Rex vs. S.A.H AlSagoff (unlawfull orders-criminal case)

PENDAHULUAN

Undang-undang jenayah adalah suatu jenis undang-undang yang mengawal kesalahan yang dilakukan terhadap masyarakat. Secara ringkasnya, terdapat dua elemen dalam menentukan sesuatu perbuatan itu dikatakan bersalahan disisi undang-undang iaitu, actus reus dan mens rea. Namun, dalam beberapa keadaan terdapat kekecualian yang mana hanya elemen actus reus digunapakai tanpa melihat mens rea nya. Sebagai contoh dalam kes-kes yang berkaitan dengan ‘strict liability’ atau tanggungan keras. Walaubagaimanapun, bukanlah mudah untuk mensabitkan sesuatu kesalahan sebagai jenayah tanpa kedua-dua elemen utama ini.

‘Superior Order’ atau arahan atasan seperti tentera atau pegawai polis dalam memberi arahan yang bersalahan atau yang tidak bersalahan dengan undang-undang kepada pegawai bawahannya untuk melakukan sesuatu perkara dalam tugasnya merupakan salah satu subtopik dalam undang-undang jenayah. Isu yang sering wujud ialah samada arahan yang dikeluarkan itu sah atau tidak di sisi undang-undang. Perbincangan secara ringkas  mengenai subtopik ini diterangkan didalam buku tulisan Kl Koh, Cmv Clarkson &  Na Morgan; Criminal Law in Singapore and Malaysia; Text and Materials.

Tugasan bagi subjek Undang-undang Jenayah ini ialah membuat analisis kes berkaitan kes perintah atau arahan yang dikeluarkan oleh pegawai atasan yang menyalahi undang-undang. Nama kes tersebut ialah Rex lwn.  S.A.H Alsagoff & Ors. Bagi mencari apakah elemen jenayah yang wujud dalam kes tersebut, analisis ini akan dibahagikan kepada enam item iaitu:-

a)      Fakta Kes

b)      Isu Kes

c)       Elemen Jenayah

d)      Alasan Penghakiman

e)      Keputusan

f)       Analisi 

FAKTA KES

DALAM MAHKAMAH ASSIZES, SINGAPURA

KES NO:  2/2946

 

ANTARA

REX

DAN

S.A.H ALSAGOFF & ORS.                                                                                                             ACCUSED (TERTUDUH/ OKT)

 

 

Mahkamah                                                         : Court of Assizes, Singapura

Hakim                                                                   : Worley

Peguam Prosecution (Pendakwa)             : M. Buttrose

Peguam Accused (Tertuduh)                      : D.K Walters (bersama-sama Wee Chong Jin)

Tarikh penghakiman                                       : 1 April 1946

 

                Tertuduh atau orang kena tuduh (OKT) dalam kes ini ialah tiga orang pekerja yang telah bekerja sebagai pegawai polis semasa pendudukan Jepun di Singapura. Mereka dituduh telah dengan sengaja menyebabkan kecederaan bagi tujuan memeras pengakuan salah (memperolehi pengakuan salah) daripada seorang banduan, Hay, yang mana perbuatan OKT adalah bertentangan dengan Seksyen 330 Kanun Keseksaan (KK) dan jika sabit kesalahan akan dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, dan boleh juga dikenakan denda.

                Dalam pembelaannya, OKT menyatakan secara inter alia bahawa perbuatan yang mereka lakukan(memeras pengakuan salah) itu adalah dalam bidang tugas mereka untuk taat kepada arahan atasan kerana mereka mendapat arahan daripada pihak berkuasa Jepun pada ketika itu dan mengikut undang-undang antarabangsa OKT adalah tertakluk kepada pemerintahan Jepun dan perlu mengikut perintah atau arahan yang dikeluarkan. Selain itu, OKT juga menyatakan bahawasanya ketika zaman pendudukan Jepun, Kanun Keseksaan telah dihapuskan dan tidak terpakai. Oleh hal demikian, OKT tidak tertakluk kepada Kanun Keseksaan tersebut.

ISU KES

1) Samada arahan yang dikeluarkan oleh pegawai atasan sah di sisi undang-undang atau tidak.

2) Samada dalihan Seksyen 76 (dibaca bersama Seksyen 79) dan 94 Kanun Keseksaan yang diberikan oleh pihak tertuduh diterima oleh mahkamah atau tidak.

ELEMEN JENAYAH

Dalihan berbentuk silap faham di sini merujuk kepada silap faham nyataan dan bukan undang-undang. Jika dalihan silap faham mengenai undang-undang dibenarkan, maka amatlah sukar untuk digunakan bersama dengan maksim yang mengatakan bahawa kejahilan undang-undang bukanlah satu dalihan (ignorance of law is no excuse). Dalam kes Bailey, di mana tertuduh didapati bersalah untuk perbuatan jenayah yang telah diwujudkan oleh Parlimen semasa dia berada di tengah lautan. Walaupun dia tidak mengetahui tentang peruntukan Akta itu dan dia tidak mempunyai cara untuk mengetahuinya, dia masih dianggap bertanggungan. Apakah yang dimaksudkan dengan silap faham undang-undang? Silap faham undang-undang berlaku apabila satu pihak yang mempunyai pengetahuan mengenai fakta telah membuat kesimpulan yang salah berkaitan dengan kesan undang-undang tersebut. Silap faham undang-undang ini boleh berlaku samada kerana tertuduh menyangka bahawa undang-undang mengenai sesuatu perkara itu ada ataupun tidak, atau silap faham berkaitan dengan subjek yang diperkatakan oleh sesuatu undang-undang itu.[1]

Seksyen 76 dan 79 Kanun Keseksaan merujuk kepada dalihan berdasarkan silap faham. Seksyen 76 menetapkan bahawa tindaklah menjadi kesalahan bagi seorang tertuduh yang melakukan sesuatu kerana silap faham nyataan bahawa dia terpaksa melakukannya di sisi undang-undang. Sementara Seksyen 79 pula merujuk kepada tertuduh yang melakukan sesuatu perbuatan kenayah kerana silap faham nyataan bahawa dia dibenarkan untuk berbuat demikian oleh undang-undang. Di antara kedua-dua seksyen ini, seksyen 79 adalah lebih luas kerana dibenarkan oleh undang-undang, boleh merangkumi terpaksa di sisi undang-undang. Ungkapan dibenarkan oleh undang-undang merujuk kepada keadaan di mana tertuduh mempunyai sebab yang mencukupi untuk mempercayai bahawa dia dibenarkan untuk melakukan perkara tersebut. Dalam keadaan ini, perbuatannya tidak menjadi satu kesalahan.

Apakah yang dimaksudkan dengan silap faham nyataan? Silap faham nyataan merujuk kepada kesilapan yang melibatkan  sesuatu fakta atau nyataan. Keadaan ini mungkin berlaku kerana tertuduh tidak mempunyai maklumat yang cukup, atau menerima maklumat yang salah, terlupa, cuai atau mempunyai syak wasangka. Untuk menggunakan dalihan silap faham nyataan ini, perlu dibuktikan beberapa perkara iaitu ;

                (i)            keadaan mengenai perkara yang dipercayai itu, jika benar, membenarkan                                           perbuatan tertuduh; dan

                (ii)           silap faham itu mestilah munasabah; dan

                (iii)          silap faham itu mestilah melibatkan silap faham nyataan berkaitan dengan                                           fakta dan bukan undang-undang[2]

OKT dalam kes ini didakwa di bawah Seksyen 330 KK. Oleh yang demikian, pihak peguam OKT telah berhujah dalam pembelaannya dengan menggunakan dalihan am yang iaitu Seksyen 76, 79 dan Seksyen 94 KK, namun Seksyen 94 tidak dinyatakan dan tidak dibincangkan secara terperinci dalam kes ini.

Seksyen 330 KK memperuntukkan:

                 Barangsiapa dengan sengaja menyebabkan cedera kepada seseorang bagi maksud        hendak memeras daripada orang itu, atau daripada seseorang yang ada       kepentingan      dengan orang itu, apa-apa pengakuan bersalah atau apa-apa         maklumat yang boleh    membawa kepada          diketahui sesuatu kesalahan atau             salahlaku, atau bagi maksud                 hendak memaksa orang itu, atau seseorang yang ada     kepentingan dengan orang itu   supaya memulangkan atau                 menyebab dipulangkan                apa-apa harta atau cagaran         berharga atau supaya menunaikan apa-                apa                 tuntutan atau permintaan, atau supaya                 memberi maklumat yang boleh membawa          kepada pemulangan apa-apa harta atau          cagaran berharga, hendaklah diseksa     dengan                 penjara selama tempoh yang boleh sampai                 tujuh     tahun, dan boleh             juga dikenakan denda.

OKT seorang anggota polis telah dituduh menyebabkan kecederaan dengan tujuan untuk memperolehi pengakuan salah daripada Hay, seorang banduan. OKT  menyatakan di bawah undang-undang antarabangsa, beliau tertakluk kepada pemerintahan Jepun dan terpaksa untuk menurut perintah yang dikeluarkan oleh pegawai atasan tersebut. Beliau dikatakan terpaksa mengikut arahan pegawai atasan. Pihak OKT menggunakan dalihan Seksyen 76 dan 79 KK. Seksyen 76 memperuntukkan:

                Tidaklah menjadi kesalahan apa-apa jua yang dilakukan oleh seseorang yang terpaksa di sisi        undang-undang melakukannya atau yang, oleh kerana silapfaham nyataan dan bukannya             oleh kerana silapfaham undang-undang dengan suci hati percaya dirinya, terpaksa di sisi                undang-undang melakukannya.

Manakala Seksyen 79 KK memperuntukkan:

                Tidaklah menjadi kesalahan apa-apa jua yang dilakukan oleh seseorang yang diluluskan oleh       undang-undang pada melakukannya atau oleh seseorang yang kerana silap faham nyataan          dan bukannya undang-undang dengan suci hati percaya dirinya sebagai diluluskan oleh         undang-undang pada melakukannya.

Tertuduh perlulah membuktikan kepada mahkamah akan niat suci hati tertuduh dalam melakukan perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang yang diarahkan oleh pegawai atasan yang mana ianya menjadi silapfaham nyataan dan bukannya silapfaham undang-undang. Ini kerana, silapfaham undang-undang tidak menjadi dalihan kepada sesuatu perbuatan jenayah sebaliknya hanya boleh mengurangkan hukuman yang dikenakan. Tertuduh perlu membuktikan kewujudan elemen paksaan dalam arahan yang diterima, sebagai contoh jika tertuduh tidak melaksanakan arahan yang diberikan oleh pegawainya, dia akan dibunuh atau dicederakan sepertimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 94 KK:

                Kecuali kesalahan membunuh orang, kesalahan yang termasuk di dalam Bab VI yang boleh          diseksa dengan bunuh dan kesalahn yag termasuk di dalam Bab VIA tidaklah menjadi     kesalahan apa-apa jua yang dilakukan oleh seseorang yang terpaksa melakukannya oleh     ugutan yang, tatkala melakukannya, munasabah menyebabkan ketakutan bahawa jika tidak             dilakukan, akibatnya ia akan mendapat kematian serta merta: dengan syarat bahawa orang             yang melakukan perbuatan itu tidak meletakkan dirinya dalam keadaan yang menjadikannya    tertakluk kepada paksaan itu, sama ada dengan kemahuannya sendiri, atau oleh kerana sesuatu ketakutan yang munasabah akan apa-apa kerosakan kepada dirinya lain dari         kematian serta merta.

Namun, dalam kes ini, Seksyen 94 ini tidak diperjelaskan secara menyeluruh tentang pemakainnya.

ALASAN PENGHAKIMAN

Bagi isu yang pertama iaitu berkaitan dengan samada arahan yang dikeluarkan oleh pegawai atasan itu sah atau tidak, mahkamah berpendapat bahawa tidak ada kedaulatan undang-undang antarabangsa atau rukun peperangan yang dikenakan ke atas penduduk tempatan untuk mematuhi perintah-perintah yang bertentangan dengan undang-undang jenayah sesebuah negara. Dalam penghakiman seterusnya, sebagai contoh, berkenaan dengan kedudukan seorang tentera di bawah disiplin tentera, bahawa undang-undang tidak mengiktiraf mana-mana tentera untuk taat secara membuta semata-mata kepada arahan orang atasan dan ini adalah tidak mencukupi oleh seseorang askar untuk melindungi untuk melindunginya dari bertanggungan terhadap kesalahan yang telah dilakukan. Undang-undang menghendaki bahawa askar perlulah melaksanakan pertimbangan sendiri, dan melainkan jika dalam keadaan sebenar dia mungkin semunasabahnya dipercayai bahawa dia terikat untuk mematuhi perintah itu, beliau bertanggungjawab bagi perbuatan.

Hakim berpandangan, tidak ada peraturan atau undang-undang dari Undang-Undang Antarabangsa atau rukun peperangan yang mengenakan kepada penghuni tempatan kewajipan mentaati perintah yang bertentangan dengan undang-undang jenayah wilayah itu pada masa perbuatan dan jika dia tidak melakukan perbuatan itu, tertuduh bebas dari tanggungan jika berjaya membuktikan dalihan secara paksa seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 94 KK. Ini bererti tidak ada mana-mana arahan, peraturan atau undang-undang yang sah di sisi-sisi undang-undang jika arahan, peraturan atau undang-undang itu melebihi akta ibu. Oleh yang demikian, tertuduh terikat dengan peruntukan undang-undang yang terdapat dalam KK, dan tidak berlaku apa-apa pemansuhan terhadap KK. KK yang terpakai sebelum kedatangan Jepun tetap terpakai walaupun Jepun menguasai Singapura dan tiada undang-undang yang dibuat oleh pihak Jepun yang memansuhkan KK. Jelas, tertuduh terikat dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 330.

Berdasarkan kepada keterangan tertuduh dan keadaan-keadaan yang wujud dalam perbuatan salah tertuduh, hakim berpandangan, persoalan samada arahan yang dikeluarkan oleh pegawai atasan dalam mengarahkan tertuduh memukul Hay sah di sisi undang-undang  bukanlah persoalan fakta, tetapi, persoalan undang-undang, dan menjadi prinsip undang-undang yang mana kesilapan atau khilaf undang-undang tidak dapat dijadikan dalihan, sebaliknya hanya boleh menjadi sebab untuk mengurangkan hukuman sahaja.

Semua orang dianggap mengetahui akan undang-undang. Tertuduh kedua dan ketiga dalam kes ini telah bertugas sebagai pegawai polis bagi Polis Negeri-negeri Selat sebelum Singapura jatuh ke tangan  Jepun dan seterusnya terus berkhidmat di bawah Jepun setelah Singapura dijajah oleh Jepun. Tertuduh pertama menyertai Pasukan Polis atas permintaan daripada Jepun dan nampaknya kepada hakim bahawa mereka meletakkan diri mereka dalam kedudukan yang sama sebagai seorang askar yang mana telah menjadi tugas mereka untuk menjalankan arahan yang dikeluarkan oleh pegawai atasan. Walaubagaimanapun, Kanun Keseksaan tidak mengiktiraf kewajipan ketaatan buta semata-mata kepada arahan orang atasan sebagai mencukupi untuk melindungi seorang askar dari mendapat hukuman oleh kerana perbuatan mereka sendiri. Undang-undang menyatakan seseorang askar perlu melalui pertimbangannya sendiri dalam melihat sejauhmana sesuatu arahan itu boleh ditaati atau tidak, dan melainkan jika hal keadaan sebenar adalah bersifat sedemikian bahawa dia mungkin telah munasabah dilayan kepercayaan bahawa perintah itu adalah salah satu yang dia terikat untuk taat , beliau akan bertanggungjawab seperti mana-mana orang lain yang waras bagi perbuatan, walaupun dia mungkin melakukannya di bawah anggapan salah bahawa pegawai atasannya oleh undang-undang yang diberi kuasa untuk mengeluarkan perintah. Kesilapan beliau dalam erti kata lain mesti menjadi satu kesilapan yang dilayan dengan niat baik mengenai sesuatu persoalan fakta. Dalam kes seperti dalam undang-undang sivil, ia melihat kepada keadaan sekeliling untuk melihat sama ada mereka adalah bersifat sedemikian akan membawa seorang lelaki yang mempunyai pemikiran yang biasa melayan kepercayaan yang munasabah bahawa dia terikat oleh undang-undang untuk mematuhi arahan pegawai atasan. Prinsip umumnya kelihatan kepada hakim untuk melihat ianya sama dan  berkaitan dengan kedudukan tertuduh dalam kes ini.

Manakala bagi isu kedua yang berkaitan dengan dalihan Seksyen 94 diterima oleh mahkamah atau tidak. Seksyen 94 tidak disentuh secara terperinci dalam kes ini, dan pada pandangan saya, ini adalah merupakan kelemahan yang ketara dalam kes ini.

KEPUTUSAN

Setelah melihat kepada keterangan-keterangan oleh OKT dan meneliti kepada hujah peguam tertuduh, hakim memutuskan dengan menolak kesemua hujah OKT . Hakim berpandangan, undang tidak mengiktiraf seseorang itu untuk patuh secara membuta tuli kepada apa-apa arahan yang diterima oleh seseorang. Undang-undang mengkehendaki seseorang itu menggunakan budi bicaranya sendiri yang munasabah dalam menilai sesuatu perkara.

Mahkamah menolak dalihan (Seksyen 76) ini kerana tiada undang-undang antarabangsa yang sebegitu rupa yang menghendaki seseorang itu mematuhi arahan-arahan yang bertentangan dengan undang-undang Jenayah wilayah berkenaan jika kesalahan dilakukan. KK yang terpakai sebelum kedatangan Jepun tetap terpakai walaupun Jepun menguasai Singapura dan tiada undang-undang yang dibuat oleh pihak Jepun yang memansuhkan KK.

Mahkamah berkata bahawa KK tidak iktiraf mengikut perintah membuta-tuli dari pihak atasan. Seorang penjawat awam mestilah menggunakan budi bicaranya sendiri kecuali beliau percaya dengan suci hati dan munasabah yang beliau mesti patuh kepada perintah itu walaupun beliau  telah khilaf bahawa perintah itu dibenarkan oleh undang-undang. Dengan ini, khilaf yang dilakukan oleh Al-Sagoff ialah khilaf undang-undang, bukan khilaf fakta. Namun begitu, khilaf itu boleh diambil kira untuk mengurangkan hukuman.

ANALISIS

Secara keseluruhannya, berdasarkan pemahaman saya, kes ini membicarakan berkenaan dengan isu Seksyen 76 (dibaca bersama Seksyen 79) Kanun Keseksaan. Setiap orang dianggap mengetahui akan undang-undang, dan oleh hal demikian tidak akan wujud dalihan bagi isu khilaf undang-undang, namun jika ada, dalihan ini hanya mampu untuk mengurangkan hukuman kepada tertuduh. Mana-mana arahan yang bertentangan dengan undang-undang jenayah sesebuah negara adalah tidak boleh dilaksanakan. Kesilapan yang ketara dalam kes ini adalah bilamana dalihan pada Seksyen 94 tidak dibincangkan secara terperinci apabila tertuduh sendiri gagal membuktikan bahawa wujud elemen paksaan dalam arahan yang diterima olehnya bagi memaksa pengakuan salah seorang banduan.

BIBLIOGRAFI

1)      Siti Zaharah & Datin Nor Aini, (2010), “Undang-Undang Jenayah Di Malaysia”, Universiti Malaya, Kuala Lumpur

 


[1] Siti Zaharah & Datin Nor Aini, (2010), “Undang-Undang Jenayah Di Malaysia”, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hlm. 95.

[2] ibid, hlm. 96.

Advertisements

One thought on “Rex vs. S.A.H AlSagoff (unlawfull orders-criminal case)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s