Caruman KWSP sebagai Harta Sepencarian: Satu Analisis

PENDAHULUAN

Harta Sepencarian ini merupakan suatu masalah yang sangat susah dan rumit untuk diselesaikan oleh mana-mana pihak terutamanya Mahkamah Syariah apabila kedua-dua pihak suami isteri telah bercerai atau salah satu pihak meninggal dunia dan tidak mendapat persetujuan di atas harta tersebut secara sulh dan redha meredhai di antara kedua-dua pihak termasuk waris-waris. Bagi suami isteri yang tidak makan gaji biasanya sama-sama bekerja seperti menjadi petani, berkebun, menoreh getah, berniaga dan sebagainya dan ada juga yang bekerja hanya suami seorang sahaja, sama ada makan gaji atau lain-lain pekerjaan, manakala isteri tinggal di rumah menjaga anak-anak dan membuat kerja rumah seperti memasak, membasuh pakaian suami, anak-anak dan lain-lain kerja rumah dan mengikut kebiasaannya selepas berkahwin beberapa tahun suami isteri memperolehi harta seperti tanah, motokar dan sebagainya dengan membeli secara tunai atau pinjaman dari Kerajaan atau Bank dan seumpamanya dan harta-harta tersebut dibuat atas nama salah seorang sahaja dari suami isteri itu dan jarang sekali mereka membuat nama bersama (dua nama).

Istilah harta sepencarian berasal dari usaha “sama-sama sepencari” digunakan bagi pasangan suami isteri yang sama-sama bekerja membersihkan lading dan bercucuk tanam (padi huma dsb). Sebenarnya konsep “sama-sama sepencari” merupakan suatu kelaziman masyarakat Melayu dan pribumi di Nusantara. Oleh sebab itu, amalan pembahagiannya bukanlah menjadi suatu yang asing bagi masyarakat yang mendiami rantau ini. Ini digambarkan melalui beberapa penulisan dan kes-kes yang diputuskan sama ada di Mahkamah Adat atau di Mahkamah Sivil mahupun di Mahkamah Syariah.
Tuntutan untuk mendapat sebahagian harta sepencarian pada mulanya didasarkan atas adat Melayu dan tuntutan itu boleh dibuat di Mahkamah Sivil dan juga di Mahkamah Syariah. Mahkamah Sivil telah memutuskan bahawa hak itu adalah muncul dari adat Melayu.
Sesungguhnya, tuntutan harta sepencarian tidak dianggap sebagai brlakunya suatu kontrak yang boleh diputuskan melalui Akta Kontrak 1950 kerana tidak ada suatu perjanjian bertulis yang membolehkannya dituntut di bawah undang-undang ini. Setelah Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan dipinda, Mahkamah Sivil tidak lagi mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan membicarakan tuntutan harta ini. Kini, harta sepencarian sudah dianggap sebagai undang-undang Islam. Mahkamah Syariah diberi bidangkuasa mendengar dan membicarakan tuntutan harta sepencarian dari mana-mana pasangan orang-orang Islam yang telah bercerai sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Enekmen Keluarga Islam yang digubal di negeri-negeri. Begitupan mana-mana tuntutan harta sepencarian hendaklah dibuat mengikut hierarki mahkamah serta mengikut takat bidangkuasa malnya sebagaimana yang diperuntukkan.
Tajuk tugasan saya adalah ‘Caruman KWSP sebagai Harta Sepencarian: Satu Analisis’. Walaubagaimanapun, skop yang ingin saya ketengahkan adalah sejauh manakah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diklasifikasikan samada sebagai harta sepencarian atau tidak. Analisis akan dilakukan untuk memastikan samada KWSP wajar dikira sebagai harta sepencarian atau tidak, dan pada akhir penulisan ini, akan saya simpulkan samada KWSP wajar dianggap sebagai harta sepencarian atau tidak.

TAFSIRAN HARTA SEPENCARIAN

Harta sepencarian ditafsirkan dalam Undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri kecuali di Kelantan dalam Undang-undang Pentadbiran Mahkamah Syariah. Umumnya, terdapat sedikit perbezaan tafsiran meskipun tidak terdapat perbezaan dari segi amalan pembahagiaan. Di Johor, Melaka, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Terengganu dan Wilayah-wilayah Persekutuan, harta sepencarian ditafsirkan sebagai “harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang dikemukakan oleh hukum syarak”. Dengan memasukkan perkataan “secara lansung atau tidak lansung” menunjukkan bahawa harta yang diusahakan oleh suami atau isteri akan ditafsirkan sebagai harta sepencarian tidak kira sama ada sumbangan yang dibuat itu sumbangan secara lansung atau tidak lansung. Ini lebih menepati situasi yang suri rumah sepenuh masa juga berhak mendapat hak harta sepencarian melalui sumbangan tidak lansung yang diberikan dengan menguruskan anak-anak dan rumahtangga. Sementara di Pahang dan Perak (Enakmen Keluarga Islam Perak (No.9/1996)), ia ditafsirkan sebagai “pendapatan atau harta yang didapati daripada usaha bersama di antara suami dan isteri dan termasuklah pendapatan yang didapati daripada modal yang diperolehi daripada usaha mereka bersama”. Tetapi di Perak, tafsiran ini kemudiannya dipinda dengan mengambil kira “apa-apa bentuk sumbangan lain semasa perkahwinan” sama sebagaimana di Selangor dan Negeri Sembilan. Di Selangor dan Negeri Sembilan, ia ditafsirkan sebagai “harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri, samada secara lansung atau tidak lansung, semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak”. Di Kelantan pula, ia ditafsirkan sebagai “harta yang diperoleh oleh suami isteri dari usaha modal bersama”. Begitupun di Kedah, harta sepencarian tidak ditafsirkan sama ada dalam Enakmen Keluarga Islam 1979 mahupun dalam Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam 1962.
Secara umumnya harta sepencarian merujuk kepada harta yang terkumpul sepanjang perkahwinan sama ada harta alih atau harta tak alih. Amalan pembahagian harta sepencarian yang pada asalnya sering kali dikaitkan dengan perkongsian hidup suami isteri telah pun diiktiraf oleh Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia setelah dikanunkan dengan peruntukan khas yang terdapat setiap negeri.
Selain itu, definisi harta sepencarian juga terdapat dalam kes-kes yang telah diputuskan. Dalam kes Yang Chik lwn Abdul Jamal , contohnya, hakim telah menekankan bahawa:
“Harta sepencarian ialah harta yang diperoleh semasa dalam perkahwinan dengan masing-masing suami isteri sama-sama menyumbangkan tenaga atau wang ringgit untuk mendapatkan harta”.
Melihat definisi yang diberikan dalam kes tersebut, jelas bahawa seseorang isteri yang telah diceraikan itu berhak mendapat sebahagian daripada harta sepencarian sekiranya dapat dibuktikan bahawa beliau sama-sama menyumbang tenaga mahupun wang ringgit dalam usaha mendapatkan harta sepencarian tersebut.
Menurut kes Piah Binti Said lwn Che Lah Bin Awang , Qadi Besar Pulau Pinang telah mendefiniskan harta sepencarian sebagai:
“Harta yang diperoleh bersama semasa suami isteri itu hidup bersama dan berusaha sama ada kedua-dua mereka sama-sama bekerja dalam bidang yang sama atau dalam bidang yang berlainan dan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi sama ada dibahagi-bahagikan tugas atau tidak”.
Berdasarkan petikan di atas, jelas bahawa konsep harta sepencarian sebenarnya adalah berdasarkan usaha dan sumbangan yang diberikan oleh kedua-dua suami isteri. Ini termasuklah sumbangan tidak lansung atau tidak rasmi yang telah diberikan oleh isteri dengan menguruskan anak-anak dan rumah tangga. Ini bermakna, perkahwinan dan kehidupan bersama antara suami isteri bukanlah dengan sendirinya menimbulkan harta bersama yang boleh dituntut apabila berlakunya perceraian. Didapati bahawa prinsip ini selaras dengan apa yang telah disebutkan dalam Al-Quran yang bermaksud :

32. Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia Yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian Yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa Yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa Yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Dari segi amalan, sesuatu harta yang telah diperoleh oleh mana-mana pihak dari suami isteri sebelum mereka berkahwin dan kemudiannya kedua-dua pasangan suami isteri itu telah mengerjakan harta itu seperti mereka sama-sama bercucuk tanam di atas tanah suami atau isteri, maka harta itu tetap tidak dikira sebagai harta sepencarian tetapi mana-mana pihak boleh menuntut upah. Begitu juga misalnya isteri mempunyai harta sebelum daripada perkahwinan iaitu melalui warisan, dan si suami tidak mempunyai apa-apa pendapatan tetapi hanya mengusahakan tanah itu bersama-sama isterinya. Dengan hasilnya itu, mereka dapat membeli beberapa bidang tanah atau harta lain, maka harta yang baru dibeli itu adalah harta sepencarian.
Secara mudah, harta sepencarian bolehlah diertikan sebagai suatu harta sama ada harta alih atau harta tak alih yang diperolehi bersama oleh suami dan isteri hasil daripada usaha dan sumbangan bersama dalam tempoh perkahwinan mereka dan termasuklah juga nilai harta yang diperolehi sebelum mereka berkahwin (harta asal) yang telah dimajukan atau ditingkatkan nilainya dalam masa perkahwinan melalui hasil usaha bersama.
Kesimpulannya, meskipun terdapat perbezaan tafsiran dalam statut tersebut dari sudut matanya, namun secara umum, konsep dan maksud amalan pembahagian harta ini adalah hampir sama di antara sebuah negeri dengan negeri yang lain iaitu statut memberi penekanan tentang usaha atau modal yang disumbangkan oleh kedua belah pihak dalam tempoh perkahwinan mereka dan rujukan pembahagiannya dibuat mengikut pertimbangan hukum syarak. Begitupan, apa yang menimbulkan perbincangan lanjut di sini ialah maksud “sumbangan secara tidak lansung” yang tidak disebut dalam sesetengah undang-undang negeri. Apakah ia memerlukan suatu modal atau sesuatu aset tertentu dimana satu pihak membuat sumbangan yang sedikit berbanding dengan pihak yang satu lagi?

FAKTOR PENENTUAN HARTA SEPENCARIAN

Mahkamah Syariah diberi bidang kuasa eksekutif untuk mendengar dan membicarakan mana-mana pasangan Islam yang telah bercerai. Terdapat dua faktor yang diambil kira dalam menentukan sesuatu itu merupakan harta sepencarian atau tidak. Faktor pertama ialah sumbangan secara langsung. Sumbangan ini merujuk kepada usaha bersama yang jelas oleh pasangan suami isteri untuk memperoleh sesuatu aset itu. Ia merupakan faktor utama bagi mahkamah untuk mensabitkan adanya hak harta sepencarian semasa dalam tempoh perkahwinan.
Faktor kedua merujuk kepada sumbangan secara tidak langsung oleh isteri atau suami kepada pasangannya dalam mendapatkan sesuatu aset. Sebagai contoh, suami bekerja untuk mendapatkan sumber pendapatan, manakala isteri ialah seorang suri rumah yang tidak bekerja bersama-sama dalam memperoleh sumber pendapatan tersebut. Namun, kebijaksanaan isteri dalam menguruskan rumah, anak-anak, dan sebagainya ditafsirkan sebagai sumbangan secara tidak lansung yang menjamin seseorang suami dapat menumpukan sepenuh perhatian dalam kerjanya.
Walaupun peruntukan yang ada memberikan pembahagian yang berbeza bergantung sama ada ia merupakan harta hasil usaha sama atau harta hasil usaha tunggal, Mahkamah Syariah dalam kebanyakan kes yang diputuskan, tidak secara khusus membezakan antara harta usaha sama atau harta usaha tunggal. Yang diamalkan oleh mahkamah ialah melihat sumbangan yang telah diberikan oleh kedua-dua belah pihak. Secara amnya, sekiranya isteri telah memberikan sumbangan lansung dalam memperoleh harta tersebut, dia berhak mendapat separuh daripanya (1/2). Tetapi, sekiranya isteri memberikan sumbangan tidak lansung, mahkamah akan memberikan 1/3 daripada harta tersebut kepadanya. Contoh yang jelas dapat dilihat dalam Boto’ bt Taha lwn Jaafar bin Muhammad . Dalam kes ini, mahkamah memutuskan bahawa isteri berhak mendapat 1/3 daripada harta sepencarian yang didaftarkan di bawah nama suami berdasarkan sumbangan tidak lansung yang telah diberikan dengan menemani suaminya dalam urusan perniagaannya.
Berkenaan dengan sumbangan secara lansung pula, seperti yang dinyatakan di atas, biasanya, mahkamah akan memerintahkan supaya harta sepencarian tersebut dibahagi dua. Prinsip ini biasanya terpakai, sekiranya isteri bekerja dan dapat dibuktikan bahawa isteri juga ada memberikan sumbangan dalam bentuk wang seperti yang berlaku dalam Wan Junaidah lwn Latiff . Dalam kes ini, isteri yang telah diceraikan menuntut tuntutan sampingan termasuklah harta sepencarian. Disebabkan oleh bayaran bulana tanah dalam kes ini dibayar melalui akaun bersama, maka ia merupakan harta hasil usaha dan Mahkamah Syariah memerintahkan suami untuk membayar separuh daripada nilai jualan tanah tersebut yang berjumlah kira-kira RM57130.00. Hal ini bermakna, isteri mendapat separuh daripada jumlah tersebut yang berjumlah RM28565.00.
Peruntukan yang terpakai secara jelas menyebut bahawa sebelum pembahagian dibuat, mahkamah akan mengambil kira faktor-faktor tertentu. Sekiranya harta yang terlibat adalah harta usaha bersama, faktor-faktor yang akan diambil oleh mahkamah termasuklah takat sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta atau kerja bagi memperoleh harta tersebut, apa-apa hutang yang terhutang oleh satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka serta keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu. Bagi harta hasil usaha tunggal pula, mahkamah akan melihat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh pihak yang tidak memperoleh harta itu, kebajikan keluarga dengan memelihara rumah tangga atau menjaga keluarga serta keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada. Walaubagaimanapun, pada kebiasaasannya, Mahkamah Syariah hanya melihat sumbangan yang telah diberikan oleh kedua-dua belah pihak dalam memperoleh harta tersebut. Faktor-faktor lain seperti hutang dan keperluan anak-anak yang belum dewasa amat jarang sekali diambil kira. Menurut Suwaid Tapah, daripada segi praktiknya, keperluan kanak-kanak tidak pernah dibangkitkan sebagai asas yang akan mempengaruhi pembahagian harta sepencarian, kerana seorang bapa itu sememangnya berkewajipan memberikan nafkah kepada anak-anaknya dalam apa-apa jua keadaan sekali pun.
Dalam pembahagian harta sepencarian, mahkamah juga tidak mengambil kira jangka masa sesuatu perkahwinan itu. Sebaliknya, faktor ini biasanya hanya akan diambil kira dalam menentukan kadar mut’ah yang perlu diberikan kepada isteri yang diceraikan tanpa sebab yang patut.
Dalam perbincangan di atas, jelas bahawa walaupun peruntukan yang terpakai menyebut faktor-faktor yang perlu diambil kira, mahkamah dalam membuat sesuatu keputusan biasanya hanya memberi penekanan terhadap sumbangan yang diberikan oleh kedua-dua pihak sama ada sumbangan lansung atau sumbangan tidak lansung. Ini jelas menunjukkan bahawa ia adalah selaras dengan prinsip asal harta sepencarian yang berdasarkan usaha dan sumbangan yang diberikan oleh suami isteri semata-mata.

CARUMAN DALAM KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA (KWSP)

KWSP merupakan sebuah institusi keselamatan sosial yang ditubuhkan di bawah Undang-Undang Malaysia, Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452) yang menyediakan faedah persaraan kepada ahlinya melalui pengurusan simpanan mereka secara cekap dan boleh dipercayai. KWSP juga menyediakan sistem yang efisien dan mudah bagi memastikan para majikan memenuhi tanggungjawab undang-undang serta kewajipan moral mereka untuk mencarum kepada KWSP bagi pihak pekerja mereka.
Di bawah skim KWSP, pekerja diwajibkan mencarum setiap bulan sebahagian daripada pendapatannya kepada KWSP. Sementara majikannya pula dikehendaki menambah jumlah tersebut dengan kadar tertentu. Kadar caruman sernasa yang ditetapkan ialah 11 % bagi caruman pekerja dan 12% bagi caruman majikan. Caruman yang dibayar setiap bulan dicarnpur dengan sebarang keuntungan pelaburan yang diperoleh ke atas simpanan tersebut akan rnenentukan jumlah simpanan atau faedah persaraan yang akan diperoleh pada umur 55 tahun persaraan. Tujuan utama simpanan antara lain ialah menyediakan faedah persaraan kepada pekerja dalam bentuk jaminan kewangan untuk membiayai persaraan dan jika berlaku kematian, simpanan ahli akan digunakan untuk rneringankan beban kewangan waris/tanggungan. Sementara jika berlaku hilang upaya, simpanan ahli akan digunakan untuk ahli sendiri atau orang tanggungan dari segi kewangan.

Menurut laman sesawang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, caruman adalah wang yang dikreditkan ke akaun individu ahli di KWSP. Amaun tersebut terdiri daripada caruman pekerja dan caruman majikan dan dikira berdasarkan gaji bulanan pekerja. Kadar caruman semasa adalah 20% daripada gaji pekerja dimana 8% adalah caruman pekerja yang dipotong daripada gaji bulanan pekerja manakala 12% adalah caruman oleh majikan.

Mengikut amalan kini, simpanan ahli dibahagikan kepada tiga akaun utama iaitu Akaun I sebanyak 60% daripada persaraan untuk persaraan (boleh dikeluarkan pada umur 55 tahun). Akaun II sebanyak 30% daripada simpanan bagi pengeluaran umur 50 tahun dan rumah dan Akaun III sebanyak 10% daripada simpanan untuk tujuan biaya kesihatan.

Bagi tuntutan caruman ahli kiranya ahli meninggal dunia, pihak KWSP telah memperkenalkan sistem penamaan sejak tahun 1952. Sistem ini membolehkan penama membuat tuntutan dan pihak pengurusan dapat menguruskan pembayaran dengan cepat dan mudah. Walau bagaimanapun, jika ahli tidak membuat penamaan, maka pembahagian simpanan akan dibuat menerusi Surat Probet, Surat Kuasa Mentadbir atau Surat Perintah Pembahagian. Perkembangan terbaru pembahagian simpanan bagi penama ahli yang beragama Islam, penama merupakan wasi atau pentadbir dan bukan pemilik. Penama hendaklah membahagikan simpanan tersebut mengikut hukum Faraid setelah menerima simpanan tersebut. Walau bagaimanapun, dalam keadaan ini, KWSP tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas penama yang tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai wasi atau pentadbir tersebut di bawah Akta KWSP. Malah, dalam keadaan lain, terdapat juga ahli yang tidak membuat penamaan orang tanggungan atau warisnya yang mana ini menyebabkan ketidakpuasan hati waris-waris. Penyelesaiannya, jika tiada penamaan dibuat, waris ahli perlu mendapatkan Surat Perintah Pembahagian daripada Pejabat Tanah atau Amanah Raya Berhad tertakluk kepada nilai simpanan tersebut. Biasanya pihak pengurusan KWSP tidak dapat membuat pembahagian simpanan dengan cepat.

Harus difahami bahawa skim KWSP dan Skim Pencen Perkhidmatan Awam (SPPA) juga mempunyai matlarnat yang sama. Apa yang berbeza ialah skim KWSP menyediakan perlindungan kewangan kepada pekerja di sektor swasta dan pekerja tidak berpencen sektor awam. Manakala SPPA menyediakan perlindungan kewangan kepada pekerja Perkhidmatan Awam yang diletakkan di bawah Skim Pencen. Faedah persaraan Skim KWSP dibayar secara sekaligus atau secara berperingkat mengikut pilihan ahli pada umur 55 tahun. Faedah persaraan SPPA pula dibayar pada umur 55 tahun dalam bentuk pencen dikira dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan serta jumlah pendapatan bagi tempoh tertentu dan kadar gantiannya ialah 50% daripada gaji akhir.

Seksyen 51 dan 54 Akta KWSP serta peraturan-peraturan yang dipakai merupakan peruntukan penting untuk tujuan caruman dan pengeluaran. Berdasarkan mekanisme dan peraturan yang ditetapkan maka tuntutan harta sepencarian berasaskan sumbangan secara tidak langsung adalah tidak berbangkit. lni kerana sebagaimana dijelaskan harta yang simpan menjadi milik peribadi pencarum. Tegasnya, dari segi objektif dan tujuan sebagaimana disebutkan adalah untuk kebajikan pencarum di hari tua. Malah jika kakitangan perkhidmatan awam yang memilih saraan melalui pencen sewaktu persaraan adalah juga hasil caruman yang dimasukkan dalam Kumpulan Wang Amanah Pekerja.

Walaubagaimanapun, apabila berlakunya penceraian, pada kebiasaanya, pihak isteri akan cuba memepertikaikan bahawa wang yang terkumpul dalam KWSP itu adalah harta sepencarian yang perlu dibahagikan dengan alasan bahawa mereka juga telah memberikan sumbangan tidak lansung yang menyebabkan suami dapat bekerja dengan tenang sehingga terkumpulnya sejumlah simpanan dalam KSWP. Perkembangan ini nampaknya telah menimbulkan reaksi yang berbeza di Mahkamah-mahkamah Syariah.

Merujuk pada kes Timah binti Sulaiman lwn Abdul Rahman bin Ayob , mahkamah dalam membenarkan tuntutan isteri telah merujuk kitab I’nah al-Talibin juzuk 4 halaman 76 yang memperuntukkan matan Fathul al-Muin yang bermaksud bahawa kerja-kerja yang lazimnya dilakukan oleh isteri seperti memasak dan membasuh pakaian suami sebenarnya bukanlah tanggungjawab seorang isteri. Malahan ia sepatutnya disediakan oleh pihak suami (sama ada dengan menyediakan orang gaji atau membayar upah kepada isterinya). Sehubungan dengan itu, mahkamah berpendapat:

“… jika sekiranya wang yang diambil daripada gaji Defendan untuk pembayaran tersebut (CPF) tidak dibayar atau tidak dipotong kepada Kerajaan sudah tentu wang tersebut digunakan untuk keluarga, dengan cara tidak lansung pengorbanan isteri di atas kekurangan tersebut dalam mengurus rumah tangga adalah merupakan sumbangan yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit dalam masa rumah tangga aman damai”.

Di Mahkamah Sivil, tuntutan mengenai caruman dalam KWSP dan termasuk gratiuti ketika persaraan telah diputuskan sebagai harta perkahwinan. Pasangan yang berkenaan boleh memohon injunksi bagi menghalang majikannya atau agen daripada mengeluarkannya sehingga pemohonan relief ansilarinya diselesaikan. Di Mahkarnah Syariah pula, sejauh penelitian berdasarkan kes-kes yang diputuskan tidak begitu jelas sama ada caruman dalam KWSP sudah diiktiraf sebagai harta sepencarian atau sebaliknya dan sehingga kini belum ada fatwa yang jelas mengenainya. Misalnya, dalam kes Mariam dan Mohamed yang diputuskan di Mahkamah Rendah Kuala Terengganu, mahkamah telah memerintahkan kepada defendan (Mohamad) supaya menyerahkan sebanyak RMI8,OOO daripada jumlah caruman dalam KWSP kepada plaintif (Mariam) dan memerintahkan kepada Pengurus KWSP Negeri Terengganu supaya memasukkan caruman KWSP defendan sejumlah yang tersebut itu daripada jumlah carumannya kepada penama Mariam. Walaubagaimanapun semasa mengulas kes ini, Suwaid Tapah berpendapat bahawa keputusan tersebut sebenarnya dibuat berdasarkan persetujuan kedua-dua belah pihak, iaitu bukannya melihat pendirian mahkamah itu sendiri dalam menangani isu tersebut.

Secara umumnya, kebanyakan Mahkamah Syariah masih agak keberatan untuk berbuat demikian, dengan memberikan alasan bahawa wang yang terkumpul itu merupakan skim potongan gaji yang diwajibkan ke atas semua pekerja dengan objektif utamanya sebagai simpanan untuk hari tua. Atas dasar inilah, maka amat wajar ia dianggap sebagai harta persendirian. Sehubungan dengan itu, dalam kes Abdul Rahman bin Ayub lwn Fatimah Sulaiman , Mahkamah Rayuan Seremban tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang telah mengiktiraf Wang Simpanan Pekerja sebagai harta sepencarian.

Daripada perbincangan di atas, dapatlah dirumuskan bahawa persoalan sama ada wang KWSP boleh dianggap sebagai harta sepencarian atau tidak masih lagi dibahaskan memandangkan tidak ada satu pun keputusan mahkamah yang konklusif berhubung dengannya. Di samping itu, Majlis Fatwa Kebangsaan juga setakat ini tidak mengeluarkan apa-apa fatwa mengenainya. Fatwa yang ada hanya menyebut bahawa wang KWSP yang disimpan adalah pusaka yang mesti dibahagikan mengikut faraid dan penama KWSP adalah wasi atau pentadbir harta. Budi bicara yang diberikan kepada pihak KWSP menunjukkan seolah-olah wang KWSP ini telah diiktiraf sebagai sebahagian daripada harta sepencarian yang perlu diselesaikan sebaik sahaja layak dikeluarkan.

Harus difahami bahawa, isu tuntutan wang KWSP adalah isu yang bersekitar di Mahkamah Syariah sahaja, sedangkan pengiktirafan tersebut telah diberi di Mahkamah Sivil. Walaupun Akta KWSP tidak membenarkan mana-mana wang yang ada dalam akaun ahli diserahkan atau ditahankan kepada mana-mana pihak ketiga di samping meletakkan peraturan yang harus dipatuhi sebelum pengeluaran boleh dibuat, kes yang diputuskan di Mahkamah Sivil telah menegaskan bahawa peraturan-peraturan tersebut tidak boleh dijadikan alasan oleh mahkamah untuk tidak mengiktiraf wang yang terkumpul itu sebagai harta sepencarian. Sehubungan dengan itu, Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga telah mencadangkan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengeluarkan fatwa mengenai isu ini dan seterusnya menggesa setiap negeri mengiktiraf wang simpanan KWSP sebagai harta sepencarian.

Sebenarnya, jika caruman yang dibuat oleh salah satu pasangan dijadikan sebagai harta yang dipertikaikan dan menjadi kes mahkamah sama ada di Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah, pihak KWSP mempunyai budi bicara menasihati ahli supaya menyempurnakan perintah tersebut sebaik-baik sahaja caruman itu layak dikeluarkan. Dengan perkataan lain, perintah mahkamah berkenaan adalah bagi memudahkan pihak KWSP menetapkan caruman kepada penama yang disebut dalam perintah berkenaan. Malah, oleh kerana caruman simpanan dianggap sebagai harta milik peribadi, pihak-pihak yang berkepentingan boleh menggunakan mekanisme tersebut bagi melunaskan pembayaran apa-apa tuntutan yang berbangkit dalam perkahwinan dan perceraian iaitu dalam keadaan tertentu misalnya tiada harta lain yang dimiliki – seperti mut’ah, hutang, nafkah dan lain-lain melalui perintah yang dibuat oleh mahkamah.

HUJAH DAN DALIL

Tiada dalil khusus tentang harta sepencarian dan cara pembahagian dalam al-quran dan hadis. Namun demikian, Allah S.W.T telah pun menggariskan prinsip asas pemilikan iaitu berdasarkan kepada usaha tanpa membezakan antara lelaki dan wanita. Firman Allah S.W.T berikut ini menjadi asas keada kepentingan pertimbangan sumbangan secara lansung dalm penentuan harta sepencarian:

32. Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia Yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian Yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa Yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa Yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Mazhab Syafie menggariskan, konsep perkongsian harta boleh dilihat melalui syarikat al-‘inan yang perkongsian dalam bentuk harta dibuat oleh dua pihak atau lebih melalui akad, dan keuntungan kembali kepada pihak tersebut menurut upah yang munasabah dengan kerja. Mazhab Hanafi mengharuskan secara mutlak syarikat al-abdan di mana perkongsian berlaku apabila dua orang berkongsi tenaga dan usaha tanpa harta dan modal. Maka keuntungan kembali kepada kedua-dua pihak atas dasar upah yang munasabah mengikut kerja. Mazhab Maliki dan Hambali juga bersependapat begini dengan mensyaratkan persamaan dari segi jenis kerja.
Berdasarkan pandangan para ulama, dapat dirumuskan bahawa sumbangan kerja menjadi faktor menentukan wang simpanan pekerja KWSP sebagai harta sepencarian atau tidak. Perkongsian wang simpanan KWSP bukanlah perkongsian berakad dalam bentuk harta. Sekalipun terdapat perkongsian usaha dan tenaga, namun, sumbangan isteri atau suami kepada pasangannya di dalam atau di luar rumah bukanlah dari jenis kerja yang sama yang dilakukan oleh pasangan tersebut. Oleh itu, wang simpanan KWSP bukanlah bentuk harta sepencarian tetapi harta pusaka yang wajib diagih-agihkan kepada yang berhak menerimanya melalui hukum faraid.

PANDANGAN SISTERS IN ISLAM TENTANG HAK ISTERI DALAM CARUMAN KWSP MILIK SUAMI

Berdasarkan carian saya melalui laman sesawang Sisters in Islam, saya mendapati mereka berpandangan bahawasanya caruman KWSP wajar dikira sebagai harta sepencarian. Permasalahan timbul bilamana seorang wanita bertanyakan kepada mereka melalui laman webnya tentang apakah haknya dan anak-anaknya terhadap wang KWSP peninggalan arwah suaminya dan harta-harta lain. Masalah timbul bilamana arwah suami telah menamakan ibunya sebagai penama kepada carumannya. Mereka membahaskan pandangan mereka berdasarkan kitab Bughyatul Mustarsyidin oleh Sayyid Abdul Rahman bin Muhammad bin Hussain bin Umar, mukasurat 159, yang mana telah menyatakan bahawa:
“telah bercampur harta suami isteri dan tidak diketahui harta siapa yang lebih banyak – tidak ada tanda-tanda dapat membezakan harta salah seorangnya – kemudian berlaku perpisahan antara keduanya ataupun mati, maka tidak sah salah seorang daripada mereka (suami isteri) atau warisnya memerintah (mengguna) sesuatu daripada harta itu sebelum dapat dibezakan ataupun sebelum adanya persetujuan antara pihak-pihak (sulh), kecuali bersama-sama dengan pemiliknya oleh kerana tidak ada murajjih (tanda yang membezakan diantara harta-harta berkenaan).”
Yang mana menurut kepada fatwa dan amalan semasa, wang simpanan si mati dalam KWSP adalah diiktiraf sebagai harta pusaka. Pengiktirafan tersebut adalah melaui Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-49 pada September 2000 iaitu wang KWSP dan wang disimpan adalah pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid kerana wang itu dicarum si mati semasa hayatnya kepada KWSP maka wang itu adalah milik si mati.
Maka, wang milik si mati adalah harta pusaka. Walaupun ibu mertua dinamakan sebagai penama untuk mengeluarkan dan menerima wang itu, wang yang diterima hendaklah dibahagikan kepada waris mengikut faraid. Fatwa Kebangsaan juga memutuskan penama KWSP adalah wasi atau pentadbir harta. Penama hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan si mati) mengikut hukum faraid.
Antara prosedur KWSP yang ditetapkan adalah dengan member peringatan kepada penerima seperti berikut: “Bagi ahli yang beragama Islam, penerima waran ini adalah sebagai wasi atau pentadbir dan adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mentadbir dan membahagikan simpanan KWSP ahli mengikut undang-undang.”
Bagi orang Islam, penamaan yang dilakukan di dalam akaun caruman KWSP hanya bagi membenarkan KWSP mengeluarkan wang itu kepada penama untuk diagihkan kepada waris yang berhak. Penama diamanahkan oleh orang yang menamakannya untuk mentadbir harta berkenaan supaya ia dapat diagihkan mengikut hukum faraid dengan segera.
Secara dasarnya, wang simpanan yang dikeluarkan oleh penama dikehendaki menandatangani suatu aku janji bahawa beliau akan mengagihkan wang simpanan itu mengikut hukum faraid. Kegagalan mematuhi aku janji itu memberi kesan kepada penama dari sudut undang-undang. Tindakan menurut undang-undang boleh diambil terhadap penama itu. Oleh sebab itu, sudah menjadi ibu mertuanya yang sebagai penama untuk membahagikan harta tersebut secara faraid kepada waris-waris yang berhak. Jelaslah disini, pada pandangan Sisters in Islam, seseorang isteri itu berhak ke atas harta-harta pusaka arwah kerana si isteri dikira salah seorang waris. Maka, si isteri juga berhak untuk menuntut wang caruman KWSP bagi kepentingan diri sendiri dan anak-anak.

KESIMPULAN

Berdasarkan kajian yang telah saya lakukan, fatwa dengan jelas menyatakn bahawasanya, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian dan menetapkan wang tersebut sebagai harta pusaka dan perlu dibahagikan mengikut faraid. Wang KWSP dan yang disimpan adalah pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid. Penama KWSP adalah wasi atau pentadbir harta dan penama ini perlulah membahagikan harta ini mengikut hukum faraid. Penama bukanlah dianggap sebagai penerima harta tersebut. Tambahan lagi, bahagian Undang-undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia hendaklah menasihatkan KWSP supaya menyemak semula peraturan dan undang-undang yang sedia ada berhubung dengan penamaan supaya selaras dengan hukum syarak.
Daripada huraian yang telah dibuat, caruman KWSP tidak dikategorikan sebagai harta sepencarian. Di bawah Akta KWSP 1991, Seksyen 51, Simpanan KWSP ahli yang masih hidup adalah hak mutlak pencarum untuk kebajikan mereka di hari tua yang tidak boleh dipindahkan kepada pihak lain. Akta KWSP ini pula terletak di bawah undang-undang sivil.
Walaubagaimanapun, pada pandangan saya, caruman KWSP wajar dikira sebahagian daripada harta sepencarian. Dengan mengambil kira wang yang terkumpul ini, adalah hasil tabungan pendapatan yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan, wang yang terumpul itu bolehlah dikategorikan sebagai harta sepencarian yang boleh dituntu walaupun wang tersebut adalah pendapatan daripada satu pihak. Selain daripada sumbangan secara langsung yang diberikan oleh pihak isteri, sumbangan secara tidak langsung juga perlu diambil kira bagi menentukan tuntutan harta sepencarian. Sumbangan moral serta pengorbanan terutamanya yang diberikan oleh pihak isteri tidak sepatutnya diperkecilkan. Seperti yang diincangkan, walaupun pengeluaran wang KWSP itu terikat oleh peraturan-peraturan tertentu, alasan tersebut tidak sepatutnya menjadi alasan untuk tidak mengiktiraf harta tersebut sebagai harta sepencarian. Jika bukan keseluruhan caruman dikira sebagai harta sepencarian, maka wajarlah untuk membahagikan 1/3 kepada pihak satu lagi. Melihat kes-kes yang dilaporkan, secara umumnya apabila seseorang isteri itu bekerja dan telah dapat dibuktikan bahawa dia telah memberikan sumbangan lansung, maka dia berhak mendapat 1/2. Sebaliknya seorang suri rumah sepenuh masa yang sumbangannya hanyalah dikenal pasti sebagai sumbangan tidak langsung, hanya berhak mendapat 1/3. Walaubagaimanapun, eloklah kiranya pembahagian ini bergantung kepada budi bicara hakim itu sendiri dengan mengambil kira beberapa faktor yang dirasakan perlu supaya pembahagian itu memberikan keadilan kepada kedua-dua belah pihak.

BIBLIOGRAFI

1) Al-Quran al-Karim.

2) Suwaid Tapah, (2003). ”Harta Sepencarian dan Wang Simpanan Pekerja KWSP: Satu Perbincangan daripada Sudut ‘Sumbangan secara Tidak Lansung’” dalam Jurnal Syariah.

3) Profesor Tan Sri Datuk Ahmad Ibrahim, 1999. Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia. Malayan Law Journal Sdn Bhd.

4) Norliah Ibrahim, “Masalah Tuntutan Harta Sepencarian”, 2007. Undang-undang Keluarga (Islam), Jilid 14, suntingan Najibah Mohd Zin et al. Perpustakaan Universiti Malaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

5) Himpunan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Berhubung dengan Isu–isu Muamalat, Fatwa Ketiga Belas (2009), “Hukum Menjadikan Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebagai Harta Sepencarian”, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

6) http://www.kwsp.gov.my/index.php?ch=p2corporateinfo&pg=bm_p2corporateinfo_geninfo&ac=1699 , diakses pada 18 Oktober 2010.

7) http://www.islam.gov.my/portal/pdf/Harta.pdf, diakses pada 21 Ogos 2010 jam 5.45 pagi.

8) http://www.sistersinislam.org.my/index.php?option=com_content&task=view&id=1005&Itemid=214 , diakses pada 18 Oktober 2010.

Advertisements

8 thoughts on “Caruman KWSP sebagai Harta Sepencarian: Satu Analisis

  1. aslmkm cik..sy ingin bertanya, sy sudah bercerai dengan suami sy, tetapi masalah sy skarang adalah rumah yg sy tinggal skarang terdapat nama pendua bersama sedangkan bayaran bulanan rumah tsb dipotong melalui potongan gaji saya sbg penjawat awm..brg di dalam rumah tersebut juga drpd hasil sy bekerja..persoalannya, adakah dia berhak untuk menuntut rumah tersebut sekiranya sy telah meninggal dunia walaupun sy telah mempunyai waris bersama suami baru..sy harap sgt cik dpt membantu sy kerana sy berasa tidak adil dan musykil dia hnya menumpang nama sedangkan semua perbelanjaan rumah tsb sy yg keluarkan..harap sgt cik dpt membantu..

  2. Saya telah dapat perintah mahkamah bahawa bekas suami hendaklah menjelaskan hutang nafkah anak, mutaah dan harta sepencarian. Tapi beliau abaikan, sekarang beliau telah menetap di Manila dan berkawin disana dengan membuka Internet cyber cafe. Soalan saya boleh tidak saya menyekat wang KWSP beliau bagi beliau menjelaskan hutang tertunggak beliau pada saya. Sila beri penjelasan apa patut saya buat. Selama ini saya sara anak bersekolah dengan hutang bergadai, tapi bekas suami hidup senang dan mengabaikan tanggungjawab mereka.

    • Puan bleh membuat aduan di Bahagian Sokongan Keluarga di Mahkamah Syariah di negeri di mana puan bread / di mana Mahkamah Syariah yang telah memutuskan kes puan. Bahagian tersebut akan menjelaskan kepada puan dengan lebih terperinci. Moga urusan puan dimudahkan. Amin.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s