Posted in master, OUM, Uncategorized

Sekularisme : Pertentangan Dengan Keilmuan Islam

  1. PENGENALAN

Dalam pemikiran sekularisme Barat sekular, agama dianggap sebagai satu budaya. Ia dicipta oleh manusia purba. Pencipta alam tidak wujud dan tidak mewahyukan sebarang hukum hakam kepada manusia. Pemikiran sekularisme kini menjadi masalah global kerana hampir semua negara di seluruh dunia melaksanakan sistem sekularisme iaitu memisahkan hal ehwal negara daripada nilai-nilai yang ditetapkan oleh Allah, tuhan semesta alam. Sekularisme kini menjadi penghalang besar kepada manusia jelata untuk mendapat manfaat yang banyak daripada keadilan dan kesempurnaan hukum hakam dan perundangan Allah S.W.T. Islam mampu untuk menyelesaikan masalah sosial yang menjadi-jadi. Islam mempunyai formula yang berkesan untuk menyatupadukan pelbagai bangsa, budaya dan bahasa. Pengkaji-pengkaji di Barat mendapati bahawa ada kuasa pemodal elit antarabngsa ‘Illmuniati’ yang mendapat manfaat daripada keruntuhan moral, keluarga, dan perpecahan di antara satu bangsa dengan bangsa lain malah antara satu kelas dengan kelas yang lain. Sekularisme sebagai suatu fahaman induk melahirkan fahaman materealisme, emfermisme dan humanisme.  (Nordin, 2001)

Menurut Sulaiman Nordin, sekularisme adalah satu konsep yang amat asing dan bertentangan dengan Islam. Islam mencakupi semua aspek kegiatan manusia. Segala gerak laku Muslim sentiasa terikat dalam lingkungan bidangkuasa syariah. Semua bidang aktiviti seorang muslim boleh dianggap ibadah jika ia dilaksanakan menurut perintah-perintah Allah S.W.T. Dunia ini adalah kebun untuk akhirat. Beriman dan berbuat baik di muka bumi adalah bertujuan mencari kerdheaan Allah S.W.T di dunia dan akhirat. Oleh itu, tidak ada sebab mengapa umat Islam perlu meniru gerakan pembebasan (liberal) daripada kokongan agama seperti yang terjadi di Eropah dan dunia barat.

Pada masa kini, fenomena yang berkaitan tentang kerosakan akidah sering kali didengari. Kewujudannya merentasi masa, tempat dan keadaan sama ada di zaman awal peradaban Islam mahupun di zaman ini malah terus berkembang. Memandangkan isu ini berkait rapat dengan agama, maka perhatian berat terhadapnya harus diberikan.

Dapat dilihat kini umat Islam dimunculkan dengan longokan fahaman-fahaman yang dibawa oleh Barat seperti fahaman liberalisme, pluralisme, dan sekularisme yang rata-ratanya adalah sangat menyeleweng dari ajaran Islam sebenar. Jika ajaran atau fahaman sebegini tidak dibendung dengan segera maka akan memberi impak jelas kepada masyarakat Islam masa kini dalam pelbagai isu akidah, akhlak, falsafah dan sebagainya.

Tugasan ini adalah bertujuan bagi menganalisis fahaman sekularisme yang bertentangan dengan kelimuan Islam. Perbincangan ini dibahagikan kepada lima bahagian iaitu pengenalan yang menjelaskan secara ringkas berkenaan dengan fahaman sekularisme yang diwujudkan oleh agenda barat yang mana jelas bertentangan dengan agama Islam. Bahagian kedua pula menjleaskan berkenaan dengan latar belakang dan sejarah kewujudan fahaman sekularisme sehingga menjadikan hampir semua negara di seluruh dunia seolah-olah mengiktiraf fahaman ini dan perlu untuk mengadapatasikan fahaman ini dalam kalangan masyarakat. Bahagian ketiga adalah menyatakan berkenaan dengan bentuk penyelewengan fahaman sekularisme beserta penghujahan dalam menafikan dakwaan tersebut. Bahagian keempat akan. membincangkan berkenaan dengan implikasi fahaman sekularisme terhadap pemikiran masyarakat Malaysia. Bahagian terakhir dalam perbincangan ini adalah rumusan dan kesimpulan secara keseluruhan berkenaan dengan fahaman sekularisme yang tidak wajar untuk diadaptasikan dalam masyarakat kita pada hari ini.

  1. LATAR BELAKANG KEMUNCULAN FAHAMAN SEKULARISME

 Masalah sekularisme adalah masalah kebudayaan barat yang menular dalam pemikiran dan budaya umat Islam dewasa ini. Ia merujuk kepada sifat keduniaan dan tidak berhubung dengan alam rohani atau akhirat. Istilah ini timbul di Eropah pada zaman Renaissance abad 14M-17M yang bererti sekular merujuk kepada yang tidak di bawah pengaruh dan naungan institusi Gereja Katolik Rom. Secara teori ringkas, sekularisme pada zaman itu ialah fahaman falsafah yang memisahkan urusan-urusan agama. Ia meninggalkan peranan agama (Kristian) dan tuhan dari segala urusan kehidupan manusia. Sekularisme juga memisahkan secara mutlak antara ilmu pengetahuan dari pengaruh dan tuntutan institusi Gereja Katolik Rom.

Mengapakah timbulnya pemisah di antara urusan-urusan kehidupan dan agama yang dibawa oleh gereja di Eropah? Dari sudut sejarah, sekularisme adalah merupakan suatu gerakan pembebasan di barat untuk menentang kezaliman yang dilakukan oleh institusi Gereja Katolik Rom di Eropah pada zaman Renaissance. Perlu dibezakan di sini di antara ajaran Kristian (sepertimana di dalam Bible) dan ajaran institusi Gereja Katolik Rom dan amalannya yang telah membuat tambahan-tambahan dalam acara (ritual) tertentu yang tidak mengikut ajaran terkandung di dalam Bible sendiri. (Nordin, 2001)

Beberapa perkara telah menyebabkan timbulnya fahaman sekularisme di Eropah antaranya adalah perbuatan-perbuatan angkuh Institusi Gereja Katolik Rom yang menyelewangkan ajaran Nabi Isa A.S yang asli seperti:-

(a)       Keangkuhan Ruhiyah

Pihak institusi Gereja Katolik mendakwa bahawa paderi-paderi gereja mempunya hubungan batin kepada Allah. Oleh itu mereka mempunyai hubungan batin dengan tuhan. Oleh itu mereka mempunyai kuasa rohain atas manusia kerana mereka menjadi perantara manusia umum dan tuham. Umapnya meminta keselamatan (salvation), dan pengampuan dari dosa kecil atau besar hanya boleh dibuat melalui cara pengakuan (confession) kepada seorang paderi (priest). Paderi setelah mendengar serta menyoal untuk mendapat detail kesalahan itu, barula boleh memberi pengampunan. Juga mengikut Gereja Rom digalakkan untuk meminta sesuatu kepada ibu Nabi Isa A.S bernama ‘St. Mary’ kerana institusi gereja percaya bahawa permintaan Ibu (Maryam) kepada anak (Nabi Isa A.S) sebagai tuhan tidak akan ditolak. Pihak gereja telah menjual sijil pengampunan serta menjamin syurga yang istimewa bagi mereka yang membuat bayaran yang tinggi.

(b)       Keangkuhan Ilmiyah

Pihak gereja menganggap kejahilan itu petua iman dan ilmu membawa kekafiran. Pada masa sebelum zaman Renaissance, pihak gereja menganggap ilmu pengetahuan yang datang dari sumber selain dari mereka adalah berbahaya. Oleh itu mereka memisahkan agama dari ilmu. Pada kebetulannya ada dua sebab yang lain yang mendorong pihak gereja berbuat kemudian. Pertama, ilmu yang membawa kemajuan datang dari orang-orang Islam di universiti-universiti di Andalus (Sepanyol Muslim dan Portugal). Oleh kerana itu ilmu itu akan membawa bersamanya perkembangan Islam dan pemusnahan pengaruh gereja. Kedua, kebanyakan murid-murid dari Eropah yang hendak belajar ilmu hanya didapati di Universiti Islam di Sepanyol. Mereka belajar perubatan, kejuruteraan, matematik, astronomi kimia dan fizik dari ulama’-ulama’ Islam. Maka kesannya pihak gereja sangat marah kepada cendekiawan Eropah yang balik membawa ilmu dari orang Islam dan suka pula bertutur dengan bahasa arab antara mereka. Gereja telah menganggap bahawa bahasa arab adalah bahasa orang kafir.

Oleh itu pihak gereja telah berusaha untuk menentang Islam dan ilmu sekaligus. Maka wujudlah tiga Mahkamah Penyiasatan (Inquisition Court) dari tahun 1481M hingga 1801M untuk menyiasat dan menghukum mereka yang disyaki menjadi pembangkang Gereja Katolik, orang sihir, orang jampi menjampi dan orang-orang ilmuan yang tidak sependapat dengan ajaran gereja dan orang Islam. Seramai 340,000 orang telah dihukum mati dan hampir 32,000 telah dibakar hidup-hidup termasuk ahli sains termasyhur seperti Jurdano Branos yang kesalahannya ialah kerana mengajar bahawa selain dari bumi ini ada planet-planet yang lain. Galileo yang merupakan ahli fizik dihukum mati dalam penjara kerana kepercayaanya bahawa planet bumi ini beredar mengelilingi matahari, satu pendapat yang bertentangan dengan apa yang diutarakan oleh gereja. Galileo telah menyelamatkan dirinya dengan menarik balik pendapatnya. Ahli sains, Corpenicus telah mati sebelum dapat ditangkap oleh mahkamah pengadilan.  Galileo dan Brunos telah mendapat pelajaran sains mereka dari tulisan-tulisan ulama’ di Andalus. (Nordin, 2001)

(c)        Kesilapan Gereja Besar Eropah

 Kesilapan besar Gereja Katolik Rom adalah memusuhi ilmu dan membuat kezaliman dalam ibadah dan tidak mengikut ajaran sebenar Bible. Ilmu dan ibadah kedua-duanya mempunyai kedua-duanya mempunyai kaitan yang rapat dengan fitrah manusia. Fitrah semulajadi manusia suka pada ilmu dan suka membuat ibadah. (Nordin, 2001). Firman Allah S.W.T di dalam surah al-A’raaf ayat 172 yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) ketika tuhanmun mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Alah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (kemudian berfirman): ‘Bukankah Aku ini tuhanmun?’. Mereka menjawab. ‘Betul, (engkau tuhan kami), kami menjadi saksi”

Allah S.W.T juga kemudiannya telah berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 13 yang bermaksud:

“Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya”

 Allah S.W.T turut berfirman di dalam surah al-Alaq ayat 3 – 5 yang bermaksud:

“Bacalah dan Tuhanmulah yang paling pemurah, yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya”

 Secara teori ahli teologi, terdapat beberapa pandangan dalam mengistilahkan sekularisme. Antaranya ialah:-

David Marten menyatakan istilah sekularisme berasal dari bahasa Latin saeculum iaitu secular yang mempunyai banyak dan luas pengertiannya seperti juga perkataan ‘religion’. Manakala Michael Hill pula menyatakan bahawa sekularisme ini adalah merujuk kepada masa dan tempat. (Mohd Aizam, 2012). Syed Muhammad Naguib al-Attas menghuraikan maksud masa ialah masa sekarang yang bersifat kekinian dan tempat pula ialah dunia yang bersifat keduniaan.

Prof. Dr. H.M. Rashidi menyatakan sekularisme adalah sistem etika dan falsafah yang bertujuan memberi interpretasi atau pengaturan kepada kehidupan manusia tanpa kepercayaan kepada Tuhan dan Kitab Suci atau kehidupan di kemudian hari. (H.M, 1972)

Shiner dalam jurnalnya, The Concept of Secularization in Empirical Research menghuraikan pengertian sekularisme ini kepada enam. Iaitu kemerosotan agama, pemindahan orientasi perhatian manusia dari dunia lain kepada dunia ini, kerenggangan masyarakat daripada agama, peralihan kepercayaan dan aktiviti suci kepada sekular semata-mata, dunia secara beransur-ansur akan hilang ciri-ciri sakralnya di mana akhirnya manusia tidak percaya kepada kekuasaan Tuhan (Humanisme) dan pembaharuan masyarakat kudus kepada masyarakat sekular. (Mohd Aizam, 2012)

Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka perkataan sekular ini diertikan sebagai “duniawi”. Manakala kamus Oxford pula ialah keduniaan dan kebendaan tanpa keagamaan dan kerohanian.

George Holyoake menggunakan istilah sekularisme untuk menjelaskan pandangannya bahawa kehidupan sosial adalah terpisah daripada agama, tetapi tidak bermakna ia merendahkan atau mengkritik sebuah kepercayaan beragama. Sebagai seorang agnostik, Holyoake berpendapat bahawa, sekularisme bukanlah menentang Kristian (agama) namun ia adalah sesuatu yang terpisah. (Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), 2015)

Sekularisme yang berasal dari Eropah ini turut diperkukuhkan dengan pemikiran golongan ahli falsafah seperti Machiaveli dan Michael Mountaigne yang mengingkari keberadaan Tuhan atau menolak hegemoni agama dan gereja Katolik. Mereka mengambil jalan tengah iaitu tetap mengakui agama tetapi berpendapat ia tidak seharusnya campur tangan dalam pengaturan urusan masyarakat. Justeru, bagi golongan ini agama tetap diakui kewujudannya tetapi hanya terbatas pada perkara-perkara yang berkaitan dengan hubungan manusia dengan Tuhan (seperti akidah, ibadah ritual dan akhlak). Menurut mereka, agama tidak mengatur urusan masyarakat seperti politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. (Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), 2015)

Dalam konteks keagamaan, masyarakat khususnya di barat pada umumnya dianggap sebagai sekular. Hal ini disebabkan kebebasan beragama diamalkan secara meluas dan penerimaan mereka terhadap konsep sekular itu sendiri iaitu agama tidak seharusnya menentukan keputusan politik atau pemerintahan sesebuah negara. Agama tidak dianggap sebagai fungsi penting mengurus kehidupan manusia dan dunia. Justeru, pada tanggapan golongan berfahaman sekular, agama tidak seharusnya mencampuri urusan serta permasalahan pemerintahan. (Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), 2015)

Menurut kajian Haslinda Hasan (2000), di Malaysia, sekularisme telah dibawa masuk menerusi tahap tahap sejarah tertentu antaranya ialah melalui penjajahan, kemerdekaan dan pemodenan. Tiga tahap sejarah ini adalah alat atau mekanisme utama sekularisme di Malaysia.

Secara ringkas sekularisme adalah fahaman yang mengasingkan urusan keduniaan seperti pentadbiran, ekonomi, politik dan sebagainya daripada bercampur dengan urusan keagamaan atau ketuhanan. Atau ringkasnya, fahaman yang ingin membebaskan din daripada cengkaman atau peraturan agama dalam kehidupan.

  1. BENTUK PENYELEWENGAN FAHAMAN SEKULARISME

Sekular boleh menerima agama sebagai anutan umat semata-mata dan tidak lebih daripada itu. Oleh itu, sekular tetap menolak Islam kerana syariah dan akidah Islam dijadikan sebagai asas dalam kehidupan ini. Ini adalah satu kongkongan dan batasan bagi mereka. Islam hanya diterima sebagai ibadat dan upacara sahaja manakala pengamalannya bergantung kepada individu. Akhlak dan adab Islam diterima tetapi bukan bermaksud mereka terikat dengannya. Semua perkara halal dan haram bergantung kepada individu atau masyarakat, bukannya agama. Sekular hanya akan mengambil perkara tertentu daripada Islam sekiranya ia menepati dan bersesuaian dengan kehendak mereka. Oleh itu, dalam kebanyakan perkara, sekular telah mengisytiharkan perang terhadap Islam. Golongan sekular berpada sekadar mendirikan syiar Islam seperti solat, puasa, haji dan umrah. Tetapi mereka musykil dan tidak memahami Islam secara tepat. Dalam hal ini, mereka juga tidak menjadikan ulama dan pemikir Islam yang dipercayai (thiqah) sebagai rujukan.

Syariah ialah musuh utama sekularis. Ini adalah lanjutan daripada penentangan mereka terhadap agama dan akidah. Syariah Islam banyak bertentangan dengan undang-undang dan falsafah perundangan mereka. Misalnya, pengharaman riba, judi, arak, zina dan sebagainya. Bagi mereka, Allah diakui sebagai pencipta alam sahaja bukan pemerintah seluruh alam. Mereka beranggapan bahawa perundangan dan pemerintahan adalah hak mutlak mereka. Oleh itu, mereka boleh melakukan sesuatu mengikut kehendak dan kemahuan mereka tanpa batasan atau ikatan agama.Mereka ingin membebaskan diri mereka daripada ikatan agama.

Gerakan Kamalisme di Turki adalah merupakan manifestasi terpenting menunjukkan realiti ini. Gerakan ini berdasarkan sekularisme, materialisme, nasionalisme, peoplisme, republikanisme, revolusi dan menjuruskan kepada de-Islamisme. Gerakan ini melakukan pembaharuan undang-undang iaitu undang-undang Barat menggantikan al-Quran dan al-Sunnah. Undang-undang sivil dan Itali, undang-undang perniagaan dan Jerman manakala undang-undang jenayah dari Swiss. (Che Mamat, 1988)

Malah seorang pemimpin politik beraliran Islam di Turki, Reccep Tayyip Erdogan pernah dihukum penjara selama empat bulan dan tidak boleh menjawat apa-apa jawatan dalam tempoh tersebut oleh Mahkamah Perlembagaan Turki atas dakwaan cubaan menghapuskan sistem sekular Turki. Manakala speaker Turki, Bulent Arinc telah dikecam kerana isterinya, Munevver memakai tudung ketika menghadiri satu majlis rasmi. Cara Munevver telah dianggap mencabar prinsip asas negara itu iaitu sekular.

Oleh yang demikian, kelangsungan sekularisme terus menerus berlaku dalam masyarakat Islam. Perasaan ingin maju dan rasa hormat terhadap budaya sekular ini telah menyebabkan masyarakat Islam cuba membebaskan diri daripada pegangan agama sebaliknya menyesuaikan diri dengan nilai-nilai sekular. Ini bukan sahaja berlaku di Turki tetapi telah menular sehingga negara-negara lain seperti Iran, Iraq, Mesir, Algeria, Syria, Tunisia dan lain-lain termasuk Malaysia. (Mohd Aizam, 2012)

Sekularisme adalah satu sistem falsafah politik yang menolak segala bentuk kepercayaan agama dan dalam konteks bernegara, ia mengambil pendekatan memisahkan politik dengan agama. Sekularisme turut meresap masuk ke dalam masyarakat dan negara Islam. Pada era ledakan globalisasi, pengaruhnya semakin kuat sehingga ciri-ciri golongan Muslim yang berpegang pada fahaman sekularisme dapat dikesan menerusi ciri-ciri berikut (Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), 2015):-

  1. Mempunyai perasaan sangsi terhadap kebenaran Islam, al-Qur’an, al-Hadis dan para anbiya’.
  2. Menganggap Islam sekadar sebuah agama dan terbatas pada urusan ibadah serta untuk memenuhi tuntutan kerohanian peribadi dan tiada mempunyai kaitan dengan urusan politik atau pemerintahan.
  3. Mempersoalkan hukum fiqh.
  4. Merendah-rendahkan martabat Islam dengan menganggapnya sebagai satu agama yang mundur, terkebelakang dan jahil.
  5. Membebaskan golongan wanita daripada lingkungan peraturan agama dan adat atas alasan kebebasan individu.
  6. Memandang rendah sejarah modenisasi dan pembangunan serta ilmu pengetahuan Islam.
  7. Menubuh dan menggerakkan pertubuhan-pertubuhan kononya sebagai simbol pembaharuan sejarah, kebudayaan dan peradaban Islam dengan membelakangkan sejarah, adat dan ajaran Islam.
  8. Menerapkan cara hidup barat dalam institusi keluarga, masyarakat dan negara.
  9. Menjauhkan masyarakat dan generasi baharu daripada pendidikan dan nilai-nilai agama.

Fahaman sekularisme merupakan satu ancaman kepada umat Islam. Antaranya termasuklah  (Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), 2015):-

  1. Menolak peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT dan menjauhkan umat daripada syariat Islam dalam segenap aspek kehidupan kaum Muslimin.
  2. Mengguna pakai undang-undang ciptaan manusia yang bersumberkan daripada golongan kuffar berbanding dengan undang-undang yang berasaskan wahyu daripada Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW.
  3. Memberi gambaran yang salah mengenai imej Islam sebagai agama dan umat yang cenderung pada kekacauan dan keganasan dengan memutarbelitkan sejarah keemasan Islam yang berjaya meluaskan penaklukan serta menyebarluaskan ajaran Islam ke seluruh pelusuk dunia.
  4. Menjadikan pendidikan sebagai alat menyebarkan pemikiran sekular.
  5. Menyamaratakan semua agama dengan alasan semua ajaran agama adalah benar dan baik.
  6. Meruntuhkan institusi keluarga yang merupakan asas utama dalam pembinaan masyrakat melalui multimedia (cetak dan elektronik) berhubung kebabsan hidup (agama, cara hidup, gender dan seksualiti) yang akhirnya mengundang kerosakan dari sudut akidah dan akhlak
  7. Mengekang usaha dan aktiviti dakwah Islamiyyah.

 Fahaman sekuralisme ini telah memberi kesan yang sangat mendalam terhadap kedudukan amal perbuatan di sisi iman. Ini kerana sekularisme cuba memisahkan agama daripada segenap bidang kehidupan termasuk politik atau pentadbiran negara, sosial dan ekonomi. Sebaliknya sekularisme menjadikan agama hanya bagi amalan-amalan ritual semata-mata. Fahaman seumpama ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam kerana Islam adalah ad-din yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Ia terangkum dalam firman Allah S.W.T di dalam surah alAn’am ayat 162 yang bermaksud:

“Katakanlah : Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.

Menurut Ibn al-Jawzi (w. 597h), “dan hidupku” dalam ayat ini bermaksud seluruh kehidupanku dalam ketaatan kerana Allah S.W.T Oleh yang demikian menjadi suatu kewajipan bagi seorang muslim mentaati syariah dan titah perintah Allah S.W.T dalam seluruh aspek kehidupannya termasuk politik, sosial dan ekonomi. Sedia maklum bahawa perihal politik, sosial dan ekonomi adalah termasuk dalam hukum hakam syariah yang melibatkan amal perbuatan zahir manusia. Jika hukum hakam syariah ditolak, ini bermakna Islam hanya akan tinggal di hati dan di bibir semata-mata. Hal ini adalah bersamaan dengan slogan golongan Murji’ah yang mengatakan, “kemaksiatan tidak memudaratkan dengan keimanan sebagaimana ketaatan tidak bermanfaat bersama-sama dengan kekufuran”. (Che Mamat, 1988)

Sesungguhnya pemisahan agama daripada politik dan pemerintahan hanya mengundang seribu satu masalah dan bencana. Ini kerana kehadiran agama adalah untuk mengatur dan menegakkan keadilan dalam kalangan rakyat dan persamaan, bukan sebaliknya. Terdapat banyak nas al-Qur’an, hadis dan pandangan-pandangan ulama’ yang menerangkan bahawa syariah Islam adalah satu-satunya ketuanan yang sebenar di dalam kehidupan manusia. Ia tidak boleh ditinggalkan atau dipisahkan daripada mana-mana aspek kehidupan terutama politik. Antaranya ialah:-

  1. Surah An-Nisa’ ayat 59 yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul(nya) dan pemerintah di kalangan kamu. Jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu maka kembalikan ia kepada Allah (al-Qur’an) dan Rasul (sunnahNya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya”

Di dalam ayat ini ialah Allah S.W.T menyeru umat Islam (rakyat) supaya mentaati para pemerintah apabila pemerintah itu terlebih dahulu mentaati Allah S.W.T dan Rasulnya iaitu al-Qur’an dan al-Hadis. Manakala ketaatan kepada Allah tidak akan terjadi kecuali dengan melaksanakan segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya. Oleh kerana itu, sebagai manifestasi kepada ketaatan ini, syariah Islam hendaklah dijadikan panduan utama di dalam kehidupan umat Islam dan bukan selain daripadanya. Sebaliknya di dalam sistem politik sekular, hukum tertinggi adalah perlembagaan buatan manusia yang dilandaskan kepada rasional akal yang singkat. Syariah Allah S.W.T secara terang-terangan dipinggirkan daripada pentadbiran kecuali di dalam hal-hal yang tertentu dan terhad sahaja. (Salleh, 1999)

  1. Hadis sahih di dalam Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari yang bermaksud:

Daripada Aisyah R.A berkata, Sabda Rasulullah S.A.W: “Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami ini (Islam) sesuatu yang baru maka ia tertolak”

Hadis ini menerangkan tentang kewajipan umat Islam membebaskan diri daripada segala sesuatu yang bukan berasal daripada akidah Islam. Maka demikianlah juga terhadap segala fahaman atau ideologi yang ada masa kini seperti sekularisme, sosialisme, kapitalisme dan isme-isme yang lain yang bertentangan dengan prinsip syariat. Oleh itu, apa sahaja yang tidak diasaskan di atas dasar akidah Islam maka ia adalah kufur dan wajib ditolak dan umat Islam perlu berlpas diri darinya. (Salleh, 1999)

  1. Pandangan Ibnu Khaldun di dalam kitabnya yang terkenal, al-Muqaddimah:

Beliau membuat perbezaan di antara masyarakat yang tunduk dibawah undang-undang ciptaan manusia dengan masyrakat yang tunduk dibawah perundangan Islam, beliau berkata yang bermaksud:

“Kalaulah undang-undang ini digubal oleh ahli-ahli akal dan pembesar-pembesar negara serta pakar-pakarnya maka itu adalah siyasah (politik) akal. Tetapi kalaulah undang-undang ini diwajibkan oleh Allah, diakui dan disyaratkan maka ianya adalah siyasah agama yang memberi manfaat kepada kehidupan dunia dan akhirat. Ini keran akejadian makhluk bukan sahaja bermaksud untuk kebaikan dunia mereka, kebaikan dunia semata-mata itu sia-sia dan batal kerana kesudahannya mati dan binasa”

Apabila kita meneliti pandangan ini, jelas menunjukkan bahawa segala peraturan yang lain daripada syariah Islam hanyalah peraturan akal yang tidak dapat membantu manusia untuk memperolehi kebaikan khususnya kebaikan di akhirat. Apatah lagi sekiranya peraturan itu meminggirkan sama sekali peranan Allah S.W.T dalam kehidupan seperti politik sekularisme, sudah tentu ia termasuk dalam politik akal yang amat bercanggah dengan syariah Islam. (Salleh, 1999)

  1. IMPLIKASI PENYELEWENGAN FAHAMAN SEKULARISME TERHADAP PEMIKIRAN UMAT ISLAM DI MALAYSIA

Agama Islam merangkumi akidah, akhlak dan syariat. Ajaran Islam tersebar luas keseluruh pelusuk dunia melalui jalan dakwah dan penyebaran ilmu pengetahuan. Kejayaan ini telah menarik minat Barat untuk mengambil ilmu tersebut dan mereka membawa balik untuk di kembangkan di dunia Eropah. Sementara itu, ajaran Kristian pula banyak berlaku pertembungan tidak sihat sehingga melahirkan berbagai-bagai ideologi yang mempertikaikan kesahihannya. (Ismail, 2010)

Ideologi yang terdapat unsur ajaran menyeleweng ini dibawa masuk ke dalam pemikiran masyarakat Islam sama ada secara sedar atau tidak sedar. Kesannya ia dapat menjauhkan mereka yang kurang mendalami ajaran Islam untuk menolak Islam dengan mudah. Contoh, seperti golongan muktazilah, golongan wahabi dan sebagainya berjaya memecah belahkan umat Islam. Mereka saling mempertahankan ideologi masing-masing dengan pelbagai alasan dan hujah. (Ismail, 2010)

Ideologi ini terbahagi kepada tiga kategori. Pertama, mereka yang mengkaji dan mengamalkan Islam. Kedua, mereka yang tidak faham langsung dan jahil tentang Islam, dan ketiga, mereka yang jahil murakkab (tidak sedar dirinya jahil) tetapi mahu bercakap mengenai Islam. Terhadap golongan kedua dan ketiga, kesan pemikiran dan ideologi amat merbahaya untuk masyarakat Islam. Mereka seringkali dilihat sebagai golongan perosak agama serta memecah belahkan umat Islam kerana jahil murakkab yang menebal. Selain itu, kesan daripada ideologi sesat ini meresap masuk ke dalam urusan kehidupan umat Islam seharian. Antara kesan yang nyata ialah mereka membahagikan urusan keduniaan dan urusan ibadah secara berasingan. Urusan pentadbiran dipisahkan dalam Islam. Sepatutnya, Islam itu satu cara hidup yang lengkap dalam seluruh aspek kehidupan manusia. (Ismail, 2010)

Selain dari itu, terdapat juga ideologi yang giat mengembangkan pengaruh dalam masyarakat. Antaranya ideologi Lions Club berfahaman seperti freemason. Mereka berselindung di sebalik nama persaudaraan, keamanan dan sebagainya. Ideologi freemason dipelopori oleh bangsa Yahudi bertujuan untuk menguasai bangsa lain. (Ismail, 2010)

Kesan fahaman sekularisme secara jelas adalah antara lain ia telah secara jelas memisahkan Islam dan politik. Fahaman ini mendakwa mendakwa bahawa Islam adalah agama yang bersih dan politik adalah kotor. Kerana itu, Islam dan politik tidak boleh dicampurkan kedua-duanya sekali dalam satu masa. Dari pandangan Islam, Islam membentuk politik menjadi bersih kerana Islam sukakan bersih, cekap, amanah, toleransi, telus dan bertanggungjawab terhadap kepimpinannya. Islam menentang kekotoran, penindasan dan sebarang bentuk penipuan.

Sekularisme juga menghalang perlaksanaan hukum-hukum perundangan Islam atau syarie dengan alasan tidak sesuai pada masa kini. Agama hanyalah untuk penjagaan diri masing-masing. Pemikiran ini juga memfitnahkan umat Islam dengan pelbagai supaya pemikiran umat Islam dibayangi ketakutan. Golongan ini juga berusaha menakutkan masyarakat bukan Islam dengan pelbagai agenda bertujuan untuk menjauhkan daripada mendapat maklumat tentang Islam yang sebenar. Cara hidup juga diubah supaya bertentangan dengan Islam seperti mendedahkan aurat, seks bebas dan pesta-pesta yang membawa kepada keruntuhan akhlak serta menghidupkan semula amalan-amalan jahiliyyah seperti minum arak, pesta sosial oleh golongan remaja secara bebas dan membunuh anak. (Ismail, 2010)

  1. KESIMPULAN

 Fahaman sekularisme yang menguasai sebahagian besar umat Islam pada hari ini menyebabkan akal fikiran mereka menjadi kabur dan hilang pertimbangan untuk menerima hukum hakam Allah S.W.T sebagai sistem kehidupan yang sempurna. Mereka dikuasai oleh hawa nafsu dan fikiran bebas yang tidak diasaskan kepada hukum dan peraturan Allah S.W.T.

Di dalam politik, golongan ini merasakan diri mereka lebih berhak untuk mentadbir negara dengan menjalankan perlembagaan atau undang-undang ciptaan sendiri. Syariah Islam dianggap sudah tidak releven lagi untuk dipraktikkan di dalam zaman globalisasi kini. Kadangkala kemajmukan anggota masyarakat dijadikan alasan tegar untuk tidak melaksanakan hukum Islam. Sesungguhnya sikap dan anggapan sebegini amat sesat dan hanya menurut pandangan nafsu semata.

Walaubagaimanapun, bahaya paling besar yang dicetuskan daripada fahaman sekulrisme ini ailah dari sudut akal pemikiran manusia dan masyarakat yang boleh membawa kepada keruntuhan akhlak, akidah dan sosial masyarakat. Malah, ia boleh membawa masyarakat kepada gejala keluar daripada agama Islam apabila fahaman ini menolak perlaksanaan syariah dengan menggunakan pelbagai alasan dan hujah batil. Justeru itu umat Islam perlu kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan berusaha memahamai tasawwur Islam (world view) yang syumul bahawa Islam itu adalah ad-din dan bukan sekadar agama semata.

Setiap individu muslim, masyarakat setempat, media masa, kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan serta pemerintahan perlulah mengambil pelbagai langkah dalam memastikan penular sekularisme ini berleluasa dan tersebar luas secara terbuka walaupun perlembagaan kita sendiri adalah berbentuk sekular. Masyrakat Islam itu sendiri pelru bekerjasama untuk mendaulatkan daulah Islamiyah di Malaysia. Oleh itu mereka perlu saling membantu, menyokong dan mendokong golongan Islam yang menegakkan syariat Islam di dalam pemerintahan dan pada masa yang sama tidak boleh bersekongkol dengan golongan yang sekular yang mengabaikan syariat Islam.

BIBLIOGRAFI

 Al-Quran al-Karim

Hassan, H. (2000). Sekularisme: Sejarah Kelahiran Dan Kesannya Terhadap Peradaban Islam Dengan Penumpuan Terhadap Serangan Pemikiran. Universiti Malaya.

Salleh, M. A. (1999). Sekularisme Dalam Politik: Satu Kajian Menurut Perspektif Islam. Universiti Malaya.

Rashidi, H. . (1972). Sekularisme Dalam Persoalan Lagi. Jakarta: Yayasan Bangkit.

Al-Attas, S. N. (1977). Islam, Faham Agama dan Asas Akhlak. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Ismail, D. A. M., & Haidar, M. (2010). Serapan Ideologi dan Pemikiran Asing: Pengaruh dan Kesannya Terhadap Masyarakat Islam. Selangor. Retrieved from http://www.jais.gov.my/sites/default/files/artikel_asas/rnd/2010/ogos/SerapanIdeologiAsing.pdf

Che Mamat, C. Y. (1988). Sekularisme Perkembangan Dalam Masyarakat Musim. Kuala Lumpur: al-Rahmaniah.

Nordin, S. (2001). Sejarah Pemikiran 1: Sumber Ilmu, Perbandingan Ideologi dan ’Orde Baru Dunia (Edisi Febr). Bangi: Pusat Pengajian Umum Universiti Kebangsaan Malaysia.

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). (2015). Gejala Agnostik Satu Ancaman Akidah. (Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Ed.) (Cetakan Pe). Shah Alam: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Masod, M. A. (2012). Serangan Ideologi Barat Terhadap Pemikiran Umat Islam dan Implikasinya Kepada Iman. Jurnal Penyelidikan Islam, 25, 100–116.

Mohd. Salleh, N., Ismail, A. M., Mohd. Haridi, N. H., & Daud, Z. (2015). Pemikiran Tidak Beragama Dalam Kalangan Belia Islam Di Malaysia. Satu Kajian Rintis. Jurnal Islam Dan Masyarakat Kontemporari, 11, 40–51.

 

Advertisements

Author:

sayangkan Mak dia lebih dari semua. Tapi Allah lebih sayangkan Mak dia. Maka dari situ dia belajar hakikatnya menyintai Allah dan Rasulullah adalah sebenar-benar kecintaan. Cinta manusia, manusia kan pergi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s