Siti Kalsamah vs Mohd Zain ( Tuntutan Harta Sepencarian )

PENDAHULUAN

Undang-undang Keterangan Islam adalah subjek yang menerangkan sedikit sebanyak tentang elemen-elemen dan prinsip-prinsip dalam keterangan. Dalam proses kehakiman, undang-undang keterangan adalah penting. Keteranganlah yang boleh membantu hakim mencari kebenaran dan menjatuhkan hukuman dengan tepat seperti yang ditetapkan oleh Allah S.W.T.[1] Dalam undang-undang keterangan Islam, keterangan dikenali sengan istilah baiyinah.[2]

Tugasan saya pada kali ini bagi subjek Undang-undang Keterangan Islam adalah membuat kajian kes bagi mencari apakah elemen keterangan yang terdapat di dalam kes tersebut. Nama kes bagi kajian kes ini adalah pertikaian diantara Siti Kalsamah Binti Selamat lwn. Mohd Zain bin Ahmad.

Penulisan saya ini akan dibahagikan kepada enam item. Pertama, pendahuluan, yang mana saya menerangkan serba sedikti tentang undang-undang keterangan islam. Kedua, fakta kes, yang mana dalam item ini, perkara yang akan saya terangkan adalah berkaitan dengan fakta-fakta kes ini antaranya seperti pihak-pihak yang terlibat dalam kes ini. Ketiga, isu kes, yang mana isu kes ini adalah masalah kepada jawapan yang akan dikemukakan dalam keputusan hakim. Isu yang saya bawakan hanyalah isu yang membabitkan elemen keterangan sahaja disamping menyentuh serba sedikit tentang keluarga islam supaya untuk lebih memudahkan pemahaman saya. Keempat, pembuktian dan keterangan, yang mana saya akan menerangkan apakah elemen-elemen keterangan yang terdapat dalam kes ini sebagai contoh elemen keterangan dalam kes ini adalah ikrar bekas suami dihadapan peguam isteri. Kelima, alasan penghakiman, yang mana ini adalah berkaitan dengan sebab-sebab hakim memutuskan sesuatu keputusan dalam penghakiman. Dan item yang terakhir adalah penutup atau kesimpulan.

Statut atau undang-undang yang dirujuk dan digunakan dalam penulisan ini adalah antaranya Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003.

FAKTA KES

DALAM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH SEREMBAN

DALAM NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS, MALAYSIA

              KES MAL BIL:      05100-017-0313-2008          TAHUN 2008

DI ANTARA

SITI KALSAMAH BINTI SELAMAT                                                                          PLAINTIF

DAN

MOHD ZAIN BIN AHMAD                                                                                   DEFENDAN

Hakim                   : Y.A Tn. Mohd Nadzri Bin Abdul Rahman.

Peguam syarie  :

Plaintif                  – diwakili oleh Tuan Asrul bin Embong, Biro Bantuan Guaman Negeri Sembilan.

Defendan            – tidak diwakili peguam syarie.

Dalam kes ini, Plaintif telah membuat tuntutan untuk mensabitkan harta sepencarian yang dimiliki oleh plaintif dan defendan. Tuntutan ini dibuat setelah plaintif dan defendan telah disabitkan bercerai oleh Mahkamah pada 23 November 2007. Dalam tempoh perkahwinan tersebut, plaintif dan defendan telah memperoleh aset-aset berikut:

1)      Tanah pertanian lot 12690 seluas 4.038 Hektar di FELDA Jelai 2, Mukim Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan.

2)      Tanah tapak rumah lot 77389 seluas 1049 meter persegi di FELDA Jelai 2, Mukim Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan.

Plaintif memohon agar Mahkamah mengisytiharkan bahawa harta-harta tersebut adalah harta sepencarian plaintif dan defendan, dan ½ bahagian dari harta dan hasil FELDA tersebut diberikan kepada plaintif.

Dalam kes ini, plaintif telah diwakili oleh peguam dari Biro Bantuan Guaman manakala pihak defendan hadir bersendirian. Pada peringkat perbicaraan sedang berjalan, satu persetujuan bersama telah diperolehi di antara kedua-dua pihak berkaitan dengan tuntutan harta sepencarian itu. Keputusan yang diperintah oleh mahkamah adalah berdasarkan persetujuan bersama pihak-pihak melalui kaedah sulh di luar mahkamah.

Di dalam kes ini, ia telah dimulakan dengan Majlis Sulh pada 25 Jun 2008. Namun mengikut laporan Majlis Sulh yang telah dikemukakakan oleh Pegawai Sulh di Mahkamah, proses sulh kedua-dua pihak tersebut adalah gagal kerana Notis Kehadiran Sulh telah gagal disempurnakan oleh dan Defendan juga gagal hadir ke Majlis Sulh. Seterusnya Plaintif memohon agar kes ini terus dibicarakan.

Apabila proses Sulh gagal, kes ini telah dibawa ke Mahkamah untuk dibicarakan. Semasa peringkat perbicaraan sedang berjalan, pihak-pihak telah mencapai satu jalan penyelesaian melalui persetujuan bersama yang diperolehi hasil perbincangan diluar mahkamah antara Peguam Syarie plaintif, Palintif, dan defendan. Pada tarikh 11 September 2008, Peguam Syarie plaintif memaklumkan kepada Mahkamah bahawa pihak-pihak telah mencapai persetujuan bersama dalam kes ini di mana terma-terma persetujuan seperti berikut:-

a)      Hasil atau pendapatan bulanan di FELDA Jelai 2 sebagai harta sepencarian berdasarkan ½ bahagian kepada plaintif dan ½ bahagian kepada defendan.

b)      Pembahagian.

Mahkamah kemudian menangguhkan kes ini ke tarikh 23 Oktober 2008 untuk member masa kepada peguam syarie Plaintif untuk menyediakan draf persetujuan bersama serta tentukan terma-terma yang sesuai bagi persetujuan.

Pada 23 Oktober 2008 dengan kehadiran Plainitf dan defendan, peguam syarie plaintif telah mengemukakan kepada Mahkamah ini draf persetujuan bersama yang dipersetujui pihak-pihak dan mohon agar Mahkamah merekodkan persetujuan ini sebagai satu perintah.

ISU KES

1)      Samada penyelesaian secara sulh di luar mahkamah mematuhi kehendak Hukum Syara’, dan;

2)      Sekiranya mematuhi Hukum Syara’, adakah ianya dianggap ikrar bagi pihak defendan dalam aspek keterangan.

PEMBUKTIAN DAN KETERANGAN

Elemen keterangan yang terdapat dalam kes ini adalah iqrar. Iqrar ialah suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang, secara bertulis atau lisan atau dengan isyarat, menyatakan bahawa dia mempunyai oblIgasi atau tanggungan terhadap seseorang lain berkenaan dengan sesuatu hak.[3] Iqrar juga adalah satu cara pengakuan atau pengiktirafan yang khusus sebagai salah satu cara pembuktian bagi mensabitkan hak atau kepentingan orang lain, ke atas dirinya sendiri, atau mensabitkan sesuatu kesalahan atau tanggungan ke atas dirinya seperti pengakuan berzina. Walaupun ia berupa iqrar dalam bentuk memberitahu atau memaklumkan, tetapi ia hanya merupakan satu pengiktirafan yang hanya melibatkan dirinya. Ia mensabit atau mengikat orang yang berikrar dalam perkara yang diikrarkan itu.[4]

Terdapat banyak dalil daripada al-quran dan sunnah yang menunjukkan bahawa iqrar diterima sebagai salah satu cara pembuktian.[5] Antaranya, Allah berfirman yang bermaksud:

“ Bahkan manusia itu (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri, walaupun ia memberikan alasan-alasan (untuk membela diri) “[6]

Di dalam kes ini, ia telah dimulakan dengan Majlis Sulh pada 25 Jun 2008. Namun mengikut laporan Majlis Sulh yang telah dikemukakakan oleh Pegawai Sulh di Mahkamah, proses sulh kedua-dua pihak tersebut adalah gagal kerana Notis Kehadiran Sulh telah gagal disempurnakan oleh dan Defendan juga gagal hadir ke Majlis Sulh. Seterusnya Plaintif memohon agar kes ini terus dibicarakan.

Apabila proses Sulh gagal, kes ini telah dibawa ke Mahkamah untuk dibicarakan. Semasa peringkat perbicaraan sedang berjalan, pihak-pihak telah mencapai satu jalan penyelesaian melalui persetujuan bersama yang diperolehi hasil perbincangan diluar mahkamah antara Peguam Syarie plaintif, Palintif, dan defendan. Pada tarikh 11 September 2008, Peguam Syarie plaintif memaklumkan kepada Mahkamah bahawa pihak-pihak telah mencapai persetujuan bersama dalam kes ini di mana terma-terma persetujuan seperti berikut:-

a)      Hasil atau pendapatan bulanan di FELDA Jelai 2 sebagai harta sepencarian berdasarkan ½ bahagian kepada plaintif dan ½ bahagian kepada defendan.

b)      Pembahagian.

Mahkamah kemudian menangguhkan kes ini ke tarikh 23 Oktober 2008 untuk member masa kepada peguam syarie Plaintif untuk menyediakan draf persetujuan bersama serta tentukan terma-terma yang sesuai bagi persetujuan.

Pada 23 Oktober 2008 dengan kehadiran Plainitf dan defendan, peguam syarie plaintif telah mengemukakan kepada Mahkamah ini draf persetujuan bersama yang dipersetujui pihak-pihak dan mohon agar Mahkamah merekodkan persetujuan ini sebagai satu perintah.

Apabila pihak-pihak mencapai persetujuan bersama, Mahkamah tidak boleh membuat keputusan tanpa Mahkamah sendiri mendapatkan persetujuan daripada pihak-pihak dan merekodkan persetujuan tersebut. Persetujuan bersama ini juga tidak boleh dikuatkuasakan tanpa terlebih dahulu mendapat perintah Mahkamah. Perkara ini adalah berdasarkan kepada Arahan Amalam No. 4 Tahun 2006.

Mahkamah telah membaca semula terma-terma yang dipersetujui pihak-pihak agar pihak-pihak benar-benar memahami terma yang dipersetujui mereka, kerana apa-apa keputusan yang diputuskan oleh Mahkamah melalui persetujuan bersama ini tidak boleh ditarik balik dan dirayu oleh pihak-pihak. Ini adalah selaras dengan Arahan Amalan No. 5 Tahun 2006.

Mahkamah kemudiannya mendapatkan pengesahan dan persetujuan pihak-pihak berkaitan dengan terma-terma yang dipersetujui mereka. Defendan dengan sukarela telah mengesahkan persetujuan tersebut dan menerimanya.

Dalam kes ini, persetujuan dibuat di hadapan peguam syarie Plaintif dan bukan di hadapan Pengerusi Majlis Sulh sebagaimana yang dikehendaki dalam Arahan Amalan No.4 2006. Mahkamah berpandangan bahawa Majlis Sulh ini merupakan satu medium rasmi bagi pihak-pihak menyelesaikan masalah mereka tanpa perlu mengikuti perbicaraan yang panjang. Persetujuan di dalam Majlis Sulh ini hanya perlu diendorskan ke Mahkamah untuk mendapatkan perintah yang berkaitan. Mahkamah juga berpandangan bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi pengantara bagi pihak-pihak bagi menyelesaikan kes mereka, dan sekiranya berlaku persetujuan di hadapan pengantara ini atau di luar Majlis Sulh atau di luar Mahkamah, maka persetujuan ini boleh direkodkan di hadapan hakim Mahkamah.

Melalui draf terma-terma persetujuan bersama yang dikemukakn oleh peguam syarie Plaintif ke Mahkamah, pihak-[ihak dalam kes ini telah menyatakan persetujuan masing-masing di hadapan hakim pada 23 Oktober 2008 untuk menerima pakai terma-terma tersebut, dan persetujuan ini adalah tertakluk kepada Seksyen 17 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 yang menyatakan bahawa:

(1)    Iqrar ialah suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang, secara bertulis atau lisan atau dengan isyarat, menyatakan bahawa dia mempunyai obligasi atau tanggungan terhadap mana-mana orang lain berkenaan dengan sesuatu hak.

(2)  Apa-apa iqrar hendaklah dibuat-

(a) di dalam Mahkamah, di hadapan Hakim; atau

(b) di luar Mahkamah, di hadapan dua orang saksi lelaki yang ‘aqil, baligh dan ‘adil.

Apabila pihak-pihak di dalam kes ini telah menyatakan persetujuan mereka di hadapan hakim, dan hakim merekodkan persetujuan tersebut serta menjadikannya perintah, maka pihak-pihak adalah  terikat dengan persetujuan yang telah mereka lakukan. Sebagaimana dalam Firman Allah S.W.T:

Bermaksud:

Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka): “Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiKu secara Yang demikian itu?” mereka menjawab: “Kami berikrar (mengakui dan menerimanya)”. Allah berfirman lagi: “Jika demikian, maka saksikanlah kamu, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu.”[7]

 Mahkamah berpandangan bahawa terma-terma yang dipersetujui oleh pihak-pihak di dalam draf persetujuan bersama yang dikemukakan oleh peguam ke Mahkamah ini tidaklah menyalahi hukum syarak dan dalam lingkungan yang harus sahaja. Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Kitab Subul al-Salam, juz.3, hlm 848 bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda:

                                                عن عمرو بن عوف المزني رضي الله تعالى عنه : أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : الصلح خير جائز بين المسلمين إلا صلحا حرم حلال أو أحل حراما, والمسلمون على شروطهم, إلا شرطا حرم حلال, أو أحل حراما.

Bermaksud:

Dari Amr  bin Auf al-Muzani R.A bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda:- Perdamaian adalah harus di kalangan Muslimin kecuali perdamaian untuk mengharamkan perkara yang halal atau menghalalkan perkara yang haram. Orang islam terikat dengan perjanjian yang dibuat di antara mereka kecuali perjanjian untuk mengharamkan perkara yang halal atau menghalalkan perkara yang haram.

Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam Kitab Fiqh dan Perundangan Islam, jld.6, hlm 676 menyatakan perkara yang berkaitan dengan hukum iqrar:

“Hukum ikrar ialah lahirnya apa yang diikrarkan itu. Bukan sabitan hak dan pembentukannya daripada awal. Oleh itu, tidak sah ikrar perceraian yang dipaksakan, walaupun pembentukan (insha’) itu sah dalam keadaan dipaksa, mengikut pendapat mazhab Hanafi. Jadi sesiapa yang berikrar mengenai sesuatu harta sebagai kepunyaan orang lain, sedangkan orang yang diikrarkan untuknya itu mengetahui bahawa orang yang berikrar itu dusta maka dia tidak boleh mengambilnya secara paksa. Ikrar hanya menjadi hujah yang terkena ke atas orang yang berikrar sahaja. Kesannya tidak melewati orang lain kerana orang yang berikrar itu tidak mempunyai kuasa ke atas orang lain. Oleh itu, kesan ikrar itu hanya terbatas ke atas dirinya sahaja. Ikrar juga merupakan bukti atau dalil yang paling kuat kerana sesuatu ikrar itu tidak mengandungi tohamahan atau keraguan, dan ikrar mensabitkan milik pada perkara yang diberitakan itu”

Dalam kes ini, Plaintif dan Defendan masing-masing telah membuat pengakuan atau ikrar di hadapan hakim bahawa mereka telah bersetuju dengan draf terma-terma persetujuan bersama yang telah disediakan oleh Peguam Syarie Plaintif. Persetujuan yang dibuat oleh kedua-dua pihak dihadapan hakim adalah sah dan persetujuan ini juga bertepatan dengan kehendak Seksyen 17 (2) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003.

Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam Fiqh dan Perundangan Islam jil.6, hlm 681 telah menyatakan bahawa :

Ahli-ahli fiqh bersepakat menyatakan bahawa sesuatu ikrar mengenai hak menjadi sah hanya apabila dibuat oleh orang yang baligh, berakal dan pilihan sendiri (bukan paksaan) yang tidak diragui tentang ikrarnya.

Di dalam kitab yang sama di hlm 686, Mahkamah merujuk kepada pendapat penulis berkaitan dengan ikrar tentang harta:

Sah dibuat ikrar mengenai sesuatu harta, tidak kira sama ada harta itu berbentuk barang (a’yan) atau berbentuk hutang yang sabit dalam tanggungan, juga tidak kira sama ada harta yang diikrarkan itu diketahui (dikenalpasti) atau tidak dapat diketahui, kerana ketiadaan pengetahuan tentang perkara yang diikrarkan tidak menghalang kesahihan ikrar. Sebab sesuatu hak itu kadang-kadang mengenakan tanggungan ke atas seseorang yang tidak mengetahui keadaan perbuatannya, seperti dia merosakkan sesuatu harta yang dia tidak mengetahui nilainya”.

Disyaratkan bagi sah dan sabit ikrar yang mewajibkan hak Allah, ialah ikrar hendaklah dilakukan di tempat atau dalam majlis yang berlainan, bukan dalam satu majlis, pada satu masa. Memadai ikrar dilakukan di majlis orang yang berikrar dan tidak semestinya dalam majlis hakim.

Menurut Imam Abu Hanifah, cara berikrar dalam mjlis yang berlainan ialah orang yang melakukan ikrar itu melakukan ikrarnya dihadapan hakim, kemudian ia keluar dan masuk semula untuk berikrar kali kedua, dan seterusnya menurut proses yang sama sehingga cukup bilangan yang dikehendaki.

Dalam kes-kes hudud, pengakuan hanyalah dikira sebagai ikrar yang sah apabila ia dilakukan di hadapan hakim. Tidak sah jika ia tidak dilakukan di hadapan hakim, kerana pensabitannya berdasarkan ikrar, bukan syahadah.

Seksyen 17 (2) memperuntukkan bahawa ikrar di luar mahkamah hanya boleh diterima jika ikrar dibuat di hadapan dua orang saksi adil.

Untuk membolehkan ikrar sah dan sabit maka, disyaratkan supaya orang yang berikrar itu melakukannya dengan penuh kesedaran dan faham ikrar yang dibuatnya. Malahan golongan mazhab Hanafi mensyaratkan bahawa, orang yang berikrar dalam kes zina, mencuri, minum arak dan mabuk, sedar dan faham tentang apa yang diikrarkannya.[8]

 

Pihak menuntut dalam kes harta sepencarian perlu buktikan perkara-perkara berikut:

a) Kewujudan harta sepencarian,

b) Sumbangan yang telah diberikan sama ada langsung atau tidak, dan

c) Takat sumbangan yang telah diberikan[9]

Dalam kes ini, Mahkamah tidak dapat membuat pertimbangan sewajarnya berkaitan dengan bahagian atau kadar yang berhak Plaintif teirma kerana tempoh perbicaraan yang singkat dan tiada apa-apa keterangan yang berkaitan dengan kes ini. Keputusan yang mahkamah keluarkan adalah bersandarkan kepada persetujuan bersama yang diperolehi oleh pihak-pihak hasil perbincangan diluar Mahkamah.

ALASAN PENGHAKIMAN

Berdasarkan kepada pandangan ulama dan juga kes-kes yang telah dirujuk, Mahkamah berpandangan bahawa persetujuan pihak-pihak ke atas draf terma-terma yang dikemukakan oleh peguam syarie Plaintif boleh dijadikan perintah oleh Mahkamah dalam memutuskan kes ini. Mahkamah juga sebelum mengeluarkan perintah berkaitan dengan persetujuan bersama ini telah menyoal pihak-pihak sama ada persetujuan mereka ini telah dipengaruhi atau telah dipaksa oleh pihak yang lain, dan Plaintif dan Defendan telah mengaku di hadapan Mahkamah bahawa persetujuan mereka dibuat secara sukarela tanpa dipengaruhi atau dipaksa oleh mana-mana pihak. Mahkamah juga mengucapkan terima kasih kepada peguam syarie Plaintif kerana berusaha untuk menyelesaikan kes ini dengan cara mudah dan masa yang singkat melalui perundingan dan perbincangan luar mahkamah antara Plaintif dan Defendan. Mahkamah amat menghargai kerjasam dan tolak ansur yang diberikan oleh Plaintif dan Defendan dalam kes ini, sikap ini amat digalakkan di dalam Islam. Sebagaimana firman Allah S.W.T :

Bermaksud:

“Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya “nusyuz” (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara Yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai); sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka memberi atau bertolak ansur) itu memang tabiat semula jadi Yang ada pada manusia. dan jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan), dan mencegah diri (daripada melakukan kezaliman), maka Sesungguhnya Allah Maha mendalam pengetahuannya akan apa Yang kamu lakukan”.[10]

Walaupun perdamaian di dalam ayat ini lebih dikhususkan kepada hubungan suami isteri, namun Mahkamah berpandangan bahawa perdamaian atau pun tolak ansur ini boleh digunakan dalam semua urusan dan pertelingkahan yang berlaku. Melalui kaedah perdamaian, tolak ansur atau persetujuan bersama ini, sesuatu masalah itu dapat diselesaikan dengan mudah dan cepat.

Atas persetujuan bersama kedua-dua belah pihak, maka Mahkamah  memerintahkan seperti berikut:

  1. Mahkamah memutuskan bahawa sebidang tanah kebun lot 12690 seluas 4.038 hektar di FELDA Jelai 2, Mukim Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan adalah diisytiharkan sebagai harta sepencarian.
  2. Mahkamah memutuskan ½ bahagian daripada pendapatan hasil kebun tersebut diserah kepada Plaintif Puan Kalsamah binti Selamat dan nama Plaintif diletakkan sebagai pemegang bersama dalam Buku Daftar Pegangan.
  3. Defendan juga membenarkan Plaintif membina sebuah rumah dibelakang rumah asal dalam lot 77939 seluas 1094 meter persegi di FELDA Jelai 2, Mukim Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan.

Mengenai isu adakah penyelesaian secara sulh di luar mahkamah adalah mematuhi hukum syarak atau tidak, Mahkamah berpandangan bahawa terma-terma yang dipersetujui oleh pihak-pihak di dalam draf persetujuan bersama yang dikemukakan oleh peguam ke Mahkamah ini tidaklah menyalahi hukum syarak dan dalam lingkungan yang harus sahaja.

Dalam kes ini, Plaintif dan Defendan masing-masing telah membuat pengakuan atau ikrar di hadapan hakim bahawa mereka telah bersetuju dengan draf terma-terma persetujuan bersama yang telah disediakan oleh Peguam Syarie Plaintif. Persetujuan yang dibuat oleh kedua-dua pihak dihadapan hakim adalah sah dan persetujuan ini juga bertepatan dengan kehendak Seksyen 17 (2) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003.

KESIMPULAN

Berdasarkan kajian kes yang telah saya lakukan, pihak menuntut dalam kes harta sepencarian perlu membuktikan perkara-perkara seperti berikut:

a) Kewujudan harta sepencarian,

b) Sumbangan yang telah diberikan sama ada langsung atau tidak, dan

c) Takat sumbangan yang telah diberikan[11]

Dalam kes ini, Mahkamah tidak dapat membuat pertimbangan sewajarnya berkaitan dengan bahagian atau kadar yang berhak Plaintif terima kerana tempoh perbicaraan yang singkat dan tiada apa-apa keterangan yang berkaitan dengan kes ini. Keputusan yang mahkamah keluarkan adalah bersandarkan kepada persetujuan bersama yang diperolehi oleh pihak-pihak hasil perbincangan diluar Mahkamah.

Ini menunjukkan bahawa Mahkamah tidak sewenang-wenangnya  mengeluarkan keputusan tanpa mengetahui kewujudan elemen keterangan di dalam satu-satu perbicaraan. Jika tiada keterangan yang dikeluarkan oleh pihak-pihak, maka Mahkamah akan melihat kepada persetujuan bersama yang diperolehi oleh pihak-pihak hasil perbincangan di luar Mahkamah, jika kaedah Sulh yang digunapakai.

Selain itu, pengakuan, atau ikrar yang boleh dijadikan sebagai salah satu cara pembuktian untuk mensabitkan sesuatu hak atau kepentingan hendaklah memenuhi syarat sah dan ianya mengikat. Terdahulu daripada ini telah diterangkan dengan jelas syarat ikrar mazhab Hanafi, yang tidak banyak berbeza dengan mazhab Syafie. Ia hendaklah lahir daripada orang yang berakal, baligh, dan dibuat secara sukarela. Daripada keterangan di atas, adalah jelas bahawa, ikrar yang dilakukan oleh seseorang yang telah sabit dan sah hanyalah member kesan dan mengikat orang yang membuat pengakuan itu sahaja. Ia tidak mensabit atau mengikat orang lain.

BIBLIOGRAFI

 

1)      Al-Quran al-Karim.

2)      Dr. Mahmud Saedon A. Othman, 2003. Undang-undang Keterangan Islam. Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur.

3)      Ruzman Md Noor, (2007).”Pembuktian dalam Kes Harta Spencarian di Mahkamah Syariah di Malaysia” dalam Jurnal Syariah jilid 15.

4)      Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003.


[1] Dr. Mahmud Saedon A. Othman, 2003. Undang-undang Keterangan Islam. Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur, hlm. 1.

[2] Ibid, hlm. 8.

[3] Seksyen 17 (1) , Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003.

[4] Dr. Mahmud Saedon A. Othman, 2003. Undang-undang Keterangan Islam. Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur, hlm. 42.

[5] Ibid, hlm 43.

[6] Al-Qiamah: 14, 15.

[7] Surah Al-Imran: 81.

[8] Dr. Mahmud Saedon A. Othman, 2003. Undang-undang Keterangan Islam. Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur, hlm. 51-52.

[9] Ruzman Md Noor, (2007).”Pembuktian dalam Kes Harta Spencarian di Mahkamah Syariah di Malaysia” dalam Jurnal Syariah, hlm. 41.

[10] Surah al-NIsa’: 128.

[11] Ruzman Md Noor, (2007).”Pembuktian dalam Kes Harta Spencarian di Mahkamah Syariah di Malaysia” dalam Jurnal Syariah, hlm. 41.

Advertisements

One thought on “Siti Kalsamah vs Mohd Zain ( Tuntutan Harta Sepencarian )

  1. salam saudari..saya amat suka akan perkongsian coretan kajian undang2 ni. Saya student DAIJ UIA.bleh x nk mtk tlg kongsikan kajian kes berkaitan Undang2 Keluarga Islam atau ape2 artikel atau assignment berkaitan undang2 keluarga islam.Bleh tlg emailkan ke gmail saya ni ye..yunikimz88@gmail.com..tq..atau utk perkongsian terus,bleh hubungi saya 0145197482..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s