Ilmu Tauhid : Fahaman Salah Dalam Pluralisme

  1. PENGENALAN

Islam adalah satu-satunya agama yang lengkap dan komprehensif kerana ia diasakan atas tiga kompenen utama iaiatu aqidah, syariat dan akhlak. Ketiga-tiga komponen ini menjadi tonggak utama kepada kekuatan, kesempurnaan dan keindahan Islam. Rahsia keindahan Islam adalah berasaskan kepada dua sumber iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Maka kesejahteraan ummat Islam di dunia dan di akhirat adalah ditentukan kepada ukuran sejauh mana seseorang itu berpegang teguh kepada kandungan al-Quran dan al-Sunnah. Ini ditegaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Malik Radiallahu ‘anhu yang bermaksud: (Ismail, 2006)

“Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda ‘Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara, kamu tidak akan tersesat selama-lamanya, selama kamu masih berpegang kepada keduanya iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan sunnah RasulNya’” (Hadis riwayat Malik)

Sesungguhnya tiada yang mengikut petunjuk Allah S.W.T itu kecuali mereka yang beriman dengan-Nya, ingat kepada-Nya, merasai kewujudan-Nya dan sifat-sifat-Nya serta keagungan-Nya. Sesiapa yang melupakan Allah S.W.T nescaya ia berpaling daripada petunjuk-Nya dan tidak melaksanakan titah perintah-Nya. Dapat ditegaskan bahawa manusia ketika hidup di dunia ini diuji dengan dua perkara iaitu yang pertama ialah mengingati Allah dan mengikut petunjuk-Nya dan yang kedua ialah melupakan Allah serta sesat. Manusia sebenarnya berada dipersimpangan dua jalan, tiada jalan yang ketiga. Jalan iman dan petunjuk serta kebahagian di dunia dan akhirat atau jalan ingkat, menyalahi titah perintah Allah S.W.T dan akhirnya membawa kepada kekufuran yang sesat lagi celaka di dunia serta di akhirat. (Awang, 2012) Sejak kebelakangan ini masyarakat Islam telah dilanda oleh pelbagai kecelaruan dalam memahami tentang aqidah Islam yang sebenar. Kita amat berdukacita dalam suasana keghairahan ummat Islam dalam mendekati dan menghayati ajaran Islam,ada di kalangan ummat Islam yang masih teraba-raba mencari kebenaran tersebut. Natijahnya, sebahagian ummat Islam terjebak dalam fahaman dan ajaran yang bertentangan dengan ajaran Islam yang ditaja oleh golongan-golongan tertentu yang mempunya kepentingan hawa nafsu dan kebendaan. Ummat Islam sekarang terdedah dengan berbagai ancaman daripada anasir-anasir yang memesongkan aqidah ummat Islam kepada perkara-perkara mungkar. Mereka memperdayakan ummat Islam dengan ajaran-ajaran yang jauh menyimpang dari ajaran Islam. (Ismail, 2006) Penyelewengan tersebut kebiasaanya bermula dalam bentuk halus dan teliti supaya tidak mudah dikesan. Kemudian ia mula meningkat dan membesar dengan keahlian yang ramai sehingga ahli-ahli berkenaan tidak merasakan ajaran tersebut menyimpang dan tersasar daripada aqidah Islam yang sebenarnya. Sebilangan ummat Islam pula begitu mudah terpengaruh dengan fahaman yang berselindung disebalik label Islam yang mereka amalkan demi mencapai kepuasan nafsu semata. (Ismail, 2006). Oleh yang demikian, sesuatu kaedah dalam memantapkan semula aqidah ummat Islam haruslah dilakukan.

Objektif kepada penulisan ini adalah bagi memberikan kefahaman secara terperinci berkenaan dengan ilmu tauhid yang menjadi benteng kepada aqidah ummat Islam bagi memastikan ummat Islam tidak terpesong serta sesat dalam memahami Islam memandangkan perkara aqidah adalah perkara asas dalam memahami tentang kewujudan kita sebagai makhluk dan khalifah di muka bumi Allah S.W.T. Oleh yang demikian, pembahagian kandungan kepada penulisan ini dibahagikan kepada empat bahagian. Bahagian pertama akan menjelaskan berkenaan dengan asas ilmu tauhid serta peranannya dalam menjadi benteng ke arah pemantapan aqidah ummat Islam agar aqidah ummat Islam lebih utuh dalam mendepani cabaran kehidupan bersosial. Bahagian kedua pula akan menjelaskan berkenaan dengan kepentingan pembahagian ilmu tauhid dalam menentang kesalahfahaman dalam ideologi pluralisme pada hari ini yang menggap kesemua agama di dunia adalah sama. Bahagian ketiga akan menerangkan berkenaan dengan kesan ideologi pluralisme terhadap aqidah ummat Islam yang semakin menular pada zaman ini. Bahagian terakhir seterusnya akan menjelaskan berkenaan dengan contoh pergerakan yang berideologi pluralisme yang terdapat di Malaysia pada hari ini serta cadangan kaedah-kaedah dalam menangani pergerakan tersebut dari tersebar secara meluas dan seterusnya merosakkan aqidah ummat Islam.

  1. ASAS ILMU TAUHID DAN PERANAN ILMU TAUHID SEBAGAI BENTENG AQIDAH UMMAT ISLAM

 Setiap dari dasar-dasar agama Islam adalah tetap dan tidak berubah. Ia mempunyai lima rukun asas iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan sembahyang lima waktu, menunaikan puasa pada bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan menunaikan ibadah Haji bagi sesiapa yang mempunya kemampuan. Agama Islam itu sendiri mengandungi dua aspek utama, iaitu aqidah dan syariat. Aqidah ialah yang berkaitan dengan kepercayaan kepada Allah. Manakala syariat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W adalah syariat yang terakhir, mencakupi semua bidang kehidupan manusia dan ia juga kekal sampai ke hari kiamat. Tegasnya, aqidah agama mengagungkan unsur-unsur hakikat yang bersifat ghaib, yang menjadi ‘pokok’ kepada pegangan kepercayaannya dan juga mengandungi kedudukan tinggi, yang mengandungi ciri-ciri tunduk, patuh, mengikut, menyerah, sujud, menyembah, mengabdi, memuja dan memuji kepada apa yang diiktikadkan (hanya semata-semata terhadap Allah S.W.T. (Ismail, 2006)

 Aqidah Islam merupakan satu perkara yang penting kepada manusia seperti air dan udara. Tanpa aqidah yang betul manusia akan kehilangan arah tujuan kehidupan dan keadaan dirinya. Hanya aqidah Islam sahaja yang dapat menjawab setiap persoalan yang sentiasa berlegar dalam pemikiran manusia antaranya dari mana asal usulnya, dari mana timbul alam ini, siapakah Penciptanya, apakah nama-nama dan sifat-sifat Pencipta tersebut, kenapakah kita dijadikan, tujuan alam ini dijadikan, hubungan antara kita dengan Pencipta yang menjadikan kita, adakah alam di sebalik alam ini, adakah makhluk lain selain dari manusia ini, adakah kehidupan lain selepas kehidupan di dunia ini, bagaimana bentuk kehidupan lain tersebut serta pelbagai persoalan berkaitan aqidah dan ketauhidan kita kepada Pencipta kita; Allah S.W.T Dalam menghadapi persoalan-persoalan seperti ini maka tujuan aqidah Islam yang terpenting sekali adalah menyeru manusia kepada mentauhidkan atau mengesakan Allah S.W.T. Hanya dengan tauhid sahajalah dapat memberi jawapan kepada manusia tentang hakikat permasalahan tersebut. Tauhid adalah mengesakan Allah S.W.T. dalam ibadat dengan mengarahkan ibadat tersebut semata-mata kepadanya sahaja dan tidak mensyirikkanNya (menyekutukanNya) dengan sesuatu. Oleh itu, kita dapati bahawa ilmu aqidah itu selalu juga disebut sebagai ilmu tauhid atas dasar tujuan aqidah Islam utama iaitu mentauhidkan Allah dalam segala jenis ibadat. (Omar, 2006)

Asas dan sumber aqidah Islam berdasarkan dua perkara pokok yang menjadi tunjang utamanya. Dari dua perkara inilah lahirnya cabang yang banyak. Bahkan bukan sekadar itu. Malahan keseluruhan kegiatan serta aktiviti yang wujud dalam Islam adalah jelmaan dari dua asas utama tersebut. Tanpa pegangan kepada kedua-dua asas ini tidak ada sama sekali apa yang dikatakan sebagai beraqidah dengan aqidah Islam. Kedua-dua asas tersebut ialah:-

  • Mentauhidkan Allah

Ini bermakna hanya ada satu tuhan sahaja yang mencipta dan yang wajib disembah, tiada sesuatu pun yang bersekutu denganNya. Begitu juga tidak ada yang bersekutu pada sifatnya, af-alnya, serta asma’Nya. Dialah sahaja yang bersifat dengan seluruh sifat kesempurnaan, keindahan, kebesaran dan ternafi darinya seluruh sifat kekurangan atau yang berlawanan dengan sifat kesempurnaanNya atau kesempurnaan nama-namaNya yang terbaik (asma’ al-husnaNya)

  • Mentauhidkan jalan kepadaNya

Maksud mentauhidkan jalan kepadaNya membawa pengertian bahawa tidak ada ketetapan (hukum) dalam kehidupan manusia selain dari ketentuanNya. Tidak ada cara untuk bertaqarrub kepadaNya melainkan dengan apa yang telah disyariatkan oleh Dia sahaja. Atau yang disyariatkan oleh pesuruhNya dengan izinNya. Tidak ada jalan untuk sampai kepadaNya dalam apa jua bentuk ibadah melainkan yang telah ditunjukkan contoh oleh pesuruhNya. Jalan tersebut adalah jalan sunnah Nabi S.A.W. (Awang, 2012)

            Keimanan terhadap kewujudan Allah S.W.T adalah asas kepada seluruh persoalan aqidah Islam. Oleh itu aqidah tauhid dapatlah diertikan sebagai kepercayaan secara yakin dengan mengesakan Allah pada kekuasaanNya, zatNya, sifatNya serta menafikan sebarang tandingan dalam penyembahan dan peribadatan kepadaNya. Ia adalah suatu iktikad yang menyucikan Allah dari sebarang benda baharu serta tidak menyamakanNya dengan sesuatu yang lain. Dengan ini nyatalah bahawa seorang hamba yang berpegang teguh dengan aqidah tauhid sudah pasti ia akan mengesakan Allah S.W.T dalam semua jenis peribadatan sama ada ibadah zahir ataupun batin. Ilmu tauhid adalah merupakan tentang keesaan Allah S.W.T. Ilmu ini banyak membicarakan mengenai keesaan Tuhan, baik dari sudut zat, sifat ataupun af al’alnya. Ia juga membicarakan tentang rasul-rasul Allah dengan segala sifat-sifat yang ada padanya. Sebahagian ulama mentakrifkan ilmu tauhid sebagai ilmu yang menerangkan hukum-hukum syarak dalam bidang iktikad yang diperolei dari dalil-dalil qat’ie, yang berdasarkan al-Quran, al-Hadith, dan aqal (berdalilkan dalil naqli dan aqli). (Ismail, 2006).

Tauhid yang dibawa oleh al-Quran adalah tauhid yang murni mengarah kepada pengabdian diri (ubudiyyah) hanya bagi Allah Ta’ala dalam segenap bidang kehidupan. Ubudiyyah ini membawa maksud seseorang hamba itu berikrar dan beriktikad dengan jazam bahawa tiada tuhan yang lain daripada Allah Taala yang maha Esa. Dia Maha Berkuasa, Maha memberintah seluruh hamba-hambaNya. Dialah tuhan yang ditaati di segenap alam maya ciptaanNya. Dialah pengubal peraturan dan sistem untuk kelangsungan hidup dan kemaslahatan alam semesta. Dia berkuasa mutlak terhadap makhlukNya dan memberi pembalasan terhadap segala amal perbuatan mereka. Sesorang yang bertauhid kepada Allah ialah seorang yang menyerah diri secara mutlak kepada Allah dan mengikhlaskan amalannya hanya kepadaNya sahaja dalam segenap aspek kehidupannya, sama ada yang bersifat peribadi ataupun kemasyarakatan, tatasusila, politik, ekonomi serta sosial. Atas dasar inilah Allah S.W.T mewahyukan Nabi Muhammad S.A.W dengan firmanNya di dalam Surah Al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud: (Omar, 2006)

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan. Sesunguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata”

Sebagaimana dimaklumi umum bahawa solat, puasa, haji dan lain-lain ibadat dalam Islam tertakluk kepada rukun. Tanpa rukun yang sempurna, ibadat dianggap tidak sah. Begitu juga dengan tauhid, padanya ada rukun tertentu. Tauhid pada bahasa berasal dari kata perbuatan (wahhada, yuwahidu) yang bererti menjadikan sesuatu itu satu. Perkara ini tidak akan terlaksana kecuali dengan nafi dan ithbat. Nafi atau ithbat adalah rukun kepada kalimah tauhid la ilaha illallah. Atau dikenali juga sebagai rukun syahadah tauhid. Tanpa kesempurnaan terhadap rukun ini, tauhid seseorang itu tidak dianggap sah menurut syarak. Maksud dengan nafi ialah menafikan apa jua selain daripada yang diesakan dan mensabitkan keesaan itu bagiNya. Umpamanya diungkapkan: Sesungguhnya tidak sempurna tauhid seseoang sehingga beliau mempersaksikan la ilaha illallah. Dalam ucapan tersebut terkandung penafian uluhiyyah terhadap apa jua selain Allah dan menasbitkan bagi Allah sahaja yang esa. Justeru penafian semata-mata tidak memadai. Begitu juga dengan ithbat semata-mata juga tidak memadai kerana tidak tertegah dari penyekutuan sesuatu yang lain dalam penafiannya. (Awang, 2012) Ilmu tauhid mempunyai peranan yang besar dalam mempertahankan benteng aqidah ummat Islam. Hanya dengan memahami ilmu tauhid secara keseluruhan akan mampu mengawal aspek kehidupan daripada mengesakan tuhan selain Allah.

  1. PEMBAHAGIAN ILMU TAUHID KEPENTINGAN DAN KEBERKESANAN DALAM MENENTANG FAHAMAN SALAH TERHADAP PLURALISME

Berdasarkan kefahaman daripada al-Quran, secara umumnya tauhid dapat dibahagikan kepada tiga bahagian berikut:-

  1. Tauhid Rububiyyah dan Asasnya

Pengertian secara ringkas ialah beriktikad secara pasti bahawa Allah adalah rabb segala sesuatu, tiada rabb selainNya. Perkataan al-rabb di dalam bahasa arab bermakna al-malik, al-sayyid, pemilik, pengatur dan pentadbir. Asas tauhid ini ialah:

  • Mengiktiraf hanya Allah sahaja pencipta makhluk

Rububiyyah Allah ke atas makhlukNya bermakna mengesakan Allah pada ciptaanNya, milikNya dan tadbirNya dalam segenap perkara. Maka mentauhidkan Allah pada rububiyyah adalah berikrar bahawa Allah sahajalah satu-satuNya al-khaliq kepada makhluk, memilikinya, menghidupkannya, mematikannya, memberi manfaat, mudarat dan menyahut perkenankan doa mereka; maka berkuasa ke atas mereka, memberi kurnia dan menahan sesuatu dari sampai kepada mereka. BagiNyalah segala urusan pemerintahan dan tiada sekutu dengan mana-mana makhluk. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Ingatlah kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam”

Mereka yang berikrar bahawa Allah sebagai rabb segala sesuatu, tetapi tidak mengesakanNya pada uluhiyyah sudah tentu ia akan mepersekutukanNya dengan sesuatu yang lain dalam beribadat kepadaNya, dan tidak akan mengesakanNya pada al-asma’ wa al-sifat (nama-nama dan sifatNya), lalu ia menta’tilkan atau mentasyhbihkanNya dengan sifat-sifat makhluk atau mentakwilkanNya dengan takwilan yang merosakkan. Tauhid seperti ini tidak memberi apa-apa manfaat kepada mereka, tidak pula mengeluarkan mereka dari sempadan kufur kepada sempadan keimanan. Firman Allah S.W.T di dalam surah Yusuf ayat 106 bermaksud:

“Dan tiadalah mereka itu beriman kepada Allah melainkan dalam keadaan mempersekutukan (dengan sesuatu yang lain)”

Al-Quran menceritakan bahawa golongan musyrikin secara fitrah semulajadinya beriman (percaya) lagi membenarkan wujud Allah selaku pencipta langit dan bumi (alam seluruhnya). Berkata Mujadih (m: 342H); “Iman mereka kepada Allah adalah pengakuan mereka yang mendakwa bahawa Allah yang menjadikan kita, memberi rezeki dan mematikan kita”. Iman mereka ini masih beserta syirik dalam ibadat mereka kepada Allah. Allah memberitahu bahawa orang-orang musyrik itu juga percayakan Allah sebagai pencipta, pemberi rezeki dan pemilik kepada segala sesuatu. Hakikat ini dijelaskan sendiri oleh Allah dengan firmanNya di dalam surah Al-Zukhruf ayat 87 yang bermaksud:

“Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanyakan kepada mereka: “Siapakah yang menciptkan mereka?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”

  • Mengiktiraf hanya Allah pengatur segala urusan kehidupan

Setiap mukmin wajib percaya dengan penuh yakin bahawa Allah sahaja yang mengatur segala urusan kehidupannya tanpa sekutu. Contohnya Dialah yang menentukan rezeki setiap makhluk sebagaimana di dalam firmanNya surah Yunus ayat 31 yang bermaksud:

“Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): “Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan benda yang mati dari benda yang hidup? Dan siapakah pula mentadbirkan urusan sekalian alam? Maka nescaya mereka akan menjawab: “Allah”. Oleh itu, katakanlah: “(Jika kamu mengakui yang demikian itu), maka mengapa kamu tidak mahu bertakwa?”

Bertauhid dengan tauhid rububiyyah ini diakui oleh bangsa-bangsa purba terdahulu, termasuk juga para failasuf Greek Yunani bahkan manusia-manusia zaman kini juga. Ini disebabkan iman kepada wujudnya Allah itu adalah fitrah semulajadi yang tidak perlu kepada dalil untuk mensabitkanNya. Meskipun begitu penyelewengan berlaku disebabkan kerana menyelewengnya mereka dari konsep uluhiyyah (ubudiyyah) kepada Allah.

  1. Tauhid Uluhiyyah dan Asasnya

Ringkasnya tauhid ini bermaksud beriktikad secara pasti bahawa Allah Taala adalah al-ilah al-Haq, tiada ilah selainNya dan mengesakanNya sahaja dalam ibadat. Perkataan al-ilah bermaksud al-ma’luh iaitu al-ma’bud (yang disembah). Sementara makna ibadar pada bahasa ialah tunduk, patuh dan rasa hina diri. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah (m: 728H) berkata:

“ibadat ialah nama yang mepiluti apa sahaja yang dicintai dan diredhai Allah sama ada ucapan, perbuatan, yang kelihatan atau pun yang tersembunyi”

Maka jelaslah bahawa segala gerak laku dalam kehidupan manusia tidak boleh keluar dari konsep ibadat atau beruluhiyyahkan Allah zahir dan batin. Inilah juga tujuan manusia diciptakan oleh Allah, bahkan keseluruhan hidup dan mati manusia itu semata-mata kerana Allah seperti mana yang diikrarkan di dalam solat mereka. Tauhid ini terbina di atas keikhlasan berubudiyyah bagi Allah sahaja, zahir dan batin, yakni tiada sesuatu yang lain selainNya. Mereka yang mukmin kepada Allah akan mengabdikan diri hanya kepadaNya semata-mata, tidak mengabdikan kepada selainNya, ia mengikhlaskan bagi Allah dalam kecintaan, takut, harap, berdoa, bertawakkal, taat, tunduk, patuh dalam semua jenis serta bentuk ibadat.

 Tauhid ini merangkumi dua jenis tauhid yang selainnya iaitu tauhid rububiyyah dan tauhid al-asma’ wa al-sifat. Justeru itulah dasar pokok syahadah dismestikan menguxap dengan kalimat ‘la ilaha illallah’ – penyaksian tauhid uluhiyyah. Tidak dengan ucapan la rabba illallah. Tauhid ini juga bertindak sebagai pemisah antara orang yang bertauhid dengan orang musyrik. Pembalasan serta ganjaran di dunia dan di akhirat adalah berasaskan kepada tahid ini. Sesiapa yang tidak memiliki tauhid ini adalah ia dari kalangan musyrikin. Tauhid uluhiyyah tegak di atas dasar-dasar berikut:

  • Wajib mengikhlaskan al-mahabbah (kecintaan) kepada Allah, tidak boleh seseorang itu mengambil sembahan-sembahan (ketaatan dan kepatuhan) yang lain dari Allah dalam kecintaan. Sama seperti ia mencinatai Allah atau mendahulukan kasihnya melebihi cintanya kepada Allahh. Sesiapa yang melakukan sedemikian adalah ia dari kalanngan orang musyrik. Daripada syirik akbar (besar) yang tidak diampunkan kecuali dengan bertaubat kepadaNya ialah seseorang itu mengambil selain Allah sebagai andada (tandingan). Ia mengasihaninya sama seperti mengasihi Allah. Memang manusia difitrahkan kasih kepada diri, ibu bapa, anak-anak, harta benda, dan negara, tetapi maksud ikhlas ubudiyyah kepada Allah itu tidak bermakna memadamkan fitrah tersebut. Apa yang dituntut ialah meletakkan kecintaan kepada Allah itu mengatasi segala-galanya dan kasih kepada perkara-perkara tersebut diletakkan selepas kasih kepada Allah; mendahulukan hukum-hukum Allah serta ketetapanNya dari hukum-hukum ketetapan manusia.
  • Wajib mengesakan Allah Taala dalam berdoa, tawakal, mengharap dalam perkara-perkara yang tidak dikuasai ke atasnya kecuali Allah sahaja. Firman Allah S.W.T di dalam surah Yunus ayar 106 yang bermaksud:

“Dan janganlah engkau (Wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu”

  • Wajib mengesakan Allah dalam perkara takut. Sesiapa yang beriktikad bahawa makhluk dapat memberi mudarat dengan kehendaknya, kudratnya, maka takut kepadanya itu menjadi syirik kepada Allah. Al-Quran menyebut yang bermaksud:

“Dan Allah berfirman “Janganlah kamu bertuhankan dua tuha, kerana sesungguhnya Tuhan itu hanyalah Tuhan yang satu; maka kepada Akulah sahaja hendaknya kamu gerun gementar”

Hendakah dibezakan takut bersifat ibadat dengan takut yang bersifat fitrah. Takut ibadat bersifat ghaib, manakala takut fitrah bersifat zahir seperti seseorang yang berperasaan takut kepada senjata yang dihubunskan kepadanya. Takut fitrah ini tidak memudaratkan tauhid kerana memang Allah fitrahkan kepada manusia berperasaan sedemikian demi kemaslahatan manusia itu sendiri. Sebaliknya takut ibadat, berasa gerun di dalam hati apabila disebut sesuatu yang ditakuti itu dan beriktikad bahawa perkara tersebut dengan kudrat serta kehendaknya dapat memudaratkan.

(d)       Wajib mengesakan Allah dalam seluruh jenis ibadat tubuh badan seperti solat, rukuk, sembelihan, tawaf dan seluruh ibadat perkataan seperti nazar, istighfar dan lain-lain. Begitu juga dengan ibadat hati seperti kasih, benda dan seumpamanya.

3. Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat dan Asasnya

Iaitu beriktikad secara pasti bahawa Allah Taala sahaja yang bersifat dengan seluruh sifat kesempurnaan, bersih suci dari sifat-sifat kekurangan. Asas tauhid ini ialah:

  • Memahasucikan Allah Taala dari penyerupaan dengan mana-mana makhluk dan dari sebarang sifat kekurangan. Firman Allah S.W.T di dalam surah al-Nahl ayat 74 yang bermaksud:

“Oleh itu janganlah kamu mengadakan sesuatu yang sebanding dengan Allah, kerana sesungguhnya Allah mengetahui (setakat mana buruknya perbuatan syirik kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya”

  • Beriman dengan nama-nama san sifat-sifat yang sabit dalam kitab (al-Quran) serta sunnah tanpa melampauinnya dengan mengurangkannya atau mentakyifkan atau pun menta’til Berkata Imam Ahmad Bin Hanbal (164-241 H):

“Janganlah mensifatkan Allah kecuali dengan apa yang disifatkan oleh RasulNya. Janganlah melampaui al-Quran dan Sunnah”

Berkata Nu’aim bin Hamad, guru Imam al-Bukhari:

“sesiapa yang mentasybihkan Allah dengan makhlukNya, maka ia kufur, sesiapa yang mengingkari apa yang telah disifatkan Allah mengenai diriNya, maka ia kufur, dan tiadalah apa yangtelah disifatkan Allah dengan diriNya atau apa yang disifatkan RasulNya ada tasybih dan tamhil

  • Memutuskan rasa ingin tahu berhubung dengan kaifiyyat sifat-sifat tersebut. Inilah pegangan dan sikap ulama salaf. Mereka berpegang kepada zahir dan nas beserta menafikan kaifiyyat dan tasybih

Tauhid ini dirosakkan oleh perkara-perkara berikut:

  • Tasybih – menyamakan sifat-sifat Allah dengan sifat-sifat makhluk.
  • Tahrif atau taghyir wa al-tabdil – seperti mentahrifkan lafaz-lafaz nama dan sifat dengan membuat penambahan atau mengurangkan atau merubah gerakan (harakat) i’rab atau mentahrifkan maknanya seperti mentakwilkan al-wajh dengan al-dhar, al-istiwa’ dengan al-istila’. Bagi mengelakkan berlakunya perkara ini Imam Malik bin Anas pernah menegaskan:

“Al-Istiwa’ itu diketahui (dimaklumi), kaifiyyatnya tidak dapat difikirkan. Beriman dengannya adalah wajib sementara bertanyakan tentangnya adalah bidaah”

  • Ta’til – iaitulah menafikan zat Allah seperti ta’tilkan Allah Taala tentang kesempurnaanNya yang suci, begitu juga dengan ingkarkan sifat-sifat serta nama-namaNya.
  • Al-Takyif – iaitulah menentukan kaifiyyat sifat dan menasbitkan ketentuanNya. (Awang, 2012) 

Dapatlah disimpulkan bahawa ketiga-tiga bahagian atau asas-asas tauhid ini adalah berpaut di antara satu sama lain dan tiada mencukupi satu bahagian itu tanpa bahagian yang lain. Misalnya, sekiranya seseorang itu beribadat hanya kepada Allah tanpa menyekutukanNya dengan sesuatu, tetapi dalam pada itu juga mengiktikadkan bahawa ada sesuatu yang lain yang berkuasa menandingi kekuasaan Allah ataupun boleh mendatangkan manfaat dan mudarat kepadanya, maka tidak sahlah ibadatnya itu kerana sesungguhnya asasnya adalah beriman kepada Allah dengan sifat ketuhananNya yang menyeluruh. Begitu juga seorang yang mengesakanAllah dalam rububiyyah dan uluhiyyahNya tetapi ia menamakan selain dari Allah dengan nama-nama Allah, atau menyelewengkan nama-namaNya dari apa yang sepatutnya dikehendaki dari nama-nama tersebut dengan sifat-sifatNya yang sempurna. Tauhid seperti ini tidak memberi faedah sama ada dalam rububiyyah atau uluhiyyahnya. Oleh itu, tidaklah mencukupi tauhid seseorang itu sehingga berhimpun ketiga-tiga bahagian tauhid ini. (Omar, 2006)

Antara peranan dan kepentingan ilmu tauhid yang dapat dijelaskan berdasarkan perbincangan asas-asas tauhid ini ialah dapat dibahagikan kepada tiga: (Omar, 2006)

(a)        Tauhid merupakan syarat am bagi penerimaan sesuatu ibadat. Sepertimana tiada diterima sembahyang tanpa wudhu’ maka begitulah juga tiada diterima sebarang ibadat tanpa tauhid. Maka tiada gunanya ibadat tanpa tauhid. Firman Allah S.W.T di dalam surah Al-An’am yang bermaksud:

“Dan sekiranya mereka mensyirikkan sesuati nescaya gugurah daripada mereka segala perkara yang mereka kerjakan”

(b)       Tauhid memberi perangsang dan harapan untuk memasuki syurga serta menyelamatkan dari kekal dalam neraka. Daripada riwayat Muslim telah bersabda Rasulullah S.A.W yang mafhumnya:

“Sesiapa yang bertemu dengan Allah tanpa mensyirikkanNya dengan sesuatu, masuk ke dalam syurga, dan sesiapa yang bertemuNya dengan mensyirikkan sesuatu, masuk ke neraka”

Maka tauhid memberi harapan kepada sesiapa yang telah melakukan dosa untuk mendapatkan pengampunan dari Allah S.W.T dan mereka tertakluk di bawah kehendak Allah S.W.T. Sekiranya dikehendakiNya, diampunkan dosa-dosa mereka, dan sekiranya dikehendakiNya, diazabkan mereka dahulu. Allah S.W.T telah berfirman di dalam surah al-Nisa’ ayat 48 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak mengampun sesiapa yang syirik kepadaNya dan mengampun segala (dosa-dosa) yang lain kepada sesiapa yang dikehendakiNya”

(c)        Tauhid memberi harapan dalam penerimaan syafaat dari orang-orang yang dibenarkan memberi syafaat. Tetapi, bagi sesiapa yang telah syirik maka tiada sekali boleh ia menerima syafaat dari sesiapa pun. Firman Allah di dalam surah al-Ghafir ayat 18 yang bermaksud:

“bagi orang-orang yang zalim tidak mempunyai teman setia seorang pun dan tidak (pula) mempunyai seorang pemberi syafaat yang diterima dari syafaatnya”

Asal tauhid itu adalah satu dan diceraikan kepada tiga bahagian adalah untuk memudahkan kefahaman dan penjelasan berkenaan dengan tauhid. Setiap muslim itu perlulah memahami ketiga-tiga kaitan bahagian tauhid ini tanpa memisahkan bahagian-bahagian tauhid ini. Dengan itu, kita dapat memhamai bahawa rosaknya fahaman atau amalan kita dalam mana-mana satu dari bahagian-bahagian tauhid ini akan merosakkan fahaman atau amalan di kedua-dua bahagian yang lain dan seterusnya mencacatkan pula kefahaman atau amalan aqidah tauhid kita secara keseluruhannya. (Omar, 2006)

Fahaman Islam liberal adalah di antara fahaman (ideologi) terkini yang sedang berkembang. Fahaman ini telah melencongkan kaum muslimin daripada pegangan Islam sebenar. Fahaman ini bukan sahaja mengancam aqidah ummat Islam di Malaysia, akan tetapi ia begitu berleluasa di Indonesia. Fahaman ini muncul daripada usaha-usaha musuh Islam (barat) dan bergerak secara halus bertopengkan intelektual (ilmiah). Intipati ajaran dan fahaman ini teradun dalam tiga komponen utama iaitu sekularisme, inklusifisme, dan pluralisme agama. Sekularisme adalah fahaman yang menganggap bahawa agama tidak ada urusan dengan keduniaan, kehidupan bernegara dan sebagainya. Manakala inklusifisme adalah fahaman yang menganggap Islam dan agama bukan Islam sama, saling mengisi, mungkin agama kita salah, agama lain benar, jadi saling mengisi. Tidak boleh mengakui bahawa hanya agama kita sahaja yang benar. Lebih-lebih lagi fahaman pluralisme iaitu menganggap bahawa semua agama sejajar (parallel), bersamaan prinsip, cuma beza dari sudut teknikal semata-mata.

Oleh itu, menurut fahaman ini, kita tidak boleh mengukur agama orang lain dengan kriteria agama yang kita anuti. Para pendukung Islam liberal menegaskan bahawa semua agama sama. Ujar mereka “semua agama sama. Semuanya menuju jalan kebenaran. Jadi, Islam bukan yang paling benar”. Begitu jelas bahawa anutan sedemikian menafikan dan sekaligus menolak kenyataan al-Quran yang mengatakan bahawa hanya Islam sahaja agama yang diredai Allah. Firman Allah S.W.T menyatakan di dalam surah al-Maidah ayat 3 yang bermaksud:

“…pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu…”

Allah selanjutnya berfirman di dalam surah al-Imran ayat 19 yang bermaksud:

            “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam”

Allah juga dengan tegas tidak menerima agama selain Islam. Allah juga berfirman di dalam surah al-Imran ayat 85 yang bermaksud:

“ Dan sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang yang rugi”

Lanjutan daripada semua agama sama, mereka meluaskan lagi konsep ‘Ahli Kitab’ dengan memasukkan semua agama ke dalam istilah ahli kitab. Alasan mereka agama-agama seperti Hindu, Buddah dan seumpamanya memiliki kitab agama masing-masing. Justeru mereka layak digelar juga sebagai ahli kitab tanpa dikhusukan untuk Yahudi dan Nasrani. Untuk itu mereka membenarkan perkahwinan dengan orang yang berlainan agama. Contohnya wanita muslimah boleh mengahwini lelaki ahli Kitab, lelaki muslim boleh mengahwini wanita beragama Konfusius. (Awang, 2012)

 Amat jelas bahawa istilah toleransi dan pluralisme telah mencetuskan fenomena menarik sehingga membuka ruang kepada perlaksanaan dialog kehidupan dalam usaha mewujudkan hubungan ummat beragama yang penuh keharmonian. Pun begitu, kekeliruan terhadap pemahaman berkait konsep pluralisme agama khususnya terus berlaku kerana melihat interaksi dan jalinan dialog kehidupan tersebut sebagai mekanisme untuk memperlihatkan budaya toleransi dalam hubungan antara umat beragama. Justeru, terdapat pemahaman yang meletakkan pluralisme turut diertikan senada dengan toleransi agama walaupun ternyata jauh berbeza. Mohd Fauzi Hamat dan Wan Adli Wan Ramli telah mengusulkan dan membahaskan pendekatan epistemologi dengan rencam sebagai satu usaha menangani kekeliruan dan kekaburan pemahaman pemikiran pluralisme agama dalam makalahnya yang dinyatakan di atas. Ayat-ayat al-Qur’an dan al-Hadith serta pemikiran kritis digunakan sebagai perisai menangani isu ini dalam kerangka epistemologi Islam. Secara rumusan, tidak kita nafikan kewujudan hubungan antara umat beragama kerana Allah telah menciptakan beraneka etnik dan bangsa manusia. Namun, dalam keghairahan kita berinteraksi, berdialog, berkomunikasi dalam usaha mewujudkan keharmonian dalam hubungan antara umat beragama, sewajarnya kita tidak menggadaikan prinsip-prinsip ajaran yang mutlak dan absolute. Islam sendiri tidak menafikan pentingnya kesantunan dan kesalingan hubungan antara umat beragama dalam mewujudkan keamanan global. Kita juga wajar berhati-hati ketika menghormati perbezaan dan menerima persamaan yang wujud dalam konteks hubungan antara umat beragama. Ini juga menjelaskan bahawa model gagasan 1Malaysia sewajarnya diasaskan kepada prinsip ajaran Islam yang terbukti tekal sebagaimana diperlihatkan dalam sirah Rasulullah SAW dalam pembentukan masyarakat yang plural dan harmoni dan terlakar hebat dalam peta dunia kerana kecemerlangannya dalam pembentukan ketamadunan pembangunan insan dan negara yang gemilang dalam hubungan antara umat beragama. (Khadijah Mohd Khambali@Hambali, Wan Ariffin, & Suraya, 2014)

  1. KESAN PLURALISME TERHADAP AQIDAH UMMAT ISLAM

Antara sudut pandangan dalam melihat dan mentafsirkan kehidupan manusia yang selaras dengan idea liberalisme ialah falsafah pluralisme agama. Latar belakang kepada pemikiran ini ialah fakta bahawa di dunia ini wujud pelbagai agama. Kemajmukan anutan agama ini boleh dilihat dalam beberapa kerangka pemikiran. Kalangan agamawan liberal Kristian, seperti Alan Race, mengemukakan tiga corak pemikiran dalam hal ini, iaitu eksklusivisme, inklusivisme dan pluralisme. Idea kesamarataan agama atau pluralisme inilah yang menjadi teras pemikiran pluralisme agama. (Ramli, 2012)

Pluralisme agama adalah satu kefahaman yang menerima persamaan antara agama dan tidak siapa yang boleh mendakwa bahawa agamanya lebih baik daripada agama orang lain. Malah pluralisme agama mendakwa setiap agama boleh menyelamatkan manusia dan layak masuk syurga. Kefahaman ini telah mempengaruhi cara berfikir umat Islam dan menimbulkan implikasi buruk kepada aqidah Islam itu sendiri. Pluralisme juga dianggap sebagai satu doktrin yang nampak cantik dan indah, menjanjikan kedamaian antara penganut agama. Walau bagaimanapun sekiranya diteliti dengan cermat, doktrin ini telah melakukan pembodohan yang luar biasa, menodai hakikat dan martabat manusia serta bertentangan dengan fitrah seorang manusia yang berhajat kepada agama yang boleh menyelamatkan hidupnya di dunia dan akhirat. Kesan daripada pluralisme inilah yang memberikan implikasi besar kepada cara fikir masyarakat di Malaysia apabila muncul suara yang mempertikaikan undang-undang murtad dan desakan pihak tertentu untuk menubuhkan suruhanjaya antara agama (Interfaith Commission – IFC), muncul idea perkongsian hari raya dan acara keagamaan, penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang bukan Islam dan penggunaan ucapan salam kepada bukan Islam. Selain daripada itu, kesan pluralisme agama juga boleh diperhatikan melalui kempen ‘I want to touch the dog’ yang diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 2014. (Daud, 2015)

Terdapat beberapa kesan ke atas ummat Islam yang boleh dilihat dan dinilai ekoran daripada fahaman dan ideologi salah pluralisme yang semakin menular dalam kalangan masyarakat Malaysia pada hari ini. Antara implikasi yang jelas ialah keatas aqidah tauhid. Ideologi pluralisme sangat berpotensi untuk menghakis kemurnian aqidah para penganut Islam di Malaysia secara sedar mahupun tidak.

Antara implikasinya ialah agama Islam sebagai agama yang paling benar dan syumul di sekelian alam akan sedikit sebanyak terhapus dan terkesan ekoran daripada ideologi ini yang menganggap semua agama adalah sama. Kedua, ia juga membuka pintu kepada kesyirikan dan kekufuran. Ini adalah kerana ummat Islam yang percaya kepada fahaman ini menganggap Islam bukan lagi agama yang tepat dan boleh dianuti. Sebaliknya menganggap bahawa agama selain Islam juga adalah agama yang wajar untuk diikuti dan dianuti. Ketiga, fahaman ini juga secara tidak langsung akan membawa kepada lambakan gejala murtad ekoran daripada golongan yang menanggap fahaman ini adalah fahaman yang benar melalui kesama rataan yang digembar-gemburkan, maka kepercayaan dan iktikad kepada agama Islam akan tiada dan hilang dalam jati diri ummat Islam dengan lebih mudah. Berita di dada-dada akhbar mengenai permasalahan aqidah yang membawa kepada gejala murtad sewajarnya menggerunkan kita. Jika masalah aqidah masih dipandang ringan dan tidak ditangani dengan tegas maka sudah tentu kefahaman umat Islam kian terhakis dari semasa ke semasa dan akhirnya ramai yang memilih untuk keluar daripada landasan agama. Keempat, keutuhan ummat Islam akan tercalar dan ummat Islam akan mudah untuk dipatahkan aqidahnya. Kemungkinan di Malaysia akan wujudnya dua puak yang menyokong fahaman ini dan satu puak lagi yang tidak menyokong fahaman ini. Isu kepuakkan ini akan menjadi dan membawa kepada perpecahan ummat Islam dengan lebih dahsyat.

  1. PERGERAKAN BERIDEOLOGI PLURALISME DAN KAEDAH UNTUK MENANGANINYA

Terdapat beberapa fahaman yang berideologi pluralisme yang telah mula merebak di Malaysia secara perlahan-lahan. Antaranya ialah gerakan Sister in Islam (SIS), Irsyad Manji, COMANGO, G25 dan beberapa gerakan-gerakan lain. Namun pada perbicangan ini akan diterangkan salah satu daripada gerakan-gerakan tersebut bagi tujuan memberi contoh dan penerangan mengenainya.

Menurut akhbar Harakah Daily bertarikh 24 Oktober 2013 di bawah tajuk Tuntutan COMANGO sentuh sensitiviti ummat Islam, setiap 4 tahun, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) akan mengkaji dan meneliti perkembangan serta prestasi isu-isu yang melibatkan hak asasi manusia sejak tahun 2009 terhadap 193 buah negara-negara PBB termasuk Malaysia. Ia disebut sebagai Proses Semakan Berkala Sejagat Majlis Hak Asasi Manusia.. COMANGO merupakan satu gerakan yang dianggotai oleh 54 NGO Malaysia yang dikatakan berfahaman liberal dan sekular yang telah menyediakan satu laporan mengenai pelbagai isu-isu hak asasi manusia yang berlaku di Malaysia dan telah menyerahkannya kepada PBB bagi tujuan penelitian. Sesi kajian dan penelitian ini telah berlaku pada 24 Oktober 2013 di Human Rights Council, Geneva, Switzerland. Berdasarkan Stakeholer Report on Malaysia for the 1th Sessioon int the 2nd Cycle of the Hrc’s Universal Periodic Review, COMANGO memperjuangkan hak asasi manusia berteraskan sekularisme, liberalisme dan pluralisme. Menggunakan pentas antarabangsa iaitu Universal Period Review (UPR) di bawah United Nation Human Council (UNCHR), COMANGO dikatakan telah mencanang gaya hidup bebas yang menjunjung fahaman kebebasan tanpa batas termasuk mengizinkan tindakan meninggalkan agama (murtad) bagi orang Islam serta orientasi seks bebas atau dikenali sebagai Lesbian, Gay, Bisexsual and Transgender (LGBT). Antara isu-isu utama menerusi memorandum COMANGO dalam proses UPR adalah isu kebebasan beragama, isu orentasi seks bebas dan isu kebebasan bersuara serta beberapa isu lain yang rata-rata menyeru kepada kesamarataan antara kesemua agama. Tuntutan-tuntutan agama yang berkait dengan isu kebebasan beragama Islam dan isu orientasi seks bebas/ LGBT dilihat berlawanan dengan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan kedaulatan agama dan tuntutan-tuntutan tersebut dibuat melalui platform yang tidak mewakili suara majoriti rakyat Malaysia.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi hal Ehwal Ugama Islam Kali Ke-74 yang bersidang pada 25 hingga 27 Julai 2006, telah memutuskan bahawa aliran pemikiran liberal sebagai ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam. Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 10 Oktober 2013 telah memutuskan bahawa:

  1. SIS Forum (Malaysia) dan mana-mana individu, pertubuhan, atau institusi yang berpegang kepada fahaman Libralisme dan Pluralisme Agama sebagai aliran sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
  2. Mengharamkan dan merampas mana-mana bahan terbitan yang berunsur pemikiran-pemikiran fahaman Liberalisme dan Pluralisme Agama.
  3. Di syorkan kepada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (SKMM) untuk menyekat laman-laman sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam danHukum Syara’.
  4. Mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman Liberalisme dan Pluralisme Agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam.

Berdasarkan kepada isu-isu ini, perlu kepada satu kajian menyeluruh dalam membanterasan fahaman atau ideologi salah dari terus berkembang dalam kalangan ummat Islam di Malaysia dan seterusnya secara tidak sedar menarik ummat Islam untuk menyokong fahaman ini tanpa memahami asas kepada fahaman-fahaman salah yang berlawan dengan aqidah ummat Islam. Antara kaedah-kaedah dan langkah-langkah dalam menangani fahaman salah berterusan berleluasa dalam ummat Islam hari ini ialah kembali kepada asal fitrah kejadian manusia dan tugas manusia sebagai khalifah di muka bumi ini berteraskan kepada aqidah tauhid yang satu iaitu mengesakan Allah. Antara cadangan kepada langkah-langkah menanganinya adalah antaranya:-

  • Mengenal hakikat mentauhidkan Allah

Aqidah mentauhidkan Allah perlu diketengahkan kepada masyarakat ummat Islam dengan maksud memberi pendekatan yang tulen terhadapnya bersumberkan langsung dari al-Quran serta sunnah. Pegangan yang bercampur aduk dengan ajaran-ajaran falsafah khususnya falsafah lmu kalah yang sia-sia hendaklah dihindarkan. Ahmad Bahjat telah menyebut bahawa ulama al-kalam dan falsafah mempunyai manhaj khusus yang berbeza sama sekali dari manhaj al-Quran serta al-Hadis dalam membicarakan soal aqidah tauhid. Ia bukan sahaja bertanggungjawab mencelarukan ilmu aqidah ini malahan ia juga telah menyebabkan ilmu aqidah ini telah kehilangan kedaulatannya. Al-Quran telah menyebut masalah aqidah ini dengan begitu mudah di dalam surah al-Ikhlas ayat 1-4 yang bermaksud:

“Katakanlah (Wahai Muhammad):” (Tuhanku) ialah Allah yang Esa, Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Dia tidak beranak, dan Dia pula tidak diperanakkan; dan tiada siapapun yang setara denganNya”

Allah bersifat dengan al-kamal , tiada yang menyamaiNya sesuatu apa jua pun dari makhlukNya dana dalam apa jua sifat pun sebagaimana di dalam firman Allah S.W.T di dalam surah al-Syura ayat 11 yang bermaksud:

“Tiada sesuatu apa pun yang sebanding denganNya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”

  • Beribadah hanya kepada Allah

Apa jua bentuk ibadat mestilah dilakukan semata-mata kerana Allah. Oleh itu sebarang perlakuan ibadat yang menyimpang daripada ketentuan ini dianggap menyimpang daripada tuntutan aqidah tauhid yang sebenar. Jenis-jenis ibadat yang dilakukan dan tidak ditujukan kecuali kepada Allah ialah antaranya ibadat I’tiqadiyyah yang merupakan asas ibadat keseluruhannya, ibadat hati yang merupakan ibadat yang tidak boleh diqasadkan kecuali Allah sahaja. Berpaling kepada selainya membawa kepada natijah syirik. Ibadat seterusnya ialah Ibadat perkataan yang bermaksud adalah apa yang keluar daripada mulut seseorang dan dituturkan oleh lidahnya seperti menuturkan kalimah tauhid. Ibadat seterusnya ialah ibadat badaniyyah yang bererti ibadat yang dilakukan oleh tubuh badan atau diri seseorang seperti solat. Dan ibadat yang terakhir ialah ibadat harta benda seperti menunaikan zakat, sedekah dan sebagainya.

  • Mengenal hakikat syirik

Syirik menafikan tauhid dan menyalahinya. Berlakunya stirik kepada iktikad seseoran apabila pengiktirafan dan ikrarnya terhadap zat Allah, nama-namaNya, sifat-sifatNya dan af’alnya lalu disyarikatkan dengan iktikad yang selainNya. Syirik sememangnya berlaku kepada mereka yang mengaku ketuhanan Allah. Ia tidak terhenti kepada mereka menafikan dan mengingkarinya sahaja (pada zahirnya sedang fitrah batinnya mengakui), malahan terjadi juga kepada mereka yang berikrar dengan syahadah tauhid tetapi tidak sempurna ikrarnya. Kadangkala ia membawa makna kufur.

  • Berpegang kepada ajaran Islam yang syumul

Ummat Islam wajib kembali kepada ajaran Islam yang disampaikan oleh Nabi S.A.W dengan berpandukan al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Islam yang dibawa oleh Nabi S.A.W adalah Islam yang menyeluruh meliputi semua aspek kehidupan lahir dan batin. Kitab Allah yang diwahyukan Allah kepada manusia waib dijadikan pedoman dalam bidang aqidah, syariat dan akhlak. Oleh itu setiap individu tanpa mengira pangkat dan keturunan wajib beramal dengan al-Quran menurut peranan masing-masing. Para pemimpin Islam wajib menegakkan hukum hakam Islam yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Tidak ada alasan untuk mereka berdalih dalam masalah ini kerana Allah yang mencipta Islam dan amat mengetahui kesesuaian sistem Islam ini untuk ummat manusia. Perlaksanaan Islam yang menyeluruh dalam bentuk sebuah negara dan masyarakat akan menutup pintu-pintu penyelewengan dalam aqidah. Ummat Islam akan terselamat dari pengabdian kepada sistem yang tidak Islam atau jahiliyyah. (Awang, 2012)

 KESIMPULAN

Pemahaman terhadap konsep tauhid iaitu mengEsakan hanya Allah S.W.T dan tiada yang selainnya amatlah penting untuk dipasak di dalam hati ummat Islam. Berpegang kepada aqidah tauhid yang diketengahkan oleh al-Quran dan meneliti apa yang dijelaskan daripada hadis-hadis sahih adalah jalan paling selamat untuk beraqidah. Sebaliknya meninggalkan al-Quran membawa kepada rapuhnya pegangan aqidah dan seringkali terjerumus dalam penyelewengan agama. Mengenal hakikat mentauhidkan Allah, melaksnakan ibadat hanya kepada Allah dan mengenal hakikat syirik adalah langkah bijaksana menjaga tauhid daripada terseleweng. (Awang, 2012)

Ajaran-ajaran yang menyimpang dari aqidah tauhid telah berjaya menyerap masuk ke dalam fahaman dan amalan ummat Islam yang penuh dengan penipuan. Ajaran ini menggunakan nama-nama yang bersifat Islam dan berselindung dengan amalan-amalan kerohanian yang sedia ada pada ajaran Islam. Pada sudut yang lain mereka berselindung di sebalik nama-nama ideologi atau fahaman yang melabelkan Islam. Walaubagaimanapun, penyelewengan tersebut masih dapat dikesan apabila ummat Islam menjadikan neraca al-Quran dan Sunnah sebagai pengukur salah dan betulnya ajaran tersebut. Kegagalan ummat Islam mendalami kandungan al-Quran dan Sunnah telah mendedahkan mereka kepada penyelewengan daripada aqidah tauhid yang sebenar. Sementelahan lagi ajaran-ajaran tersebut berselindung atas nama-nama tasawuf. Mereka menggunakan cara tersebut tersebut kerana amalan tasawwuf sememangnya begitu popular dalam kalangan masyarakat orang melayu. (Awang, 2012)

Oleh itu kembalilah berpegang kepada ajaran yang berpandukan al-Quran dan al-Sunnah. Ikuti cara dan pegangan para al-salaf al-saleh. Kita doakan semoga Allah S.W.T menyelamatkan ummat Islam daripada pengaruh yang jahat lagi hina ini.

BIBLIOGRAFI

Ismail Omar,. (2006). Manhaj Aqidah Ahli As-Sunnah Wal Jamaah. (2nd ed., pp. 5-94). SELANGOR DARUL EHSAN.

Mohd. Nawi Ismail,. (2006). Pemurnian aqidah islamiah (pp. 1-18). Kota Bharu: Nawi @ Mohd Nawi Hji Ismail.

Ramli Awang,. (2012). Aqidah dalam kehidupan muslim (pp. 71-312). JOHOR BAHRU: UTM PRESS.

MOHD KHAMBALI, K., WAN YON, W., & SINTANG, S. (2014). Toleransi dan Pluralisme Menurut Pengalaman Masyarakat Bidayuh. JURNAL USULUDDIN40, 99-133.

The Coalition of Malaysian NGOs in the UPR Process (COMANGO) (2013), STAKEHOLDER REPORT ON MALAYSIA FOR THE 17TH SESSION IN THE 2ND CYCLE OF THE HRC’S UNIVERSAL PERIODIC REVIEW IN 2013. (2013). Diakses pada 3 November 2016, dari http://wao.org.my/file/file/Coalition%20of%20Malaysian%20NGOs%20in%20The%20UPR%20Process%20UPR%202013%20Submission.pdf

HARAKAH DAILY,. (2013). Tuntutan COMANGO Sentuh Sensitiviti Umat Islam.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s