan telah dibuat untuk mengubahsuai adat Melayu supaya selaras dengan Islam dan seterusnya menggunakan undang-undang Islam. Proses ini boleh dilihat dalam pelbagai versi undang-undang Melaka – Risalat Hukum atau Undang-undang Melaka. Versi yang terawal mengandungi hanya undang-undang adat, tetapi versi-versi yang kemudian memperuntukkan kedua-duanya sekali iaitu undang-undang adat dan undang-undang Islam. Misalnya dalam peruntukan Fasal 12.2

Versi-versi kemudian Risalah Hukum Kanun mengandungi bahagian mengenai perkahwinan dan penceraian dan ini dikatakan diterjemahkan daripada al-Taqrib karya Abu Syuja’. Fasal 25 hingga 28 risalah ini menyebut hal-hal berhubung dengan wali, saksi-saksi perkahwinan, peraturan-peraturan mengenai khiyar dan talak. Ada juga fasal yang menyebut berkenaan dengan undang-undang dan acara mengenai urusniaga dalam Islam., timbangtara dan ukuran, larangan riba, kaedah menjual tanah dan sebagainya. Bahagian dikatakan diambil dari teks karangan Abu Syuja’ (al-taqrib), Ibn al-Qassim al-Ghazzi (Fath al-Qarib) dan Ibrahim al-Bajuri (Hashiya ‘ala Fath al-Qarib). Versi-versi yang kemudian ini juga mengandungi fasal-fasal mengenai keterangan, acara dan hukuman bagi membunuh, persetubuhan haram, sodomy dan bestiality, fitnah dan meminum minuman yang memabukkan.

Dalam undang-undang Pahang yang diusahakan semasa pemerintahan Sultan Abdul Ghaffar (1592-1614M) dan mengikut Risalah Hukum Kanun didapati pengaruh adat Melayu semakin berkurangan dan undang-undang Islam pada umumnya diikuti. Dengan itu terdapat peruntukan berkenaan dengan undang-undang Islam mengenai qisas (s.46-47), denda (s.48), persetubuhan haram (s.49), sodomy (s.50), fitnah (s.51), meminum minuman yang memabukkan (s.52), mencuri (s.53), merompak (s.55), murtad (s.54), tidak sembahyang (s.60), jihad (s.61), acara (s.62), saksi (s.63), dan sumpah (s.64). Terdapat juga peruntukan mengenai perdagangan, jual beli, jaminan, gerenti, pelaburan, amanah, pembayaran bagi buruh, tanah, pemberian dan wakaf.

Undang-undang Johor juga mengikut Risalah Hukum Kanun dan sebagai tambahan pada awal abad ke dua puluh, pengkanunan undang-undang Islam yang telah dibuat di Turki dan Mesir diterjemahkan kedalam bahasa melayu dan digunakan. Majallat al-Ahkam diterjemahkan sebagai Majalah Ahkam Johor dan Kanun Qadri Pasha (mazhab Hanafi) diambil dan diterjemahkan sebagai Ahkam Shariyyah Johor. (Joned, 2007). Majallat Al-Ahkam satu kumpulan undang-undang Mal Islam yang diperundangkan di Turki telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu dan diiktiraf sebagai undang-undang yang harus diikuti di mahkamah-mahkamah di Johor pada tahun 1914. (Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 1997).

Di Terengganu, perlembagaan tahun 1911 menunjukkan ada pengaruh undang-undang Islam. Sebagai tambahan terdapat undang-undang mengenai penubuhan mahkamah dikeluarkan pada tahun 1885 yang nampaknya membuat peruntukan bagi pentadbiran undang-undang Islam di negeri itu.

Contoh-contoh di atas menunjukkan bahawa terdapat percubaan pada zaman sebelum kedatangan British untuk mengubahsuai undang-undang Adat Melayu dan mengambil undang-undang Islam. Namun proses ini terhenti apabila British datang ke Tanah Melayu dan menggunakan pengaruhnya. R.J Wilkinson berkata ‘tidak boleh diragukan lagi bahawa undang-undang Islam akan menjadi undang-undang Tanah Melayu sekiranya undang-undang British tidak masuk dan menahannya’. (Joned, 2007)

Di negeri-negeri Melayu sebelum masuknya pengaruh kerajaan British undang-undang asas atau undang-undang negeri ialah undang-undang Islam dan Adat Melayu dan mazhab yang diikuti ialah mazhab Syafie. Di dalam kes Ramah lwn Laton (1927)6 F.M.S.L.R 128; 2 J.H. 213, Mahkamah Rayuan di Selangor telah memutuskan bahawa undang-undang Islam ialah undang-undang Negeri dan Mahkamah hendaklah mengiktiraf dan menggunakan undang-undang tersebut. (Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 1997). Mahkamah hendaklah mengambil perhatian dari segi kehakiman dan mesti mengisytiharkan undang-undang tersebut. (Joned, 2007). Pengiktirafan terhadap undang-undang Islam sebagai undang-undang negeri juga dapat dilihat di dalam kes Shaik Abdul Latif dll. Lwn. Shaik Elias Bux (1915) 1 F.M.S.L.R. 204, Edmons J.C di dalam penghakimannya berkata ‘Sebelum triti-triti pertama, penduduk negeri-negeri ini hampir semuanya terdiri daripada orang Melayu (Islam) bersama pelombong dan pengusaha Cina. Satu-satunya undang-undang yang terpakai kepada orang Melayu ialah undang-undang Islam yang diubahsuai oleh adat-adat tempatan’. Undang-undang Islam yang diikuti itu meliputi semua bidang termasuk Undang-Undang Keluarga, Undang-Undang Jenayah, Undang-undang Tanah, Undang-undang Mal, dan Undang-undang Acara dan Keterangan. Kumpulan undang-undang melayu lama seperti undang-undang Melaka atau undang-undang yang dikumpulkan untuk sultan Pahang mempunyai peruntukan bagi undang-undang Mal, Undang-undang Keterangan dan Undang-undang Acara. (Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 1997).

2.2       Semasa penjajahan

 Walaubagaimanapun, keadaan itu telah berubah selepas masuknya pengaruh British ke negeri-negeri Melayu. Raja-raja Melayu telah membuat triti dengan pihak berkuasa British dan bersetuju menerima nasihat British dalam semua bidang kecuali agama Islam dan adat Melayu. (Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 1997). Walaupun ada fasal sedemikian itu, bagaimanapun, di negeri-negeri Melayu, British sama ada secara langsung atau tidak langsung telah campur tangan dalam hal ehwal agama dan pentadbiran. Dengan secara tidak langsung perkembangan pengaruh British telah menyebabkan kemasukan undang-undang Inggeris. (Joned, 2007). Perkataan “Agama Islam” telah diberi tafsiran yang sempit dan “Agama” itu dianggapkan sama seperti di dalam agama Kristian. Dengan tafsiran ini pihak British telah dapat mempengaruhi undang-undang di Malaysia, yang dianggap olehnya tidak berkaitan dengan agama. (Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 1997). Dengan nasihat Residen, Sultan-sultan di Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah menggubal beberapa undang-undang yang diambil dari India yang telah mengambil prinsip undang-undang Inggeris. Dengan itu, dalam perkara-perkara seperti undang-undang jenayah, keterangan, acara jenayah, kontrak dan tanah, perundangan berdasarkan prinsip undang-undang Inggeris menggantikan undang-undang Islam dan adat Melayu. Akhirnya undang-undang Islam yang telah mengubahsuai adat-adat Melayu hanya terpakai dalam undang-undang keluarga, warisan dan beberapa aspek undang-undang jenayah. (Yaacob, 2009)(Joned, 2007). Beberapa undang-undang yang dipakai di India telah diterima pakai. Bahkan apabila Inggeris menduduki Pulau Pinang mereka telah memberi gambaran salah tentang fakta. Sir Benson Maxwell menjelaskan kedudukan Pulau Pinang sehingga pengistiharan Piagam Keadilan 1807 dalam kes Regina lwn Willans menyatakan :

“It is clear beyond all doubt not for the first twenty years and upwards of its history, no body of known law was in fact recognized as the law of the place”

Begitu juga dengan pentadbiran hukum syarak pada permulaannya jawatan naib kadi dan kadi telah diiktiraf dengan menubuhkan Mahkamah Kadi dan Mahkamah Naib Kadi di negeri- negeri Melayu dalam struktur Mahkamah Awam. Kedudukannya lebih rendah dari Mahkamah Majistret, walaupun berada dalam struktur mahkamah yang sama. Akhirnya apabila diadakan Ordinan Mahkamah 1948 bagi menubuhkan sistem kehakiman bagi Persekutuan, Mahkamah Naib Kadi dan Mahkamah Kadi telah diabaikan dengan mengeluarkannya daripada hierarki Mahkamah Persekutuan dan hari ini dikenali dengan Mahkamah Syariah dan mempunyai status mahkamah negeri dengan bidang kuasa amat rendah dan terbatas.

Beberapa tahun sebelum Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 ada dua peristiwa penting yang berlaku iaitu penubuhan Suruhanjaya Reid untuk menderaf Perlembagaan Persekutuan dan kedua pengkanunan Undang-undang Pentadbiran Hukum Syarak 1952 bagi negeri Selangor. Enakmen ini telah menjadi model bagi pentadbiran perundangan Islam di negara ini. Akhirnya setiap negeri telah mengadakan enakmen Pentadbiran Hukum Syarak masing- masing. Enakmen ini mempunyai 180 seksyen dan kandungannya menyentuh penubuhan Majlis Agama Islam, perlantikan Mufti dan Jawatankuasa Fatwa, undang-undang Islam berkaitan dengan perkahwinan dan perceraian, nafkah, penjagaan anak, keterangan, prosedur jenayah dan sivil, perwarisan, pembahagian harta sepencarian, wakaf dan nazar, zakat dan trah dan Baitulmal, pengurusan masjid, pemelukan agama Islam, wasiat dan beberapa kesalahan matrimoni dan kesalahan yang boleh dihukum ta’zir. Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1952 ini ada membuat peruntukan bagi penubuhan Mahkamah Kadi dan Kadi Besar dan bidang kuasanya. Rayuan dibuat ke Jawatankuasa Ulangbicara. Pelantikan Kadi dan Kadi Besar dan anggota panel Rayuan. Enakmen ini telah dipinda beberapa kali dan yang terakhir pada tahun 2003 dengan nama Enakmen Pentadbiran Agama Islam, negeri Selangor 2003. Beberapa pindaan penting telah dibuat kepada Undang-undang Pentadbiran Agama Islam seperti penyusunan semula Mahkamah Syariah dan pengwujudan jawatan- jawatan Hakim-hakim Mahkamah Syariah termasuk Ketua Hakim Syarie. Perubahan ini juga berlaku di negeri-negeri lain, termasuk Wilayah Persekutuan. Pada hari ini struktur Mahkamah Syariah di negara ini adalah seragam.

2.3       Pasca Penjajahan

Selepas kemerdekaan dan penjajahan Inggeris, adalah dapat diringkaskan bahawa terdapat tiga institusi yang terlibat dalam perlaksanaan perundangan Islam iaitu Majlis Agama Islam, Mufti, dan Mahkamah Kadi (Mahkamah Syariah). Bagaimanapun, dalam tugasan ini akan menyentuh aspek perundangan Islam yang ditadbir oleh Mahkamah Syariah dan yang telah dikanunkan oleh badan perundangan iaitu Parlimen dan Dewan Perundangan Negeri. Undang-undang pentadbiran perundangan Islam yang dipakai oleh negeri-negeri termasuk Wilayah-wilayah Persekutuan telah mengalami beberapa pindaan dan tujuannya adalah untuk menjadikannya lebih lengkap dan relevan. Perlembagaan Persekutuan dalam Jadual Kesembilan Senarai 2, Senarai Negeri menyatakan perkara-perkara berhubung dengan hukum syarak yang terletak pada Badan Perundangan Negeri untuk menggubalnya termasuk kuasa menubuhkan Mahkamah Syariah yang mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang Islam. Mahkamah tersebut tidak boleh mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang Persekutuan. Terdapat banyak undang-undang Persekutaun yang menghadkan bidang kuasa dan pemakaian undang-undang negeri, seperti Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 (Disemak) 1984. Pindaan 1984 memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah, selain denda tidak lebih lima ribu ringgit dan penjara tidak lebih tiga tahun, termasuk sebatan tidak lebih enam sebatan, begitu juga dalam pentadbiran pusaka dihalang oleh Akta Probet dan Pentadbiran 1959 (Disemak) (1972) dan Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Disemak) (1972).

Bidang kuasa Jenayah dan Mal yang diberikan kepada Mahkamah Syariah ada diperuntukan dalam Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam negeri-negeri. Ada perkara di mana Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa akan tetapi tidak semua negeri mempunyai undang-undang yang khusus dan terperinci seperti mengenai wakaf, wasiat dan zakat. Bahagian hukum syarak yang diperbuat peruntukan yang agak jelas dan menyeluruh adalah mengenai kekeluargaan, bagaimanapun masih belum lengkap. Bahkan ada pihak yang tidak berpuashati tentang beberapa peruntukan seperti seksyen 23 mengenai poligami dan seksyen 58 pembahagian harta sepencarian apabila berlaku poligami. Dengan perkembangan masa adalah difikirkan perlu untuk membuat kajian bagi mengemaskini undang-undang yang sedia ada dan untuk mewujudkan undang-undang yang relevan bagi seluruh negeri- negeri. Oleh kerana pegangan mazhab di kalangan penduduk Islam pada umumnya sama iaitu Mazhab Sunni yang lebih tertumpu kepada aliran Mazhab Syafie sudah sepastinya tidak ada masalah untuk mengadakan keseragaman tersebut.

Langkah pertama telah diambil oleh kerajaan Persekutuan untuk mengadakan satu model undang-undang bagi pentadbiran Undang-undang Keluarga Islam. Justeru sebuah jawatankuasa telah dibentuk bagi menggubal undang-undang tersebut. Apabila draf undang-undang itu siap ia telah dihantar kepada Majlis Raja-raja. Setelah dipersetujui draf ini dihantar kepada tiap-tiap negeri untuk diterima dan dilaksanakan. Pihak berkuasa negeri telah menubuhkan jawatankuasa bagi meneliti draf tersebut, seperti di negeri Kedah, Kelantan dan Wilayah Persekutuan. Sungguhpun niat dan tujuan asal adalah untuk menyelaraskan atau untuk mengadakan satu undang-undang Keluarga Islam yang seragam di antara negeri-negeri, akan tetapi hasrat ini akhirnya tidak tercapai dan perbezaan-perbezaan masih berlaku.

Dengan usaha tersebut akhirnya lahirlah Enakmen Undang- Undang Keluarga Islam 1983, Kelantan, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 1984, Kedah. Negeri- negeri lain telah mengadakan Enakmen Keluarga Islam yang serupa dengan mengambil contoh dari negeri-negeri tersebut.

Seperti yang telah dijelaskan, setiap negeri mempunyai Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam (dengan nama yang berbeza) dikanunkan pada tahun yang berbeza. Selangor 1952, Sarawak 1954, Pahang 1956, Melaka 1959, Pulau Pinang 1959, Negeri Sembilan 1960, Kedah 1962, Perlis, 1964, Perak 1965, Kelantan 1966, Wilayah Persekutuan1974, Sabah 1977 dan Johor 1978. Enakmen-enakmen tersebut bertujuan menyatukan dan meminda undang-undang pentadbiran agama Islam berkaitan dengan penubuhan, penyusunan, dan pentadbiran agama Islam dan Mahkamah Syariah di negeri-negeri. Walaupun tidak lengkap akan tetapi lebih jelas dan mudah untuk dibuat rujukan berbanding sebelumnya. Sebelum diadakan Enakmen pentadbiran tersebut, undang-undang mengenai agama Islam telah dibuat oleh “State Council” dalam bentuk “Order in Council” oleh negeri-negeri berkenaan. Sebagai contoh Enakmen Perkahwinan dan Perceraian Orang-orang Islam, Perak 1900 dan ia terpakai bagi orang-orang Islam sahaja. Enakmen ini telah mewujudkan jawatan Kadi Besar di Perak. Bagaimanapun Enakmen itu dipinda dari masa ke semasa. Pengalaman yang berlaku di negeri Perak, berlaku juga kepada negeri-negeri Melayu yang lain terutama bagi negeri- negeri Melayu Bersekutu (FMS).

Enakmen lain yang perlu disebut di sini iaitu Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Melayu. Setiap negeri terdapat enakmen seumpama ini seperti Council of Religion and Malay Custom Enactment 1949, Selangor, Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, 1951. Enakmen ini antara lain membuat peruntukan tentang penyusunan Majlis Agama Islam dan kuasa yang diberikan kepadanya. Enakmen tersebut kemudiannya telah dimansuhkan oleh Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri- negeri yang terbaharu.

Setelah negara mencapai kemerdekaan, usaha telah dibuat bagi meningkat dan mengemaskinikan lagi pentadbiran agama Islam. Ada negeri yang telah mengambil langkah dengan menubuhkan jawatankuasa bagi mencapai tujuan tersebut. Bahkan ada pihak yang menghantar rombongan keluar negara untuk mengambil pengalaman tentang pentadbiran undang-undang Islam di beberapa negara Islam. (Yaacob, 2009) No. 6 (2009) 1-20) 

  1. BIDANGKUASA DALAM PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM DI MALAYSIA

Bidang kuasa pentadbiran undang-undang Islam telah ditetapkan dalam Jadual Kesembilan, Senarai II, rujukan perlu dibuat kepada Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 74(2) dengan jelas memperuntukkan bahawa:

“Dengan tidak menyentuh apa-apa kuasa yang diberi kepada Badan Perundangan Negeri untuk membuat undang-undang oleh mana-mana Perkara lain, Badan Perundangan Negeri boleh membuat undang-undang mengenai mana-mana perkara yang disebutkan dalam Senarai Negeri (iaitu Senarai Kedua yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan) atau Senarai Bersama.”

Melalui peruntukan ini, setiap negeri diberi kuasa untuk membuat undang- undang bagi mengatur hal ehwal orang Islam termasuk undang-undang Islam atau hukum syarak. Perlembagaan Persekutuan memperuntukan bahawa, kerajaan-kerajaan negeri melalui badan perundangan masing-masing berkuasa menggubal undang-undang Islam dan menubuhkan organisasi pentadbiran dan pelaksanaan undang-undang berkenaan, seperti penubuhan Majlis-majlis Agama Islam dan Mahkamah-mahkamah Syariah. Perkara ini selaras dengan kes Mamat Bin Daud & 2 Lagi lawan Government of Malaysia [1998] 1 MLJ 119 Mahkamah Agung Malaysia telah memutuskan bahawa Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang berkait dengan agama Islam dan peraturan-peraturan di bawahnya melainkan bagi Wilayah Persekutuan.

Perlu ditegaskan, walaupun bidang kuasa diberikan kepada Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang yang berkaitan dengan pentadbiran undang-undang Islam, ianya masih lagi tertakluk kepada Perkara 4(1). Jelasnya, bahawa undang-undang yang digubal oleh Badan Perundangan Negeri mestilah tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan juga mana-mana undang-undang Persekutuan yang lain. Kebenaran menggubal undang-undang Islam ini bukanlah suatu yang mutlak. Kuasa yang diberikan ini juga tertakluk kepada Perkara 75 yang menjelaskan seandainya berlaku pertentangan antara undang-undang Negeri dan undang-undang Persekutuan, maka undang-undang Negeri itu adalah terbatal setakat yang bertentangan.

Namun begitu, bidang kuasa pentadbiran undang-undang kewangan Islam adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan. Ini berdasarkan kepada Perenggan 4, Senarai I, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, perkara yang berkaitan dengan undang-undang perdagangan adalah tertakluk kepada perkara Persekutuan. Oleh kerana perbankan Islam dan kewangan adalah dikategorikan sebagai undang-undang perdagangan, maka ia adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan. (Alias Azhar, 2012)

Justeru, secara ringkasnya, dapat disimpulkan bahawa skop pentadbiran undang-undang Islam yang berkuatkuasa di Malaysia terbahagi kepada dua bahagian:

(a)        Skop undang-undang Islam yang disenaraikan dalam Jadual Kesembilan, Senarai II adalah ditadbir oleh Badan Perundangan Negeri (Kerajaan- kerajaan Negeri); dan

(b)       Skop undang-undang kewangan Islam adalah ditadbir oleh Persekutuan.

Pindaan berkenaan dengan bidangkuasa Mahkamah Syariah juga telah dibuat di dalam Akta Perlembagaan Pindaan 1988 (Akta A 704) yang memperuntukkan berkenaan dengan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang merupakan bidangkuasa yang diberikan kepada Mahkamah Syariah dalam memutuskan kes-kes yang berkaitan dengan orang Islam tanpa campurtangan Mahkamah Sivil. Ia memperuntukkan bahawa Mahkamah Tinggi dan mahkamah bawahan di bawahnya tidak boleh mempunyai bidangkuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah. Percanggahan di antara Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Syariah tidak akan timbul lagi kerana perkara-perkara berkenaan hal ehwal berkaitan orang Islam hanya boleh dibawa ke Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi tidak lagi mempunyai bidangkuasa di dalam perkara-perkara itu. Akta Mahkamah Syariah (bidangkuasa Jenayah) 1965 telah dipinda pada tahun 1984 untuk membolehkan Mahkamah Syariah membicarakan kes-kes jenayah yang boleh dihukum dengan penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga RM 5,000.00 dan sebat enam kali rotan atau gabungan semua hukuman itu. (Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 1997)

Antara undang-undang Islam yang digunapakai sehingga ke hari ini yang mana ia adalah melalui bidangkuasa yang diberikan kepada kerajaan negeri dalam menggubal berkenaan dengan undang-undang Islam di bawah bidangkuasa negeri antaranya adalah sebagaimana berikut:-

  • Undang-Undang Keluarga Islam;
  • Undang-Undang Harta Pusaka;
  • Undang-Undang Jenayah Islam; dan
  • Undang-Undang Zakat

3.1       UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM

             Hampir kesemua model undang-undang keluarga Islam yang terdapat di dalam negara kita pada hari ini adalah secara ringkasnya berkaitan dengan perkahwinan, perhubungan suami isteri, pembubaran perkahwinan, kesan pembubaran itu dan kedudukan kanak-kanak. Pada masa kini, kesemua negeri-negeri di Malaysia mempunyai undang-undang keluarga Islam yang hampir sama. Undang-undang tersebut ialah:-

  • Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) 2008;
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002;
  • Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003;
  • Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984;
  • Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003;
  • Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004;
  • Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Pulau Pinang) 1985;
  • Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 1985;
  • Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003;
  • Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kelantan) 2002;
  • Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Pahang) 2005;
  • Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Perlis) 2006;
  • Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Sabah) 2004; dan
  • Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam (Sarawak) 2001

3.2       UNDANG-UNDANG HARTA PUSAKA

Pentadbiran pusaka dikendalikan pada peringkat Persekutuan dan di Mahkamah Tinggi Sivil, kerana urusan pembahagian pusaka atau pewarisan berwasiat dan tak berwasiat serta urusan mengeluarkan surat kuasa tadbir diletakkan di bawah Senarai 1 Jadual ke-9, Senarai Persekutuan. Pentadbiran pusaka orang-orang Islam dan bukan Islam dikendalikan sepenuhnya oleh Pegawai Penyelesai Pusaka, Perbadanan Amanah Raya Berhad (Pemegang Amanah Raya) atau Mahkamah Tinggi Awam. Walau bagaimanapun, kadar pembahagian pusaka orang-orang Islam dan penentuan waris-waris sama ada berhak atau tidak, akan diputuskan oleh Mahkamah Syariah menurut undang-undang pusaka Islam (faraid). Mahkamah Syariah mempunyai kuasa mengeluar atau mengesahkan waris-waris yang berhak dan kadar bahagian masing-masing dalam bentuk Sijil Faraid atau Perakuan Ahli Waris. Demikian juga perkara-perkara hukum syarak yang lain seperti menentukan kesahtarafan anak, sah atau tidak akad perkahwinan, harta sepencarian, mengesahkan wasiat, wakaf, hibah, dan sebagainya, adalah di bawah tanggungjawab dan kuasa Mahkamah Syariah. Antara undang-undang yang berkaitan dengan pusaka dan pentadbirannya adalah seperti berikut:-

  • Undang-undang Pusaka Islam (Faraid)

Setakat ini, di Malaysia tidak ada satu bentuk undang-undang faraid yang telah dikanunkan dalam bentuk undang-undang bertulis oleh negeri-negeri seperti yang terdapat di Mesir iaitu Qanun al-Mawarith 1943. Walaubagaimanapun, kaedah pembahagian pusaka secara Islam telah diikuti sepenuhnya oleh Mahkamah Syariah negeri-negeri.

  • Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta 98)

Akta ini diperkenalkan untuk menyelaras dan menyeragamkan cara-cara pembahagian dan pentadbiran pusaka si mati sama ada beragama Islam atau bukan beragama Islam. Akta ini diguna pakai kepada semua tuntutan harta pusaka seseorang si mati sama ada semuanya mengandungi tanah sahaja atau sebahagiannya mengandungi tanah bersama dengan harta-harta alih yang lain seperti wang tunai, saham, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Johor (ASJ), dan sebagainya, tetapi jumlah nilaian harta itu hendaklah tidak melebihi RM 2 juta pada tarikh permohonan dibuat.

(c) Akta Probet dan Pentadbiran 1959 (Akta 97)

Akta ini dilaksanakan terhadap harta pusaka besar (biasa) dan harta pusaka ringkas. Harta pusaka besar ialah harta pusaka yang jumlah nilaiannya lebih daripada RM 2 juta, sama ada terdiri daripada harta alih semuanya atau semuanya harta tak alih atau terdiri daripada campuran harta alih dengan harta tak alih atau harta pusaka yang jumlah nilaiannya kurang daripada RM 2 juta tetapi si mati ada meninggalkan wasiat. Harta pusaka ringkas pula ialah harta pusaka yang jumlah nilaiannya tidak melebihi RM 600,000.00 yang terdiri daripada harta alih sahaja, dan sebagainya. Permohonan pentadbiran harta pusaka besar hendaklah dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil, manakala tuntutan harta pusaka ringkas pula boleh dibuat melalui Pegawai Pentadbir Pusaka atau melalui Perbadanan Amanah Raya Berhad.

(d) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri

Enakmen ini mempunyai kuasa untuk memutuskan beberapa perkara yang berkaitan dengan harta seorang Islam terutamanya mengenai harta sepencarian, pusaka, hibah dan wakaf dan kadangkala dalam kes-kes tertentu fatwa Mufti diperlukan bagi menentukan harta pusaka dan orang yang berhak terhadap harta itu.

(e) Akta Tanah (Kawasan-kawasan Penempatan Berkelompok) 1960

(f) Enakmen Rizab Melayu Negeri-negeri

(g) Undang-undang Penama

(h) Customary Tenure Enactment

(i)Peraturan-peraturan Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dan Pekeliling-pekeliling Berkaitan

3.3       UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM

Peruntukan mengenai kesalahan jenayah syariah di Malaysia secara umumnya diletakkan di bawah satu enakmen khusus di setiap negeri iaitu enakmen kesalahan jenayah syariah. Sungguhpun demikian, terdapat juga beberapa enakmen lain yang memperuntukkan kesalahan yang boleh dihukum atau mengenakan penalti terhadap pelanggaran peraturan-peraturan yang diletakkan di bawah kuasa undang-undang negeri yang berkaitan dengan agama Islam.(Buang, 2007). Enakmen-enakmen tersebut adalah seperti berikut:-

  • Enakmen Jenayah Syariah;

Kesalahan berkaitan Akidah, kesalahan berhubung dengan kesucian agama dan institusinya, kesalahan berhubung tatasusila (moral /seksual)

  • Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam

Kesalahan matrimonial, kesalahan pelbagai

  • Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-agama Bukan Islam

Kesalahan bagi maksud menyebarkan dan mengembangkan agama bukan Islam kepada orang Islam.

3.4       UNDANG-UNDANG ZAKAT

Rang Undang-undang Zakat dan Fitrah Wilayah Persekutuan 1987 (Draf Akta Zakat Wilayah 1987) mengandungi 10 Bahagian dan 3 Jadual. Bahagian 2 Draf Akta menggariskan secara dasar rajah pentadbiran yang diwujudkan bagi tujuan meningkatkan pelaksanaan undang- undang zakat di Wilayah Persekutuan. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan boleh melantik satu Jawatankuasa Zakat dan Fitrah. Jawatankuasa diberi tugas penting untuk membuat garispanduan tentang dasar untuk menyelia dan mengawal segala urusan, pentadbiran zakat dalam Wilayah Persekutuan. Selain daripada itu, Jawatankuasa juga dikehendaki memberi arahan-arahan am kepada Pengarah Bahagian Zakat dan Fitrah. Tugas utama Bahagian Zakat dan Fitrah adalah untuk melaksanakan:-

  • Pungutan zakat dan fitrah;
  • Pengeluaran penyata zakat;

(c) Pengagihan pendapatan dari zakat dan fitrah mengikut kehendak hukum  syara’;

(d) Membuat cadangan kepada jawatankuasa mengenai pelantikan ‘amil dan perkhidmatan mereka;

(e)   Penyediaan kira-kira pungutan zakat dan belanjawan tahunan; dan

(f)   Bancian tahunan bagi menentukan jumlah umat Islam dalam wilayah.

Dalam menjalankan tugas di bawah akta ini, semua pegawai dikehendaki membawa bersama waran (kad kuasa atau pengenalan) yang dikeluarkan oleh Pengarah Bahagian Zakat dan Fitrah.

  1. USAHA YANG DILAKUKAN DALAM MEMANTAPKAN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM DI MALAYSIA

Terdapat pelbagai usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam meletakkan pentadbiran undang-undang Islam di tingkatan yang lebih tinggi berbanding undang-undang sivil. Namun usaha tersebut haruslah selari dengan perubahan masa dalam memahami serta menggunapakai undang-undang yang sedia ada. Dari segi fizikal, kebanyakkan Mahkamah Syariah pada peringkat awalnya tidak mempunyai bagunan yang sesuai dan tidak mempunyai pegawai yang mencukupi. Hakim-hakim di Mahkamah Syariah telah tidak diberi taraf sewajarnya sebagaimana yang diberikan kepada hakim-hakim di Mahkamah Sivil. Kedudukan pentadbiran Mahkamah Syariah yang daif ini telah disedari oleh kerajaan dan masyarakat Islam.

Oleh yang demikian, satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menimbang kedudukan kuasa dan status Mahkamah Syariah dan hakim-hakimnya. Beberapa cadangan telah dikemukakan bagi memperbaiki kedudukan tersebut. Akhirnya pentadbiran Mahkamah Syariah telah dipisahkan dari pentadbiran Majlis Agama Islam negeri-negeri dan telah disusun semula dengan mempunyai tiga peringkat iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah. Status hakim Mahkamah Syariah pula telah dinaikkan dan bidangkuasa Mahkamah Syariah diperjelaskan semula dalam enakmen yang baru.

Pada amnya kesemua negeri-negeri telahpun menerima cadangan memisahkan Mahkamah Syariah dari Majlis Agama Islam dan menjadikan Mahkamah Syariah di dalam tiga hireraki Mahkamah. Bagi mempertingkatkan pentadbiran Mahkamah Syariah undang-undang bertulis yang lebih lengkap telah meliputi Acara Mal, Acara Jenayah dan Undang-Undang Keterangan. Undang-undang tersebut walaupun berpandukan undang-undang yang digunapakai di Mahkamah Sivil, tetapi ia telah disesuaikan dengan Undang-Undang Islam. Untuk meyakinkan kebolehan Mahkamah Syariah, peranan yang penting dipikul oleh Mahkamah Rayuan Syariah.

Keputusan Mahkamah Rayuan Syariah perlu dilaporkan dalam Jurnal Hukum, Kanun, dan Malayan Law Journal dan ini bukan sahaja dapat memberi panduan dan teguran yang sihat kepada Mahkamah bawahan akan tetapi boleh menunjukkan bahawa keputusan-keputusan Mahkamah Rayuan Syariah boleh mencapai mutu yang tinggi seperti keputusan dan penghakiman Mahkamah Sivil.

Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1988 dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) 1988 (Akta A 704), juga telah dipinda dengan memperuntukkan bahawa Mahkamah Tinggi Sivil dan mahkamah dibawahnya tidak ada bidangkuasa di dalam mana-mana perkara yang termasuk di dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah. Pindaan tersebut adalah sebagai satu permulaan dan bukan sebagai kesudahan dalam usaha menaikkan taraf dan kedudukan Mahkamah Syariah. Jawatankuasa Penyelarasan Undang-Undang Syara’ dan Sivil telah ditubuhkan dengan mempunyai dua tugasan utama. Pertama, memperbaiki dan meninggikan pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia dan kedua, melihat mana-mana undang-undang bertulis diperingkat Persekutuan dan Negeri yang bertentangan dengan undang-undang Islam.

Usaha seterusnya yang telah kerajaan lihat dan sedari ialah kearah penyusunan semula Mahkamah-Mahkamah Syariah seluruh Malaysia. Sebuah Jawatankuasa Kerja bagi Meneliti Penyelarasan Perkhidmatan Kehakiman dan Mahkamah Syariah seluruh Malaysia serta menwujudan Mahkamah Rayuan Syariah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara telah membuat kajian dengan meneliti struktur organisasi Mahkamah Syariah yang sedia ada, kuasa-kuasa setiap mahkamah dan peraturan-peraturan yang terpakai, kuasa Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan berkaitan dengan hal ehwal kehakiman dan perundangan Islam. Meneliti kedudukan perjawatan Mahkamah Syariah yang sedia mengikut klasifikasijawatan serta tahap pencapaian semenjak beberapa tahun kebelakangan. Meneliti bidang tugas Pegawai-Pegawai Syariah, beban tugas, tanggungan Kerajaan Persekutuan dan Negeri dan kemudahan-kemudahan yang dinikmati oleh Pegawai Syariah pada masa ini. Merangka bentuk yang sesuai bagi menjalankan proses mempersekutukan Perkhidmatan Kehakiman di Mahkamah Syariah seluruh negara. Usaha-usaha dan langkah untuk memperbaiki dan mempertingkatkan kedudukan Mahkamah Syariah telah dibuat. Satu skim Perkhidmatan Pegawai Syariah telah diwujudkan pada Februari 1985. Skim ini tela diubah dengan Perlaksanaan Sistem Saraan baru (SSB) berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 1991. Menurut pekeliling ini, Pegawai Syariah diletakkan di bawah klasifikasi Perkhidmatan Perundangan/ Kehakiman, Kumpulan perkhidmatan, Pengurusan dan Profesional. Pegawai Syariah Gred L1 yang menunjukkan kebolehan yang terkemuka mutunya adalah layak dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat ke Gred yang lebih tinggi yang kosong. (Insitut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 2001)

Perlembagaan Persekutuan telah memberikan kuasa kepada Parlimen untuk mennetukan had hukuman yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah. Undang-undang ini tidak digubal hingga pada tahun 1965 yang memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau denda tidak melebihi RM 1,000.00 atau kedua-duanya adalah melalui Akta Mahkamah Orang Islam (Bidangkuasa Kenayah) 1965. Sembilan belas tahun kemudian, undang-undang tersebut dipinda pada tahun 1984, pindaan telah dibuat terhadap akta ini dan kuasa baru yang diperuntukkan kepada Mahkamah Syariah ialah penjara dua tahun, sebatan enam kali dan denda RM 5,000.00 yang diperuntukkan melalui Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) (Pindaan) 1984 (Akta A 612). (Arifin, 2007). Rang Undang-Undang Persendirian berkenaan dengan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) (Pindaan) 1984 yang dibentang oleh Ahli Parlimen Marang pada 2016 juga merupakan satu titik tolak kearah memartabatkan pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia. 

  1. CADANGAN

 Masih terdapat banyak lacuna dan perlu dipinda berkenaan dengan petadbiran undang-undang Islam di Malaysia sekiranya kita mahu meletakkan undang-undang Islam setaraf dengan undang-undang dan secara tidak langsung mampu untuk menjadikan undang-undang Islam adalah undang-undang utama di Malaysia sebagaimana yang telah berlaku pada zaman sebelum Tanah Melayu dijajah. Oleh yang demikian cadangan kepada penambahbaikkan adalah perlu dalam setiap lacuna yang terdapat di dalam mana-mana undang-undang.

Antara cadangan adalah berkenaan dengan untuk meningkatkan bidangkuasa Mahkamah Syariah umpanya di dalam perkara probet dan pentadbiran harta pusaka orang-orang Islam yang mana pada ketika ini Mahkamah Syariah hanya berbidangkuasa dalam menentukan pembahagian di dalam faraid sahaja dan bukan berbidangkuasa sepenuhnya dalam memutuskan kes berkaitan probet dan harta pusaka orang Islam. Ini adalah memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan akan tetapi langkah telah pun diambil untuk mengadakan draf undang-undang wasiat, dan pentadbiran harta pusaka orang Islam. Ia perlu diadakan secara bersama peruntukan atau undang-undang berkenaan dengan zakat dan fitrah, baitulmal dan wakaf.

Di dalam bidangkuasa jenayah syariah pula, adalah perlu bidangkuasa jenayah Mahkamah Syariah ditambah berkenaan dengan hukuman yang dikenakan kepada pesalah jenayah syariah. Setakat hari ini bidangkuasa jenayah syariah yang diberikan melalui Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) (Pindaan) 1984 hanya memperuntukkan bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut. Secara logiknya hukuman yang dikenakan ke atas pesalah jenayah syariah amat rendah berbanding Mahkamah Majisteret di peringkat Mahkamah Sivil.

Adalah diharapkan supaya bidangkuasa itu diperluaskan supaya Mahkamah Syariah dibolehkan membicarakan dan menghukum bukan sahaja kes-kes takzir akan tetapi juga kes-kes qisas, diyat dan hudud dan seterusnya mempertingkatkan lagi hukuman tersebut agar setimpal dengan kesalahan-kesalahan yang dilakukan. Jika mahkamah Syariah diberi kuasa menjatuhkan hukuman atau perintah hudud, qisas, dan diyat, pindaan perlu dibuat kepada Kanun Keseksaan, Kanun Acara Jenayah dan juga Akta Undang-undang Sivil mengenai undang-undang tort berhubung dengan pembayaran ganti rugi.

Pindaan juga perlu dibuat kepada undang-undang bertulis yang lain yang digunapakai oleh orang Islam kerana kebanyakkan daripada peruntukkan tersebut adalah bertentangan dengan hukum syara’ seperti Seksyen 112 Akta Keterangan 1950 yang memperuntukkan berkenaan dengan kesahtarafan anak yang mana ialah jelas bertentangan dengan hukum syara’ yang memperuntukkan bahawa jika seorang anak dilahirkan pada masa ibunya berkahwin dengan seorang lelaki, ia hendaklah dianggap anak sah kepada lelaki itu. Pindaan perlu dibuat supaya Seksyen 112 Akta itu tidak dipakai bagi orang-orang Islam. (Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 1997)

Selain dari isu undang-undang, masalah yang berat juga timbul dalam pentadbiran Mahkamah Syariah. Pada masa kini, mahkamah-mahkamah sivil telah diberi perhatian yang sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan oleh kerana mahkamah-mahkamah itu adalah Mahkamah Persekutuan. Jika mahkamah-mahkamah syariah juga dijadikan Mahkamah Persekutuan, mahkamah-mahkamah itu juga dapat diberikan perhatian yang sepenuhnya. Sungguhpun perkara Mahkamah Syariah dan pegawai-pegawainya ada terlibat dengan undang-undang Islam, akan tetapi perkana ini lebih melibatkan pentadbiran dan penguruusan, yang akan dapat diuruskan dengan lebih baik di peringkat Persekutuan. Adalah dicadangkan langkah pertama diambil untuk menubuhkan Mahkamah Syariah Persekutuan dan Pekhidmatan Kehakiman dan Perundangan Syariah di Wilayah-wilayah dan negeri-negeri di mana Yang di-Pertuan Agong menjadi Ketua Agama Islam.

Pada masa kini, rayuan dari Mahkamah Syariah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Syariah di tiap-tiap negeri. Ada baiknya jika diadakan Mahkamah Rayuan Persekutuan atau Mahkamah Syariah Persekutuan yang boleh mendengar rayuan dari tiap-tiap negeri. Supaya tidak menyentuh kedudukan Yang di-Pertuan Agong atau Raja sebagai Ketua Agama Islam, peruntukan boleh diadakan supaya rayuan itu dibuat kepada Yang di-Pertuan Aging atau Raja dan kemudiannya rayuan itu dirujukkan kepada Mahkamah Syariah Persekutuan untuk memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong atau Raja yang berkenaan. Mungkin juga anggota Mahkamah Syariah itu boleh dilantik dari tiap-tiap negeri dan diperuntukkan rayuan dari satu negeri hendaklah didengar oleh panel termasuk wakil negeri itu. Dengan cara ini bolehlah diadakan persamaan keputusan diseluruh Malaysia dan mewujudkan duluan kes yang sama. (Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 1997) 

KESIMPULAN

Usaha telah dilakukan pada peringkat persekutuan untuk menyelaras dan menyeragamkan Undang-Undang Islam yang diamalkan di negeri-negeri di Malaysia. Beberapa negeri telah bersetuju pada dasarnya untuk menggubal undang-undang yang seragam. Bagaimanapun masih ada negeri-negeri yang mempunyai sebab-sebab tersendiri untuk menunggu dan melihat sebelum membuat keputusan untuk bersetuju dengan cadangan tersebut. Walau apapun, mewujudkan Undang-Undang Islam yang seragam adalah amat perlu supaya masyarakat Islam di negara ini tidak lagi merasa tidak selesa apabila berhadapan dengan kes-kes yang terpaksa dikemukakan kepada pengadilan di Mahkamah Syariah. Apa yang ingin dilihat ialah penguatkuasaan keputusan oleh Mahkamah Syariah boleh dilakukan bukan sahaja di negeri di mana keputusan itu dibuat tetapi juga di negeri-negeri lain, yang menjadi tempat tinggal pihak-pihak yang terlibat. (Arifin, 2007)

Beban yang dipikul oleh Mahkamah Syariah, hakim dan pegawainya adalah sangat berat. Merekalah yang akan menunjukkan bahawa hukum syara’ bukan sahaja undang-undang yang terbaik dari segi teorinya akan tetapi ia adalah terbaik dari segi perlaksanaan praktiknya. Jika hakim-hakim dan pegawai-pegawai Mahkamah Syariah gagal dalam tugas beliau, bukan sahaja mereka dikecam akan tetapi hukum syara’ itu akan dikatakan tidak baik dan tidak adil. Perhatian perlu diberikan kepada pendidikan dan latihan pegawai kehakiman dan perundangan yang akan terlibat dengan pentadbiran hukum syara’ di Mahkamah Syariah. Mereka perlu diberi latihan dan pengawala ikhtisas sekurang-kurangnya seperti hakim dan pegawai di mahkamah sivil atau lebih baik. Segala usaha hendaklah dibuat untuk meningkatkan pentadbiran hukum syara’ di Mahkamah Syariah supaya hukum syara’ dapat diterima sebagai undang-undang yang adil dan saksama oleh bukan sahaja orang Islam akan tetapi oleh semua orang di Malaysia. (Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 1997)

BIBLIOGRAFI

Monir Yaacob,. (2001). Sistem kehakiman Islam(pp. 51-67). Kuala Lumpur, Malaysia: Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Ahmad Hidayat Buang.,. (2007). Undang-undang Islam di Malaysia (p. 202). Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Ahmad Ibrahim,. (1997). Pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia (pp. 3-317). Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Ahmad Ibrahim, & Ahilemah Joned.,. (2007). Sistem undang-undang di Malaysia (pp. 48-67). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohamed Suffian,. (1990). Pengenalan sistem undang-undang Malaysia (p. 104). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Noor Aziah Mohd Awal.,. (2007). Pengenalan kepada sistem perundangan di Malaysia (pp. 75-81). Kuala Lumpur: International Law Book Services.

Mahamad Arifin.,. (2007). Pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia (pp. 1-75). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Perlaksanaan Perundangan Islam di Malaysia: Satu Penilaian. (2009). Jurnal Fiqh, (6), 1-20.

Perluasan Skop Undang-Undang Islam di Malaysia: Aplikasi dan Implikasinya. (2012). Jurnal Syariah20(2), 163-184.

Posted in peguamsyarie, syariah

KAWAN LAMA – OFIS LAMA

HAHA.

Hantar kawan ke ofis di kawasan Bandar Sri Permaisuri, Cheras.
Tiba- tiba teringat ofis lama – ofismate lama di ndnco . Singgah Sebentar. Call.

Jom minum?

Ambil masa satu jam, Borak- borak cerita ofis lama. Orang ofis lama juga cari ofis baru. HAHA.

=============================================================

Di usia 26 tahun, aku sendiri masih belum tahu apa aku mahu, sehinggalah aku rasa, saat ini baru aku jumpa, aku sebetulnya menjadi seorang peguam syarie yang betul-betul peguam dan betul-betul syarie.

Aku minat menulis dan kadang-kadang minat membaca. Dan aku juga suka tolong orang. Kalau mampu, aku nak tolong semua orang dalam kesusahan tanpa aku minta diberi ganjaran / penghargaan / bayaran semula pun. Bukan mahu mengangkat bakul sendiri, tapi itulah aku.

Mari sini aku share satu cerita. Aku copy dari status fb aku jelah, sebab kalau taip pun benda yang sama.

————————————————————————————————————–

Tadi, ada client di court. Client baru minta untuk diconsult. Saya cerita lah sikit sikit tuntutan selepas pemceraian satu persatu. Usai senaraikan dan cerita. Dia tidak faham pada apa yang saya senaraikan. Apa itu harta sepencarian. Nafkah. Mutaah.

Terlintas dalam hati. Ramai lagi ummat tidak tahu. Kalau tengok pada pembetangan bajet 2015 ke arah mensejahterakan rakyat hak wanita dijaga, tapi masih ramai yang tak tahu hak wanita selepas penceraian (ok ini bukan isu saya).

Saya sambung bercerita tentang nafkah eddah. Saya kata dalam tempoh eddah . client kata saya tak dapat apa2 nafkah kecuali duit sewa rumah yang dibayar kepada saya. Bekas suami bagi saya untuk belanja saya dan anak2. Saya tanya berapa ringgit. Client jawab MYR1200 sebulan. Tapi itu tidak cukup. Anak saya minum susu Friso.

Saya fahamkan padanya yang dia dapat nafkah eddah tersebut dalam keadaan dia katakan dia tidak mendapatkannya. Akhir dia akur. Dia dapat nafkah eddah tersebut Dan sehingga kini duit tersebut didepositkan ke dalam akaunnya dalam keadaan bekas suami membayar ansuran bulanan rumah yang disewakan itu. (Rumah di Bandar Putra tu besar tahu tak?)

Saya sentuh pula isu harta sepencarian. Katanya kereta yang saya pakai Sekarang suami saya bayar ansuran bulanan. Kereta nama saya. Saya tanya jadi apa isu puan untuk menuntut? Dia diam. Saya geram dengan suami saya. Dia ada perempuan lain.

Saya. Krik krik.

Puan saya tanya apa kepentingan puan untuk menuntut mutaah harta sepencarian dan eddah? Suami puan walaupun sudah bercerai masih membayar kereta dan rumah puan malah duit sewa rumah puan dapat sepenuhnya.

Kalau saya suami puan saya dah tarik semua kemudahan yang saya berikan usai saya lafaz cerai.

Dia diam. Saya sambung.

Saya nampak hadhanah dan nafkah anak sahaja kepentingan pada puan.

Mahu open file?

Dia tunduk. Dan bersalam dengan saya dan kata. Awak belum berkahwin dan masih muda, tapi pandangan awak lebih kehadapan dari saya. Berapa perlu saya bayar untuk consultation INI?

Saya diam.

Seraya berkata. Tidak perlu.

Kan saya sudah bilang. Saya tidak dilahirkan untuk menjadi lawyer. Tidak gemar mencadangkan tuntutan berangkai Dan berantai pada client. Cukup sekadar APA yang perlu.

Nota : Eh kawan ofis lama itu, cepat cepat cari ofis baru! Terima Kasih belanja breakfast!!!

Nota Lagi : Fast and Furious 7 boleh lah dikatakan best. Aku layan sejak Tokyo Drift. Lagu tak kena dengan entry? Dah suka hati lah kan. Ke?