Posted in master, OUM, peguam, peguamsyarie, undang-undang

Kedudukan Ijab dan Qabul di dalam Aqad Jual Beli Secara Atas Talian.

  1. PENGENALAN

Perniagaan adalah keperluan hidup masyarakat sejak dahulu. Walaupun sejarah kehidupan manusia telah berubah, namun kehendak dan keperluan kepada perniagaan adalah masih kekal sehingga hari ini. Perubahan yang berlaku hanyalah pada barangan serta metod transaksi yang dilaksanakan. Jika dahulu, tidak tergambar bahawa sesuatu urus niaga boleh dilakukan dari jarak jauh. Kini ianya bukanlah suatu persoalan yang mustahil lagi. Malah, urus niaga ini mula mendominasi bentuk-bentuk urusan muamalat seharian dalam kepesatan hidup manusia pada hari ini. (Fakhruddin & Ishak, 2010).

Salah satu fenomena muamalah dalam bidang ekonomi saat ini adalah transaksi jual beli yang menggunakan media elektronik. Aktiviti perdagangan melalui media internet ini popular disebut dengan electronic commerce (e-commerce). E-commerce tersebut terbahagi kepada dua bahagian iaitu ‘business to business e-commerce’ (perniagaan antara pelaku usaha) dan ‘business to consumer e-commerce’ (perniagaan antara pelaku usaha dengan pengguna). (Muttaqin, 2010)Terdapat pelbagai faktor yang menjadikan urusan muamalat seharian lebih menjurus kepada belian secara atas talian atau ‘e-commerce’ atau juga disebut sebagai ‘e-dagang’. Walau apapun terma, ia adalah bertitik tolak daripada kepesatan teknologi pada hari ini.

Jual beli merupakan salah satu bentuk urusniaga yang paling utama dalam e-dagang. E-dagang ialah sebagai suatu proses pembelian, penjualan, pertukaran atau pemindahan produk, perkhidmatan atau maklumat melalui jaringan kumpulan termasuklah internet. Pembentukan dan pelaksanaan jual beli sebegini adalah baru dan tidak dapat dibahaskan secara khusus dalam kitab klasik. Tambahan pula konsep dan kerangka e-dagang bukanlah lahir dari acuan muamalat Islam. Namun mengenai urusan jual beli, fuqaha telah meletakkan asas dan teori yang jelas sebagai panduan. Oleh itu sejauhmana konsep dan amalan jual beli dalam e-dagang selaras dengan muamalat Islam akan dikupas dan ditinjau. (Adila et al., 2008)

Tugasan ini adalah bertujuan bagi menilai kedudukan ijab dan qabul di dalam aqad jual beli secara atas talian. Kepesatan dan perkembangan teknologi pada hari ini telah mengubah corak kehidupan manusia ke arah yang lebih memudahkan. Perubahan ini juga berlaku dalam transaksi muamalat seharian. Perbincangan ini dibahagikan kepada lima bahagian iaitu pengenalan yang menjelaskan secara ringkas berkenaan dengan keperluan perniagaan dan pengenalan istilah jual beli atas talian. Bahagian kedua pula berkenaan dengan syarat-syarat bagi ijab dan qabul di dalam aqad jual beli menurut pandangan ulama’ silam dan kontemporari. Bahagian ketiga adalah berkaitan dengan pandangan dan justifikasi ulama’ berkenaan dengan aqad yang tidak memenuhi syarat-syarat yang sah di dalam isu jual beli secara atas talian. Bahagian seterusnya pula akan mengetengahkan contoh aktiviti jual beli atas talian yang pernah dilakukan.  Bahagian terakhir dalam perbincangan ini adalah rumusan dan kesimpulan secara keseluruhan berkenaan isu aqad jual beli secara atas talian pada masa kini.

  1. SYARAT IJAB DAN QABUL DALAM AQAD JUAL BELI

Aqad dalam bahasa Arab disebut al-aqdu, pada bahasa bermaksud sesuatu yang mengikat. Mengikut syara’ ia adalah suatu kesimpulan daripada proses tawar menawar di antara dua pihak yang bersetuju untuk melakukan sesuatu dan melibatkan cadangan (ijab) dan penerimaan (qabul). Ia adalah suatu ikatan tawaran dengan penerimaan yang melahirkan kesan pada perkara yang di aqadkan. Dengan persetujuan itu, maka lahirlah kuatkuasa undang-undang di mana setiap yang terlibat mendapat hak dan sebaliknya berkewajipan menyempurnakan tanggungjawab yang tertentu. Ini bermakna dalam aqad mesti ada ijab dan qabul iaitu tawaran dari pihak yang pertama dan penerimaan dari pihak yang kedua yang boleh menimbulkan kesan hukum syarak terhadap pihak yang terlibat.

Menurut Mustofa Al-Khin, et. al. (2004), fuqaha’ mengistilahkan jual beli ialah aqad yang merujuk kepada pertukaran sesuatu harta dengan harta yang lain bagi tujuan pemilikan kekal. Maksudnya, dalam aqad tersebut mestilah wujud pertukaran harta untuk tujuan pemilikan. Jual beli juga mesti membabitkan sesuatu yang syarak menilainya sebagai harta. Jual beli ini juga perlu membabitkan pemilikan dan penyerahan hak milik dan tidak boleh ditetapkan untuk tempoh tertentu sahaja.

Fuqaha mazhab Maliki pula, mendefinisikan jual beli dari sudut syarak dengan suatu aqad yang mengandungi pertukaran barangan antara kedua-dua pihak yang melakukan aqad. Fuqaha mazhab Hambali pula mentakrifkan jual beli sebagai pertukaran barangan dengan barangan lain secara pertukaran hak milik. Fuqaha Mazhab Syafie pula berpendapat bahawa jual beli menurut istilah syarak adalah pertukaran barangan dengan barangan lain melalui cara-cara yang tertentu.

Wahbah al-Zuhaily (1973) dalam bukunya telah membahagikan definisi aqad kepada dua kategori, umum dan khusus. Secara umumnya, aqad ialah setiap perkara yang diniatkan oleh individu untuk dilakukannya sama ada ia hasil dari satu kehendak (sebelah pihak) seperti wakaf, pelupusan hutang, talak dan sumpah atau ia memerlukan dua kehendak (dua pihak) untuk dilaksanakan seperti jual beli, sewaan, perwakilan dan gadaian.

Secara khususnya pula ia adalah ikatan antara ijab dan qabul yang mengikut syarak dan menghasilkan kesannya pada tempatnya. Ia adalah takrif yang biasa diguna pakai oleh ulama’ Islam dalam mendefinisikan aqad.

Walaupun definisi-definisi jual beli yang dikemukakan oleh ahli-ahli fiqh agak berbeza antara satu sama lain namun kesemua definisi tersebut sependapat dalam mengaitkan jual beli sebagai penukaran sesuatu dengan sesuatu. Kesimpulannya tidak berlaku pertentangan definisi jual beli dari segi istilah dan juga bahasa. (Mat Jusoh, Borhan, Ismail, & S.Ali, 2014)

Para ahli fiqh sepakat menyatakan hukum jual beli adalah harus berdasarkan dalil-dalil al-Quran dan hadith. Dalil-dalil daripada al-Quran sebagaimana di dalam surah al-Baqarah ayat 275 yang bermaksud;

“Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba”

Ayat di atas secara jelas menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba kerana terdapat perbezaan yang ketara antara kedua-duanya. Ini kerana jual beli adalah bertujuan untuk memenuhi keperluan manusia dengan cara melakukan pertukaran barang manakala riba pula hanyalah sekadar untuk mengambil kesempatan keuntungan di atas keperluan orang lain dengan mengenakan lebihan bagi sesuatu pertukaran. Seseorang yang membeli makanan dan membayar pada masa itu jua dalam keadaan dia berhajat kepada makanan itu maka dia akan menjaga nyawa dan tubuh badannya. Manakala seseorang yang melakukan pertukaran barang secara ribawi iaitu dengan mensyaratkan lebihan atas pertukaran itu apabila sampai masa pembayarannya maka tidak berlaku pertukaran yang dibenarkan oleh syariah.

Allah S.W.T juga telah berfirman di dalam surah an-Nisa’ ayat 29 yang bermaksud:-

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu”

Ayat di atas menjelaskan keharusan mengambil harta orang lain melalui cara perniagaan (tijarah) yang dibina di atas dasar redha-redhai antara sesama manusia dan perkataan tijarah sebenarnya mempunyai makna yang cukup luas di mana ia juga meliputi kontrak jual beli yang bertujuan mendapatkan keuntungan.

2.1       RUKUN JUAL BELI

Menurut jumhur ahli fiqh, rukun jual beli terbahagi kepada tiga iaitu orang yang berakad (pembeli dan penjual), subjek akad (barang dan harga) dan sighah akad (ijab dan qabul). Cuma mazhab Hanafi mengatakan rukun jual beli hanya satu sahaja iaitu sighah (ijab dan qabul).

Menurut Shalabi, walau apapun punca yang membawa perselisihan di kalangan ahli-ahli fiqh dalam menentukan bilangan rukun jual beli, sama ada ia berpunca daripada perbezaan dalam mendefinisikan rukun atau selainnya, perselisihan ini sebenarnya tidak bermanfaat. Pendapat ini adalah benar kerana semua ahli-ahli fiqh termasuk mazhab Hanafi bersetuju bahawa akad tidak sah melainkan dengan adanya orang yang berakad, subjek akad dan sighah akad kerana ketiga-tiganya merupakan asas (muqawwamat) akad. Seterusnya perbincangan rukun meliputi tiga perkara iaitu pihak yang berakad, subjek akad dan sighah akad. (Mat Jusoh et al., 2014)

  1. Pihak yang beraqad

Sesuatu akad adalah hasil daripada dua orang yang melakukan akad. Untuk melakukan akad manusia bukan semuanya mempunyai kelayakan yang sama bahkan berbeza antara sama lain. Ada di kalangan mereka yang mempunyai kelayakan yang sepenuhnya untuk mengadakan akad tanpa memerlukan persetujuan orang lain. Ada juga yang hanya berkelayakan mengadakan sebahagian akad-akad yang tertentu sahaja dan ada juga yang mempunyai kelayakan mengadakan akad tetapi akad tersebut tidak terlaksana dan tidak membawa kesan pada pandangan syarak kerana ia bergantung kepada persetujuan orang lain. Secara umumnya bagi membolehkan seorang yang berakad mempunyai kelayakan yang sepenuhnya untuk mengadakan akad tanpa memerlukan persetujuan daripada orang lain, dia mestilah seorang yang baligh, berakal dan matang (rashid). Syarat-syarat yang ditetapkan oleh ahli-ahli Fiqh ini bertujuan menjadikan sesuatu akad itu memberi kesan di mana berlakunya pemindahan yang sah pada hakmilik barangan dan harga antara penjual dan pembeli.

  1. Subjek aqad jual beli

Secara umumnya para ahli Fiqh bersepakat bahawa syarat-syarat bagi menentukan sesuatu barang itu harus dijual beli adalah seperti berikut :-

  • Ia mestilah sesuatu yang wujud ketika akad jual beli berlaku. Barang yang tidak ada semasa akad jual beli diadakan adalah tidak sah jual belinya melainkan dalam akad jual salam.
  • Ia mestilah merupakan harta maka tidak sah jika ia bukan harta seperti orang merdeka dan bangkai.
  • Ia hendaklah dimiliki secara persendirian maka tidak sah jual beli barang yang merupakan milik bersama seperti air sungai dan rumput di padang bebas kecuali selepas kedua-duanya menjadi milik seseorang itu dengan usahanya.
  • Ia mestilah dimiliki oleh penjual atau dia diberi keizinan untuk menjualnya.
  • Ia mestilah barang yang boleh diserahkan maka tidak sah jual beli barang yang tidak boleh diserahkan seperti barang yang telah dirampas dan burung di udara.
  • Ia mestilah diketahui sama ada dengan melihat sendiri atau berdasarkan keterangan sifatnya maka tida sah jual beli sesuatu yang tidak diketahui zat, sifat dan kadarnya.
  • Ia mestilah sesuatu yang boleh dimanfaatkan maka tidak sah jual beli jengking dan lalat yang tidak bermanfaat.
  • Barang yang dijual beli itu mestilah sesuatu yang suci maka tidak sah jual beli babi dan bangkai.
  1. Lafaz aqad jual beli

Mazhab Hanafi mendefinisikan ijab sebagai kata-kata atau apa-apa jenis komunikasi yang keluar terlebih dahulu daripada dua orang yang berakad manakala qabul pula ialah kata-kata atau apa-apa jenis komunikasi yang lahir kemudian daripada salah seorang yang berakad sebagai jawapan kepada yang pertama Berdasarkan definisi ini, mazhab Hanafi tidak menetapkan ijab hanya khusus bagi penjual dan qabul pula khusus bagi pembeli sahaja. Bagi mereka, ijab boleh dilakukan oleh salah satu pihak yang berakad sama ada pembeli atau penjual. Jawapan kepada ijab yang merupakan perkara yang lahir kemudian adalah qabul tanpa mengira ia dilakukan oleh pembeli atau penjual di mana ia bergantung kepada siapa yang memulakan ijab. Asas penentuan ijab dan qabul menurut mazhab Hanafi adalah berdasarkan komunikasi yang lahir terlebih dahulu tanpa mengira daripada siapakah ia lahir. Ini bermakna komunikasi yang lahir dahulu merupakan ijab dan yang kemudian itu merupakan qabul.

Sementara itu jumhur ahli fiqh yang terdiri daripada Maliki, Shafi‘i dan Hanbali berpendapat sesuatu yang lahir daripada penjual merupakan ijab manakala daripada pembeli merupakan qabul dan mereka membolehkan qabul mendahului ijab. Menurut pendapat ini penentuan ijab dan qabul adalah berdasarkan daripada siapakah komunikasi itu lahir, jika ia lahir daripada penjual maka ia merupakan ijab dan jika ia lahir daripada pembeli maka ia merupakan qabul sekalipun ia mendahului ijab. Berdasarkan pendapat ini, ijab ialah komunikasi yang lahir daripada orang yang mempunyai hak memberi milik iaitu penjual kepada orang lain manakala qabul pula ialah komunikasi yang lahir daripada orang yang bakal menerima milik iaitu pembeli.

2.2       SYARAT SAH JUAL BELI

Menurut Dr, Muhammad Hj Md. Daud dan Dr. Ahmad Kamarudin Hj. Hamzah (2005) disyaratkan supaya jual beli itu sah hendaklah dengan lima syarat:-

Pertama :Hendaklah benda itu suci – maka tidak sah jual beli ‘ain yang najis seperti arak, bangkai, babi, anjing dan seumpamanya berdasarkan hadis yang bermaksud:

“sesungguhnya Allah S.W.T telah mengharamkan jual arak, bangkai, babi dan berhala-yakni patung-patung” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah S.A.W juga melarang menjual anjing kecuali anjing yang telah diajar untuk berburu.

Adapun benda-benda yang terkena najis yang boleh disucikan seperti kain, maka sah menjualnya dan sekiranya  tidak boleh disucikan seperti madu yang termasuk najis ke dalamnya atau susu dan seumpamanya, maka tidak sah dijualkannya kerana tidak dihilangkan najis daripadanya. Rasullah S.A.W pernah ditanya tentang minyak sapi yang terjatuh didalamnya tikus serta mati di dalamnya, maka baginda menyatakan bahawa sekiranya minyak sapi itu beku, maka tikus dan minyak sapi yang berada di sekelilingnya harus dibuang manakala sekiranya minyak sapi itu cair, maka hendaklah dicurahkan minyak sapi tersebut.

Di sini menunjukkan bahawa minyak yang terkena najis tidak boleh lagi dibersihkannya. Oleh hal demikian, baginda memerintahkan supaya dicurahkan dan sekiranya minyak sapi itu dapat dibersihkan nescaya baginda melarang untuk mencurahkannya.

Kedua :Hendaklah barangan yang dijual beli itu ada manfaat daripadanya – maka tidak sah jual beli benda yang tidak ada manfaat. Dan sekiranya kita menjual beli barang yang tiada manfaat, tergolong di dalam golongan memakan harta orang dengan cara yang batal dan ini adalah dilarang oleh Allah S.W.T di dalam surah al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud:

“jangan kamu makan harta antara kamu dengan cara yang batil”

Kalaulah tidak sah menjual barang yang tidak bermanfaat, maka lebih utama lagi benda-benda yang memudaratkan seperi racun, dadah dan yang memabukkan termasuk tembakau atau rokok, kerana sekiranya Allah S.W.T mengharamkan sesuatu maka harganya juga adalah haram. Ini juga adalah termasuk alat permainan yang melalaikan manusia dari mengigati Allah S.W.T, maka hukumnya adalah haram.

Ketiga :Hendaklah barang jualan itu dimiliki oleh penjual atau yang mempunyai kuasa terhadapnya atau secara wakil, kalua menjual harta orang tanpa diberi kuasa atau wakil maka juala itu adalah batal, kata qiil jualah itu adalah bergantung kepada tuannya. Sekiranya ia meluluskan jualan itu, dibolehkan – seiranya tidak diluluskan maka tidak sah jualan tersebut. Ini adalah berdasarkan kepada hadis yang bermaksud:

“Baginda Rasulullah S.A.W telah memberi wang sebanyak satu dinar kepada aku supaya aku membeli untuknya seekor kambing, maka aku belilah dua ekor kambing, maka aku jual seekor daripadanya dengan harga satu dinar, dan aku bawalah seekor kambing dengan satu dinar kepada baginda, maka aku beritahu kepada bagindan tentang apa yang aku lakukan, lalu baginda menyatakan ‘Allah memberkati kepadamu di dalam jual beli kamu’” (riwayat Tarmizi dengan sandaran yang sahih.

Keempat :Berkuasa menyerahkan barang jualan secara zahirnya dan secara syarak

Kalaulah kita berkuasa menyerahkan barangan yang dijual secara zahirnya seperti kita menjual haiwan yang hilang kerana sesat, dan harta yang dirampas orang, maka tidak sah jualan itu. Kerana tujuan daripada jual beli itu ialah mengambil manfaat dengan barangan itu dan ianya di sini tidak dapat dimanfaatkannya. Adapun barang yang dirampas harus kita menjualnya kepada orang yang berkuasa mengambil barang itu daripada perampas. Manakala yang tiada kuasa pada syara’, ialah seperti kita menjual sesuatu yang kita gadaikan kepada orang, dengan tidak mendapat izin daripada pemegang gadaian kerana barangan itu dilarangan menyerahkannya pada syara’. Kalalulah diharuskan yang demikian, nescaya akan terbatal faedah gadaian iaitu sebagai ikatan terhadap pembayaran hutang dengan ‘ain benda yang digadaikan itu.

Kelima :Hendaklah barangan jualan itu sesuatu yang maklum, kerana baginda Rasullah S.A.W melarang daripada jualan yang terdapat unsur-unsur penipuan sebagaimana di dalam hadisnya yang melarang jual beli yang terdapat unsur keraguan. Maka untuk menolak penipuan ini disyaratkan kita mengetahui ‘ain, kadar dan sifatnya seperti bilangannya, sukatannya dan timbangannya.

Secara keseluruhannya, dapatlah disimpulkan bahawa barang-barang yang dilakukan jual beli perlulah memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan oleh syarak supaya segala urusan muamalah jual beli yang dilakukan bertepatan dengan kehendak syarak dan dapat mengelakkan daripada berlakunya perselisihan antara sesama manusia. (Adila et al., 2008)

  1. PANDANGAN ULAMA’ BERKENAAN DENGAN AQAD JUAL BELI SECARA ATAS TALIAN

 Pada zaman dahulu perbankan internet ini tidak wujud sama sekali. Kemajuan dunia pada masa kini telah membawa kepada pelbagai persoalan dan menuntut fiqh Islam mengemaskini furu’ hukum yang tidak wujud pada zaman pembinaan hukum. Unsur-unsur perkembangan teknologi yang terkini ini dalam pembentukan akad adalah dibenarkan selagi mana ianya mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh syarak. Dalam meniti ke arah kemajuan teknologi, hukum syarak tetap perlu ditekankan dalam setiap aspek agar tidak terpesong jauh dari jalan yang benar. (Rosland & Tamkin, 2013)

Perdagangan Elektronik, juga dipanggil e-dagang atau dalam bahasa Inggerisnya Electronic Commerce (EC) adalah sebuah sistem perniagaan dan jual beli yang banyak menggunakan kemudahan teknologi maklumat terutama komunikasi canggih sehingga dapat melindungi dan memuaskan pengunaannya iaitu yang terdiri daripada penjual, pembeli dan pihak seperti bank, syarikat kewangan, syarikat kad kreadit, pengeluar sijil pengesahan digital dan lain-lain lagi. Kebelakangan ini ianya banyak menggunakan internet khususnya Web untuk mengadakan satu rangkaian yang menyatukan pelanggan, penjual dan pihak-pihak ketiga dalam satu persekitaran elektronik yang selamat untuk semua pihak dan boleh dipercayai.

Dengan e-dagang sesebuah syarikat atau individu boleh melakukan transaksi jual dan beli dari mana-mana sahaja di dunia ini. Pra syarat terpenting untuk menjalankan perniagaan dalam suasana yang menggunakan teknologi e-dagang ini ialah pemilikan kelengkapan IT yang sesuai dan prasarana telekomunikasi yang membolehkan anda mengakses Internet. Ini sudah tentunya bermula dengan sebuah komputer, modem dan talian telefon.

Di dalam jual beli mengikut sistem muamalah Islam, penggunaan alat komunikasi moden seperti telefon, surat, faks, komputer dan lain-lain bukanlah perantaraan atau penghubung yang baru untuk menggambarkan kehendak, sebaliknya hanyalah perantaraan yang baru untuk menyampaikan maklumat kerana wasilah untuk menggambarkan kehendak masih lagi tidak berubah, iaitu sama ada dengan mengucapkan lafaz, tindakan (perbuatan), isyarat, penulisan atau diam dalam keadaan memerlukan kepastian.

Masalah beraqad dengan menggunakan tulisan pada umumnya telah diterima oleh para sarjana Islam sama ada ulama awalan atau mutakhir. Perbezaan yang ketara antara Islam dan konvensional hanyalah dari segi alat perantaraan bagi menyampaikan kehendak kedua-dua pihak yang beraqad. Sistem konvensional dilihat telah menterjemahkan aqad yang dibuat selain daripada lisan melalui penggunaan alat perhubungan yang baru sebagaimana yang berlaku dalam kontrak e-dagang yang berbentuk mesej elektronik. Perantaraan dalam bentuk elektronik ini adalah berdasarkan wasilah aqaddalam muamalah Islam yang telah lama dipraktikkan oleh umat Islam terdahulu atau dengan kata lain wasilah yang sama tetapi berbeza dari segi perantaraan yang digunakan. (Adila et al., 2008)

Oleh itu, transaksi dalam bentuk e-dagang dan undang-undang yang mengiktiraf transaksi ini iaitu Akta Perdagangan Elektronik 2006 dilihat tidak bercanggah dan selaras dengan transaksi dalam muamalah Islam. Pernyataan ini diperkuatkan lagi dengan kaedah fiqh dalam mazhab syafi’e yang boleh digunapakai dalam masalah ini iaitu kaedah “Asal pada (kebanyakan) perkara adalah harus sehingga ada dalil yang menunjukkan ianya haram” sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

”Apa-apa yang halal akan dihalalkan dalam Kitab Allah, dan apa-apa yang haram akan diharamkan dalam Kitab Allah, dan apa-apa yang didiamkan, maka ia dimaafkan”(riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Isu yang timbul berhubung dengan barang jualan dalam e-dagang ialah berkaitan hukum kontrak ke atas barang yang tidak dapat dilihat atau ghaib sama ada ia memang tiada dalam majlis kontrak atau ada dalam majlis kontrak itu tetapi ia tersembunyi. Begitu juga isu berhubung dengan barang-barang yang dijual secara e-dagang sama ada pada masa kontrak itu dilakukan, barangan tersebut telah ada atau belum ada. Isu berhubung dengan pihak yang berkontrak dalam e-dagang ialah bagaimanakah menentukan kelayakan dan kesahihan identiti mereka. (Mat Jusoh, Borhan, & Zakaria, 2015)

Isu Syariah yang timbul berhubung apakah bentuk kontrak yang berlaku dalam e-dagang sama ada kontrak secara berlafaz, bertulis, perbuatan dan isyarat. Bagi menentukan bentuk kontrak e-dagang, boleh melihat kepada perantara yang digunakan utuk berurusniaga secara e-dagang yang mana ia melibatkan penggunaan komputer. Oleh kerana dalam e-dagang berlakunya kontrak secara digital yang mana komputer pembeli berinteraksi dengan komputer penjual dan setiap data yang dihantar melalui dua komputer tersebut boleh dicetak maka kontrak yang berlaku dalam e- dagang ialah kontrak secara bertulis.

Bentuk kontrak e-dagang

Kontrak secara bertulis merupakan satu bentuk kontrak yang telah dibincangkan oleh ahli-ahli fiqh sejak dahulu lagi di samping tiga lagi bentuk kontrak iaitu kontrak secara berlafaz, isyarat dan perbuatan (Badran t.th : 379). Ia merupakan salah satu cara melakukan kontrak dan dibenarkan oleh syarak bagi menggambarkan kehendak dua pihak yang berkontrak sama ada kedua-duanya ihantar oleh komputer contohnya e-mel yang merupakan cara melakukan urusan surat-menyurat elektronik yang boleh dicetak. Ini bermakna tulisan e-mel itu kekal sama seperti asal tanpa apa-apa perubahan sekalipun tulisan itu cuma tidak dapat dibaca melainkan menggunakan skrin komputer atau setelah dicetak.

Begitu juga dengan ciri yang kedua iaitu marsumah kerana setiap e-mel yang dihantar mempunyai alamat penghantarnya kerana seseorang tidak boleh menghantar e-mel jika dia tidak mempunyai alamat e-mel. Secara perbandingan dengan amalan surat-menyurat biasa, alamat e-mel penjual dan pembeli samalah seperti nama atau tandatangan.

Hukum kontrak secara bertulis bukannya bermula semenjak penulisan surat itu tetapi sebaik sahaja ia sampai dan dibaca oleh penerima. Pada masa itulah tulisan itu diambil kira, penghantar surat itu dianggap telah membuat tawaran dan penerima dianggap telah menerima tawaran (al-Zarqa’ 1998 : 412). Oleh itu bagi ijab (tawaran) yang dilakukan secara bertulis kepada orang yang ghaib maka majlis kontrak bermula apabila orang tersebut membaca tulisan itu dan jika dia membuat penerimaan dalam majlis itu juga maka sempurnalah kontrak (al-Zarqa’ 1998 : 432). Jika dilakukan penerimaan dalam majlis kedua maka kontrak itu tidak sah (al-Zuhayli 1989 : 109). Ini bermakna, majlis kontrak yang melibatkan orang yang ghaib yang dilakukan secara bertulis contohnya melalui surat-menyurat bermula apabila surat itu dibaca dan difahami lalu orang yang menerima itu bersetuju dalam majlis itu juga.

Walaubagaimanapun jika orang yang membaca surat itu tidak membuat penerimaan sehinggalah berakhirnya majlis kontrak kemudian dia mengulang membacanya sekali lagi dalam majlis yang lain dan membuat penerimaan maka kontrak itu menjadi sempurna. Pembacaan surat itu untuk kali yang kedua ini menunjukkan berlakunya pengulangan ijab (al-Sanhuri t.th : 59). Ini bermakna dalam kontrak e–dagang, apabila pembeli membuka kotak e-melnya dan mendapati terdapat e-mel daripada penjual, dia tidak semestinya melakukan qabul dalam majlis itu juga kerana dia boleh memutuskan untuk menerima ijab tersebut dalam majlis yang lain dengan syarat dia hendaklah membaca sekali lagi e-mel penjual.

Kesimpulannya bentuk kontrak yang berlaku dalam e-dagang adalah secara kontrak bertulis sebagaimana yang telah dibincangkan oleh ahli-ahli fiqh sejak dahulu lagi. Cuma mereka membincangkan kontrak bertulis dengan mendatangkan contoh secara surat menyurat sesuai dengan cara menulis pada zaman tersebut. Apa yang berlaku dalam kontrak e-dagang masih lagi dalam perbincangan ahli-ahli fiqh berhubung kontrak secara bertulis cuma caranya sahaja yang berbeza yang mana dengan kecanggihan teknologi terkini, sesuatu yang bertulis ini bukan sahaja boleh dirasa atau dipegang dengan dicetak malah ia boleh dilihat begitu sahaja menerusi skrin.

Barang jualan e-dagang

Terdapat dua persoalan yang timbul berhubung barang jualan dalam pelaksanaan e dagang. Dua persoalan tersebut adalah :-

  1. Hukum melakukan kontrak ke atas suatu barang yang ghaib.
  2. Hukum melakukan kontrak ke atas barang yang masih belum ada.

Melakukan kontrak ke atas barang yang ghaib sudah pastinya berlaku dalam e-dagang kerana majlis kontrak e-dagang tidak melibatkan pertemuan fizikal antara pembeli dan penjual. Kontrak yang berlaku pula ialah kontrak secara bertulis yang sudah semestinya tidak melibatkan kehadiran subjek kontrak semasa majlis kontrak berlangsung. Berhubung dengan hukum melakukan kontrak ke atas barang yang ghaib, para ahli fiqh telahpun membincangkan perkara ini yang mana berlaku perselisihan pendapat dalam kalangan mereka.

Menurut Mazhab Hanafi, sesiapa yang membeli suatu barang yang tidak dilihatnya (ghaib) maka jual beli itu sah dan dia mempunyai hak khiyar untuk meneruskan jual beli itu atau tidak tanpa mengira barang tersebut menepati sifat-sifat yang dinyatakan atau sebaliknya (Ibn al- Humam t.th : 137-138). Mazhab Maliki pula mengatakan sah jual beli barang yang ghaib tetap disyaratkan dinyatakan sifatnya sekiranya barang tersebut tiada dalam majlis kontrak. Jika barang tersebut ada dalam majlis maka tidak sah jual beli dengan dinyatakan sifatnya sahaja yang mana barang itu mesti dilihat kecuali kalau barang itu dibuka ia boleh mendatangkan kerosakan. Apabila barang tersebut memenuhi sifat-sifat yang dinyatakan maka jual beli itu mengikat tetapi jika ia tidak menepati sifat yang dinyatakan maka pembeli berhak memulangkannya semula kepada penjual (al-Dardir t.th. : 42-43).

Mazhab Hanbali sependapat dengan Mazhab Maliki yang mana mereka mengatakan sah jual beli barang yang ghaib asalkan dinyatakan sifat-sifatnya seperti dalam jual salam (al-Buhuti t.th. : 163). Manakala Mazhab Syafi’e pula mengikut pendapat pertama mengatakan bahawa tidak sah sama sekali jual beli barang yang ghaib iaitu barang yang tidak dilihat oleh kedua-dua orang yang berkontrak atau salah seorang daripada mereka sekalipun barang itu ada semasa majlis kontrak kerana terdapat unsur-unsur penipuan. Pendapat kedua pula menyatakan bahawa sah jual beli barang yang ghaib dengan syarat hendaklah dinyatakan sifat-sifatnya dan pembeli mempunyai hak khiyar sebaik sahaja melihatnya (al-Khatib al-Sharbini.t.th. : 18).

Berdasarkan perbincangan ahli-ahli fiqh di atas boleh disimpulkan pendapat Mazhab Hanafi adalah mudah dan agak longgar kerana membenarkan jual beli barang yang ghaib sama ada dinyatakan sifatnya atau tidak malah jika barang tersebut disifatkan sekalipun, pembeli masih mempunyai hak khiyar setelah melihatnya sekalipun barang tersebut memenuhi sifat-sifat yang dipersetujui. Manakala pendapat Mazhab Maliki dan Mazhab Hanbali dalam salah satu pendapat lebih ketat kerana hanya membenarkan jual beli barang yang ghaib jika dinyatakan sifatnya. Pendapat pertama Mazhab Syafi’e adalah yang paling ketat kerana tidak membenarkan sama sekali jual beli barang yang ghaib.

Berdasarkan pelaksanaan e-dagang oleh syarikat yang terlibat dalam e-dagang contohnya syarikat Mphonline, ia memuatkan ke dalam laman webnya senarai buku yang dijual yang lengkap dengan harga, nama penerbit, jenis kulit sama ada tebal atau nipis, tahun terbitan, bilangan muka surat dan nombor sirinya (http://www.mphonline.com/ 28 Jun 2015). Kesemua ini merupakan sifat-sifat buku tersebut dan ini menunjukkan pendekatan yang digunakan oleh syarikat dengan menawarkan jualan buku lengkap dengan sifat-sifatnya ini adalah selaras dengan pendapat Mazhab Maliki, Hanbali dan pendapat kedua dalam Mazhab Syafi’e.

Cuma persoalan yang timbul sama ada penyenaraian buku-buku dalam laman web menunjukkan buku itu telah ada dalam simpanan syarikat atau akan hanya diperolehi apabila mendapat pesanan. Berdasarkan apa yang berlaku di syarikat Mphonline, pada setiap buku yang salam. Pendapat kedua pula walaupun membenarkan jual beli barang yang masih belum ada tetapi kebenaran itu bukan juga secara mutlak kerana ia mensyaratkan perlu disebut dalam kontrak jual beli sifat barang tersebut dan ini sebenarnya merupakan jual salam mengikut pandangan jumhur. Kesimpulannya tidak berlaku perbezaan antara pendapat pertama dan kedua yang mana kedua-duanya membenarkan jual beli barang yang belum ada secara jual salam dan tidak sah jika dilakukan secara jual beli biasa.

Berdasarkan perbincangan ahli-ahli fiqh berhubung kontrak barang yang belum ada, hukumnya diharuskan jika dilakukan secara jual salam. Melihat kepada apa yang diamalkan dalam dunia perniagaan hari ini yang mana apabila seorang pembeli berhajat untuk memiliki sesuatu barang, dia akan membuat pesanan (order) kepada peniaga. Peniaga akan memproses pesanan tersebut dan setelah berpuashati dengan pesanan itu khususnya jaminan pembayaran, dia akan menghantar barang itu kepada pembeli maka sempurnalah jual beli. Jika dia belum berpuashati, dia boleh menghubungi pembeli bagi mendapatkan maklumat yang lebih lanjut atau untuk memastikan dia sedang berurusan dengan pembeli yang sebenar.

Order bermaksud permintaan membuat atau membekalkan barang-barang; pesanan (Hornby 2001 : 1284). Berdasarkan maksud ini, pesanan yang diamalkan dalam urusan perniagaan hari ini adalah merujuk kepada jual salam tanpa mengira sama ada barang yang dipesan itu telah ada atau masih belum ada lagi. Oleh keranan pesanan (order) itu merujuk kepada jual salam maka pelaksanaan e-dagang oleh Mphonline adalah menepati dan mematuhi kehendak syarak maka proses ini sah dan harus mengikut syarak.

Para ahli fiqh telah membincangkan perkataan yang boleh digunakan dalam kontrak jual salam. Mengikut Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali terdapat tiga perkataan yang boleh digunakan dalam kontrak jual salam iaitu salam (ملسلا), salaf (فلسلا) dan jual beli (عيبلا) (al-Zuhayli. 1989: 599). Manakala dalam Mazhab Shafici pula terdapat dua pendapat. Pendapat pertama mengatakan kontrak salam tidak boleh berlaku melainkan dengan perkataan salam dan salaf sahaja kerana menurut mereka salam bukanlah jual beli maka tidak sah dengan menggunakan perkataan jual beli. Manakala pendapat kedua pula mengatakan kontrak salam boleh berlaku dengan perkataan jual beli di samping salam dan salaf kerana kontrak salam adalah satu daripada bentuk jual beli yang memerlukan adanya penerimaan dalam majlis kontrak (al-Zuhayli 1989 : 599). Oleh kerana pesanan (order) bermaksud permintaan membuat atau membekalkan barang-barang; pesanan maka ia termasuk dalam makna salam dan salaf mengikut perbincangan ahli-ahli fiqh.

Walaupun syarikat tidak menyatakan urusniaganya adalah berasaskan jual salam namun amalan syarikat dalam berurusniaga dengan pembeli telah menunjukkan berlaku kontrak jual salam. Syarikat mensyaratkan pembeli membayar terlebih dahulu harga buku yang dipesan beserta kos penghantarannya menggunakan kad kredit atau menggunakan kemudahan pembayaran perbankan inetrnet. Pembayaran ini dilakukan oleh pembeli semasa dia membalas e-mel penjual tadi dengan menyatakan butiran kad kreditnya atau mengikut prosedur pembayaran perbankan internet. Begitu juga dengan subjek kontrak iaitu buku yang disenaraikan dalam web, ia telah memenuhi syarat jual salam kerana telah dinyatakan sifat-sifat malah disertakan dengan gambarnya sekali.

Kelayakan pihak yang berkontrak

Kelayakan pihak yang berkontrak penting kerana ia akan menentukan sama ada sah atau tidak sesuatu kontrak. Oleh yang demikian, perbincangan tentang pihak yang berkontrak merupakan tajuk yang dibincangkan secara panjang lebar oleh ahli-ahli fiqh sekalipun mereka tidak sependapat dalam menentukan sama ada ia merupakan rukun kontrak atau bukan. Dalam menentukan rukun kontrak ahli-ahli fiqh berbeza pendapat.

Mengikut jumhur ahli-ahli fiqh yang terdiri daripada Mazhab Maliki, Shafici dan Hanbali, rukun kontrak terdiri daripada tiga iaitu orang yang berkontrak (penjual dan pembeli), subjek kontrak (barang dan harga) dan sighah kontrak (ijab dan qabul) (al-Dardir t.th. : 2, al-Khatib al-Sharbini t.th : 3, al-Buhuti t.th. : 3). Manakala Mazhab Hanafi pula berpendapat rukun kontrak satu sahaja iaitu sighah kontrak (ijab dan qabul) (al-Kasani 1997:530).

Walaupun di kalangan ahli-ahli fiqh berlaku perbezaan pendapat berhubung bilangan rukun kontrak tetapi mereka sepakat menyatakan ketiga-tiga perkara iaitu sighah kontrak (ijab dan qabul) subjek kontrak (barang dan harga) dan orang yang berkontrak (penjual dan pembeli) merupakan asas (muqawwamat) kontrak kerana kontrak tidak sah melainkan dengan adanya ketiga-tiga perkara tersebut (al-Buti 1998:33).

Bagi membolehkan sesuatu kontrak dianggap sah oleh syarak, setiap orang yang berkontrak mestilah berkelayakan untuk melaksanakan kontrak. Semua ahli-ahli fiqh sepakat tentang keperluan orang yang berkontrak mempunyai keahlian (ahalliyyah) bagi membolehkan kontrak itu diambil kira dan mendatangkan kesan. (al-Buti 1998:43).

Syarat bagi kelayakan yang sepenuhnya untuk mengadakan kontrak tanpa memerlukan persetujuan daripada orang lain, pihak yang berkontrak mestilah seorang yang baligh, berakal dan matang (rashid (al-Bacli t.th. : 160). Maksud matang (rashid) mengikut Mazhab al- Shafici ialah seseorang itu mestilah mempunyai kepandaian dalam menguruskan harta dan dia juga mesti baik dari segi agama (al-Khatib al-Sharbini t.th. : 7). Ini bermakna jika dia seorang yang pandai menguruskan harta tetapi fasik maka dia bukan seorang yang matang (rashid). Pandangan ini berbeza dengan pandangan mazhab-mazhab lain yang mengatakan fasik tidak menjejaskan kelayakan seseorang asalkan dia pandai menguruskan harta (al-Bacli t.th. : 160).

Berhubung dengan jual beli kanak-kanak yang belum mumayyiz, para ahli fiqh sependapat mengatakan bahawa jual beli yang dilakukan oleh golongan ini tidak sah melainkan barangan yang rendah nilainya (al-Zuhayli. 1989 : 500). Bagi kanak-kanak yang telah mumayyiz pula mereka berbeza pendapat. Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali menyatakan sah kontrak jual beli yang dilakukan oleh kanak-kanak yang mumayyiz tetapi kontrak itu tidak mengikat melainkan dengan keizinan walinya (al-Kasani 1997 : 533, al-Dardir t.th. : 18, al-Buhuti t.th. : 151). Cuma Mazhab Hanbali mensyaratkan keizinan wali mestilah diperolehi sebelum kontrak (al-Buhuti t.th.:151).

Mazhab Syafi’e pula mengatakan orang yang berkontrak mestilah telah baligh dan berakal. Tidak sah kontrak yang dilakukan oleh kanak-kanak yang belum baligh, orang gila dan orang yang bodoh (al-Khatib al-Sharbini.t.th.: 7). Ini bermakna, mengikut pendapat ini kontrak yang dilakukan oleh kanak-kanak yang mumayyiz tidak sah kerana dia masih belum baligh. Berdasarkan dua aliran pendapat ini, pendapat Mazhab Shafici adalah lebih ketat kerana mensyaratkan seseorang yang berkontrak itu mestilah telah baligh berbanding pendapat jumhur yang menyatakan sah kontrak yang dilakukan kanak-kanak mumayyiz asalkan diizinkan oleh walinya.

Memandangkan kontrak e-dagang melibatkan antara dua pihak yang tidak mengenali antara satu sama lain maka menjadi suatu yang agak sukar bagi penjual untuk memastikan identiti pembeli dan begitulah sebaliknya. Bagi membolehkan satu pihak mengetahui identiti satu pihak lagi, apa yang biasa diamalkan dalam e-dagang hari ini ialah penjual menyediakan satu borang pendaftaran elektronik pada laman web untuk diisi oleh pembeli butiran peribadinya seperti nama. alamat surat-menyurat, alamat e-mel dan nombor telefon.

Perincian tentang butiran peribadi yang diperlukan oleh penjual mungkin berbeza antara laman-laman web e-dagang. Antara faktor yang mempengaruhi perbezaan butiran peribadi yang diperlukan oleh penjual ialah bentuk barang yang dipesan. Bagi barang yang perlu dihantar secara fizikal memerlukan sekurang-kurangnya pembeli menyatakan nama dan alamatnya.

Berdasarkan kehendak perundangan di Malaysia iaitu Seksyen 11, Akta Kontrak 1950 yang menyatakan :-

Setiap orang adalah layak membuat kontrak sekiranya dia telah dewasa mengikut undang-undang dirinya, berakal sempurna dan tidak hilang kelayakan untuk membuat kontrak mengikut mana-mana undang-undang yang dikenakan ke atasnya.

Ini bermakna seorang yang belum dewasa atau tidak siuman atau telah hilang kelayakan adalah tidak berhak untuk melakukan sebarang bentuk kontrak. Bagi menentukan umur dewasa pula, Seksyen 33, Akta Umur Dewasa 1971 menyatakan seseorang itu dikatakan mencapai usia dewasa apabila beliau berumur lapan belas tahun.

Syarat ini adalah selaras dengan pendapat ahli-ahli fiqh berhubung dengan umur baligh kerana ia merupakan umur maksimun baligh mengikut perbincangan mereka sekalipun mereka berbeza-beza pendapat dalam menentukan umur baligh tersebut. Pada hari ini, kebiasaannya seseorang yang telah mencapai usia lapan belas tahun telah mencapai kematangan fikiran dan boleh menguruskan hartanya dengan baik. Syarat ini bertujuan untuk memastikan hanya mereka yang yang layak dan telah cukup umur dewasa sahaja berhak untuk berurusniaga dengan syarikat dan seterusnya mengelakkan daripada berlaku penipuan.

Sekalipun syarikat mensyaratkan pembeli mematuhi perundangan dari segi kelayakan umur untuk melakukan transaksi perniagaan iaitu mestilah berumur lapan belas tahun ke atas namun masih timbul persoalan sejauh mana kejujuran pembeli tersebut kerana dia tidak bertemu secara langsung dengan penjual. Kemungkinan boleh berlaku pemalsuan identiti apabila terdapat pihak yang ketiga yang menyamar sebagai pembeli dengan menggunakan identiti orang lain lalu melakukan transaksi perniagaan dengan menggunakan identiti orang lain.

Satu cadangan penyelesaian bagi merungkai permasalahan ini adalah pihak syarikat boleh mensyaratkan pelanggan yang mahu membeli daripada syarikat perlu membuat pengakuan bahawa identiti yang dinyatakan dalam borang biodata pelanggan adalah identiti pelanggan yang sebenarnya dan sebarang pemalsuan identiti adalah tertakluk kepada tindakan undang-undang.

Terdapat juga kemungkinan adanya pihak yang tidak bertanggungjawab membina laman web e-dagang palsu yang berpura-pura menjual sesuatu barangan. Masalah yang timbul adalah kalau ada pelanggan yang terpedaya yang tanpa usul periksa terus membuat pesanan melalui laman web palsu dengan menyerahkan nombor kad kreditnya sebagai pembayaran. Oleh kerana identiti penjual tidak pasti, ini akan menyusahkan pembeli tadi untuk membuat laporan penipuan. Bagi mengatasi masalah ini pihak berkuasa boleh mengenakan satu peraturan yang mensyaratkan setiap peniaga secara e-dagang perlu mendaftarkan perniagaan mereka bagi memastikan urusniaga mereka mematuhi perundangan dan memudahkan diambil tindakan terhadap pihak yang bertindak menyalahi undang-undang.

Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh persidangan Majma al-Fiqh al-Islami Kali ke-6 di Jeddah pada 17-23 Syaban 1420H bersamaan 14-20 Mac 1990M. Antara keputusan yang telah dibuat pada persidangan tersebut ialah apabila berlaku akad antara dua orang yang tidak berada di satu tempat, masing- masing tidak melihat dan mendengar antara satu sama lain, perantaraan antara mereka ialah dengan tulisan, surat atau menghantar utusan, termasuk juga telegram, faks atau komputer maka dalam keadaan ini akad yang dilakukan antara kedua-dua menjadi sempurna apabila sesuatu tawaran itu sampai kepada penerima tawaran dan dia menerimanya. Oleh itu, ini jelas menunjukkan bahawa transaksi yang dilakukan dengan menggunakan perkhidmatan perbankan Internet dibolehkan bersandarkan akad yang dilakukan antara dua orang yang ghaib dan perantaraan mereka hanya melalui dokumen yang terdapat di laman sesawang setiap bank-bank yang terlibat.

Berdasarkan hukum syarak, perbankan internet secara konsepnya adalah harus menurut pandangan Islam dan ini membuktikan bahawa Islam adalah satu agama yang lengkap yang mencakupi setiap aspek dalam kehidupan manusia.

  1. JUAL BELI ATAS TALIAN

Internet merupakan sebahagian daripada kehidupan pengguna kini. Sesuai dengan perubahan gaya hidup yang semakin sibuk, sebahagian daripada pengguna kini juga menjadikan internet sebagai salah satu medium untuk membeli barangan dan perkhidmatan. Pembelian secara atas talian dipilih sebagai langkah mudah untuk berbelanja bagi mendapatkan barang keperluan tanpa perlu beratur panjang di kaunter. Di negara maju, pembelian melalui internet sudah lama diamalkan dan tren ini semakin rancak berkembang dalam kalangan masyarakat tempatan. Melalui pembelian secara atas talian pembeli boleh melihat barangan yang ingin dibeli, membuat perbandingan dari segi harga, kualiti dan jenama sebelum membuat tempahan.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang melibatkan seramai 31,433 isi rumah yang meliputi 96,225 individu yang berumur 15 tahun dan ke atas mendapati seramai 56.0 peratus responden menggunakan komputer. Dapatan kajian turut mendedahkan sebanyak 57.0 peratus pula menggunakan internet dengan kekerapan penggunaan internet sekurang-kurangnya sekali sehari (60.3%) manakala seramai 94.2 peratus responden yang dikaji menggunakan telefon bimbit. Dari segi jenis barangan dan perkhidmatan yang dibeli melalui internet pula terdiri daripada pakaian, beg dan kasut (50.4%), makanan dan minuman (49.7%), produk pelancongan dan perjalanan (35.4%), perkhidmatan penginapan (28.7%) dan aksesori perhiasan diri (27.9%). (Mat Arisah, Zainal Badari, & Hashim, 2016)

Antara contoh transaksi jual beli yang kini semakin berkembang pesat di Malaysia ialah Lazada dan Shoppee. Kebanyakan daripada lawan web jual beli ini menawarkan kepelbagaian barangan dari keperluan harian sehingga ke barangan berstatus kehendak seperti telefon bimbit. Terdapat juga pembelian buku secara atas talian iaiatu MPHOnline dan Kinokuniya Book Store (Malaysia).

Prinsip pertama muamalah Islam yang dilaksanakan dalam e-Dagang ialah prinsip jual beli kerana ia merupakan prinsip yang asas dalam urusniaga. Pelaksanaan ini selaras dengan kehendak muamalah Islam apabila barang yang dijual beli secara e-Dagang telah ada semasa akad berlangsung.

Prosedur pembelian buku di syarikat MPHonline dan Kinokuniya Book Stores (Malaysia).com bermula dengan pelanggan memasuki laman web syarikat dan memilih buku-buku-buku yang dikehendaki. Paparan buku-buku dilakukan dengan cara yang jelas dengan disertakan dengan gambar buku serta ciri-ciri buku seperti nombor id produk, format buku sama ada berkulit nipis atau tebal, nama penerbit, tahun penerbitan, bilangan mukasurat dan harganya. Seterusnya pelanggan perlu membuka mendaftar sebagai pelanggan syarikat dengan memasukkan maklumat peribadi seperti nama dan alamat. Manakala dari segi pembayarannya boleh dibuat secara atas talian dengan menggunakan kemudahan perbankan internet dan penggunaan kad kredit.

Berdasarkan amalan syarikat MPHonline.com dan Kinokuniya Book Stores (Malaysia).com, boleh disimpulkan bahawa dua buah syarikat ini telah mengamalkan prinsip bay’ dalam operasinya dan ia telah menepati kehendak syariah dari segi mempamerkan di laman web masing buku-buku yang hendak dijual kepada pelanggan yang berminat untuk membeli secara atas talian. Selain itu, paparan buku-buku dilakukan dengan cara yang jelas dengan disertakan dengan gambar buku serta ciri-ciri buku seperti bilangan mukasurat dan harganya dapat menjauhkan transaksi di syarikat ini jauh daripada unsur-unsur keraguan dan mengelakkan pelanggan daripada merasa ditipu dan mengalami kerugian.

Pemakaian prinsip salam dalam e-Dagang adalah sesuai jika barang yang diiklankan oleh penjual dalam laman webnya tiada dalam stok semasa pembeli membuat tempahan. Malah prinsip inilah yang paling sesuai sekali dilaksanakan dalam e-Dagang secara menyeluruh kerana ia tidak memerlukan penjual memastikan setiap barang yang diiklankan dalam laman web mestilah ada semasa akad dilakukan. Bahkan akad ini boleh dilaksanakan sekali pun barang yang dipesan itu telah ada dalam stok penjual.

Melalui pelaksanaan akad salam dalam e-Dagang, penjual tidak perlu memastikan barang yang diiklankannya dalam laman web perlu ada setiap masa dan ini akan meringankan penjual dari segi beban kerja dan masa. Penjual hanya akan mendapatkan barang tersebut setelah menerima tempahan daripada pembeli. Memandangkan akad yang berlaku ialah akad salam maka adalah perlu bagi penjual menyatakan dengan terperinci barang berkenaan. Contohnya jika barang tersebut ialah buku maka penjual menyertakan gambar, harga, penerbit, jenis kulit sama ada keras atau lembut, tahun terbitan, bilangan muka surat dan nombor sirinya seperti mana yang dilakukan oleh syarikat MPHonline dan Kinokuniya Book Stores (Malaysia). Pembelian buku secara salam ini berlaku dalam transaksi di dua buah syarikat ini apabila buku dipamerkan dalam laman web syarikat tiada dalam stok (out of stock) dan dinyatakan memerlukan tempoh untuk mendapatkannya.

Berdasarkan amalan syarikat MPHonline dan Kinokuniya Book Stores (Malaysia) ini, dua syarikat telah mengamalkan prinsip salam dalam operasinya dan ia telah menepati kehendak syarak dari segi penyenaraian sifat-sifat buku yang dipesan secara terperinci, penyataan alamat penghantaran buku oleh pembeli dan pembayaran buku yang dipesan dalam majlis akad sama ada menggunakan kemudahan kad kredit atau perbankan internet. Pembayaran yang dibuat secara atas talian dengan menggunakan kemudahan yang dinyatakan tadi menunjukkan telah berlaku pembayaran dalam majlis akad.

Memandangkan e-Dagang melibatkan akad ke atas barang yang tidak dilihat semasa akad berlangsung maka pelaksanaan khiyarmerupakan satu perkara penting. Ini bagi memastikan pihak pembeli khususnya tidak mengalami kerugian apabila mendapati barang yang dipesannya tidak memenuhi sifat-sifat yang dipersetujui semasa akad atau barang itu rosak. Oleh itu khiyar yang sesuai dilaksanakan dalam e-Dagang ialah khiyar ru’yah dankhiyar ‘aybdi mana kedua-duanya berkaitan dengan barang jualan. Adapun khiyar shart, pelaksanaannya adalah bergantung kepada persetujuan kedua-dua belah pihak yang terlibat iaitu pembeli dan penjual.

Dari segi pelaksanaan khiyardalam aktiviti e-Dagang hari ini, syarikat MPHonline dan Kinokuniya Book Stores (Malaysia) mengamalkan satu polisi yang dikenali sebagai polisi pemulangan (return policy) yang mirip kepada khiyar ‘ayb. Polisi tersebut adalah syarikat akan menggantikan produk jika produk yang dihantar itu rosak (defective product) semasa penghantaran dan tertakluk kepada terma dan syarat tertentu.

Polisi ini membolehkan pembeli mendapat gantian semula jika buku yang dipesannya rosak dan ini untuk memastikan pembeli tidak mengalami kerugian. Inilah satu-satunya polisi yang berkaitan dengan khiyar yang dilaksanakan oleh syarikat MPHonline dan Kinokuniya Book Stores (Malaysia).

Berhubung dengan khiyar ru’yah, ia tidak dilaksanakan oleh syarikat ini kerana syarikat tidak menyatakan dalam polisi pemulangannya (return policy) bahawa pembeli mempunyai hak untuk memulangkan balik buku yang dibeli. Ini bermakna setelah pembeli melihat buku yang dipesannya dan mendapati buku tersebut tidak menepati ciri-ciri yang telah dinyatakan pada laman web syarikat dari segi segi saiz atau jenis kulit maka dia tidak berhak untuk memulangkan semula buku tersebut. Begitu juga khiyar sharttidak dilaksanakan oleh syarikat di mana syarikat tidak menyatakan proses jual beli buku secara e-Dagang oleh syarikat adalah tertakluk kepada syarat di mana syarikat atau pembeli mempunyai hak untuk memilih sama ada mahu meneruskan jual beli berkenaan atau sebaliknya dalam tempoh beberapa hari selepas proses jual beli itu selesai. Ini menunjukkan tidak berlaku sama sekalikhiyar shartdalam proses jual beli buku oleh syarikat Mphonline dan Kinokuniya Book Stores (Malaysia). (Mat Jusoh et al., 2014)

KESIMPULAN

Kehadiran teknologi komputer dan internet telah banyak mengubah corak dan gaya hidup manusia kini. la bukan sahaja mengubah cara berkomunikasi dan memperolehi maklumat bahkan telah membawa perspektif baru dalam dunia perniagaan dan perdagangan sehingga lahirnya e-commerce (e-dagang), (e-tiket), dan lain-lain lagi. Pembentukan dan pelaksanaan jual beli sebegini adalah baru dan tidak 0dibahaskan secara khusus dalam kitab klasik. Tambahan pula konsep dan kerangka e-dagang bukanlah lahir dari acuan muamalat Islam. Namun mengenai urusan jual beli, fuqaha telah meletakkan asas dan teori yang jelas sebagai panduan. Kehadiran e-dagang memberi kemudahan yang cepat kepada semua golongan masyarakat dalam transaksi jual beli. Pengguna juga tidak perlu ke premis jualan kerana pemilihan barang dan ijab qabul telah dilakukan melalui internet. la juga dapat menjimatkan masa dan keadaan. Kehadiran e-dagang juga adalah satu muamalah atau aktiviti yang tidak bercanggah dengan sistem jual beli dalam Islam. Ini kerana e-dagang menginterprestasikan jual beli dalam bentuk yang moden yang mana ia menjadi keperluan dan kehendak masyarakat zaman sekarang. Oleh kerana hukum asal sesuatu itu harus, maka aktiviti e-dagang juga adalah harus selagi ia menepati rukun jual beli dan syarat jual beli dan selagi mana ia dapat menjamin kemaslahatan manusia seluruhnya. (Adila et al., 2008)

Kontrak e-dagang atau jual beli secara atas talian menimbulkan persoalan-persoalan yang memerlukan pemerhatian dan penelitian terhadap pelaksanaannya bagi mengaitkannya dengan muamalah Islam yang telah dibincangkan secara mendalam oleh ahli-ahli fiqh sejak dari dahulu lagi. Kaitan antara pelaksanaan e-dagang dengan hukum-hakam muamalah Islam perlu dilakukan bagi mengenalpasti aspek-aspek yang selaras dan yang tidak selaras dan seterusnya memberi penyelesaian kepada persoalan-persoalan yang timbul. Walaupun dari segi konsepnya, e-dagang harus menurut muamalah Islam namun adalah tidak tepat untuk menjadikan hukum harus ini meliputi keseluruhan aktiviti e-dagang yang berlaku hari ini tanpa melihat kepada pelaksanaannya secara langsung oleh syarikat-syarikat yang terlibat. Kajian langsung terhadap syarikat-syarikat yang terlibat dalam e-dagang memberikan kefahaman yang mendalam tentang operasi e-dagang bagi mengaitkan dengan hukum syarak.

BIBLIOGRAFI

Al-Quran al-Karim

Mustofa Al-Khin (Dr.), Mustofa Al-Bugho (Dr.), Ali Asy-Syarbaji. 2004. Kitab Fiqh Mazhab Syafie (Jilid 6). Terj. Ust Solehan bin Ayub. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd., hlm. 1000.

al-Zuhayli, Wahbah. (1973). al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu. Beirut: Dar al-Fikr.

Adila, N., Noor, M., Azlina, N., Noor, M., Secara, A., Elektronik, A. P., & Kehadiran, P. (2008). KONTRAK E-DAGANG: PERBANDINGAN AQAD (KONTRAK) DALAM MUAMALAH ISLAM. In International Conference on Entrepreneurship 2008. Meritus Pelangi Beach Resort & Spa, Langkawi.

Fakhruddin, M., & Ishak, B. I. N. (2010). KESAN TEKNOLOGI MODEN TERHADAP PERUBAHAN HUKUM : ANALISIS TERHADAP PENGGUNAAN SHORT MESSAGE SERVICE (SMS). Universiti Malaya.

Mat Arisah, F., Zainal Badari, S. A., & Hashim, A. H. (2016). Amalan Pembelian Secara Atas Talian ( Online ) dan Faktor-Faktor Mempengaruhi. Malaysia Journal of Social Sciences and Humanities, 1(3), 111–123.

Mat Jusoh, A. J., Borhan, J. T., Ismail, A. F., & S.Ali, S. R. (2014). Prinsip-Prinsip Syariah dan Aplikasinya Dalam Transaksi Perniagaan Pasaran Modal Islam di Malaysia Buku Secara Elektronik (E-Dagang) di Malaysia. Jurnal Muamalat,7, 49.

Rosland, A., & Tamkin, J. (2013). Akad dalam Perbankan Internet. Jurnal Teknologi, 1(October 2013), 45–50. https://doi.org/10.11113/jt.v65.1629

Mat Jusoh, A. J., Borhan, J. T., & Zakaria, M. B. (2015). Isu-isu Syariah Dalam Pelaksanaan E-Dagang. Jurnal Islam Dan Masyarakat Kontemporari, 10, 24–40. Retrieved from https://journal.unisza.edu.my/jimk/index.php/jimk/article/viewFile/81/68

Muttaqin, A. (2010). Transaksi E-Commerce Dalam Tinjauan Hukum Jual Beli Islam. Ulumuddin,VI, 459–467. Retrieved from http://ejournal.umm.ac.id/index.php/jphi/article/view/1304

Advertisements
Posted in master, OUM, peguam, peguamsyarie, syariah, undang-undang

Result Proposal Master OUM

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah 🙂

Proposal master aku university approved without correction. So dah boleh start menulis. Kalau ikut perkiraan aku, actually every month aku perlu habiskan satu chapter untuk pastikan at the end of the date, aku submit on time without any delay. huhu.

Tapi ni dah masuk Februari 2018 and aku belum buat lagi even satu page dalam chapter 1. HAHA. okay tak kelakar tau!

Its quite tough sebenarnya sambung belajar and kerja. Banyak time aku down, tapi time down, aku akan ingat mak aku, moga dia baik-baik Disana. Dan aku akan okay balik. hehe.

Wish me luck gais!Thankyou xoxo.

Any question regarding undang-undang syariah you may drop dekat emel aku norhanani.hdzm@gmail.com atau hdzm.legal@gmail.com.

Regards,
Cik Puan Hanani.

Posted in master, OUM, peguam, peguamsyarie, pentadbiran undang-undang islam di malaysia, syariah, Uncategorized

Polemik Isu Anak Tak Sah Taraf

  1. PENGENALAN

Penggubalan undang-undang keluarga Islam oleh setiap negeri di Malaysia adalah antara lain bertujuan bagi memelihara kesucian institusi perkahwinan dan umat Islam di negara ini. Sebagai contoh prosedur kebenaran berkahwin, prosedur berpoligami, pembubaran perkahwinan dan penalti bagi yang melanggar peruntukan-peruntukan di dalam undang-undang tersebut.

Baru-baru ini negara kita digemparkan dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada Julai 2017 yang membenarkan permohonan anak tidak sah taraf untuk dibinkan atau dibintikan kepada bapa biologinya yang mana kanak-kanak tersebut dilahirkan selepas 5 bulan 24 hari (atau 5 bulan 27 hari menurut kalendar Qamariah) selepas ibu bapanya bernikah. Ini secara jelas menjadikan keputusan tersebut adalah tidak selari dengan keputusan majlis Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia berkaitan dengan anak tak sah taraf dengan menyatakan fatwa tersebut adalah tidak mempunyai kuasa undang-undang. Keputusan ini telah menjadi polemik dalam kalangan masyarakat termasuklah golongan akademik dan pengamal undang-undang. Namun setakat status terkini, keputusan kes ini telah dirayu oleh kerajaan persekutuan melalui peguam negara ke Mahkamah Persekutuan dan masih dalam prosiding.

Polemik dalam isu anak tak sah taraf ini bukanlah satu isu baru dalam negara kita. Malah perkara ini juga telah wujud sejak zaman jahiliah yang mana berkaitan dengan anak-anak hasil zina. Islam telah mendepani isu ini secara duniawi dan ukhrawi melalui wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah S.A.W. Sebelum ini disebut sebagai ‘Anak Zina’, kemudian dilunakkan panggilan dengan ‘Anak Luar Nikah’ dan seterusnya dilunakkan sebagai ‘Anak Tak Sah Taraf’. Apa juga gelaran yang diberikan, ia adalah golongan yang sama namun dilihat dari perspektif atau persekitaran yang berbeza.

Tugasan ini adalah bertujuan bagi menganalisis polemik yang berlaku dalam masyarakat berkenaan dengan isu ini dari sudut undang-undang khususnya undang-undang Islam yang berkuatkuasa di Malaysia selain daripada turut mengenalpasti bidangkuasa mahkamah syariah dalam isu anak tak sah taraf.

Perbincangan ini dibahagikan kepada lima bahagian iaitu pengenalan yang menjelaskan secara ringkas namun padat berkenaan dengan anak tak sah rataf dan statistik kepada keberadaan anak tak sah taraf tersebut saban tahun selain daripada menyatakan objektif kepada tugasan ini. Bahagian kedua pula berkenaan dengan kedudukan anak tak sah taraf menurut hukum syara’ antaranya melalui pandangan mazhab dan fuqaha’ serta melalui pandangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Bahagian ketiga adalah berkaitan dengan peranan dan bidangkuasa mahkamah syariah bersangkutan dengan isu anak tak sah taraf antara lain dari sudut perwalian, pewarisan dan nasab keturunan. Bahagian keempat akan membincangkan berkenaan dengan cadangan dalam mengharmonikan isu anak tak sah taraf dengan masyarakat Malaysia yang terdiri dari pelbagai bidang dan disiplin ilmu malah sehingga ke masyarakat awam. Bahagian terakhir dalam perbincangan ini adalah rumusan dan kesimpulan secara keseluruhan berkenaan dengan anak tak sah taraf serta perkaitan menurut undang-undang Islam yang terpakai di Malaysia dan kesan kepada undang-undang tersebut.

  1. KONSEP ANAK TAK SAH TARAF

2.1       HUKUM SYARA’

Mengikut syariat Islam, konsep sah taraf merujuk kepada perakuan yang diperolehi oleh anak berkenaan sebagai anak yang sah kepada bapa berkenaan.  (Ismail, 2013) Anak tak sah taraf disebut sebagai walad al-zina yang bermaksud anak zina atau anak luar nikah. Zina dari sudut istilah ialah antaranya bererti seseorang lelaki menyetubuhi seorang perempuan pada qubul (qubul bukan dimaksudkan persetubuhan di dalam dubur pada lelaki atau perempuan. Perbuatan ini tidak dinamakan zina di sisi Imam Abu Hanifah tetapi zina di sisi Muhammad dan Abu Yusuf, ulama Syafi’i, Hanbali dan Maliki), bukan yang dimiliki dan syubhah. Seseorang anak dihukumkan sebagai anak zina jika kelahirannya melalui persetubuhan tanpa pernikahan yang sah dan dinasabkan kepada ibunya bukan kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya. (Ahmad & Md. Dahlan, 2016)

Para fuqaha bersepakat bahawa seseorang anak hanya boleh dinasabkan kepada lelaki dan perempuan yang melakukan persetubuhan, jika perkahwinan mereka sah di sisi hukum syarak, pemilikan atau syubhah. Sekiranya anak tersebut dilahirkan melalui perzinaan, maka anak itu tidak boleh dinasabkan kepada penzina lelaki dan tidak boleh mewarisi hartanya. Oleh itu, kesahtarafan seseorang anak merujuk perkahwinan yang sah antara kedua-dua ibu bapanya. Rasulullah S.A.W bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Muslim  di dalam Sahih Muslim bab al-Waladu lil firash kitab al-Radha’ yang bermaksud:

‘Anak adalah hak pemilik hamparan (al-firash) sedangkan orang orang yang berzina (al-‘ahir) haknya adalah batu’

Menurut al-Nawawi, lilwalid lilfirash bermaksud seseorang lelaki yang mempunyai isteri atau hamba perempuan yang dimilik akan menjadi firash  baginya jika lahir anak dalam jangka masa enam bulan dari waktu persetubuhan, maka lelaki tersebut akan menjadi bapa kepada anak tersebut dan kedua-duanya berhak mewarisi mengikut hukum perwarisan.

Imam Maliki dan Syafi’i serta ulama lain mensyaratkan bahawa anak akan dinasabkan kepada lelaki yang menyetubuhi seseorang isteri atau hamba perempuan yang dimiliki dan menjadi firash dari waktu persetubuhan.

Manakala Abu Hanifah pula tidak mensyaratkan dari waktu persetubuhan melainkan

memadai dengan adanya akad. Kalimah al-‘Aahir bermaksud “penzina”, manakala al-hijr bermaksud “menyekat seseorang anak daripada memanggilnya”. Menurut al-Qurtubi, kedua-dua perkataan tersebut bermaksud merejam dengan batu kepada penzina yang muhsan.

Menurut hukum syarak, kelahiran seseorang anak sama ada secara sah taraf atau tidak sah taraf dinasabkan kepada ibunya. Pensabitan nasab seseorang anak kepada bapanya hendaklah dilihat sama ada sesuatu perkahwinan itu sah, fasid atau syubhah. Oleh itu, seseorang anak boleh dinasabkan kepada bapanya berdasarkan tiga kaedah, iaitu:-

  1. firash (hamparan);
  2. bayyinah (keterangan); dan
  3. iqrar (pengakuan).

Kaedah Hamparan (firash)

Firash ialah perempuan yang dijadikan hamparan lelaki dan bersedap-sedapan dengannya. Firash juga merujuk seorang wanita yang ditentukan untuk melahirkan anak bagi individu tertentu. Firash terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu:-

  1. firash isteri;
  2. firash hamba perempuan; dan
  3. shibhu al-firash.

Firash Isteri

Menurut fuqaha, seseorang isteri yang melahirkan anak melalui perkahwinan yang sah atau fasid hendaklah dinasabkan kepada suaminya. Pandangan fuqaha adalah berdasarkan hadis yang bermaksud “Seorang anak adalah milik tuan firash”. Sekiranya berlaku perceraian bagi perkahwinan fasid sebelum tamat tempoh hamil maksimum dari tarikh perceraian dan genap enam bulan atau lebih dari waktu persetubuhan hendaklah dinasabkan kepada lelaki tersebut. Pensabitan nasab secara firash ini hendaklah memenuhi tiga syarat, iaitu:-

  1. Suami mampu menghamilkan isterinya setelah baligh menurut mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi’i atau hampir baligh (murahiq) menurut mazhab Hanbali. Suami juga mempunyai alat kelamin yang sempurna, tidak cacat dan berupaya menyetubuhi isterinya.
  2. Suami dan isteri mempunyai keadaan tertentu yang membolehkan mereka bersetubuh selepas diakadkan.
  3. Anak tersebut dilahirkan selepas enam bulan dari tarikh akad menurut mazhab Hanafi dan jumhur ulama mensyaratkan anak tersebut lahir setelah mencapai usia enam bulan dari waktu bersetubuh.

Firash Hamba Perempuan

Menurut mazhab Hanafi, firash hamba tidak boleh dinasabkan, kecuali ada pengakuan tuannya bahawa anak tersebut ialah anaknya. Jika tuannya menafikan, maka anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepadanya. Menurut jumhur ulama, selain Hanafi, seorang hamba perempuan akan menjadi firash kepada tuannya apabila tuannya mengaku telah menyetubuhi hambanya itu. Hadis Rasulullah SAW di dalam Fath al-Bari Syarah Sahih al-Bukhari kitab al-Buyu’ dalam bab Syira’ al-Mamluk min al-Harabiyy wa Hibatihi wa ‘Itaqihi yang bermaksud:

“Saad bin Abi Waqqas telah bertelingkah dengan Abd. bin Zamaah tentang seorang budak. Saad berkata, “Wahai Rasulullah, budak ini ialah anak kepada saudaraku, Utbah bin Abi Waqqas yang mengaku kepadaku bahawa budak itu ialah anaknya. Cuba kamu lihat persamaannya.” Kata Abd. bin Zamaah pula, “Budak ini ialah saudaraku wahai Rasulullah, dia dilahirkan oleh hamba perempuan bapaku.” Rasulullah melihat wajahnya dan mendapati sangat mirip dengan Utbah. Baginda bersabda, “Dia ialah hak kamu wahai Abd., seorang anak adalah bagi tuan firash. Wahai Sawdah binti Zamaah hendaklah kamu berhijab daripadanya.” Kata Aishah, “Dia (budak itu) tidak pernah melihat Sawdah langsung.”

Oleh itu, anak yang dilahirkan selepas enam bulan atau lebih, anak tersebut dinasabkan kepada tuannya walaupun dinafikannya. Sekiranya hamba perempuan telah suci rahimnya daripada benih tuannya, anak yang lahir selepas enam bulan atau lebih dari waktu istibra (pembersihan rahim) tidak boleh dinasabkan kepada tuannya.

 Shibhu al-Firash

 Shibhu al-firash ialah sabitan nasab melalui persetubuhan syubhah yang terbahagi kepada tiga jenis, iaitu:-

  1. Syubhah milik seperti bapa menyetubuhi hamba perempuan anaknya kerana beranggapan hamba itu halal baginya;
  2. Syubhah pada akad seperti suami telah menyetubuhi isterinya, namun mendapati isterinya ialah saudara perempuan sesusuannya yang haram dikahwini; dan
  3. Syubah dalam perbuatan seperti seorang lelaki telah menyetubuhi seorang perempuan yang disangka isterinya tetapi perempuan itu bukan isterinya. (Muhammad & Ibnu, 1386H)

Oleh itu, seseorang anak lahir setelah genap usia enam bulan atau lebih daripada persetubuhan syubhah, maka anak itu dinasabkan kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya. Sekiranya seseorang anak lahir sebelum genap usia enam bulan dari tarikh persetubuhan syubhah, maka anak itu tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya, kecuali lelaki tersebut mendakwa anak itu daripada benihnya.

Kaedah Keterangan (Bayyinah)

 Bayyinah ialah keterangan yang melibatkan orang yang didakwa bersama-sama pihak lain. Ulama berbeza pendapat tentang bilangan saksi untuk memberikan keterangan. Menurut Imam Maliki, hanya dua orang saksi lelaki sahaja. Menurut Abu Hanifah dan Muhammad, dua orang saksi lelaki atau seorang saksi lelaki bersama-sama dua orang saksi perempuan. Menurut Imam Shafi’i, Imam Hanbali dan Abu Yusuf, kesaksian semua ahli waris sama ada lelaki atau perempuan dibuat berdasarkan khabar yang didengar (tasamu’), iaitu berita yang tersebar luas dan masyhur dalam kalangan orang ramai. Para ulama empat mazhab sepakat mengatakan nasab boleh disabitkan dengan kesaksian berdasarkan berita yang didengar. Abu Hanifah berpendapat tasamu’ ialah berita yang didengar dengan bilangan mutawatir agar dapat diyakini. Menurut Abu Yusuf dan Muhammad, saksi hendaklah mendengar berita yang disaksikan oleh dua orang lelaki atau seorang lelaki bersama-sama dua orang perempuan yang adil. Menurut Maliki, berita itu hendaklah didengar daripada bilangan yang dapat ditentukan kadarnya dan tersebar luas dalam kalangan orang ramai yang adil atau tidak dengan disyaratkan supaya saksi berkata, “kami mendengar sedemikian”. Menurut Imam Shafi’i yang paling rajih, saksi tersebut hendaklah mendengar daripada bilangan yang ramai dan diyakini bahawa mereka tidak berpakat melakukan pendustaan. Pendengaran itu hendaklah memberikan keyakinan atau hampir yakin (al-Zann al-Qawiy) dan saksi berkata “Aku menyaksikan bahawa dia ialah kepunyaannya atau anaknya”.

Kesaksian juga boleh berdasarkan kesan persamaan atau perbezaan (qiyafah). Qiyafah ialah kemahiran suatu golongan bangsa Arab yang dikenali sebagai al-Qafah untuk mengecam keturunan seseorang berdasarkan ciri fizikal seperti kesan tapak kaki, wajah, perwatakan, dan sebagainya. Jumhur ulama (Imam Malik, Imam Shafi’i, Imam Ahmad, Abu Thawr dan Al-Auza’ie) berpendapat qiyafah boleh digunakan untuk menentukan nasab seseorang anak. Pandangan mereka bersandarkan hadis Rasulullah SAW di dalam Sahih Bukhari Bab al-Waladu lil Firash kitab al-Faraid bermaksud:

“Rasulullah SAW telah masuk menemuiku dalam keadaan gembira, wajahnya berseri-seri, baginda terus bersabda, “Tidakkah kamu ketahui bahawa sebentar tadi Mujazziz telah melihat Zaid bin Harithah dan Usamah bin Zaid lalu dia berkata, ‘Sesungguhnya sebahagian tapak kaki ini adalah kepunyaan orang yang sama (keturunan)’”.

Imam Shafi’i mensyaratkan qiyafah boleh diterima sekurang-kurangnya oleh dua orang qaif. Menurut Imam Malik pula, terdapat dua riwayat yang berkait dengan pandangannya, iaitu pertama, menyamai pendapat Imam Shafii dan kedua, memadai seorang qaif sahaja. Selaras dengan perkembangan sains dan teknologi, satu kaedah baru ditemui iaitu Asid Deoksiribonukleik (DNA) sebagai ujian klinikal yang digunakan untuk mengenal pasti keturunan. Tamadun Islam mengiktiraf penggunaan sains dan teknologi kerana mampu menyelesaikan masalah manusia. Pihak yang mempunyai kerjaya dalam bidang ini dianggap pakar kerana pandangan mereka diterima dan diiktiraf oleh mahkamah sebagai al-bayyinah.

Kaedah Pengakuan (Iqrar)

Jika pengakuan nasab dilakukan oleh pengaku sendiri seperti seseorang bapa mengaku bahawa seseorang anak itu ialah anaknya atau seseorang anak mengaku bahawa seseorang itu ialah bapanya. Seseorang bapa yang mengaku bahawa seseorang anak itu ialah anaknya hendaklah memenuhi syarat berikut:-

  1. Seseorang yang diakui sebagai anak itu tidak diketahui nasabnya. Hal ini bererti anak itu tidak mempunyai bapa selain orang yang membuat pengakuan.
  2. Pengakuan itu munasabah dari segi fakta. Misalnya, terdapat jurang perbezaan umur yang munasabah yang menunjukkan antara mereka ada pertalian keluarga.
  3. Pengakuan itu hendaklah diterima oleh orang yang diakui sebagai anak, jika dia telah baligh. Jika belum baligh atau gila, maka pengakuannya tidak diperlukan.
  4. Pengakuan itu tidak melibatkan orang lain. Misalnya pengakuan isteri atau bekas isteri (dalam iddah) bahawa seseorang itu sebagai anaknya, maka pengakuannya hendaklah ditolak kecuali diakui oleh suaminya atau disokong oleh keterangan lain. Keterangan seseorang wanita tidak cukup untuk menasabkan anak kepada suaminya.

Jika pengakuan nasab dibuat oleh orang lain seperti seseorang telah mengaku bahawa individu lain ialah saudara kandungnya yang membuktikan bahawa seorang itu ialah anak bapanya. Pengakuan seperti ini sah jika memenuhi tiga syarat, iaitu syarat (1), (2) dan (3), serta ditambah satu syarat lagi, iaitu pengakuan tersebut mestilah disokong oleh keterangan lain atau diperakukan oleh orang yang terlibat dengan pengakuan ini. Sekiranya tidak ada keterangan lain yang dapat dibuktikan atau orang yang terlibat tidak mengesahkannya, maka pengakuan tersebut akan hanya melibatkan diri pengaku sahaja. Imam Shafi’i, Imam Hanbali dan Abu Yusuf mensyaratkan pengakuan itu hendaklah diperakukan oleh ahli waris sama ada lelaki atau perempuan. (Al-Syarbini, 1371H)

2.2       PANDANGAN JAWATANKUASA FATWA KEBANGSAAN

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam berhubung dengan kedudukan anak tak sah taraf ini yang diadakan pada 1981 membuat keputusan seperti berikut:-

“ Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke 1 yang bersidang pada 28-29 Januari 1981 telah membincangkan penamaan Anak Tak Sah Taraf (Anak Luar Nikah). Muzakarah telah memutuskan bahawa anak zina atau anak luar nikah (anak tak sah taraf) samada diikuti dengan perkahwinan kedua pasangan ibu bapanya atau tidak hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah.”

Berdasarkan kepada muzakarah tersebut, 8 negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Melaka, Sarawak, Negeri Sembilan, Terengganu, Selangor dan Pulau Pinang telah mengadaptasikan dan telah memperjelaskan lagi intipati keputusan itu dalam fatwa di negeri masing-masing walaupun dengan menggunakan pelbagai perkataan (sighah) yang berbeza. Malah lima daripada negeri-negeri tersebut, iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu dan Selangor telah mewartakan fatwa berkenaan.

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bermuzakarah pada 10 Jun 2003 bersetuju mendefinisikan anak tak sah taraf seperti berikut:-

  1. Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah.
  2. Anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut taqwim qamariah daripada tarikh akad nikah.

Walau bagaimanapun, Jawatankuasa Fatwa berkenaan dalam mesyuaratnya pada 27 Julai 2004 telah mengubah ayat “daripada tarikh akad nikah” dihujung parenggan dua menjadi “daripada tarikh tamkin” (setubuh) dengan tujuan untuk memperjelaskan lagi bahawa tempoh 6 bulan 2 saat (lahzah) yang dimaksudkan dalam fatwa sebelumnya tidak bermula pada waktu akad nikah dilakukan tetapi sebaliknya bermula pada ketika terbuka kemungkinan berlaku persetubuhan antara suami isteri berkenaan. Sebagai contoh, perkahwinan berlaku antara wanita tempatan dan lelaki negara lain melalui wakil atau persidangan video, maka masa 6 bulan 2 lahzah itu tidak akan dikira bermula dari tarikh itu tetapi sebaliknya bermula dari tarikh mula-mula lelaki berkenaan sampai di Malaysia. Kerana pada waktu itu barulah persetubuhan mungkin berlaku. (Ismail, 2013)

Terdapat garis panduan penamaann dan kedudkan anak tak sah taraf dari segi hukum syara’ yang dikeluarkan oleh  Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali ke-44 pada 25 Jun 1998 yang dijadikan asas rujukan berkaitan dengan penamaan anak tak sah taraf. Antara lain pada para bahagian penamaan di dalam fatwa tersebut menyatakan bahawa jika seorang perempuan melayu Islam bersekedudukan tanpa nikah samada dengan lelaki Islam atau lelaki bukan Islam dan melahirkan anak, maka anak itu hendaklah dibin atau dibintikan Abdulah atau lain-lain nama ‘Asma al-Husna’ berpangkalkan Abdul.

Pandangan ini kemudiannya telah diterima oleh negeri untuk diwartakan dan seterusnya menjadi fatwa rasmi di negeri masing-masing walaupun terdapat beberapa perbezaan dari segi perkataan namun secara umum, tempoh tersebut adalah sama. Terkini pada 1 Ogos 2017 Mufti Wilayah Persekutuan telah menyatakan bahawa haram menasbakan dengan bin/ binti anak tak sah taraf kepada bapa biologinya.

  1. PERANAN DAN BIDANGKUASA MAHKAMAH SYARIAH BERKAITAN ANAK TAK SAH TARAF

Bagi melihat kedudukan anak tak sah taraf dalam kerangka peranan dan bidangkuasa di mahkamah syariah, undang-undang di peringkat negeri perlulah diteliti memandangkan bidangkuasa mahkamah syariah adalah tertakluk di bawah kerajaan negeri masing-masing. Model undang-undang peringkat Negeri Selangor digunakan dalam tugasan ini memandangkan Selangor adalah negeri yang dihadapan dalam pindaan dan pemerkasaan undang-undang syariah. Antara dua enakmen yang penting yang dirujuk ialah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 dan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor. Walaubagaimanpun penelitian dalam tugasan ini diberikan secara lebih terperinci di dalam enakmen undang-undang keluarga memandangkan peruntukan ini adalah antara lain menjelaskan berkenaan dengan penasaban anak tak sah taraf, nafkah anak tak sah taraf dan hak hadhanah bagi anak tak sah taraf. Manakala peruntukan di dalam enakmen jenayah adalah berkenaan dengan hukuman kepada ke arah kewujudan anak tak sah taraf antara lain melalui sumbang mahram, zina dan persetubuhan luar nikah. (Mat Rashid & Abdul Hamid, 2014)

Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003

Tafsiran Anak Tak Sah Taraf

Seksyen 2 memberikan tafsiran bahawa anak tak sah taraf merujuk kepada anak yang dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah. Peruntukan ini tidak mencakupi anak tak sahtaraf yang dilahirkan melalui teknologi yang tidak mematuhi syarak sepeti penghasilan bayi tabung uji yang tidak menggunakan benih yang sah.

Penasaban Anak Tak Sah Taraf

Seksyen 111 sehingga Seksyen 120 menerangkan berkenaan dengan kesahtarafan anak. Tugasan ini merujuk kepada peruntukan yang sering digunakan dalam mahkamah syariah bagi mengesahtarafkan anak tersebut.

Seksyen 111 memperuntukan bahawa jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh, dengan cara lia’n atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan mahkamah. Menurut peruntukan ini, seorang lelaki yang dikahwini seorang perempuan hendaklah disifatkan sebagai bapa sekiranya perempuan itu melahirkan seorang anak dalam tempoh yang telah dinyatakan.

Seksyen 115 memperuntukan bahawa jika seseorang lelaki mengaku seorang lain, sama ada dengan nyata atau dengan tersirat, sebagai anaknya yang sah, lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu jika, syarat-syarat yang berikut dipenuhi, iaitu:-

(a) tiada seseorang lain disifatkan sebagai bapa anak itu;

(b) perbezaan antara umur lelaki itu dengan umur anak itu memunasabahkan   pertalian antara mereka sebagai bapa dan anak;

(c) jika anak itu telah akil baligh, di mana dia boleh membuat keputusan, anak itu telah mempersetujui tentang dia diakui sebagai anak;

(d) lelaki dan ibu anak itu mungkin boleh disatukan dengan sah dalam perkahwinan pada masa pembenihan;

(e) pengakuan itu bukannya cuma mengakui anak itu sebagai anaknya, bahkan mengakui anak itu sebagai anak sahtarafnya;

(f) lelaki itu adalah berkeupayaan membuat kontrak;

(g) pengakuan itu dibuat dengan tujuan semata-mata untuk memberi taraf kesahtarafan; atau

(h) pengakuan itu adalah jelas maksudnya dan anak itu adalah diakui sebagai anak kandungnya.

Seksyen 116 adalah berkaitan anggapan yang berbangkit dari pengakuan yang dibuat oleh seseorang bahawa dia adalah bapa kepada seseorang yang diakuinya sebagai anak boleh dipatahkan hanya dengan –

(a) penolakan di pihak orang yang telah diakui sebagai anak itu;

(b) bukti bahawa perbezaan umur antara pihak yang mengaku dan pihak yang diakui adalah sebegitu kecil, atau bahawa umur pihak yang diakui adalah sebegitu tinggi, hingga menyebabkan pertalian yang dikatakan itu mustahil dari segi fizikal;

(c) bukti bahawa pihak yang diakui itu adalah sebenarnya anak seorang lain; atau

(d) bukti bahawa ibu anak itu tidak mungkin menjadi isteri yang sah kepada pihak yang mengaku pada masa percantuman benih anak itu.

Seksyen 120 berhubung pengakuan yang tidak boleh dibatalkan yang mana sesudah sahaja pengakuan atau pengesahan dibuat tentang pertalian sebagai bapa dan anak atau tentang perkeluargaan atau persaudaraan, maka pengakuan atau pengesahan tersebut tidak boleh dibatalkan.

 Nafkah Anak

Secara jelas nafkah anak tak sah taraf ialah oleh ibu yang melahirkan atau waris ibu. Seksyen 81 memperuntukkan bahawa kewajipan menanggung nafkah anak-anak tak sahtaraf adalah tertakluk sebagaimana berikut:-

(1) Jika seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah seseorang anaknya yang tak sahtaraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat rogol, Mahkamah boleh, apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya, memerintahkan perempuan itu memberi apa-apa elaun bulanan yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.

(2) Elaun bulanan di bawah seksyen ini hendaklah kena dibayar dari tarikh bermulanya kecuaian atau keengganan menanggung nafkah itu atau dari sesuatu tarikh yang kemudian mengikut sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu.

Hadhanah

Seksyen 86, Penjagaan kanak-kanak tak sah taraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu. Ini bermaksud pengjagaan anak tak sah taraf adalah bukan kepada bapa biologinya.

Selain daripada enakmen-enakmen negeri, fatwa negeri-negeri yang digazetkan juga adalah merupakan bentuk undang-undang yang digunakan dalam penentuan isu anak tak sah taraf. Fatwa negeri adalah berasaskan kepada hukum syara’ dan pandangan fuqaha’ yang mana hukum syara’ juga adalah merupakan rujukan yang perlu dibuat sekiranya terdapat lakuna dalam enakmen negeri-negeri. Ini jelas diperuntukan di dalam Seksyen 245 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2003 serta turut juga diperuntukan di dalam enakmen yang sama di negeri-negeri lain.

Berdasarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali Ke-44 juga menyatakan bahawa anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.  Fatwa ini juga menjelaskan berkenaan dengan anak tak sah taraf  antara lain ialah:-

  1. Pusaka

Anak tak sah taraf tidak terputus hubungan keturunan dengan ibunya. Oleh itu kedua-duanya boleh mewarisi pusaka antara satu sama lain.  Jika ibu meninggal dunia, maka dia berhak mewarisi pusaka ibunya bersama-sama ahli waris yang lain. Begitu juga sekiranya anak tak sah taraf itu meninggal dunia terlebih dahulu, ibunya berhak mewarisi pusakanya. Seseorang anak tak sah taraf adalah terputus hubungan daripada sei pusaka dengan bapanya tak sah taraf dan dia tidak menjadi ahli waris dan tidak berhak mewarisi pusaka bapanya dan sebaliknya.

  1. Perwalian

Hak perwalian diri anak tak sah taraf sebenarnya terletak kepada ibunya. Walaubagimanapun, perwalian perkahwinan seseorang anak tak sah taraf dipegang oleh wali hakim. Ini adalah kerana seseorang perempuan itu tidak sah menjadi wali di dalam apa juga perkahwinan. Lelaki yang menyetubuhi ibunya tanpa akan nikah sah, sama dia berkahwin atau tidak dengan ibunya selepas itu, tidak sah menjadi walinya. 

  1. CADANGAN BAGI PENGHARMONIAN ISU ANAK TAK SAH TARAF DALAM KONTEKS MASYARAKAT MALAYSIA

Dari sudut sosiologi dan kemasyarakatan, menurut kajian Abd. Ghani Ahmad dan Nuarrul Hilal Md. Dahlan dalam ‘Kewajipan Menanggung Nafkah Anak Tak Sah taraf: Satu Kajian Kes di Negeri Kedah’, gejala kelahiran anak luar nikah atau anak tak sah taraf kini sudah menjadi isu besar kepada negara dan sangat membimbangkan masyarakat pada hari ini. Kisah pembunuhan dan pembuangan bayi sentiasa didedahkan oleh media, manakala jumlah wanita hamil luar nikah yang ditempatkan di pusat pemulihan semakin meningkat dari semasa ke semasa. Kebanyakan mereka terdiri daripada orang Melayu yang beragama Islam. Pelbagai pendekatan dan kaedah pelaksanaan, serta penguatkuasaan telah diperkenalkan oleh pihak berkuasa untuk mengurangkan kelahiran anak tak sah taraf tetapi masih tidak membuahkan hasil yang memberangsangkan. Menurut YB Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Timbalan Menteri Dalam Negeri dalam Persidangan Parlimen Malaysia yang bertarikh 18 Mac 2014 dan 19 Mac 2014 tentang kelahiran anak luar nikah oleh gadis bawah umur (16 tahun ke bawah), perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada tahun 2012–2013 mendapati jumlah anak luar nikah bagi gadis bawah umur yang melibatkan bangsa Melayu ialah seramai 1490 orang, manakala gadis bukan Melayu adalah seramai 1836 orang. Kes rogol gadis bawah umur yang dilaporkan kepada polis yang melibatkan bangsa Melayu pula ialah seramai 2390 orang, manakala yang melibatkan gadis bukan Melayu ialah seramai 584 orang. Sementara itu, kes rogol gadis bawah umur yang melibatkan gadis bukan Melayu yang tidak dilaporkan kepada polis berjumlah 1252 orang. (Ahmad & Md. Dahlan, 2016)

Merujuk kepada kenyataan Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri pada 1 Ogos 2017 melalui slot Bayan Linnas Siri Ke-106 : Isu Penamaan “Bin/Binti Abdullah” Kepada Anak Tidak Sah Taraf Oleh Mahkamah Rayuan, anak yang tidak sah taraf bukanlah hina dan tiadalah ia berdosa kerana kesilapan yang dilakukan oleh kedua orang tuanya. Ini kerana prinsip Islam, seseorang tidak menanggung dosa orang lain. Justeru, hendaklah kita menghormati hak dan privasinya kerana dia tetap manusia yang kemuliaan di sisi Allah berasaskan siapa yang paling bertakwa antara kita.

Perhatikan bagaimana Allah SWT menyuruh kita berkelaku dengan orang yang tidak diketahui bapanya dalam Surah al-Ahzab aayat 5 yang bermaksud:

“Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seugama.”

Bagi mengharmonikan isu ini dalam kalangan masyarakat Malaysia selari dengan ayat al-Qur’an, hadis, pandangan jumhur, hukum syara’ dan peruntukan undang-undang dan menolak stigma negetif masyarakat berkenaan kedudukan anak tak sah taraf, adalah antaranya melalui beberapa cadangan berikut:-

  1. Menisbahkan anak tak dah taraf kepada Abdullah atau mana-mana nama yang dimulakan dengan Abdul seperti ‘bin Abdul Ghani’, ‘bin Abdul Rahman’, ‘bin Abdul Latif’ atau mana-mana Asma ul-Husna.
  2. Mensabitkan nasab anak kepada ibunya dalam semua kelahiran samada kelahiran syar’ie atau tidak seperti ‘Isa bin Maryam,
  3. Menisbahkan nasab anak tak sah taraf kepada ayahnya seperti ‘Ziyad bin Abihi’

Jadikanlah anak-anak tidak taraf ini sebagai warga istimewa dalam masyarakat dengan memberikan pendidikan yang cukup, nafkah dan memberdayakan mereka supaya mereka tidak terkesan dengan tragedi menimpa diri mereka kerana mereka dianggap sebagai keluarga oleh masyarakat Islam.

  1. KESIMPULAN

 Perlu ditegaskan bahawa kedudukan anak tak sah taraf sama sekali tidak menjejaskan hak-hak kemanusiaan seperti manusia yang lain dalam politik, sosial dan ekomoni seperti keagamaan, kewarganegaraan, pendidikan, perjawatan awam kerajaan, biasiswa dan lain-lain. Anak tak sah taraf tetap mulia dan disanjung jika berilmu, profesional dan bertaqwa.

Anak tak sah taraf diberikan kepercayaan dan kedudukan yang tinggi tanpa pilih kasih menurut kemampuannya. Mereka berhak diberikan peluang yang sama dan adil dengan anak sah taraf untuk memberi sumbangan dalam negara. Ini dapat dilihat tindakan Umar R.A yang memilih Ziyad sebagai pemimpin menenangkan kekacauan di Yaman dan sahabat-sahabat memberikan pengiktirafan kepada beliau tanpa mempersoalkan keturunannya.

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang bersidang pada 31 Julai 2017 telah memutuskan bahawa anak yang tidak sah taraf tidak boleh dibinkan atau dibintikan kepada ayah biologinya, seperti mana yang diputuskan oleh Jumhur ulama. Sehubungan dengan itu, hendaklah dinasabkan kepada Abdullah atau kepada nama-nama Allah yang mulia atau seperti cadangan yang dinyatakan di atas. Mesyuarat juga bersetuju bahawa asas yang digunapakai ialah maslahah umum (iaituß implikasi zina yang merosakkan masyarakat dan sistem keluarga secara keseluruhan) lebih utama dijaga berbanding maslahah khusus (yakni aib yang mungkin dialami oleh anak zina). Ini bertepatan dengan maqasid al-syariah yang meletakkan pemeliharaan nasab sebagai dharuriyyah (kepentingan yang sangat penting) di dalam Islam.

Pengecualian juga wajar diberikan kepada keluarga yang memeluk Islam dengan perkahwinan yang diiktiraf oleh undang-undang sivil atau undang-undang adat kerana dikiaskan dengan zaman jahiliyyah, maka anak yang dianggap sah taraf dalam perkahwinan sivil atau adat itu dianggap sah taraf juga di dalam Islam.

BIBLIOGRAFI

 Al-Quran al-Karim

Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003

Al-Syarbini, & Al-Khatib, S. A.-D. M. (1371M). Mughni Al-Muhtaj (3rd ed.). Kaherah: Sharikat Wa Katbat Wa Matba’at Mustafa Al-Babiyy Al-Halabiyy Wa Awladuh.

Ibnu, A., & Muhammad, A. (1386H). Mughni Al-Muhtaj (3rd ed.). Kaherah: Maktabah Al-Jumhuriyyah Al-Arabiyah.

Mat Rashid, A., & Abdul Hamid, N. ’Adha. (2014). Kajian Awal Kerangka Undang-Undang Sedia Ada Bagi Anak Tak Sah Taraf. E-Jurnal Penyelidikan Dan Inovasi, 1(2), 84–99.

Hj. Ismail, P. (2013). Anak Tak Sah Taraf Dari Perspektif Syariah Dan Perundangan Islam Di Malaysia. Jurnal Fiqh, 10, 77–90.

Ahmad, A. G., & Md. Dahlan, N. H. (2016). Kewajipan Menanggung Nafkah Anak Tak Sah Taraf: Satu Kajian Kes Di Negeri Kedah. Jurnal Kanun, 2(28), 214 –241.

Portal Rasmi Fatwa Malaysia. (1988). GARIS PANDUAN PENAMAAN DAN KEDUDUKAN ANAK TAK SAH TARAF DARI SEGI SYARAK. Retrieved November 1, 2017 from http://www.e-fatwa.gov.my/sites/default/files/garis_panduan_penamaan_dan_kedudukan_anak_tak_sah_taraf_dari_segi_syarak.pdf

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. (2017). BAYAN LINNAS SIRI KE-106: ISU PENAMAAN “BIN/BINTI ABDULLAH” KEPADA ANAK TIDAK SAH TARAF OLEH MAHKAMAH RAYUAN. Retrieved November 1, 2017, from http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/bayan-linnas/1714-bayan-linnas-siri-ke-106-isu-penamaan-bin-binti-abdullah-kepada-anak-tidak-sah-taraf-oleh-mahkamah-rayuan

Posted in peguam, peguamsyarie, Uncategorized, undang-undang

Berbaloi lantik Peguam?

Saya sedang menyiapkan saman dan penyata tuntutan untuk beberapa tuntutan kes di Mahkamah Syariah dan Sivil yang telah tertangguh agak lama sejak dari anakguam membuat bayaran dan menyediakan dokumen lengkap kepada saya. (Ya, diakui ada sedikit kegagalan dalam pengurusan masa saya).

Namun, saya terpanggil untuk membuat suatu entri berkenaan dengan lantikan seseorang yang ahli berkenaan dengan undang-undang (Peguam) dalam membantu orang awam untuk membuat tuntutan di mahkamah selepas membaca beberapa entri di blog berkenaan dengan keberbaloian lantikan seseorang peguam.

Nak ketawa, tapi apakan daya, proses pembelajaran 4 tahun degree dan 2 tahun asasi di Universiti Malaya mungkin adalah satu proses singkat yang orang awam rasa dan menjadikan mereka merasakan bahawa melantik peguam adalah merugikan dengan caj yang tinggi sedangkan orang awam tersebut sendiri boleh melakukan urusan di mahkamah secara sendiri.

Pada saya terdapat 3 keadaan yang memungkinkan lantikan peguam tidak perlu dilakukan iaitu:-

  1. Anda tahu segala bentuk prosedur undang-undang termasuk seksyen berkaitan yang akan digunakan dalam tuntutan anda;
  2. Anda tahu dengan jelas tuntutan yang perlu anda buat beserta dengan fakta kes dan bahan bukti serta keterangan pada perbicaraan kelak; dan
  3. Anda tahu bagaimana untuk mempastikan perintah Mahkamah yang diperolehi akan berjaya untuk dilaksanakan oleh pihak satu lagi.

Secara umum ia adalah soal, pra bicara, bicara dan selepas bicara.

Jadi jika anda tahu semua ini, berlapang dadalah untuk tidak perlu melantik mana-mana peguam dalam tuntutan anda di mahkamah.

Suka untuk saya kongsi satu analogi:-

Kita mempunyai pelbagai keinginan dalam membeli sebuah kereta. Berdasarkan kehendak, kita ingin memiliki sebuah kereta import berbanding kereta tempatan.

Namun kita memutuskan untuk mahukan kereta import dengan harga tempatan. Kita masih dapat kereta import, namun dengan harga tempatan, ia bukanlah sebuah kereta yang mampu digunakan tanpa sebarang kerosakan dalam tempoh 1 ke 2 tahun.

Lantas akhirnya, setelah baikpulih demi baikpulih yang dilakukan menyamai malah lebih murah harga kereta tempatan yang juga berstatus tempatan, kita menyesali keputusan kita terdahulu.

Lantikan peguam bukan soal caj fee yang dikenakan (sekiranya berkemampuan), ia soal pengetahun tentang undang-undang seseorang peguam tersebut serta peratusan permohonan seseorang akan diluluskan oleh Mahkamah atau sebaliknya.

Jadi, berbaloi ke lantik peguam?
TEPUK DADA,TANYA SELERA.

Posted in peguamsyarie, syariah

KAWAN LAMA – OFIS LAMA

HAHA.

Hantar kawan ke ofis di kawasan Bandar Sri Permaisuri, Cheras.
Tiba- tiba teringat ofis lama – ofismate lama di ndnco . Singgah Sebentar. Call.

Jom minum?

Ambil masa satu jam, Borak- borak cerita ofis lama. Orang ofis lama juga cari ofis baru. HAHA.

=============================================================

Di usia 26 tahun, aku sendiri masih belum tahu apa aku mahu, sehinggalah aku rasa, saat ini baru aku jumpa, aku sebetulnya menjadi seorang peguam syarie yang betul-betul peguam dan betul-betul syarie.

Aku minat menulis dan kadang-kadang minat membaca. Dan aku juga suka tolong orang. Kalau mampu, aku nak tolong semua orang dalam kesusahan tanpa aku minta diberi ganjaran / penghargaan / bayaran semula pun. Bukan mahu mengangkat bakul sendiri, tapi itulah aku.

Mari sini aku share satu cerita. Aku copy dari status fb aku jelah, sebab kalau taip pun benda yang sama.

————————————————————————————————————–

Tadi, ada client di court. Client baru minta untuk diconsult. Saya cerita lah sikit sikit tuntutan selepas pemceraian satu persatu. Usai senaraikan dan cerita. Dia tidak faham pada apa yang saya senaraikan. Apa itu harta sepencarian. Nafkah. Mutaah.

Terlintas dalam hati. Ramai lagi ummat tidak tahu. Kalau tengok pada pembetangan bajet 2015 ke arah mensejahterakan rakyat hak wanita dijaga, tapi masih ramai yang tak tahu hak wanita selepas penceraian (ok ini bukan isu saya).

Saya sambung bercerita tentang nafkah eddah. Saya kata dalam tempoh eddah . client kata saya tak dapat apa2 nafkah kecuali duit sewa rumah yang dibayar kepada saya. Bekas suami bagi saya untuk belanja saya dan anak2. Saya tanya berapa ringgit. Client jawab MYR1200 sebulan. Tapi itu tidak cukup. Anak saya minum susu Friso.

Saya fahamkan padanya yang dia dapat nafkah eddah tersebut dalam keadaan dia katakan dia tidak mendapatkannya. Akhir dia akur. Dia dapat nafkah eddah tersebut Dan sehingga kini duit tersebut didepositkan ke dalam akaunnya dalam keadaan bekas suami membayar ansuran bulanan rumah yang disewakan itu. (Rumah di Bandar Putra tu besar tahu tak?)

Saya sentuh pula isu harta sepencarian. Katanya kereta yang saya pakai Sekarang suami saya bayar ansuran bulanan. Kereta nama saya. Saya tanya jadi apa isu puan untuk menuntut? Dia diam. Saya geram dengan suami saya. Dia ada perempuan lain.

Saya. Krik krik.

Puan saya tanya apa kepentingan puan untuk menuntut mutaah harta sepencarian dan eddah? Suami puan walaupun sudah bercerai masih membayar kereta dan rumah puan malah duit sewa rumah puan dapat sepenuhnya.

Kalau saya suami puan saya dah tarik semua kemudahan yang saya berikan usai saya lafaz cerai.

Dia diam. Saya sambung.

Saya nampak hadhanah dan nafkah anak sahaja kepentingan pada puan.

Mahu open file?

Dia tunduk. Dan bersalam dengan saya dan kata. Awak belum berkahwin dan masih muda, tapi pandangan awak lebih kehadapan dari saya. Berapa perlu saya bayar untuk consultation INI?

Saya diam.

Seraya berkata. Tidak perlu.

Kan saya sudah bilang. Saya tidak dilahirkan untuk menjadi lawyer. Tidak gemar mencadangkan tuntutan berangkai Dan berantai pada client. Cukup sekadar APA yang perlu.

Nota : Eh kawan ofis lama itu, cepat cepat cari ofis baru! Terima Kasih belanja breakfast!!!

Nota Lagi : Fast and Furious 7 boleh lah dikatakan best. Aku layan sejak Tokyo Drift. Lagu tak kena dengan entry? Dah suka hati lah kan. Ke?