NG EU KHOON VS DR GWEN SMITH & 2 ORS (medical negligence)

PENDAHULUAN

Undang-undang tort kecuaian merupakan salah subtopik yang terdapat di dalam undang-undang tort. Perkataan kecuaian itu merupakan suatu konsep dan untuk membuktikan wujudnya kecuaian sebagai suatu tort, plaintif mestilah secara amnya menunjukkan bahawa defendan telah bertindak sepertimana yang tidak akan dilakukan oleh seseorang munasabah atau, defendan tidak bertindak sepertimana yang dilakukan oleh orang yang munasabah.[1] Pendek kata, tort kecuaian itu hanya timbul apabila plaintif dapat membuktikan tugas berhati-hati di pihak defendan, pecahan tugas tersebut dan kerosakan yang dialami oleh plaintif akibat pecahan tugas tersebut.[2]

Tugasan bagi subjek Undang-undang Tort ini ialah membuat analisis kes berkaitan kes kecuaian perubatan bagi mencari apakah elemen tort kecuaian yang wujud dalam kes tersebut. Nama kes tersebut ialah Ng Eu Khoon (mendakwa melalui sahabat wakilnya Ng How Sek) lwn. Dr Gwen Smith & 2 Ors.

Analisis ini akan dibahagikan kepada lima item iaitu:-

a)      Fakta Kes

b)      Isu Kes

c)       Prinsip Tort

d)      Alasan Penghakiman

e)      Keputusan

 

FAKTA KES

DALAM MAHKAMAH TINGGI KUALA LUMPUR

SAMAN SIVIL NO: 759, 1981

 

ANTARA

NG EU KHOON (Mendakwa Melalui Sahabat Wakilnya Ng How Sek)                                                 PLAINTIF

DAN

DR GWEN SMITH & 2 ORS                                                                                                                                  DEFENDAN

 

 

Hakim                                   : Rahmah Hussain

Peguam Plaintif                                : RK Nathan (bersama  Victoria Martin) dari Tetuan RK Nathan & Co.

Peguam Defendan          : –

Defendan Pertama         –  G Chacko Vadaketh dari tetuan Shearn Delamore & Co.

Defendan Kedua              – PS Ranjan (bersama Manmohan S Dhillon)

Defendan Ketiga              – S Kulasegaran dari Tetuan Ranjit, Thomas & Kula.

Tarikh penghakiman       : 10 Mac 1996

Plaintif iaitu, Ng Eu Khoon, dilahirkan  pada 28 Disember tahun 1975 di Chinese Meternity Hospital iaitu hospital Defendan Ketiga. Plaintif  telah dilahirkan kira-kira 10 minggu awal sebelum tarikh anggaran kelahiran sebenar iaitu pada 6 Mac 1976. Ketika lahir, Plaintif mempunyai masalah dengan pernafasan .Plaintif telah dirujuk kepada Defendan Pertama yang merupakan Perunding Kehormat Pelawat Paediatrik kepada Defendan ketiga kerana beliau merupakan doktor yang menyambut kelahiran Plaintif. Defendan  pertama telah menempatkan plaintif ke dalam satu inkubator dan diberikan oksigen pada kadar 5 liter seminit (1/min) ke dalam hud di sekitar kepalanya dan 5 liter seminit  ke dalam inkubator.

                Setelah berpuas hati bahawa keadaan Plaintif adalah stabil, defendan pertama telah  mengurangkan tahap oksigen dan dengan itu memberhentikan oksigen ke inkubator. Setelah selesai menguruskan Plaintif selama hamper satu jam, beliau menyerahkan bayi itu kepada jagaan Defendan Kedua. Defendan Kedua melihat Plaintif pada 29 Disember 1975 pada jam 9.00 pagi. Oksigen diteruskan pada kadar 5 liter seminit  ke dalam hud apabila melihat kepada keadaan Plaintif yang stabil.

 Pada hari berikutnya iaitu 30 Disember 1975 (hari ketiga), keadaan Plaintif menjadi teruk. Beliau secara tiba-tiba telah berhenti bernafas dan menjadi kebiruan sehingga menyebabkan beliau perlu diurut pada bahagian jantung. Oleh hal demikian, oksigen pada inkubator dimasukkan sebanyak 5 liter per minit. Pada hari keempat, iaitu 31 Disember 1975, beliau disahkan jaundis tetapi keadaanya masih stabil dan oksigen pada inkubator telah dibuang. Pada hari kelima, iaitu pada 1 Januari 1976, plaintif kembali normal dan oksigen kemudiaanya diberhentikan pada 7 Januari 1976 iaitu pada hari yang kesebelas kelahiran Plaintif. Dia akhirnya dikeluarkan dari hospital pada 6 Februari 1976 ketika berumur enam minggu.

 Plaintif dikeluarkan dari hospital tanpa dimaklumkan oleh Defendan kedua mengenai apa-apa komplikasi atau risiko yang akan dihadapi ekoran daripada terapi oksigen yang diberikan kepada plaintif sepanjang tempoh Plaintif diletakkan di dalam inkubator. Bapa kepada Plaintif mendapati terdapat masalah pada mata Plaintif kepada Defendan Kedua, namun Defendan Kedua mengendahkan kerana beliau bukanlah pakar dalam bidang mata.  Namun setelah berumur hampir tiga bulan, bapa Palintif mendapati bola mata Plaintif tidak bergerak mengikut objek yang ditunjukkan. Beliau memaklumkan kepada Defendan Kedua, namun Defendan Kedua memberi jaminan, oleh kerana Plaintif merupakan bayi pramatang, maka, beliau memerlukan masa selama beberapa bulan atau satu tahun untuk memastikan keadaan matanya kembali kepada normal.

Setelah setahun berlalu, mata Plaintif masih tidak berfungsi dengan baik. Oleh hal demikian, bapa  Plaintif telah membawa Plaintif kepada Dr Vijendran, Pakar Oftalmologi, dan mengesahkan bahawa Plaintif telah mengalami Retrolental Fibroplasia (RLF) atau Retinopati Pra-matang (ROP) kerana oksigen yang berlebihan. Kedua-dua bahagian mata Plaintif disahkan buta sehingga ke hari ini, kesan daripada oksigen yang berlebihan yang diberikan ketika beliau bayi .

Plaintif telah menuntut ganti rugi terhadap Defendan Pertama dan Kedua bagi kesakitan dan penderitaan yang menyebabkan mata Plaintif buta disebabkan oleh kecuaian mereka. Tuntutan terhadap  hospital iaitu  Defendan Ketiga adalah untuk ganti rugi bagi liabiliti vikarius terhadap kecuaian Defendan Pertama dan Kedua. Walaubagaimanapun, Defendan Ketiga bebas daripada tuntutan liabiliti vikarius.

ISU KES

1)      Samada Defendan Pertama, Kedua dan Ketiga telah melakukan kecuaian atau tidak.

2)      Samada Defendan Ketiga berliabiliti vikarius terhadap Defendan  Kedua atau tidak.

 

ELEMEN TORT

                Undang-undang tort yang terdapat di dalam kes ini ialah undang-tort kecuaian. Kecuaian bermaksud pelanggaran kewajipan undang-undang untuk berjaga oleh defendan yang mengakibatkan kerosakan yang tidak diingini oleh plaintif.Perbuatan yang dilakukan tanpa berhati-hati tidak semestinya menyebabkan orang yang melakukannya dipertanggungjawabkan oleh undang-undang. Pada umumnya, seseorang yang mengakibatkan kerosakan atau kecederaan kepada seorang yang lain akan menjadi bertanggungjawab (liable) kepada pihak yang menanggung kerugian tadi. Tetapi cuma kalau orang itu mempunyai kewajipan untuk berjaga-jaga.Walaubagaimanapun, undang-undang tidak mencipta liabiliti  dan tidak semua kes kecederaan boleh menyebabkan timbulnya kausa tindakan (atau hak untuk mengemukakan saman), Untuk membolehkan seseorang menyaman tortfeasor, mangsa atau penanggung kerugian mestilah membuktikan segala kehendak undang-undang atau apa yang disebut sebagai elemen-elemen kecuaian. 

               Untuk membuktikan tort kecuaian, Plaintif mestilah dapat membuktikan ketiga-tiga elemen tort ini, iaitu menunjukkan bahawa defendan mempunyai tugas berhati-hati terhadapnya; defendan telah memecahkan tugas itu dan pecahan tugas itu telah menyebabkan plaintif mengalami kerosakan. Kesemua elemen ini mestilah dibuktikan sebelum plaintif boleh berjaya dalam tuntutannya.[3]

1-                      Kewajipan berjaga-jaga

Kewajipan atau tanggungjawab (duty) dalam tort kecuaian  bermakna tanggungjawab yang ditentukan oleh undang-undang. Pelanggaran kewajipan inilah dan serentak dengan itu mengakibatkan kerosakan yang boleh menimbulkan liabilitI dalam kecuaian. Pelanggaran moral atau tanggungjawab social tidak menimbulkan sebarang liabilitI.

Makna kewajipan berjaga-jaga:

Heaven v Pender (1883). Kewajipan berjaga-jaga wujud dalam keadaan yang normal di mana jika seseorang itu tidak mengambil langkah yang sepatutnya, seseorang atau sesuatu yang lain akan berkemungkinan mengalami kerosakan atau kecederaan.

Dalam kes ini, Defendan Pertama didapati tidak melalukan kecuaian. Hal ini kerana kehadiran beliau dalam menjaga dan merawat Plaintif selama lebih kurang satu jam sahaja menunjukkan bahawa beliau telah menjaga Plaintif dalam keadaan baik dan berjaga-jaga. Ini dibuktikan apabila beliau memasukkan oksigen sebanyak 5 liter per minit dalam inkubator dan 5 liter per minit melalui hud. Ini jelas menunjukkan beliau telah melakukan perkara yang sewajarnya orang biasa lakukan.

Defendan Kedua pula didapati telah melakukan kecuaian apabila beliau jelas didapati tidak menjaga Plaintif dalam keadaan baik dan berjaga-jaga sepanjang Plaintif di bawah tanggungannya. Ini dibuktikan apabila Plaintif menghadapi masalah penglihatan ekoran daripada oksigen yang diberikan kepadanya berlebihan ketika berada dalam inkubator ketika dalam tempoh jagaan Defendan Kedua. Defendan Kedua tidak mengambil berat terhadap Plaintif sepanjang Plaintif dibawah jagaannya. Ini dibuktikan apabila beliau tidak mengawal perubahan oksigen yang diberikan kepada Plaintif ketika Plaintif berada di dalam inkubator. Tahap oksigen pada Plaintif seharusnya dikurangkan, namun oleh kerana pemantauan selama berterusan tidak dilakukan oleh Defendan Kedua telah menyebabkan oksigen yang dibekalkan berlebihan sehingga menyebabkan mata Plaintif gagal berfungsi dengan baik dan akhirnya buta kedua-dua bahagian matanya.

Defendan Ketiga didapati melakukan kecuaian apabila tidak menyediakan kelengkapan dan kemudahan hospital yang sewajarnya dan secukupnya yang harus disediakan oleh sesebuah hospital. Ini jelas menunjukkan tidak wujud keadaan berjaga-jaga oleh pihak Defendan Ketiga dalam menerima pesakit atau bayi bagi kelahiran pra-matang yang memerlukan kepada mesin analisis oksigen dan beberapa mesin lain yang perlu pihak hospital sediakan.

2-      Pelanggaran kewajipan

Setelah dikenalpasti bahawa Defendan mempunyai kewajipan berjaga-jaga terhadap plaintif, perkara seterusnya yang perlu dibuktikan ialah berlakunya pelanggaran kewajipan tersebut.

Pelanggaran kewajipan dikatakan berlaku apabila defendan dilihat sebagai bertindak di bawah standard berjaga-jaga yang minimum yang diharapkan dari defendan. Ini diukur menerusi standard orang yang munasabah atau waras.

Mahkamah harus menentukan bagaimana dalam sesuatu situasi defendan perlu berperangai atau bertindak. Standard orang yang waras itu ialah orang yang tidak terlalu berhati-hati atau yang terlalu cuai , tetapi yang biasa sahaja yang bertindak secara wajar dalam apa jua situasi. Oleh itu kewajipan berjaga-jaga dikatakan dilanggar bila seseorang itu bertindak secara yang tidak sepatutnya yang dianggap pada ukuran orang yang waras berada di bawah paras tindakan mereka.

Antara contoh kes pelanggaran kewajipan (defendan profesional) Bolam v Friern Hospital Management Co iaitu, Plaintif yang mengalami maslah gangguan mental menjalani rawatan ECT (electro-convulsive treatment) dan akibatnya mengalami retak tulang punggung. Di dalam dakwaan kecuaiannya terhadap pihak hospital, plaintif mendakwa yang beliau tidak diberitahu mengenai risiko ECT , Defendan tidak memberinya sebarang penenang sebelum kejutan ECT diberikan kepadanya, defendan tidak langsung memegang badannya ketika rawatan itu dilakukan.

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan pakar perubatan mengenai keperluan alasan ketiga iaitu memegang badan pesakit ketika ETC dilakukan. Mahkamah mendapati yang defendan tidak bertanggungan kerana telah menjalankan kaedah rawatan kecederaan itu yang mengikut standard yang munasabah bagi seorang doctor biasa. Defendan  tidak memegang badan Plaintif ketika rawatan bukanlah suatu perbuatan yang tidak betul.

Konsep risiko dan kaitannya dengan kebolehdugaan :

Di dalam menentukan sama ada plaintif telah atau tidak melanggar kewajipan berjaga-jaga mahkamah perlu mengambil kira antara lain, faktor risiko.

Standard berjaga-jaga ditentukan oleh fakta sesuatu kes. Di dalam sesuatu rawatan perubatan misalnya, sentiasa ada risiko. Sungguhpun demikian, mestilah ada keseimbangan di antara magnitude risiko dan tahap tanggungjawab yang diperlukan oleh defendan. Defendan diperlukan untuk melaksanakan sesuatu tanggungjawab yang memang berisiko , oleh yang demikian pertimbangan yang wajar perlu diberikan. Misalnya jika sesuatu risiko itu tidak boleh diduga dari awal, maka tentu defendan tidak boleh dijangka akan mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghalang berlakunya kecederaan.

Dalam kes ini Defendan Kedua didapati telah melakukan pelanggaran kepada tugasan beliau. Ini jelas dibuktikan apabila beliau sebagai seorang doktor tidak memerhatikan atau melakukan pemantauan terhadap Plaintif sepanjang Plaintif di bawah jagaannya. Beliau hanya memerhatikan Plaintif secara biasa tanpa rasa tanggungjawab terhadap amanah yang diberikan kepada beliau sebagai seorang doktor. Selain itu, beliau juga tidak menyampaikan apa-apa berita atau kondisi Plaintif berkenaan dengan impak yang akan dihadapi oleh Plaintif ekoran daripada kelahiran pramatangnya dan kesan oksigen di dalam inkubator kepada ibu bapa plaintif sejurus setelah Planitif dibenarkan keluar dari hospital. Sewajarnya pada seorang doktor memberitahu apa-apa perkara tentang pesakit kepada pihak-pihak yang berkepentingan.

Defendan Ketiga pula telah gagal menyediakan perkhidmatan dan mesin analisis oksigen di hospital bersalin tersebut. Defendan dengan jelas telah melanggar kewajipan sebagai sebuah hospital yang seharusnya menyediakan kelengkapan yang secukupnya dalam menerima pesakit sehingga menyebabkan Plaintif tidak mendapat takat oksigen yang relevan seharusnya diberikan. Ini adalah kerana mesin analisis oksigen tidak disediakan oleh hospital.

3-      Kerosakan (Penyebab Fakta dan Penyebab dari sudut undang-undang)

Elemen seterusnya juga perlu dibuktikan oleh plaintif ialah pecahan tugas defendan telah menyebabkan kerosakan atau kecederaan kepadanya,dan kerosakan atau kecederaan itu sesuatu yang dapat dilihat secara pramunasabah.

Elemen ketiga ini biasanya dibahagikan kepada dua cabang. Pertama, pecahan tugas defendan telah secara fakta menyebabkan kerosakan plaintif.Keduanya pecahan tugas defendan telah menyebabkan kerosakan plaintif dari sudut undang-undang.

Dalam kes ini, Defendan Kedua dan Ketiga didapati telah menyebabkan kerosakan ataupun kecederaan kepada Plaintif. Ekoran daripada lebihan oksigen yang diberikan ketika Plaintif berada di dalam incubator menyebabkan Plaintif menghadapi masalah Retrolental Fibroplasia (RLF) atau Retinopati Pra-matang (ROP) dan menyebabkan beliau buta kedua-dua bahagian matanya. Kegagalan Defendan Ketiga dalam menyediakan peralatan perubatan yang lengkap untuk mengukur takat oksigen yang sepatutnya diberikan kepada Plaintif dalam keadaan pramatang juga telah jelas menyebabkan kecederaan pada Plaintif.

Plaintif juga telah mendakwa Defendan Ketiga dibawah isu tanggungan beralih atau vikarius liabiliti. Vikarius liabiliti atau tanggungan beralih bukannya suatu tort. Ia merupakan satu prinsip di mana defendan yang bertanggungan terhadap plaintif bukan merupakan pihak yang melakukan tort terhadap plaintif, tetapi dia dikenakan tanggungan ke atas tort yang dilakukan oleh pihak lain (kedua). Asas tanggungan ini adalah disebabkan oleh hubungan di antara defendan dan pihak kedua yang melakukan tort itu, iaitu suatu hubungan majikan dengan pekerja. Prinsip tanggungan beralih adalah terpakai kepada semua jenis tort : tort berniat, kecuaian dan kacau-ganggu kecuali tort fitnah.

Unsur-unsur Prinsip Tanggungan Beralih :

Sebelum defendan dikenakan tanggungan beralih ke atasnya, pertama sekali pekerjanya mestilah dibuktikan telah melakukan tort terhadap plaintif. Ini bermakna kesemua elemen tort yang dituntut itu telah pun dapat dibuktikan oleh plaintif.

Kedua, tanggungan tort pekerja itu boleh dialihkan kepada majikannya dengan syarat pekerja itu sememangnya mempunyai hubungan pekerja-majikan dalam ertikata undang-undang.

Ketiga, tort itu mestilah telah dilakukan dalam perjalanan kerja pekerja tersebut. Ini merupakan sesuatu yang tertakluk kepada makna dan konsepnya yang tersendiri, yang boleh difahami melalui keputusan kes-kes.

Hubungan Majikan-Pekerja

Hubungan di antara defendan dan pelaku tort itu semestinya suatu hubungan di mana defendan merupakan majikan kepada pelaku tort itu. Seseorang pekerja itu boleh dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu seorang pekerja dalam ertikata sebenar dan seorang kontraktor bebas.

Seoarang pekerja itu dikatakan mempunyai hubungan berbentuk suatu kontrak perkhidmatan dengan majikannya, manakala seseorang kontraktor bebas mempunyai hubungan berbentuk suatu kontrak untuk perkhidmatan dengan majikannya. Secara amnya, majikan adalah tidak bertanggungan bagi tort yang dilakukan oleh kontraktor bebasnya.

Isu yang timbul ialah bagaimana caranya untuk menentukan bahawa seseorang ‘pekerja’ itu adalah di bawah suatu kontrak perkhidmatan dan bukannya di bawah suatu kontrak untuk perkhidmatan dengan majikan tersebut.

Beberapa kaedah telah diwujudkan setakat ini dan kaedah-kaedah tersebut diberi penerangan di bawah.

Niat yang tersurat tidak semestinya merupakan bukti wujudnya suatu hubungan kontrak perkhidmatan.

Sebagai contoh, di dalam kes Ferguson v. John Dawson & Partners (Contractors), plaintif yang merupakan seorang pekerja telah diarahkan oleh defendan , iaitu suatu kontraktor pembinaan untuk mengalihkan papan-papan nipis dari bumbung sebuah bangunan. Sewaktu plaintif sedang melakukan tugasnya, dia telah  terjatuh dari bumbung itu dan tercedera. Plaintif menuntut pampasan dari defendan atas pemecahan tugas statutorinya di bawah Construction (Working Places) Regulations 1966. Kedua-dua plaintif dan defendan menganggap bahawa plaintif merupakan seorang ‘self employed labour- only subcontractor’. Salah satu isu yang timbul adalah sama ada plaintif adalah pekerja defendan ataupun dia merupakan seorang kontraktor bebas.

Mahkamah rayuan memutuskan bahawa hubungan di antara kedua-dua pihak mestilah dipertimbangkan bersama-sama dengan perkara-perkara lainuntuk memastika sama ada hubungan berbentuk majikan-pekerja wujud atau tidak.perkara-perkara lain itu termasuklah kuasa pemecatan oleh defendan , fakta bahawa defendan berhak  memindahkan tenaga kerjanya termasuk plaintif dari satu tapak pembinaan ke tapak pembinaan lain, fakta bahawa defendan adalah bertanggungjawab untuk menyediakan peralatan kerja, fakta bahawa defendan  berhak memberitahu plaintif  apakah kerja yang harus dilakukannyadan persoalan sama ada upah diberi mengikut kiraan jumlah jam bekerja.Mahkamah memutuskan bahawa hbungan di antara plaintif dan defendan di dalam ke sini merupakan hubungan majikan-pekerja.

Dalam kes ini, jelas menunjukkan Defendan Ketiga tidak bertanggungan terhadap kecuaian Defendan Kedua. Hal ini kerana Defendan Kedua bukanlah pekerja di hospital (Defendan Ketiga). Defendan Kedua ialah doktor pelawat di hospital bersalin tersebut. Oleh yang demikian, segala kos Defendan Kedua adalah ditangung olehnya sendiri. Ini adalah kerana tidak wujud elemen majikan-perkerja Defendan Ketiga terhadap Defendan Kedua.

 

ALASAN PENGHAKIMAN

 

Dalam menjawab isu yang diketengahkan, hakim berpandangan bahawa, bagi isu pertama iaitu berkaitan tentang samada Defendan Pertama, Kedua dan Ketiga telah melakukan kecuaian atau tidak, hakim menyatakan bahawa Defendan Pertama tidak melakukan sebarang kecuaian terhadap Plaintif kerana beliau hanya bertugas sebagai doktor pelawat yang menyambut kelahiran Plaintif dalam keadaan pramatang dan kemudiannya Plaintif di bawah jagaanya hanya selama lebih kurang satu jam. Setelah memasukkan oksigen ke dalam inkubator dan melalui hud dan memastikan Plaintif dalam keadaan stabil, beliau menyerahkan Plaintif kepada Defendan Kedua kerana beliau bercuti. Ini jelas menunjukkan bahawasanya Defendan Pertama tidak melakukan apa-apa kecuaian kerana tugas yang beliau lakukan adalah bersesuaian dengan tugas beliau sebagai seorang doktor dalam merawat pesakit.

Namun, bagi Defendan Kedua, hakim menyatakan bahawa beliau telah dengan jelasnya melakukan kecuaian terhadap Plaintif. Ini dijelaskan dengan, pada awalnya, beliau tidak memastikan oksigen yang dibekalkan kepada Plaintif adalah bersesuaian atau tidak. Walaupun beliau menyatakan bahawa beliau bukanlah pakar mata dan bukan menjadi tanggungjawab beliau dalam memantau perkembangan Plaintif, namun, sebagai seorang doktor, beliau haruslah mempunyai rasa tanggungjawab dalam dirinya untuk memastikan pesakit yang dibawah jagaanya mendapat penjagaan yang cukup. Ini ditambahkan lagi apabila beliau tidak menjelaskan kepada ibu bapa Plaintif tentang kesan penggunaan oksigen terhadap Plaintif ketika Plaintif berada di dalam inkubator.  Dalihan Defendan Kedua dalam menyatakan beliau tidak pakar dalam bidang opatomologi tidak diterima oleh mahkamah kerana bagi mahkamah, seseorang doktor seharusnya mengetahui perkara-perkara asas yang boleh menyebabkan berlakunya kecederaan kepada pesakit seperti memberikan oksigen yang berlebihan kepada bayi prmatang ketika bayi ditempatkan di dalam inkubator. Walaupun tidak terdapat rawatan untuk RLF pada tahun 1975, namun menjadi tugas Defendan Kedua apabila beliau mengetahui oksigen yang berlebihan akan menyebabkan RLF, beliau sekurang-kurangnya haruslah memantau penglihatan Plaintif selepas oksigen pada incubator dikeluarkan untuk memeriksa apa-apa kemungkinan komplikasi-komplikasi yang akan berlaku terhadap Plaintif. Hakim menyatakan juga bahawa, seseorang pediatrik seharusnya mengetahui akan kesan-kesan daripada pembekalan oksigen yang berlebihan kepada bayi pramatang.

Defendan Ketiga juga telah melakukan kecuaian apabila telah gagal menyediakan kemudahan dan mesin analisis oksigen di hospital bersalin tersebut. Defendan dengan jelas telah melanggar kewajipan sebagai sebuah hospital yang seharusnya menyediakan kelengkapan yang secukupnya dalam menerima pesakit sehingga menyebabkan Plaintif tidak mendapat takat oksigen yang relevan seharusnya diberikan. Ini adalah kerana mesin analisis oksigen tidak disediakan oleh hospital. Hospital ini menyediakan perkhidmatan Special Care Nursery serta menerima semua jenis kelahiran bayi termasuk bayi pramatang, juga mempunyai dana yang secukupnya bagi membeli mesin Oxygen Anlyser dan Blood Gas Analyser, namun Defendan Ketiga (hospital) tetap gagal untuk menyediakan kemudahan-kemudahan tersebut. Defendan Ketiga menawarkan perkhidmatan yang terbaik, dan diterima oleh pihak Plaintif, namun gagal menyediakan elemen-elemen perkhidmatan yang terbaik seperti mesin dan kemudahan-kemudahan yang selayaknya.[4] Berdasarkan fakta-fakta ini, hakim memutuskan bahawa Defendan Ketiga jelas melakukan kecuaian.

Bagi isu tanggungan beralih dalam kes ini, jelas menunjukkan Defendan Ketiga tidak bertanggungan terhadap kecuaian Defendan Kedua. Hal ini kerana Defendan Kedua bukanlah pekerja di hospital (Defendan Ketiga). Defendan Kedua ialah doktor pelawat di hospital bersalin tersebut. Oleh yang demikian, segala kos Defendan Kedua adalah ditangung olehnya sendiri. Ini adalah kerana tidak wujud elemen majikan-perkerja Defendan Ketiga terhadap Defendan Kedua. 

KEPUTUSAN

1)      Defendan Pertama didapati tidak melakukan apa-apa kecuaian terhadap Plaintif dan segala kos terhadap Defendan Pertama ditanggung oleh Defendan Kedua dan Ketiga merujuk kepada Sanderson Order. Defendan Pertama tidak perlu membayar ap-apa gantirugi atau kos kepada Plaintif.

2)      Defendan Kedua didapati telah melakukan kecuaian terhadap Plaintif.

3)      Plaintif mendapat award melalui gantigugi biasa kerana beliau gagal membuktikan gantirugi-gantirugi istimewa kepada mahkamah. Mahkamah mengarahkan Plaintif menerima RM100,00.00 ekoran daripada kehilangan kedua-dua bahagian penglihatan iaitu buta. Namun hakim tetap berpandangan bahawa, sewajarnya gantirugi seharusnya melebihi RM100,000.00.

4)      Defendan Ketiga tidak berliabiliti vikarius terhadap Defendan Kedua kerana Defendan Kedua hanyalah merupakan doktor pelawat di hospital bersalin tersebut. Ini membuktikan Defendan Kedua bukanlah pekerja di hospital tersebut.

BIBLIOGRAFI

1)      Norcahaya Talib bersama Saw Tiong Guan (2006), “ Prinsip-Prinsip Asas Tort ”, Petaling Jaya : Sweet  & Maxwell Asia.

2)      Norcahaya Talib(Third Edition), “Law Of Torts in Malaysia”, Petaling Jaya : Sweet  & Maxwell Asia.


[1] Norcahaya Talib bersama Saw Tiong Guan (2006), “ Prinsip-Prinsip Asas Tort ”, Petaling Jaya : Sweet  & Maxwell Asia, hlm. 9.

[2] Ibid, hlm. 10.

[3]Norcahaya Talib bersama Saw Tiong Guan (2006), “ Prinsip-Prinsip Asas Tort ”, Petaling Jaya : Sweet  & Maxwell Asia, hlm. 10.

[4] Norcahaya Talib(Third Edition), “Law Of Torts in Malaysia”, Petaling Jaya : Sweet  & Maxwell Asia, hlm. 417.

 

nv. 

Advertisements

5 thoughts on “NG EU KHOON VS DR GWEN SMITH & 2 ORS (medical negligence)

  1. Untuk pengetahuan Siti, anak saya cedera sewaktu dilahirkan di hospital swasta pada bulan March 2013. Daripada keputusan MRI, anak saya megalami kecederaan saraf, kecederaan tulang belakang dan mengalami pendarahan di bhgn otak. Bagaimana proses untuk mendapatkan gantirugi drp pihak hospital? Terima kasih.

    • Pertamanya puan, kita perlu pastikan adakah sebab kecederaan2 tersebut adalah disebabkan oleh pihak hospital atau sebaliknya, sekiranya ya, maka puan layak untuk membuat permohonan gantirugi bagi kecederaan tersebut. Saya masih lagi pelatih dalam kamar (chambering) di firma guaman dan bukan peguam yang sudah diiktiraf oleh kerajaan. Saya akan cuba panjangkan isu puan kepada peguam di firma saya. Apa2 boleh berhubung melalui saya di hanani121089@gmail.com atau emel firma saya ndnco@yahoo.com.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s