Peranan Jawatankuasa Pendamai dalam menyelesaikan kes di Mahkamah Syariah

zakiah Anas Jawatankuasa pendamai

PENDAHULUAN

Setiap pasangan suami isteri mengharapkan kebahagian dan kedamaian rumahtangga yang dibina, namun kadangkala bahtera rumahtangga yang mereka layari terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah yang mengundang kepincangan dan persengketaan. Dalam menangani persengketaan atau syiqaq dalam pasangan suami isteri, Islam sebagai Al-Din yang mementingkan keharmonian ada menyediakan jalan penyelesaian meleraikan persengketaan yang berlaku iaitu dengan perlantikan jawatankuasa pendamai. Perlantikan jawatankuasa pendamai merupakan salah satu daripada alternatif dalam usaha menyelesaikan pertelingkahan yang berlaku dalam sesebuah rumahtangga. Jawatankuasa berperanan mendamaikan suami isteri apabila mereka gagal menyelesaikan masalah tanpa campur tangan orang luar. Jawatankuasa pendamai yang dilantik bukanlah orang asing yang tidak mengetahui latar belakang pasangan bahkan mereka hendaklah daripada ahli keluarga yang terdekat yang mengenali kedua-dua pasangan dan mengetahui punca berlakunya syiqaq atau pertelingkahan.

JAWATANKUASA PENDAMAI

Takrif

Jawatankuasa pendamai ini ditubuhkan bilamana salah satu pihak tidak bersetuju terhadap perceraian atau jika mahkamah berpendapat ada kemungkinan berlaku perdamaian semula di antara pihak-pihak itu, mahkamah akan melantik suatu jawatankuasa pendamai dan merujukkan kes itu kepada jawatankuasa itu.

Keanggotaan Jawatankuasa Pendamai

 Jawatankuasa itu terdiri daripada seorang pegawai agama sebagai pengerusi dan dua orang lain, seorang untuk bertindak bagi pihak suami dan seorang untuk bertindak bagi pihak isteri. Keutamaan diberi kepada saudara-saudara karib pihak berkenaan yang akan tahu akan hal keadaan kes itu.

Jika mahkamah tidak bersetuju atau jika mahkamah tidak berpuas hati tentang cara jawatankuasa menjalankan perdamaian itu, ia boleh memecat jawatankuasa dan melantik yang baru.

Tempoh Pelantikan Jawatankuasa Pendamai

Tempoh lebih kurang enam bulan diberi untuk tempoh perdamaian dicapai.

 Jawatankuasa boleh meminta pihak-pihak berkenaan hadir dan hendaklah memberi tiap-tiap seorang daripada mereka peluang untuk didengar dan boleh mendengar mana-mana orang lain dan membuat apa-apa penyiasatan yang difikirkan patut. Tiada seseorang peguambela dan peguamcara boleh mewakili mana-mana pihak tanpa kebenaran jawatankuasa itu.

Jika jawatankuasa pendamai tidak dapat mencapai perdamaian dan tidak dapat memujuk pihak-pihak itu supaya hidup semula bersama sebagai suami isteri, jawatankuasa hendaklah mengeluarkan suatu perakuan tentang hal demikian dan boleh melampirkan apa-apa syor yang difikirkan patut berkenaan dengan nafkah dan penjagaan anak-anak belum dewasa dari hari perkahwinan itu, jika ada, berkenaan dengan pembahagian harta, dan berkenaan dengan hal-hal lain berhubung dengan perkahwinan itu.

Jika jawatankuasa melaporkan kepada mahkamah bahawa perdamaian telah tercapai dan pihak-pihak itu telah hidup semula bersama sebagai suami isteri, mahkamah hendaklah menolak permohonan untuk perceraian itu. Jika perdamaian tidak tercapai mahkamah hendaklah menasihatkan suami melafazkan satu talak di hadapan mahkamah. Jika suami tidak hadir untuk melafazkan talak, atau jika suami enggan melafazkan talak, mahkamah akan merujuk kes kepada hakam untuk tindakan menurut Seksyen 48.

Rujukan kepada jawatankuasa pendamai tidak perlu dibuat dalam semua keadaan. Kecualiannya ialah:

(1)  Apabila pemohon menyatakan dia telah ditinggal langsung oleh pihak yang satu lagi dan tidak tahu di mana pihak yang satu lagi itu berada;

(2)  Apabila pihak yang satu lagi itu bermastautin di luar Malaysia Barat dan dia tidak mungkin masuk ke dalam bidangkuasa mahkamah berkenaan dalam tempoh enam bulan setelah tarikh permohonan itu;

(3)  Apabila pihak yang satu lagi itu sedang dipenjara selama tempoh tiga tahun atau lebih; atau

(4)  Apabila pemohon menyatakan pihak yang satu lagi sedang menghidap penyakit otak yang tidak boleh sembuh.

Dalam keadaan biasa, sesuatu talak yang dilafazkan oleh suami atau sesuatu perintah yang dibuat oleh Mahkamah tidak boleh berkuatkuasa sehingga tamat tempoh eddah. Jika isteri hamil pada masa talak itu dilafazkan atau pada masa perintah itu dibuat, talak atau perintah itu tidak boleh berkuatkuasa sehingga berakhir kehamilan itu. [1]

 PERSAMAAN ANTARA JAWATANKUASA PENDAMAI DAN HAKAM

Pada dasarnya hampir tidak ketara perbezaan antara fungsi jawatankuasa pendamai dan hakam bahkan kedua-duanya mempunyai banyak persamaan, antaranya :

  1. Anggota Jawatankuasa Pendamai dan Hakam mestilah terdiri daripada kaum keluarga yang terdekat dengan pasangan suami isteri yang menghadapi masalah, di mana seorang mewakili pihak suami dan seorang lagi mewakili pihak isteri.
  1. Pada dasarnya kes yang dirujuk kepada Jawatankuasa Pendamai dan Hakam adalah terdiri daripada permohonan perceraian yang tidak mendapat persetujuan salah satu pihak atau kes-kes yang difikirkan masih ada ruang untuk didamaikan sebelum keputusan bercerai diambil.
  1. Jawatankuasa Pendamai dan Hakam diberi kuasa untuk menyiasat kes tersebut dan memberi nasihat yang berkaitan supaya pasangan tersebut boleh kembali hidup sebagai suami isteri. Walau bagaimanapun, jika usaha mereka gagal mereka bolehlah mengemukakan cadangan mereka kepada Mahkamah supaya dipisahkan pasangan dengan cara yang baik.
  1. Matlamat utama pelantikan Jawatankuasa Pendamai dan Hakam adalah untuk mencuba sedaya mungkin mengekalkan sesebuah rumah tangga supaya kekal bertahan dan hidup dalam harmoni. [2]

PERBEZAAN ANTARA JAWATANKUASA PENDAMAI DAN HAKAM

Jika diteliti, sebenarnya terdapat beberapa perbezaan antara Jawatankuasa Pendamai dan Hakam. Antaranya ialah :

  1. Anggota Jawatankuasa Pendamai tidak dihadkan kepada wakil bagi suami dan isteri sahaja bahkan ia boleh melebihi daripada dua orang. Sedangkan Hakam mestilah terdiri daripada dua orang iaitu seorang mewakili suami dan seorang lagi mewakili isteri.
  1. Jawatankuasa Pendamai dilantik dalam keadaan di mana salah satu pihak tidak bersetuju dengan perceraian atau pihak Mahkamah berpendapat bahawa kemungkinan yang munasabah untuk pasangan tersebut berdamai. Manakala Hakam pula lebih luas peranannya mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam kerana ia berperanan menyelesaikan shiqaq yang berlaku dalam kalangan pasangan suami isteri. Bahkan sesetengah negeri membolehkan pelantikan Hakam dalam masalah dharar.
  1. Pelantikan Jawatankuasa Pendamai dinyatakan tempohnya iaitu sekitar tiga hingga enam bulan sahaja, sedangkan pelantikan Hakam tidak ditetapkan tempohnya. Hakam diberi peluang untuk menyelesaikan pertikaian suami isteri selagi mana Hakam yang dilantik merasakan ada peluang untuk mereka berdamai.
  1. Jawatankuasa Pendamai hanya berkuasa untuk melaporkan cadangan tetapi Mahkamah yang membuat tindakan. Hakam pula diberi kuasa sepenuhnya untuk membuat keputusan samada untuk melafazkan talak atau menerima tebus talak jika ia merupakan wakil bagi suami. Manakal wakil bagi isteri berkuasa untuk menerima talak dan membayar tebus talak.
  1. Apabila Jawatankuasa Pendamai yang dilantik tidak dapat mencapai perdamaian antara pasangan, maka Mahkamah hendaklah menasihatkan suami untuk melafazkan talak satu di hadapan Mahkamah. [3] Manakala bagi kes yang dirujuk kepada Hakam dan Hakam mendapati tidak ada harapan untuk pasangan tersebut berdamai, maka Hakam boleh membuat keputusan cerai dengan satu talak ba’in bainunah sughra yang mana kesannya suami tidak boleh merujuk kepada isteri melainkan dengan akad baru. Bagi kes syiqaq yang berpunca daripada pihak suami talaq yang dijatuhkan adalah satu talaq ba’in tanpa ‘iwad. Manakala jika shiqaq yang berpunca daripada pihak isteri, Hakam hendaklah mengambil keputusan cerai satu talaq ba’in dengan khuluk.
  1. Mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di kebanyakan negeri seperti Selangor, Melaka, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Pahang, Hakam akan berperanan sekiranya Jawatankuasa Pendamai tidak dapat menyelesaikan kes yang dirujuk kepada mereka. Ini bermakna setiap kes yang berkaitan dengan permohonan cerai yang tidak mendapat persetujuan salah satu pihak akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pendamai terlebih dahulu. Sekiranya ia tidak dapat diselesaikan barulah Mahkamah akan memerintahkan pelantikan Hakam.

Berdasarkan kepada huraian di atas, ternyata Jawatankuasa Pendamai dan Hakam cuma berbeza daripada segi peruntukan undang-undang yang tertulis. Tetapi daripada segi peranan dan amalannya, tidak ada beza antara kedua-duanya kerana masing-masing berperanan menyelesaikan krisis yang berlaku antara suami isteri. Pelantikan Hakam adalah kesinambungan daripada pelantikan Jawatankuasa Pendamai yang tidak dapat mencapai matlamatnya dalam mendamaikan pasangan yang menghadapi krisis. [4]

KESIMPULAN

Jawatankuasa pendamai berfungi sebagai satu jawatankuasa untuk mendamaikan pertelingkahan yang berlaku di antara dua pihak iaitu suami isteri dalam satu perbalahan. Jawatankuasa pendamai merupakan satu proses pendamaian di antara pihak yang bertelingkahan selepas salah satu pihak membuat tuntutan penceraian dan sebelum diputuskan untuk prosiding ke mahkamah. Jawatankuasa pendamai ditubuhkan sebagai satu mekanisma dalam penyelesaian masalah tuntutan penceraian agar kes-kes penceraian dapat diselesaikan dengan cepat. Diharap dengan kewujudan jawatankuasa pendamai, hakam, sulh, dan rundingcara dapat membantu hakim menyelesaikan kes agar tidak berlaku lambakan kes di mahkamah syariah pada hari ini.

BIBLIOGRAFI

1)    Mimi Kamariah Majid, (1992), Undang-undang Keluarga di Malaysia, Singapore: Teck Wah Printing Pte Ltd.

2)    Norzulaili Mohd Ghazali dan Wan Abdul Fattah Wan Ismail, (2007), Nusyuz, Shiqaq dan Hakam Menurut Al-Quran, Sunah dan Undang-undang Keluarga Islam, Negeri Sembilan: Kolej Universiti Islam Malaysia.


[1] Mimi Kamariah Majid, (1992), Undang-undang Keluarga di Malaysia, Singapore: Teck Wah Printing Pte Ltd, hlm.74-76.

[2] Norzulaili Mohd Ghazali dan Wan Abdul Fattah Wan Ismail, (2007), Nusyuz, Shiqaq dan Hakam Menurut Al-Quran, Sunah dan Undang-undang Keluarga Islam, Negeri Sembilan: Kolej Universiti Islam Malaysia, hlm  69.

[3] Norzulaili Mohd Ghazali dan Wan Abdul Fattah Wan Ismail, (2007), Nusyuz, Shiqaq dan Hakam Menurut Al-Quran, Sunah dan Undang-undang Keluarga Islam, Negeri Sembilan: Kolej Universiti Islam Malaysia, hlm. 70.

[4] Ibid, hlm.71.

Advertisements

4 thoughts on “Peranan Jawatankuasa Pendamai dalam menyelesaikan kes di Mahkamah Syariah

  1. Salam, Cik siti.. Saya sedang mencuba mendapatkan buku Norzulaili Mohd Ghazali dan Wan Abdul Fattah Wan Ismail, (2007), Nusyuz, Shiqaq dan Hakam Menurut Al-Quran, Sunah dan Undang-undang Keluarga Islam, Negeri Sembilan: Kolej Universiti Islam Malaysia. Sangat berharap jika Cik siti boleh pinjamkan atau tolong fotostatkan buku ini untuk saya. Saya bayarkan kosnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s